Social Icons

Selasa, 29 Januari 2013

Kisah Derita Seorang Ibu Mempunyai Anak Penagih Dadah

Pak Lang perturunkan di sini salah satu kisah masyarakat.....Kisah seorang ibu menderita anak penagih dadah.... Siapakah pembela mereka?
Pak Lang ambil dari blog PEMADAM (
Pemadam WangsaMAJU)

Selepas ini Pak Lang akan masukkan satu kisah karamah Abuya memulihkan remaja GISB yang pernah terlibat dengan dadah. Islam ada jalan penyelesaiannya. Dan Abuya bangunkan sistem hidup Islam di dalam GISB untuk menaungi masyarakat yang memerlukan panduan dan pimpinan. Manusia akan kehilangan pedoman jika tidak bertemu siapa yang boleh menyelamatkan mereka...








Ikuti kisahnya...
KISAH minggu ini memang berlainan sekali, ia tentang luahan hati seorang kakak juga ibu mengenai masalah adik dan anaknya yang terlibat dengan dadah. Hanya mereka yang senasib boleh memahami masalah yang dipikulnya selama ini. Itu cerita Salina dalam e-melnya dan ketika kami berbual panjang di telefon.

''Apabila adik jadi penagih dadah, bukan setakat ibu bapa saya sahaja menderita, malah kami enam beradik turut sama menghadapi tekanan.

''Puas kami berusaha membantu tetapi baiknya cuma sekejap lepas tu dia buat balik. Kami dah tak tahu bagaimana mahu membantunya lagi. Masalahnya tambah teruk bila dia nak kahwin. Kami nasihatkan fikir dulu, sebab dia penagih tak ada kerja, mana nak tanggung isteri, tetapi dia degil. Akhirnya kami kahwinkan dia.

''Seperti diduga, perkahwinannya tak kekal, tapi dia kahwin lagi kali kedua, dapat dua anak bercerai, lepas tu kahwin lagi kali ketiga. Bila berkahwin, tentulah tambah beban yang kami terpaksa tanggung, makan minum mereka anak beranak kerana dia tak ada kerja. Lampin pakai buang pun kami tanggung sedangkan kami ada keluarga sendiri. Lama kelamaan seorang demi seorang adik-beradik tarik diri. Disebabkan saya tinggal dekat maka sayalah jadi tempat dia meminta bantuan.

''Masalahnya kalau kami tak beri duit dia akan mencuri, tak kiralah rumah jiran, saudara mara bahkan rumah emak sendiri. Pernah satu masa emak telefon saya suruh segera balik sebab adik dah pegang pisau di jalan keluar masuk rumah. Kebetulan saya tinggalkan anak dengan emak kerana berkursus. Fikirkan keselamatan anak, emak dan ayah, saya segera balik dan terpaksa bawa dia ke bandar untuk beli dadah.

''Emak memang takut tinggal di rumah kalau adik ada, sebab dia sentiasa hendakkan duit. Itu belum masuk bab malu dengan jiran tetangga datang mengadu barang-barang mereka hilang, rumah kena pecah dan sebagainya. Semua mereka tuduh adik yang curi.

''Pendek kata satu kampung tahu cerita adik penagih dadah dan pencuri. Bila emak ikut saya pindah, apa lagi semua barang dalam rumah emak habis dijualnya untuk beli dadah. Pada saya biarlah barang itu hilang asalkan jangan nyawa melayang. Kini walaupun pindah jauh di kampung isterinya tapi dia masih cari saya minta duit.

''Oleh kerana adik-adik tinggal jauh, ada di luar negara, ada di utara dan di selatan tanah air, sayalah tempat dia minta bantuan. Adik-adik lain ada membantu tetapi mereka tidak lihat betapa susahnya kami berhadapan dengan adik yang menagih.

''Saya fikirkan dengan pelbagai bantuan yang saya curahkan bantu adik, tak kira wang ringgit dan tenaga, tentulah saya tidak menghadapi nasib seperti emak lalui. Tetapi kehendak Allah yang maha kuasa, siapa sangka saya juga hadapi masalah sama bila anak saya terlibat dengan dadah. Ini membuatkan saya rasa cukup kecewa.

''Seawal umur 15 tahun Nan dah jadi penagih. Kami suami isteri amat sayangkan dia, tapi malangnya dia lebih sayangkan kawan-kawannya. Dengan pujukan kawan dia hilang pedo man, bukan setakat menagih malah mencuri, pecah rumah untuk dapatkan duit beli benda jahanam itu.

''Masalah duit kami anak beranak hilang dah jadi benda biasa, malah dia boleh keluarkan duit saya di Tabung Haji sebanyak RM9,000 melalui kad Bank Rakyat. Ketika hendak berurusan dengan Tabung Haji, saya diberitahu duit dah habis dikeluarkan. Saya hanya mampu menangis.

''Bila anak menagih, saya bukan saja susah hati kerana tabiat buruknya bahkan kerenah jiran tetangga. Asal ada benda berharga di rumah mereka hilang, Nan kena tuduh.

''Apakan daya untuk menasihati Nan, dia tak makan nasihat, malah rumah kami juga jadi mangsanya. Saya amat sedih, kami suami isteri berjawatan dan lulusan tinggi, sedangkan anak sulung kami Nan sijil SPM pun tak ada, sebab dia tak pernah ambil SPM.

''Pelbagai cara kami usahakan untuk memulihkannya tetapi baiknya sementara, lepas itu dia buat balik. Tau dia tak ada sijil kami keluar modal supaya dia berniaga kecil-kecilan, malangnya orang buka kedai pagi tapi dia buka kedai pukul 5 petang, lebih teruk belakang kedai tempat kawan-kawann yang lepak menagih. Akhirnya tutup terus.

''Ketika saya sambung belajar di utara tanah air, saya bawa dia tinggal bersama supaya jauh dari kawasan rumah kami. Bila jauh dia mahu berubah tetapi bila balik ke rumah dia menagih semula.

''Sebagai ibu tidak sepatutnya saya rasa bosan mendidik anak seperti ini tetapi sebagai manusia biasa, saya tidak terdaya menahan derita yang terpaksa saya tanggung dari muda hinggalah usia seperti ini, bermula dari adik hinggalah anak sendiri.

''Mungkin saya ibu yang kejam kerana pernah minta pihak berkuasa menangkap dan masukkan Nan ke pusat pemulihan, malangnya bila pengarah bertukar peraturan pun bertukar, anak saya yang muda ini dikeluarkan dan dimasukkan penagih tegar. Bila keluar pastilah anak saya kembali kepada tabiat lamanya.

''Saya pernah hantar dia ke pusat pemulihan swasta di Rawang, yang ceritanya pernah dipaparkan di TV dan akhbar tetapi anak saya dan beberapa kawannya lari sebab tak tahan diseksa, dipukul dan dirantai kaki, sementara diberi makan tidak secukupnya.

''Saya rasa itu zalim, sepatutnya anak-anak ini dilatih, dibimbing dan dinasihati supaya mereka insaf bukan dirantai, lagi pun mereka bukan duduk percuma, saya bayar RM1,000 sebulan dengan harapan anak saya dapat latihan, bukannya diseksa begitu.

''Kerana terlalu terseksa dan tidak tertanggung dengan penderitaan demi penderitaan, saya pernah terfikir melepaskan stering kereta ketika memandu ke lurah bukit supaya saya tidak lagi tanggung derita ini. Tetapi setelah fikirkan ini ujian Allah, saya terpaksa sabar.

''Saya harap ada ibu bapa lain yang senasib mahu berkongsi masalah. Kalau pesakit kanser, diabetes atau ibu tunggal ada persatuan mereka, mengapa ibu bapa seperti kita tak ada persatuan. Mungkin dengan berbincang akan ada cara kita boleh bantu pulihkan masalah anak-anak ini.'' Itu harapan Salina.

Isnin, 28 Januari 2013

Kisah Hari-hari Terakhir Seorang Remaja Perempuan Yang Kemalangan - Sangat Mengaitkan Segalanya Dengan Tuhan

Petang ini dalam keadaan Pak Lang sedang menyiapkan satu paparan berkenaan kisah seorang remaja lelaki yang terjebak dengan najis dadah, Pak Lang dikejutkan dengan mesej yang masuk ke blackberry. Rupa-rupanya dari teman sebilik. Syeikh Dr Hamzah ar yang sedang duduk menyandar di tepi katil, tersenyum memerhatikan Pak Lang. 

