Wednesday, 23 January 2013

Kisah Yahudi Berusaha Mencuri Jasad Rasulullah saw


Di dalam sembahyang, ketika bacaan tahiyat akhir, kita disunatkan membaca doa meminta berlindung dari tipu daya dan fitnah Dajjal laknatullah. Beratnya ujian ini yang akan menimpa umat akhir zaman. Dajjal datang dengan membawa seruan bahawa dirinya Tuhan. Bahkan dia memaksa setiap orang supaya 'beriman' dengannya. Sedangkan ketika itu semua orang sedang berada di dalam kesempitan. Dunia sedang menempuh krisis kelaparan yang dahsyat. Siapa yang inginkan makanan atau apa sahaja hanya perlu mengakui ketuhanan Dajjal untuk mendapat makanan lazat yang dijanjikannya. 
Lalu berduyun-duyunlah manusia mengerumuni si Dajjal. Semuanya dikaut masuk ke neraka bersamanya. Bayangkan muslimin yang imannya setipis bawang. Sulitnya untuk pertahankan iman di waktu itu. Itulah hakikatnya!
Manusia yang beriman memang sangat teruji kerana di celah kesempitan itulah Dajjal datang memunculkan dirinya. Dia boleh memberi apa sahaja asalkan mengaku dianya adalah Tuhan. Murtad dan sesatlah kebanyakan manusia yang rata-rata di akhir zaman sangat lemah iman mereka. Di sebut di dalam hadis bahawa umat akhir zaman akan menempuh kekufuran itu dengan mudah. Jika paginya mukmin, petang menjadi kafir. Jika sebelah paginya kafir, petangnya kembali mukmin. Begitulah dahsyatnya situasi umat diwaktu itu. Sekarangkah waktunya?? Mohon selamatkan kami, anak cucu kami serta zuriat keturunan kami Ya Allah daripada fitnah Dajjal.
Bayangkan kemampuan Dajjal boleh masuk ke semua negeri kecuali Makkah dan Madinah kerana dua tempat ini dipelihara oleh Allah Taala. Walaupun tidak ada manusia yang sanggup memelihara dan mengawalnya, Allah Taala mempunyai bala tentera yang ramai untuk mengawalnya sama ada tanah haram Makkah mahupun Madinah. 
Yahudi tetaplah berusaha memasuki tanah haram dengan berbagai cara. Yang terkini diceritakan ada 3 orang kafir sedang berada di sekitar menara jam Mekah. Salah seorangnya orang Jerman bertatoo penuh dilengannya dengan rambut panjang - seorang diri menjadi juruteknik mesin jam gergasi di puncak menara gagah itu. Bayangkan dia duduk di atas sekali berbanding orang lain. Bagaimana dia memerhati Kaabah dan Masjidil Haram dari kedudukannya itu dari sudut pandangan seorang musuh Islam!
Orang kafir khususnya Yahudi mempunyai perancangan mahu menakluk tanah haram, kerana mereka juga mengaku tanah haram ini adalah tanah yang mulia tempat para Nabi dan para Rasul kepercayaan mereka. Mereka hendak merampas, tetapi Allah tidak mengizinkan. Jika tiada manusia yang menjaganya, akan ada tentera Allah yang memeliharanya. Walaubagaimanapun Yahudi sentiasa berusaha menceroboh, mencemar dan berusaha untuk memalukan umat Islam.  
Inilah yang pernah terjadi apabila dua orang Kristian (baca Yahudi) ingin mencuri jasad Rasulullah saw. di dalam kubur di masjid Nabi di Madinah Al Munawwarah. Mereka tahu jasad Rasulullah saw.masih elok sempurna seperti hdiup. Jasad Baginda tidak hancur dan tidak dimakan tanah. Sesungguhnya orang Yahudi dan Kristian tahu akan hal ini.
Allah maha pelindung. Dialah yang mengutuskan Nabi Muhammad dengan kemuliaan iman dan Islam. Lalu Dialah juga yang akan membela kekasihnya pada bila-bila masa pun jua.  Peristiwa ini berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Nuruddin Mahmud Zinki, bapa saudara kepada Sultan Salehuddin al Ayubi. 
Untuk makluman, keadaan umat Islam pada zaman itu sudah sangat lemah dan tidak berwibawa. Para pemerintah atau khalifah atau gabenor umat Islam rata-rata sudah lalai dari tanggung jawab mereka membela dan mendidik umat. Jadilah umat Islam seperti anak ayam kehilangan ibu. Umat Islam akhirnya dipandang hina dan miskin. 
Orang kafir pada zaman itu khususnya yahudi dan nasrani sudah berani untuk menceroboh tanah haram. Mereka memasuki masjid nabi dan merancang dengan penuh strategi untuk cuba mencuri jasad Rasulullah saw. Keadaannya sangat membahayakan. Mereka merencanakannya secara yang cukup halus, berselindung di sebalik jubah dan serban - berlakon sebagai ahli ibadah yang sangat zuhud dan menyendiri. 
Kedua-duanya berjaya menipu seluruh penduduk Madinah termasuk para pemimpinnya sedangkan Allah maha mengetahui niat dan pekerjaan mereka. Maka Allah kurniakan kepada Sultan Mahmud Zinki mimpi berjumpa Rasulullah saw. Di dalam mimpi tersebut, Rasulullah saw. berkata kepadanya, "Wahai Mahmud! Selamatkanlah aku daripada kejahatan dua orang ini" lalu Baginda menunjukkan isyarat kepada dua orang nasrani yang dimaksudkan itu. Wajah mereka berdua dilihat dengan jelas oleh Sultan  Mahmud tetapi tidak dikenalinya..  
Sultan Mahmud Zinki ini seorang yang alim. Dia sangat cintakan ilmu agama dan banyak membaca tafsiran hadis-hadis Rasulullah saw serta mengetahui ada hadis yang berbunyi (maksudnya), "Sesiapa yang bermimpi bertemu aku di dalam tidur, maka dia betul-betul berjumpaku secara jaga. Sesungguhnya syaitan tidak boleh menyerupaiku."

Menurut hadis di atas, sesiapa yang bermimpi berjumpa Rasulullah saw maka sebenarnya itulah diri Rasulullah saw kerana syaitan tidak boleh merupakan dirinya seperti Rasulullah saw. Sultan Mahmud Zinki terus bersolat tahajjud kerana tidak faham maksud mimpinya, kemudian dia tidur dan bermimpi lagi dan sekali lagi beliau bersolat tahajjud. 
Akhirnya dia memanggil penasihatnya dan memberitahu berkenaan mimpinya itu. Lalu penasihatnya itu memberi cadangan supaya mereka segera berangkat ke Madinah untuk menyelidik sendiri apa yang sebenarnya sedang berlaku di sana. Akhirnya Sultan Mahmud pun membuat keputusan menyediakan pasukan berkuda dan bergerak secepat mungkin pada malam itu juga ke Madinah. 
Setelah tiba di Madinah, Sultan Mahmud tidak memberitahu kedatangan rombongannya kepada gabenor Madinah. Dia terus duduk di Raudhah. Raudhah ialah salah satu tempat antara kubur dan mimbar Rasulullah saw. Sabda Baginda saw. "Di antara kuburku dan mimbarku ada salah satu taman dari taman-taman syurga."

Di situlah Sultan Mahmud Zinki duduk beriktikaf, Baginda tidak tahu apa yang hendak dilakukannya kerana Baginda tidak tahu mentakwil mimpi. Apa yang difahaminya ialah ada bahaya yang sedang mengancam diri atau jasad Baginda saw. Dan dua orang yang ditunjukkan di dalam mimpi itu adalah orang-orang yang merbahaya terhadap Baginda saw. Apa yang sedang mereka berdua lakukan tidaklah diketahui tetapi apa yang penting ialah  dia mesti berusaha mencari dan mendapatkan kedua-duanya secepat mungkin. 
Akhirnya diputuskan agar Gabenor Madinah membuat pengisytiharan bahawa Sultan Mahmud Zinki telah datang ke Madinah dan baginda mahu memberi hadiah kepada seluruh penduduk Madinah - tidak terkecuali seorang pun. Maka, semua penduduk Madinah datang mengadap Sultan dan menerima hadiah. Setiap orang dicatat nama masing-masing. Kedatangan semua penduduk Madinah diperhatikan satu persatu oleh Sultan Mahmud Zinki dan baginda mendapati tiada seorang pun yang menyerupai orang yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw di dalam mimpinya. 