Pak Lang melihat sekali lagi link yang dipaparkan. Ada kisah menarik rasanya. Tertulis di situ, "Rentetan Pengalaman Dihari-hari Terakhir Siti Hajar Binti Ahmad Sabir."  "Ada apa dalam cerita ini Syeikh?" Pak Lang bertanya. "Ana dapat link ini daripada Ibu Safwah At-Tamimi ar, bacalah dulu baru tahu!!" Itulah yang dijawabnya. 

Pak Lang tidak ada pilihan. Kena berikan masa membacanya. Tentu ada sesuatu manfaat yang besar di dalamnya. Kalau tidak Syeikh Dr Hamzah ar tidak sebegitu. Bahkan bila dikaitkan dengan Ibu Safwah ar, tentulah bahan dalam link ini sangat bermakna. 

Membaca kisah remaja perempuan bernama Siti Hajar ini terbayang susuk seorang remaja yang periang dan mempunyai cita-cita dakwah. Apa jua jemaahnya tidaklah diceritakan tetapi bagaimana Islam mendidiknya untuk mengaitkan segala yang berlaku dengan Tuhan menjadikan kisah ini sangat mendidik dan menyentuh hati. 

Semoga paparan yang diambil dari blog mujahidah2u.blogspot ini dapat menginsafkan. Dan semoga pahalanya akan mengalir kepada siapa sahaja yang terlibat dalam catatan kisah ini khususnya kepada almarhumah Siti Hajar ini. Sementelahan pula almarhumah sendiri mengharapkan kisahnya ini diperpanjangkan dalam keadaan dia sendiri sedang dihiburkan untuk siap  menemui Tuhannya..... Allahu Akbar!!


INILAH SITI HAJAR

(Dari blogMujahidah2u.blogspot)

RENTETAN PENGALAMAN 
DI HARI HARI TERAKHIR SITI HAJAR BINTI AHMAD SABIR

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, segala puji-pujian dirafakkan kehadrat Allah swt. Blog yang telah lama saya tidak update akhirnya diminta isi dengan suatu hikmah yang besar dari seorang mujahidah yang telah pergi ke alam sana. Hasil penulisan ini sesungguhnya ditulis oleh ibunya yang tercinta, ibu kepada arwah Siti Hajar Binti Ahmad Sabir (alfatihah). Semoga kita memperoleh manfaat yang besar dari perkongsian ini. Selamat membaca. 


_________________________________________________________________________________



6 Jan 2013 (Ahad)
Kami dapat panggilan telefon mengatakan Hajar kemalangan. Segera bergegas ke Hospital Besar Melaka. Ramai pelajar UTEM sedia menunggu berita kemalangan itu.

7 Jan 2013 (Isnin)
Hajar dimasukkan ke wad ICU Mawar. Pegawai HEPA UTEM mula membuat lawatan.Doktor mencadangkan pembedahan segera dilakukan. Masalah kewangan mula berbangkit, wang kami tidak mencukupi’

8 Jan 2013 (Selasa)
Gerakan mengumpul derma utk pembedahan Hajar berjalan lancar. Pembedahan dilakukan pada pukul 1 tengahari. Pukul 6 ptg, pembedahan selesai.

9 Jan 2013 (Rabu)
Kesihatan Hajar baik sebelah pagi tapi merosot sedikit menjelang petang. Tekanan darah mula turun, lalu ubat untuk menaikkan tekanan darah segera diberikan. Muka dan badan mula sembab sebab dah 2 hari hanya drip air tanpa makanan. Sebelah petang, susu disalurkan ke perutnya melalui tiub. Walaupun tulang belakang telah di betulkan kedudukannya, saraf tunjang tetap telah tercedera dan kita menunggu dan berharap kekuasaan Allah Ke atas Hajar berkat doa semua sahabat di dalam dan di luar negara.

10 Jan 2013(Khamis)
Selepas Subuh tadi, kami lawat dia dan bacakan ayat2 suci dan syifa’. Dia tenang je.Kami berbual. Memang dia tak gelak tapi matanya lebih bermaya. Kami ceritakan tentang kawan2 yang datang, yang berkirim salam dan sebagainya. Memang dia tak dapat lawan bergurau, ketawa besar macam biasa tapi dia dengar kami tu pun dah cukup. Langsung tak tunjuk airmata pada dia. Kami usap tangannya, usap pipi dan dahi berkali2 dan bercakap dengan nada yang ceria juga. Tak boleh nak pandang dia dengan mata sayu, cakap dengan suara sebak..tak boleh. Kalau kita positif, kita ceria, aura kita berpindah kepadanya.

Ramai yang bersimpati dengannya lalu mencadangkan pelbagai bentuk rawatan pemulihan. Ada yang mencadangkan pergi kepada sekian-sekian dukun patah jika Hajar telah keluar dari Hospital nanti. Ada juga peniaga air yang menawarkan sebotol air pada harga RM25, dan menjanjikan penyembuhan dalam 10 minit sahaja. Hajar senyum . Pesannya, dia tidak mahu apa-apa rawatan yang menggunakan perantaraan jin dan hanya mahukan perubatan Islam. Dia rela lumpuh seumur hidup atau sanggup mati, asalkan tidak mensyirikkan Allah.

11 Jan 2013 (Jumaat)
Doktor dah benarkan makan bubur. Kami sudukan dengan sup ayam, sup sayur, ikan dan buah2an. Minum air zam zam pakai straw. Memang haus betul dia. Berkat air terbaik di atas mukabumi, dia segera nampak bertenaga. Menitis airmata sahabat2 melihat dia telah makan. Berebut2 mereka nak tolong layan Hajar. Suasana ceria berlanjutan dengan cerita2 lucu mereka.
Solat Hajat dilakukan di merata tempat dari sebelah malam hingga ke siangnya.UTeM sendiri menganjurkan solat hajat di Masjid, melibatkan kerjasama BADAR dan Majlis Perwakilan Pelajar . 

Lawatan Naib Canselor, memberikan suntikan semangat luarbiasa kepada Hajar. Dia ingin sembuh. Dia ingin kembali belajar. Dan dia dijanjikan pelbagai kemudahan pembelajaran jika dia sihat dan masih berminat menuntut ilmu.
Sedikit jangkitan kuman mula dikesan di paru-paru menyebabkan pernafasannya tidak stabil.

12 Jan 2013 (Sabtu)
Doa dan kata-kata peransang tak henti2 masuk ke telefon untuk memberi semangat kepada Hajar. Kami perlu kuatkan pernafasannya. Latihan pernafasan mula diberikan supaya oksigen banyak masuk ke badan dan dia dapat melawan kuman2 yang datang menyerang. Hasilnya, kedua dua tangan dah boleh diangkat tinggi. Selepas ini, kami nak teruskan dengan latihan menggenggam. Semua ini menyakitkan, kerana itu motivasi dari sahabat2 amat diperlukan. Peranan saya sebagai ibu adalah untuk mengukuhkan keimanannya dan meletakkan pergantungan harapan sepenuhnya pada Allah.
Sebelah petangnya, Hajar di keluarkan dari ICU Mawar dan diletakkan di wad D3.

13 Jan 2013(Ahad)
Akhirnya berbekalkan sedikit kekuatan yang diberi oleh Allah, saya terangkan situasi sebenar, kesan kemalangan itu kepada Hajar. The whole truth. Dan sebagai hambanya yang patuh, dia Redha dengan apa saja Qada dan QadarNYA. Pendapat doktor itu berdasarkan pengetahuan manusia. Yang mana ia hanya ibarat setitik air di lautan yang luas. Terlalu kecil kemampuan manusia berbanding dengan kekuasaan Allah itu sendiri. Baginya hidup mesti diteruskan, ada banyak lagi nikmat tuhan yang sedang dinikmatinya. NIKMAT TUHAN YANG MANAKAH YANG KAMU DUSTAKAN?

Setiap hari Allah menuntut perjanjian kita dengannya sebelum kita dilahirkan. Iaitu untuk mengakui DIA itulah tuhan kita yang layak disembah. Dia yang maha berkuasa, yang memiliki segala2nya. Sedang kita inilah si fakir yang tak punya apa2…dan sentiasa meminta2 darinya. Kalau dah lidah kita mengakui Allah itu maha berkuasa, maka ikrarkan pula dihati..yang DIA mampu mengubah nasib Hajar lantas menyembuhkannya sekalipun.

Takada rahsia lagi. Dia dah tahu dirinya lumpuh sementara. Dah tahu situasi tulang belakangnya, saraf tunjangnya yang cedera dan juga pembedahan yang telah dilaluinya. Tanpa setitik airmata, tanpa keluhan, tanpa menyesali nasib, tanpa mematahkan semangatnya untuk terus hidup, katanya kalau mak dan ayah boleh redha, dia juga akan redha. Banyak lagi tanggungjawab untuk digalas, ramai lagi diluar sana yang perlukan bimbingan dan kerana Allah masih selamatkan nya, dia akan bersyukur. Pasti ade hikmahnya.

Malam itu, sedang saya membacakan ayat2 suci kepadanya, dia kata “Mak dengar tak tu? Suara seruan tu?” Saya terdengar seruan bersahut2an dua atau tiga kali dari arah yang tak pasti. “Orang azan kot” tingkah saya. Dia jawab “mana pulak, azan mana ada SUBHANALLAH.. orang tu sebut SUBHANALLAH berkali2. Akak dengar, Cuba tengok jam, bukan masa azan, kan?.”akuinya penuh jujur. Saya rasa berdebar, “Selalu ke akak dengar?” “Selalu gak, entah siapa lah yang jerit tu gaknya…” jawabnya naif’

14Jan 2013 (Isnin)
Sebelah siang Hajar demam.Batuk2 Kecil, Menjelang maghrib, cuaca sejuk, batuk makin memberat. Demam semakin tinggi mencecah 39C. Selsema, kahak tersumbat di saluran kerongkong dan belakang hidung. Hajar semakin lemah. Apabila pernafasan tersekat,Hajar menggelepar mencari nafas. Doktor segera bertindak bila kami menjerit meminta bantuan kecemasan diberikan dengan menyedut kahak menggunakan mesin penyedut. Tiup dimasukkan ke saluran kerongkong dan saluran hidung. Prosedur yang menyakitkan dan tidak selesa. Tapi masih tak banyak membantu, selsema mengalir lagi, dan kesejukan malam menyebabkan hidung tersumbat semula. Kami disuruh keluar semasa bantuan kecemasan itu. Keadaan agak membimbangkan. Kami berdua berusaha menolong dengan membacakan ayat2 suci dan zikir2. Menjelang tengah malam barulah dia bernafas selesa dan tidak mencungap cungap lagi. Keletihan yg teramat sangat..tetapi bersyukur terselamat dr situasi bahaya. Stabil.

Bila dah tenang, Hajar bercerita semula, semasa doktor membantunya dan kami memohon bantuan Allah, pertolongan tersebut telah datang. Bagaimana? Secara tiba2 dia sendawa berkali kali. Dan setiap kali angin sendawa itu keluar, terasa hidung yg tersumbat tidak tersumbat lagi dan dia boleh bernafas dgn selesa. Kemudian, dia terasa mukanya dipercikkan air 3 kali. Air yang sgt sejuk dan selesa. Dia yang sedang demam panas dan terasa muka berbahang, tetiba rasa sangat selesa dan demam mula menurun.SUBHANALLAH.

Hari dah jauh malam, suami saya nak pulang menjaga anak2 yang lain di rumah. Suami beritahu Hajar, dengan cepat dia jawab “Ayah percaya Allah tak?”jawab suami”Percaya”. Tambah Hajar lagi, “Kalau percaya pada Allah, ayah baliklah..Allah ada jaga akak kat sini.”Sesekali dia tersenyum manis. Kami tanyakan” kenapa senyum?” Dia jawab…”ada bau wangi sangat”.” Selalu ke akak terbau macam tu?”Jawabnya, “Kadang2 aje, kadang2 masa nurse datang, kadang2 waktu sahabat ziarah” Hati kami mula rasa sesuatu. Suami saya tak jadi balik. Kami berdua tertidur kepenatan menemani dia malam tu. Dipihak dia pula, terasa sangat aman dan damai. Malam yg sejuk dirasakan nyaman. Langsung tak rasa lapar dan dahaga. Menurutnya, sepanjang malam, dia memerhatikan kami berdua tidur dan mensyukuri apa saja nikmat yang sedang dinikmatinya.

15 Jan 2013 (Selasa)
Sebelah pagi Hajar masih tak bermaya. Semakin naik matahari, hidung semakin kurang tersumbat dan kesihatan mula beransur baik. Perjuangan untuk hidup diteruskan lagi. Bila demam berkurangan, Hajar akan kembali ceria, makannya akan berselera, makan pudding, bubur, sup ayam dan buah2an.. Rakan2 pun gembira melayan kerenah dia. Bila dia sebut teringin makan pisang…tetiba ada saja tetamu yang bawakan. Dia duduk tapi kepalanya agak senget - masih tak boleh kawal gerakan kepala. Spontan dia kata, “Kalau ade bantal kecil, boleh letak kat leher” lalu Allah perkenankan hajatnya. Bantal yang diidamkan dibawa oleh sahabat yang prihatin pada hari yang sama hajatnya diutarakan. (KUN FAYAKUN)

Tekak Hajar masih terasa sakit – perit. Mungkin sebab guna tiub penyedut kahak sebelumnya. Jadi ubat demamnya perlu dihancurkan dan dijadikan larutan. Saya bancuhkan paracetamol dengan sedikit air zam zam. “Akak, ingat ye, ubat ni alat je, Allah yang menyembuhkan” Dia angguk. Ubat di sudukan ke mulutnya. Pahit. Kecil matanya. Segera saya berikan air zam zam untuk diminum. Lepas itu dia tanya, “Air ape tadi?”. “Ehh..air zam zam lah, mana ade bagi air lain.” Dia senyum lagi. Saya tertanya2. Dia kata “Allah tolong akak, ubat tu memang pahit, tapi bila minum air zam zam tu, rasa macam air tu manis, ia basuh semua rasa pahit dilidah akak, Esok mak cubalah” Macam mana ni….nak percaya tak?

Malamnya, dia kena makan ubat lagi. Tanpa gentar, dia menelan ubat pahit tu dan tinggalkan sedikit untuk saya. Nekad untuk menyampaikan dakwah, saya telan baki ubat itu. Memang pahit. Dan bila air zam zam diminum, rasa pahit itu hilang tak berbekas. Seperti lumpur di lantai yang tertanggal semuanya bila air disiram kepadanya.
Kemudian dia mula bertanya bagaimana dia nak solat dalam keadaannya seperti itu. Saya terkedu. Telefon terus saya capai, meminta bantuan ilmu dari rakan2 yang lebih arif. Dan seperti dijangka, apa yang dimintanya, mudah benar utk Allah tunaikan. Ade saja sahabat yang prihatin dan sudi menolong.

Bila Doktor pelatih datang untuk mengambil sampel darah, Hajar menangis. “Akak dah lemah, makan pun tak seberapa, mana nak ada darah banyak. Doktor asyik ambil darah..tangan doktor tu besar,kematu, tak sensitive. Tangan akak kecil, Sakit tau ditampar2 tangan akak, dicubit2…dah tak jumpa urat darah tu, tak yah lah ambil darah. Akak tak nak doktor tu lagi”. Sayu hati mendengar rintihannya, tapi macamana? Mana boleh pilih2 doktor. Tapi Allah maha mendengar, esoknya doktor lain pula mengambilalih.

16 Jan 2013(Rabu)
Usai solat subuh, saya dapati Hajar mengadu sakit perut. Macam kembung. Perut mula membengkak dan bergerak2. Saya sapukan sedikit minyak angin dan bacakan rukyah. Dia terasa nak muntah. Ya memang.. dia betul betul muntah. Berlambak2 muntah air hijau keluar dari mulutnya. Kami beri air zam zam kerana muntah tersebut memahitkan tekak. Tapi muntah berterusan…lagi…. lagi… dan lagi…”Akak tak nak pelawat hari ni”. Dan tengahari itu, memang takada pelawat yang datang.