Sultan bertanya kepada gabenor sama ada sudahkah semua penduduk Madinah datang. Gabenor mengatakan bahawa semua penduduk Madinah telah dikerah untuk hadir. Cuma yang tinggal  hanyalah dua orang bukan penduduk Madinah. Mereka datang menziarah makam Rasulullah saw dan melakukan ibadat. Mereka sangat zuhud dan kurang bergaul dengan orang lain. Mereka banyak menghabiskan masa dengan berzikir dan membaca Quran di Raudhah. Setiap pagi mereka akan menziarahi perkuburan Baqi'. 
Khabarnya mereka juga mempunyai  bekalan wang yang banyak sehingga dapat menampung keperluan hidup beberapa bulan hanya bertumpu pada beribadah semata-mata. Demikianlah maklumat yang disampaikan Gabenor Madinah kepada Sultan Mahmud. Lalu Sultan Mahmud Zinki pun mengarahkan dua orang ini datang menghadap baginda. Apabila kedua-dua orang ini datang,  terperanjatlah Sultan Mahmud tetapi tidak ditunjukkan kepada semua yang hadir. 
Mereka berdua sememangnya adalah orang yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Sungguh benar mimpinya dan sungguh benarlah apa yang dikhabarkan oleh Rasulullah saw. Lalu Sultan Mahmud pun pergi ke tempat penginapan mereka. Baginda masuk ke dalam rumah yang disewa di atas tanah, berhampiran Masjid Nabawi. Apabila baginda masuk ke dalam bilik, kelihatan biasa sahaja seperti rumah orang yang zuhud. Sememangnya tiada sebarang petunjuk yang mencurigakan. Setelah berpusing di dalam bilik, baginda mendapati satu keganjilan iaitu almari tempat meletakkan kitab berada di tengah-tengah rumah. Kebiasaannya diletakkan di tepi dinding. 

Lalu diperintahkan almari diangkat dan disisihkan ke tepi dinding. Setelah diselak hamparan yang meliputi lantai rumah tersebut, didapati di tengah-tengah rumah itu ada lubang yang sedang digali. Apabila diselidiki, ternyata lubang itu sedang dihalakan ke kubur Rasulullah saw. Lalu keduanya disoal siasat mengapa mereka berbuat begitu. Mereka pun 
memberitahu bahawa mereka mahu mengambil jasad Rasulullah saw untuk dikebumikan di tempat lain (tentunya sebagai penghinaan terhadap umat Islam). 
Mungkin juga mereka ada perancangan lain yang lebih dahsyat sehingga Rasulullah saw sendiri memberitahu betapa bahayanya mereka berdua.  Zahirnya mereka kelihatan melakukan ibadat tetapi pada waktu malam hari mereka menggali lubang. Tanah yang digali diletakkan di dalam "kirbah". Kirbah adalah belulang kambing yang biasanya dibuat tempat isi air. Tanah itu dipikul dan dibuang di perkuburan Baqi'. Orang ramai menyangka mereka membawa air dan merenjiskan air di perkuburan tersebut. .

Akhirnya kedua-dua mereka itu dijatuhi hukuman pancung di "Babul Salam" mengikut perintah Sultan Mahmud Zinki dan kedua-dua mayat mereka dibakar. Kemudian Sultan Mahmud Zinki mengarahkan kubur Rasulullah saw. itu dipagar bukan sahaja di atas tanah bahkan di dalam tanah. Digali kelilingnya seperti tembok dan diletakkan pagar yang kukuh dan dikawal dengan rapi. Peristiwa ini berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Zinki pada abad 13 M. 
Peristiwa ini benar-benar berlaku dan menunjukkan bukti Allah menjaga Nabi Muhammad saw. pada masa hidup dan pada masa wafat. Ini merupakan sebahagian tanda kenabian yang wajib kita percaya bahawa Baginda S.A.W adalah benar seorang Nabi dan Rasul Allah. Rasul dari Allah dan Islam yang diserunya adalah Islam daripada Allah Taala. 


Ya Allah bantulah kami mencintai dan menghargai RSA serta Bonda Wasilah ar selaku Ibu Rohani kami


No comments:

Post a Comment