Menjelang maghrib, dia suruh ayahnya solat. Kemudian saya pula disuruh solat. Saya katakan, “nanti siapa nak tolong bersihkan muntah? Mak solat lewat sikitlah…Dia jawab “Allah ada, Allah boleh bantu akak.” Terkedu. Saya pun tinggalkn dia untuk solat. Ayahnya pula pergi menjemput adiknya di Malacca Central. Selesai solat, saya dapati nurse sedang membersihkan Hajar. Bajunya yg terkena muntah digantikan. Kemudian dia kata, “Haa..kan betul akak cakap, Allah ada bantu akak. Mak pergi je, akak muntah, tapi nurse yg sedang rawat makcik kat sebelah tu ternampak akak muntah dan dia datang bantu.

Sepanjang malam, adik Hajar, Nabilah, saya dan suami saya hanya menadahkan kain menahan muntah hajar. Muntah…minum lagi…dan kemudian muntah semula. Bila reda sedikit, kami mula berbicara. “Akak, Nampak gayanya macam perut akak dah tak terima lagi air yang kami beri. Mungkin rezeki minuman akak dah habis. Mak bagi air untuk basah tekak je, tapi untuk menghilangkan dahaga, akak mohonlah rezeki dari Allah.

Ayahnya pula kata “Akak, kalau akak dipanjangkan usia, ayah akan belikan computer yg lebih ringan untuk akak, sesuai dgn kemampuan akak menggunakannya. Tapi kalau usia akak tak panjang, akak jangan sedih sebab akak akan dapat syahid dunia. Pujuk ayah lagi, “Akak, bila dajjal keluar nanti, orang2 yang beriman takkan dapat bekalan makanan sebab tak mahu sembah dajjal. Mereka akan berzikir sahaja, dan Allah cukupkan rezeki mereka. Mereka tak rasa lapar dan dahaga, Akak zikirlah ye”. Angguk.

Walaupun perbualan itu amat menyentuh hati, tapi masih tak mampu menggugurkan air matanya. Dia kata” Kalau mak dan ayah dah redha, takde sebab untuk akak tak redha. Kalau Allah izinkan akak hidup lagi, walau mcmana pun rupa akak waktu tu, akak akan berdakwah untuk beritahu orang tentang adanya pertolongan Allah, besarnya kekuasaan Allah. Mak tulis ye, biar tak lupa . Nanti akak sendiri yang akan ceritakan. Tapi kalau umur akak tak panjang, emak ceritakanlah bagi pihak akak”

Untuk adik2nya, dipesankan agar ubah penampilan berpakaian. Untuk rakan2, dia minta maaf dan memberikan kemaafannya kepada mereka. Adik2 dipujuk agar pakai jubah2 dan tudung dia yang banyak. Dia turut beritahu minta digantikan puasanya dan uruskan solat yg tertinggal sepanjang dia berada dihospital tu. Ada beberapa hutang kecilnya minta dilunaskan.

Kami tanya lagi. “ susah ke rasanya nak muntah tu tadi?” Jawabnya, “Taklah, senang je, Allah tolong.” “Tolong macamana?” tambahnya “Dah badan akak tak boleh keluarkan air2 kotor tu dgn cara biasa, Allah tolong keluarkan melalui muntah. Tak susah pun, rasa macam meludah je” MASYA ALLAH. Hajar sentiasa kaitkan apa saja yang dialaminya dengan Allah. Sentiasa berbaik sangka Allah menolongnya. Benarlah seperti hadis qudsi, Allah bertindak mengikut sangkaan hamba terhadapNYA. Jika kita yakin Allah menolong kita, maka Allah akan tolong.
Keputusan Xray menunjukkan perut dan usus besar membengkak teruk.

17 Jan 2013(Khamis)
Situasi kritikal. Tak mahu pelawat lagi. Doktor sedang cuba menyelamatkan . Perut membengkak terus. Usus besar tidak menyalurkan najis dengan sempurna. Menurut doktor semuanya ada kaitan dengan saraf tunjang yang gagal menghantar arahan ke anggota badan. Ultrasound pula diambil. Hajar tenang. Berserah pada Allah menentukan yang terbaik untuknya.

Selepas waktu melawat tengahari, demam memburuk semula. Perut yang membengkak menyukarkan pernafasan. Doktor mula gelisah. Satu tiub dimasukkan ke perut melalui hidung bagi menyedut cairan di dalam perut. Lebih 1Liter cairan dikeluarkan. Hajar diarahkan berpuasa sehingga punca pembengkakan itu diketahui.

Demam lagi. Saya sudukan juga tiga sudu air zam zam ke mulutnya dari masa ke semasa. “Akak, jgn bimbang, kita orang Islam dah dilatih berpuasa. Redha ya .. mak bagi air zam zam ni hanya utk basah tekak, memang tak sempat sampai ke perut pun ia akan kering sendiri. Mintalah Allah hilangkan dahaga akak” . Dalam keletihan beliau jawab, “beratnya dugaan Allah ni , mak..” “memanglah…kan syurga Allah tu mahal harganya…sabar ya.. Nabi Ayub dulu pun diuji dengan berat” Dia angguk.. Doktor pasang drip…Dalam hati, saya tak putus2 membacakan ayat2 suci dan selawat untuk menolong beliau melalui kesukaran itu.

Menjelang asar, Hajar mula rasa bahang. Dia minta dimandikan. Panasnya kuat dibahagian dada. Dan terasa semua badan sakit2. Saya terdiam. Saya rasa, dia dah mula nak nazak. Waktu tu saya berdiri membelakangkan tingkap. Dia suruh saya beralih kedudukan. Dia nak pandang keluar tingkat. Saya tanya , nak tengok apa? Katanya : nak tengok Allah. Saya terkedu lagi. Katanya :” Allah marah sebab tak dakwah sungguh2. Tak mahu cari jalan lain, bila dakwah terhalang.” Saya jawab “Mintalah ampun dan banyakkan beristigfar pada Allah,” Angguk.Tak lama lepas tu, dia kata, matanya dah mula kabur. Saya membisikkan agar dia terus mengingati Allah. Angguk.Dalam termengah2 dia berkata”mak, izinkan akak pergi dulu, tapi akak tak nampak jalan” “ Ya, mak izinkan, mak doakan agar Rasulullah datang tunjukkan jalannya. Sekali lagi dia mengejutkan saya, bila dia kata dia dah tak boleh nampak, lalu bola matanya bergerak ke atas. Segera saya talkinkan berulang kali. Doktor dan nurse mula berkejar datang nak menyelamatkan. Saya disuruh keluar. Mereka mula memasang topeng oksigen,dan menaikkan tekanan darah.

Hati saya dah sebu. Saya tahu tadi tu Hajar dah nazak. Persiapan dibuat utk pindahkan Hajar ke ICU semula. Waktu maghrib tu, kami berkejar kejaran tolak katil Hajar ke ICU okid.

Hajar segera dibius dan getah saluran pernafasan dipasang ke mulutnya. Mesin pernafasan mengambilalih proses pernafasan. Itulah kali terakhir untuk dia berkata kata kerana selepas itu dia terus ditidurkan dan tak bangun2 lagi.

18 Jan 2013Jumaat)
Kami dimaklumkan ada air yang banyak diluar perut dan sekitar usus. Dikhuatiri usus Hajar telah bocor. Menjelang waktu azan zohor, untuk solat jumaat, jantung Hajar berhenti berdenyut. Doktor segera melakukan CPR. (Satu. Dua, Tiga, Empat, ……)saya nampak prosedur tu dr luar cermin biliknya. Hati saya terguris teruk…cpr dilakukan di dada, betul2 di atas kawasan pembedahan tulang belakangnya. Kalau dia selamat sekalipun, apa nasib tulang belakang tu, kan baru je lepas dibedah. Walaupun jantung dapat digerakkan kembali, namun jantung Hajar hanya bekerja 1% sementara mesin pernafasan yg bekerja lagi 99% .Hakikatnya carta pernafasan di paparan skrin tu terasa semacam gimik.

19 Jan 2013 (sabtu)
Doktor pakar usus mengesahkan usus Hajar bocor dan perlukan tembukan kecil diperut untuk mengesahkan teori beliau. Sekiranya benar, pembedahan yang lebih besar diperlukan utk memotong usus yang bocor itu dan mencantumkan semula. Serentak dengan itu, kami diberi borang kebenaran pembedahan untuk ditandatangani. Semuanya atas nama nak menyelamatkan nyawa Hajar. Kami buntu. Suami meminta tempuh untuk bertenang dan berfikir. Kami perlu solat. Kami perlu berfikir dengan tenang. Kami mohon pertolongan melalui pertolongan Allah. Pukul 2 pagi, kami dipanggil semula. Terdesak, kami benarkan tembukan dilakukan diperut. Hanya pada Allah kami bermohon pertolongan dan petunjuk.

Belumpun sempat selesai pembedahan kecil itu, seorang lagi doktor memanggil kami. Berita besar yang disampaikan, buah pinggang Hajar tidak berfungsi sepenuhnya atau lebih tepat lagi..dah rosak dan perlukan dialysis darah. Hajar takkan boleh bertahan kalau darahnya tak dicuci kerana toksin dalam tubuh akan meningkat dan meracuni organ2 yang lain. Terdiam. Bermimpikah kami? Lepas satu, satu, organ badannya merosak. Namun begitu, dialysis tidak boleh dilakukan dengan selamat kerana keadaaan Hajar yang tidak stabil. Jantungnya dah pernah berhenti, dan boleh berhenti lagi semasa dialysis. Darahnya dah terlalu cair..dah lama tak makan. Pendarahan juga boleh berlaku kerana tekanan darah yang rendah. Jadi apa yang boleh kami perbuat? Sesudah berbincang, kami ambil keputusan tidak membenarkan cuci darah dijalankan kerana risikonya besar.

Tak lama lepas tu, pakar usus pula mengesahkan yang usus Hajar memang benar2 bocor dan pembedahan besar diperlukan. Kami tanya, adakah Hajar stabil untuk dibedah? Jawapannya TIDAK.Kami Tanya adakah masalah usus itu boleh selesai selepas pembedahan tersebut? Jawapannya. TIDAK PASTI MASALAH SAMA TAKKAN BERULANG LAGI. Lalu kami berikan jawapan yang paling selesa bagi kami iaitu tidak membenarkan sebarang pembedahan dilakukan lagi. Kami juga tidak membenarkan prosedur cpr dilakukan jika jantung terhenti lagi.

Doktor bercakap dengan berhati2. “Kalau itu keputusan Puan, Puan sedarkah apa akibatnya nanti?” Saya jawab, “ya, saya sedar, saya akan kehilangan anak saya, dan saya redha. Malah, kalau boleh , saya nak segala ubat dan mesin pernafasan dihentikan” Doktor menjawab, “Itu tak boleh, menyalahi etika, itu seperti membunuh pesakit. Kami tak boleh membunuh pesakit, tapi kalau Puan tak mahu lakukan semua yg kami dah cadangkan, mesin pernafasan tetap perlu terus dihidupkan. Cuma pesakit takkan mampu bertahan lama kerana toksin yang tinggi akan meracun dirinya sendiri.

Selepas itu, doktor terus mengawasi Hajar, dan pelawat telah dibenarkan menziarah tanpa had masa kerana Hajar hanya menunggu masa untuk pergi meninggalkan kita semua. Semua keluarga telah dimaklumkan, Hajar tak putus2 diziarahi oleh sahabat2 yang mengenali dan bersimpati. Masing2 ingin menatap wajahnya untuk kali terakhir

20 Jan2013 (Ahad)
Pagi itu kami berdua khusyuk dlm doa masing masing, hanyut dalam munajat kami kepada Allah memohon bantuan dan keringanan untuk sakaratul maut anak kami.Tepat jam 9.20 pagi, Hajar melepasi sakaratulmaut dan meninggal dunia dengan tenang dalam dakapan ibu dan restu ayah. Pergilah sayang, TUHANMU yang lebih menyayangimu telah menunggu. Terima kasih YA ALLAH kerana telah meminjamkan kami anak yang sebaik ini. 20 tahun kami berbahagia dengan kehadirannya.Terima kasih kerana menganugerahkan akhlak yang mulia terhadap anak kami ini. Kini kami kembalikan ia kepadaMU YA ALLAH.Dakapilah ia dengan limpahan rahmat kasih sayangMU yang maha Agung. Amin.. amin..amin..ya rabbal alamin.

Siti Hajar selamat dikebumikan di kampung keluarganya dengan lancar.Begitu ramai sahabat, pensyarah, pegawai university dan saudara mara hadir memberikan lawatan terakhir, memandikan, menyembahyangkan dan mengkebumikan beliau. Seluruh alam seakan turut bersedih dan merintih kerana kehilangan seorang mujahidah sejati. Cuaca mendung berterusan dari pagi hingga ke petang,( tetapi tidak pula hujan), turut menyentap tangkai hati insan2 yang jujur menyayanginya


SITI HAJAR 

Engkau bermula dengan sengsara
Dalam mencari bahagia
Terasa bagai bayang bayang
Gelap walau di suluh cahaya
Pepasir pantai pun berubah
Pabila HAKIKAT melanda
Ketenangan yang kau cari
Terpancar di lorong sufi
Kelunakan tangisan kasihmu
Dalam simpuhan ketaatan
Bagi mengharapkan keredhaan
Darimu TUHAN pencipta Alam
Sungguh agung pengabdianmu
Kau berjaya menjadi iktibar
Ayuh bersama kita susuri
Perjalanan kekasih Allah

Jumaat, 25 Januari 2013

Pelik Tapi Benar!!! Salji Turun Di Negara Padang Pasir - Arab Saudi

Lihat paparan berikut, kejadian pelik berlaku di Arab Saudi. Berita mengenainya hanya Pak Lang dapat dari blog ceritaapakah.... Sila KLIK DI SINI

Pelik:Ribut Salji Melanda Arab Saudi:-Sesuatu yang aneh terjadi pada Rabu lalu (9/1/2013) di Arab Saudi. Worldbulletin menyiarkan berita bahawa Tabuk—salah satu lokasi perang yang terjadi pada zaman Rasulullah—dilanda salji yang sangat lebat, setelah beberapa jam lamanya dihentam ribut yang sangat dahsyat. 


Sebenarnya ini bukanlah kali pertama salji turun di Tabuk. Beberapa tahun yang lalu, Tabuk juga sudah pernah diselimuti salji dengan ketebalan mencapai 20 cm.  Tabuk letaknya sekitar 1500 km dari Riyad (Ibu negara Arab Saudi).

Penduduk Tabuk dan juga orang-orang yang datang dari daerah lain menikmati hujan salji yang jarang terjadi itu. Jalan-jalan terutama menuju ke Gunung Alluz dipenuhi oleh kenderaan bermotor. Jalan-jalan yang mengarah ke daerah gurun pasir dan pengunungan di Tabuk dipenuhi kenderaan dari arah kota Haql dan Bada. 

Hujan turun di beberapa bandar di Saudi pada hari Rabu yang lalu. Seperti diketahui, Arab Saudi merupakan daerah gurun pasir yang sangat panas. Matahari bersinar sepanjang hari. Turunnya salji menjadi suatu fenomena alam yang di luar jangkaan. Inilah kuasa Tuhan yang memungkinkan sesuatu yang mstahil pada pandangan manusia.

Saksikan bagaimana masyarakat Saudi sangat teruja dengan fenomena ini...



Rabu, 23 Januari 2013

Kisah Mimpi Seorang Pelajar UIA berjumpa Nabi Muhammad saw.

Untuk anak cucu dan remaja sekalian, ikutilah paparan kisah benar ini untuk dapat dirasakan kasih sayang Rasulullah saw terhadap kita semua - umat di akhir zaman!! 



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani…


Ya Allah..lancarkanlah jari ini menaipkan sebuah pengalaman yang amat berharga dari seorang insan yang dipilih Allah untuk berjumpa Nabi Muhammad s.a.w. melalui mimpi hari Khamis, 16 Rejab 1427H bersamaan 10 0gos 2006.

Nama yang dipilih oleh ayah beliau adalah Syamimi yg bermaksud ‘kesayanganku’, jua gelaran Nabi pada puteri kesayangan Baginda, Fatimah. Ketika khilaf memilih nama itu, ayah beliau mengharapkan mudah-mudahan suatu hari nanti anaknya akan menjadi salah seorang mutiara kesayangan Rasulullah s.a.w. Alhamdulillah, doanya makbul selepas 23 tahun kelahiran anak sulungnya daripada 8 adik-beradik itu.

Al-Quran 30 juzuk terpelihara kemas dalam hatinya. Beliau menghabiskan masa 3 tahun utk menghafal 30 juzuk Kalamullah ketika berada di negeri kelahirannya. Beliau hafal sendiri untuk memenuhi harapan ibu ayah yang mengharapkan ada dalam kalangan anak mereka menjadi seorang hafiz atau hafizah. Sebagai anak sulung, beliau mengambil tanggungjawab ini utk menjadi contoh kpd adik2 yg lain. Setiap hari beliau hafal 2 mukasurat Al-Quran dan tasmi’ dgn ustaz di sebelah rumahnya. Sekarang beliau pelajar tahun 4 jurusan Undang-Undang Syariah di universiti ini.

Akak ni memang diuji dengan sakit yg tak tahu apa punca sejak lebih setahun yang lalu. Sakitnya rasa seperti ditikam-tikam dengan pisau di bahagian belakang tubuhnya. Tambahan pula kaki yang sakit di bahagian lutut sejak 8 tahun lalu tidak pernah sembuh. Pernah satu ketika, selepas makan, beliau muntah bersama segumpal rambut dari kerongkongnya. Penderitaannya hanya Allah dan dia sendiri yang tahu. Sudah lama beliau tidak terdaya ke kelas kerana sakit itu membuatkan dia tidak dapat berdiri atau berjalan. Hilang selera makannya hingga badannya susut hampir 13 kg. Beliau hanya menggagahkan diri untuk pergi berwudhu’ 2 hingga 3 kali sehari. Wudhu’ itu dijaga sebaik mungkin untuk ibadah sepanjang hari.

Hari2 yang dilaluinya dipenuhi dgn membaca Al-Quran dan qiamullail sebagai pendinding daripada gangguan yg terus2an menyakiti diri. Diceritakan makhluk2 halus itu akan mengganggunya terutama pada waktu sebelum Subuh, Zuhur dan Maghrib. Beliau telah banyak berubat di merata tempat, berjumpa doktor2 pakar, malah ulama’ yg faqih dalam ilmu perubatan Islam serta akhir sekali bertemu seorang lecturer di sini. Tapi beliau hanya mampu bertahan. Pesan ustaznya, setiap kali beliau sakit, banyakkan membaca Surah Al-Baqarah.

Pagi Khamis itu, beliau berniat utk hadir kuliyah sebab sudah terlalu lama tidak mampu ke kelas. Beliau bangun kira2 jam 4.30 pagi untuk solat. Berbekalkan sedikit kekuatan yang digagahkan, beliau ke bilik air untuk berwudhu’ dengan memapah dinding dan segala apa yg mampu membantu beliau untuk berdiri. Habis berwudhu’, beliau jatuh tersungkur, rasa seperti ada yang menolak keras dari belakang. Tika itu beliau sudah tidak mampu berdiri. Justeru beliau merangkak ke bilik. Sampai saja di bilik, beliau ketuk pintu dan rebah di depan bilik tersebut. Disebabkan sakit yg mungkin sudah tidak tertanggung, dengan spontan beliau niatkan, “Ya Allah, kiranya mati itu baik untukku, aku redha, tapi kiranya Engkau ingin aku terus hidup, aku ingin dengar kata-kata semangat daripada Rasulullah s.a.w. sendiri..”


Kemudian beliau pengsan. Kawan-kawan sebilik mengangkat beliau ke dalam biliknya dan di baringkan di sana . Waktu itu, mereka telah pun ‘forward message’ pada rakan-rakan yang lain agar dibacakan surah Yasin kerana beliau nampak sudah nazak. Malah mereka telah sedia dengan nombor2 ahli keluarganya untuk dihubungi kiranya ada apa2 berlaku dengan izin Allah. Kira2 jam 11 pagi itulah, ketika tertidur dengan tenang dalam waktu qoilulah, beliau bermimpi. Beliau sedang terbaring dalam keadaan memakai telekung dengan tangannya diqiam seperti dalam solat di suatu tempat asing yang sangat cantik. Beliau terbaring di sebelah mimbar dan kelihatan banyak tiang di sekitarnya.

Tiba-tiba datang seorang Hamba Allah dengan wajah yang bercahaya dari arah depan dan berdiri hampir sekali, kira2 2 meter dari beliau. Wajahnya SubhanaLlah..indah sekali, tak dapat nak digambarkan. Beliau tertanya2, siapakah orang ini? cantik sekali kejadiannya dan hati beliau rasa sangat tenang dengan hanya melihat wajahnya. Dirasakan seluruh kesengsaraan yg ditanggung selama ini lenyap begitu sahaja. Kemudian, Hamba Allah itu mengatakan, “Assalamu’alaikum, ana Rasulullah!!..” Subhanallah..Baginda Nabi rupanya! Nabi memakai jubah putih dan kain serban berwarna hijau di atas bahu baginda. Beliau nampak dgn jelas mata Baginda Nabi, janggut Baginda, rambut Baginda, kain serban di atas bahu Baginda dan tubuh Baginda. Kemudian Nabi katakan “Enti fil masjidi” (kamu sekarang berada di masjidku, Masjid Nabawi).. Allahuakbar!

Kemudian Baginda Nabi s.a.w. berkata: QalAllahuta’ ala; “InnaAllahama’ assobirin” (sesungguhnya Allah bersama orang2 yg sabar). Ketika mendengar suara Nabi mengalunkan Kalamullah, terasa bergema suara merdu Nabi di seluruh alam. Sememangnya Baginda sebaik-baik kejadian dan diciptakan dgn penuh kesempurnaan. Nabi katakan (dalam lughahl arab, tp diterjemahkan di sini) ; “Ya Syamimi, dengan berkat kesabaran enti, dengan sakit yg enti tanggung selama ini, dan dengan berkat Al-Quran yang enti pelihara di dalam hati, maka Allah bukakan hijab untuk enti nampak ana..” Ketika Nabi menyebut Ya Syamimi, terlintas di hatinya “Ya Allah..Baginda kenal ummatnya!”. Ya Rasulullah… Ketika itu, beliau dapat merasakan baiknya Allah, memberikan nikmat yang begitu besar buat dirinya.

Kemudian Nabi katakan lagi; “Sampaikan salamku buat sahabat2 seperjuangan Islam. InsyaAllah, kita semua akan berjumpa nanti..” Nabi s.a.w. kemudian melafazkan; “Ummati.. ummati..ummati…” dan beliau nampak jelas Nabi menangis saat itu. Beberapa titisan airmata Baginda yg suci mengalir untuk ummat Baginda! Kemudian Baginda Nabi melangkah pergi. Beliau merintih, “Jangan pergi Ya Rasulullah..” tetapi Baginda tetap pergi. Subhanallah, walaupun kita tak pernah bersua dgn Nabi yg mulia, Baginda kenal dan sentiasa ingat akan ummatnya. Beliau sendiri tidak pasti, apakah Baginda menangis kerana rindu kepada ummatnya, atau mungkin saja Baginda sedih dgn ummat akhir zaman ini? wallahua’lam…

Sedar daripada tidur yang amat indah pengisiannya itu, beliau masih dikelilingi oleh rakan2 yg turut terdengar rintihan beliau dalam tidurnya “Jangan pergi Ya Rasululah…” Beliau kemudian menceritakan kepada rakan-rakannya tentang mimpinya sekaligus menyampaikan salam Rasulullah buat ummat Baginda. Semua yg mendengar menangis lantaran rindu pada Nabi. Rasa malu pada Nabi kerana kita jarang2 ingat pada Baginda sedangkan kita amat terhutang budi padanya. Lebih2 lagi kita sedar bahawa hanya syafaat Bagindalah yg dikejar di akhirat kelak.

Ya Allah..ketika itu, tiada kata yg lebih tinggi daripada kalimah Alhamdulillah utk di rafa’kan pada Allah atas ni’mat yang begitu besar yang Allah berikan pada dirinya. Rasa tak layak dirinya menerima anugerah dengan ujian yg hanya sedikit berbanding insan2 yg lebih berat diuji oleh Allah. Kiranya ada kalimah pujian yang lebih tinggi dari Hamdalah, pasti akan beliau sebutkan buat Allah Yang Maha Kaya. Semuanya terangkum dalam Rahmat-Nya yg melimpah ruah. Rasa sakit masih menular di tubuhnya. Cuma kali ini dia bertekad tidak akan menangis lagi untuk kesakitan ini.

Usai solat Zuhur, rasa sakit yang ditanggung makin hebat. Tak pernah beliau merasakan sakit yang sebegitu rupa. Terasa panas seluruh badan dan seluruh tubuhnya rasa ditikam pada setiap penjuru. Kalau dulu, beliau akan menangis dalam menghadapi kesakitan, namun pada waktu itu beliau pujuk diri untuk tidak menangis. “Apa sangatlah sakit yang aku tanggung ini berbanding nikmat yg Allah telah bagi untuk melihat Baginda Nabi s.a.w..”

Kemudian beliau tidur. Beliau terus rasakan berada di tempat tinggi, tempat yg biasa hadir sepanjang beliau menerima gangguan. Beliau katakan “Ya Allah, apa lagi yang hendak Engkau berikan buat hambamu yg hina ni, rasa malu sangat dengan-Mu Ya Allah…” Kemudian dengan izin Allah, datang empat orang yang berpakaian serba hijau. Salah seorang daripadanya mengatakan; “Assalamu’alaikum Ya Syamimi..Rasulullah s.a.w. sampaikan salam buatmu. Kami utusan Rasululah..Nahnu khulafa’ ar-rasyidin. Ana Abu Bakr, ini Ummar Al-Khattab, Uthman bin ‘affan dan Ali..” Subhanallah..Saidina Abu Bakr memperkenal dirinya dan ketiga2 sahabat yg mulia. Beliau nampak sendiri, Saidina Abu Bakr yang amat lembut perwatakannya, Saidina Ummar dengan wajah tegasnya, Saidina Uthman yg cantik sekali dan Saidina ‘Ali yg agak kecil orangnya.

Para Sahabat mengatakan; “Kami diutuskan oleh Baginda Nabi untuk membantu enti..” Kemudian keempat2 mereka membacakan ayat 102 surah Al-Baqarah yg bermaksud:

“Dan mereka mengikuti apa yg dibaca oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman. Sulaiman itu tidak kafir tetapi syaitan-syaitan itulah yang kafir, mereka mengajarkan sihir pada manusia dan apa yg diturunkan pada 2 malaikat di negeri Babylon iaitu Harut dan Marut. Padahal keduanya tidak mengajarkan sesuatu kepada seseorang sebelum mengatakan ‘Sesungguhnya kami hanyalah cubaan (bagimu) sebab itu janganlah kafir.’ Maka mereka mempelajari dari keduanya (malaikat itu) apa yang (dapat) memisahkan antara seorang (suami) dengan isterinya. Mereka tidak akan dapat mencelakakan seseorang dengan sihirnya kecuali dengan izin Allah. Mereka mempelajari sesuatu yang mencelakakan, dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan sungguh, mereka sudah tahu, barang siapa membeli (menggunakan sihir) itu, nescaya tidak akan mendapat keuntungan di akhirat. Dan sungguh, sangatlah buruk perbuatan mereka yang menjual dirinya dgn sihir, sekiranya mereka tahu..”

Selesai membaca ayat itu, para sahabat Nabi menghembus pada makhluk2 yang sedang mengganggu beliau dan mereka semua hancur terbakar. Subhanallah..waktu itu terus terasa seolah2 tubuhnya yang sakit dahulu ditukarkan Allah s.w.t. dengan tubuh yang baru. Hilang segala kesakitan yang setahun lebih ditanggung beliau dengan sabar. Saidina Abu Bakr mengatakan; “Inilah ganjaran besar dari Allah buat orang-orang yang sabar..” Kemudian, para sahabat Nabi yg mulia itu pun pergi meninggalkannya.

Selesai mimpi indah yang kedua ini, beliau bangun dari tidur dan terus duduk. Rakan2 sebilik pelik, kenapa beliau dapat bangun dan duduk dengan mudah . Kemudian sahabat2nya itu menyuruh beliau bangun berdiri dan alhamduliLlah..dengan mudah beliau bangun berdiri dan berjalan d sekitar bilik. “Ya Allah, penyakit ana dah sembuh..” Semua sahabat yang ada di situ bergembira dan menangis. Kemudian beliau segera ke bilik air untuk berwudhu’. Dengan tubuh yang ‘baru’, beliau sujud syukur pada Allah s.w.t. “Ya Allah, kiranya di beri tempoh sujud 100 tahun pun belum dapat diriku menjadi hamba-Mu yang bersyukur atas nikmat yang telah Engkau berikan..”

Beliau berpesan pada kami; “Adik-adik, wajarlah para sahabat Nabi yang mulia sanggup mati demi mempertahankan Baginda. Akak yang diberi rezeki melihat Nabi tak sampai pun 5 minit dah rasa tak sanggup berpisah dengannya. Kalau boleh, nak duduk je di bilik untuk beribadah pada Allah dan mengenang wajah Nabi yg mulia. Tapi menyedari banyak lagi taklifan dan tanggungjawab kita atas muka bumi Allah ini, maka hidup mesti diteruskan. Sekarang ini hati akak tenang sangat..kalau boleh, nak je akak pinjamkan hati ni walau hanya sesaat agar adik2 dapat merasakan betapa beningnya hati ini. Tapi itu tak mungkin kan , mungkin ini bahagian akak, bahagian kalian? Hanya Pemiliknya Yang Maha Tahu. Akhir sekali akak ingin katakan, tak rugi kita bersabar…”

Marilah kita kenangkan nabi kita...Dialah pemimpin dan ibu ayah ruh kita. Dialah nabi yang diutus sepanjang zaman..Keperibadiannya indah. 'Cerminan al-Quran' kata ‘Aisyah ra. Dari semua aspek kehidupan, diperagakannya hanyalah kesyumulan. Allah mengajar manusia berkehidupan di muka bumi ini melalui Baginda. Menuruti sunnahnya adalah pahala. Kasih sayangnya tiada bertepi, dari yang kecil hingga yang tua, dari hamba hingga ke bangsawan, dari dulu sampai sekarang, hingga ke akhirnya.. Dialah peribadi unggul sepanjang zaman. Mencintainya suatu kemuliaan…

Pernah suatu ketika Rasulullah berkumpul didalam satu majlis bersama para sahabat. Tiba-tiba bergenang air mata Baginda s.a.w. Para sahabat gelisah melihat sesuatu yang tidak mereka senangi di wajah Rasulullah saw. Bila ditanya oleh Saidina Abu Bakar ra, Baginda mengatakan bahawa terlalu merindui ikhwannya.. Saidina Abu Bakar sekali lagi bertanya Rasulullah saw, “bukankah kami ini ikhwanmu?” Rasulullah menjawab, “Tidak!, kamu semua adalah sahabatku.. ikhwanku adalah umatku yang belum pernah melihat aku tetapi mereka beriman dan sangat mencintaiku… Aku sangat rindu bertemu dengan mereka.....” Apakah kelebihan mereka tanya Saidina Abu Bakar lagi, "Satu sunnah yang dapat mereka tegakkan di zaman mereka sama seperti 70 pahala syahid di kalangan para sahabatku" (atau ada riwayat mengatakan menyamai 100 pahala syahid para sahabat)

"Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya" (al-Ahzab:56)

p/s: Sungguh…berderaian air mataku mengalir..daku rindu akan dirimu..Ya Rasulullah!

(kisah ini dinukilkan oleh sahabat Syamimi hasil pengalaman benar yang telah dilalui..pernah disebarkan melalui e-mel & blog sebelum ini..) 




Suka Duka Para Sahabat Yang Berhijrah Ke Habsyah


Semakin menghampiri ulangtahun Maulid Rasulullah saw, Pak Lang suka mengimbau sejarah Baginda saw dan para sahabat. Hebatnya perjuangan Baginda saw bersama generasi awal kebangkitan Islam kali pertama dulu. Susah payah yang mereka tanggung hanya dapat kita tatap dan baca di lipatan sejarah. Hakikatnya catatan sejarah mereka nilainya tidak terhingga walaupun di tulis dengan tinta emas. Itulah mahalnya keyakinan.

Para sahabat radhiallahu anhum telah membuktikan mereka memilih akhirat dari dunia mereka. Mereka memilih untuk mengutamakan Allah dan Rasul berbanding diri dan keluarga serta harta benda. Bahkan semuanya dikorbankan demi menagih cinta Allah dan Rasul. Mereka membuat keputusan rela mengorbankan segala-galanya dalam keadaan sangat berbahagia. Jiwa mereka menderita jika tidak ditemui apa sesuatu yang boleh dikorbankan untuk perjuangan.

Susur galur sejarah hebat Rasulullah saw dan para sahabat ini menyaksikan ketabahan mereka menghadapi ancaman, pemulauan dan pengusiran. Mereka menjadi kelompok yang ditertawakan, dihinakan dan dibuat apa saja oleh orang kafir. Tetapi dalam situasi sedemikian sulit, hati mereka tetap tenang dan bersangka baik dengan Tuhan. Rahsianya kerana bersama mereka ada Nabi Muhammad saw.

Bagindalah yang membisikkan kalimah sabar dan redha di hati para pengikutnya. Bagindalah yang menjanjikan syurga dan kemenangan akhirat yang kekal abadi untuk mereka meninggalkan kecintaan kepada dunia. Bagindalah yang berjaya menghapuskan apa jua nilai atau harga bagi sebarang kesenangan dunia seisinya berbanding siksaan neraka yang tidak ada tolok bandingnya. Jadilah para sahabat ini sanggup menjual apa saja demi membeli kemenangan akhirat.

Mereka tidak lagi sibuk dengan urusan peribadi atau keluarga. Perjuangan bersama Nabi akhir zaman menjadikan mereka tidak sempat merancang untuk kesenangan keluarga mereka di dunia. Sebaliknya apa yang sedang mereka perjuangkan bersama Baginda Nabi saw, itulah perancangan utama membawa diri dan keluarga untuk menempa kesenangan akhirat yang kekal abadi. 

Sebahagian mereka diarahkan berhijrah ke Habsyah (sekarang Ethopia). Peringkat awal hanya seramai 15 orang. Berbagai peristiwa silih berganti berlaku Selepas itu Quraisy berusaha pula untuk membawa balik sahabat-sahabat Rasulullah Saw yang berhijrah ke Habsyah. Mereka menghantar dua orang wakil kepada Najasyi iaitu Abdullah bin Abi Rabea'h dan A'mru bin A’sh. Mereka membawa barang-barang yang diperbuat dari kulit kerana itulah hadiah yang paling disukai oleh Najasyi. 

Mereka juga telah menyiapkan hadiah untuk penasihat-penasihat Najashi. Sebelum mereka mengadap Najashi mereka terlebih dahulu memberi sogokan kepada penasihat-penasihat Najashi dengan hadiah-hadiah yang mereka bawa. Mereka membisikkan tujuan mereka kepada penasihat-penasihat Najasyi. Mereka datang untuk membawa balik kaum mereka yang melarikan diri ke Habsyah. Jumlah umat Islam yang berhijrah ke habsyah sudah meningkat 100 orang. Kata mereka, "Orang-orang yang melarikan diri ini telah menolak agama kami dan juga menolak agama kamu. Oleh itu kami ingin meminta Najasyi menyerahkan kembali mereka semua kepada kami untuk kami bawa mereka pulang ke Mekah."

Selepas itu barulah Abdullah dan A'mru bertemu dengan Najasyi. Mereka mempersembahkan hadiah-hadiah yang dibawa kepada Najashi. Ini membuatkan Najasyi gembira menerima kunjungan mereka. Setelah itu barulah mereka menerangkan tujuan kedatangan mereka kepada Najasyi. Kata Najasyi: "Setelah aku mendengar dari pihak kamu, aku mesti juga mendengar dari pihak mereka iaitu orang- orang Islam." Najasyi memanggil semua orang Islam yang berada di Habsyah hadir ke istananya. 

Mereka semua pun datang mengadap Najasyi diketuai oleh Saidina Ja’afar bin Abu Talib. Najashi bertanya kepada mereka, "Apa sebenarnya cerita kamu? Apa agama baru yang kamu bawa itu?" Maka jawab Saidina Ja’afar, "Dulu kami menyembah berhala, kami memakan binatang yang tidak disembelih, kami melakukan maksiat, kami bersengketa sesama sendiri, kami memutuskan silaturrahim dan kami menyakiti orang lain. Selepas itu datang kepada kami seorang lelaki dari kaum kami. Dia orang yang paling mulia di kalangan kami membawa agama dari Allah, Tuhan sekalian alam. Dia mengajak kami menyembah Allah yang Maha Esa dan mengajak kami meninggalkan berhala dari batu-batu yang tidak boleh memberi manafaat atau mudharat itu. Dia mengajak kami supaya berkasih sayang dan berakhlak mulia. Dia mengajak kami meninggalkan maksiat dan dosa."

Saidina Ja’afar telah berjaya menerangkan Islam secara ringkas tetapi jelas kepada Najasyi bahawa amalan Islam itu semuanya amalan yang mulia dan terpuji. Najasyi senang hati dan gembira mendengar penerangan dari sepupu Rasulullah saw ini. Najasyi bertanya lagi, "Apakah ada pada kamu apa-apa yang dibawa oleh lelaki itu?" 

Saidina Ja'afar membacakan ayat-ayat Al-Quran kepada Najasyi yang menceritakan tentang Nabi Yahya dan Nabi Zakaria dari Surah Maryam. Setelah Saidina Ja'afar selesai membacanya,  Najasyi berkata: "Demi Allah! risalah ini  dan apa yang dibawa oleh Nabi Isa adalah dari sumber yang satu."

Najasyi sangat terkesan dengan ayat-ayat ini. Dia mendapati apa yang dibawa oleh Al-Quran sama dengan apa yang ada padanya. Najasyi ini juga seorang Ulamak dalam agama Nasrani. Najasyi memerintahkan agar dibenarkan orang orang Islam terus tinggal di bawah pemerintahannya di Habsyah. Kata Najasyi kepada orang-orang Islam, "Aku sekali-kali tidak akan menyerahkan kamu kepada musuh-musuh kamu."

Maka Abdullah dan A'mru bin Ash terpaksalah meninggalkan istana Najasyi bersama dengan tangan yang kosong dengan perasaan malu dan kecewa. Namun A'mru bin Ash ini yang terkenal dengan kecerdikan dan kelicikannya dalam diplomasi telah berpatah balik meminta izin untuk mengadap Najasyi semula. A'mru berkata kepada Najasyi, "Wahai Najashi, orang-orang yang kamu lindungi ini menghina Nabi Isa dan mereka mengatakan terhadap Nabi Isa perkataan yang kamu pasti tidak boleh menerimanya. Maksudnya orang Islam tidak mengatakan bahawa Nabi Isa itu anak Tuhan." Najashi bertanya: "Apa yang mereka katakan itu?" Kata Amru, "Tuanku tanyalah mereka sendiri." 

Najashi mengarahkan supaya dipanggil semula orang-orang Islam. Najashi bertanya mereka: "Apa yang kamu katakan tentang I'sa bin Maryam?" Saidina Ja'afar menjawab soalan Najashi ini dengan membaca ayat-ayat Al- Quran berikut:

واذكر في كتاب مريم إذإنتبذت من أهلها مكانا شرقيا فاتخذت من دونهم حجابا فأرسلنا إليها روحنا فتمثل لها بشرا سويا, قالت إني أعوذ بالرحمن منك إن كنت تقيا, قال إنما أنا رسول ربك لأهب لك غلاما زكيا, قٌالت أنى يكون لي غلام ولم يمسسني بشر ولم أك بغيا, قال كذلك قال ربك هو علي هين ولنجعلك أية للناس ورحمة منا وكان أمرا مقضيا…....                                                             
                                  ذلك عيس ابن مريم قول الحق الذي فيه يمترون, ما كان لله أن يتخذ ولدا سبحانه, إذا قضى أمرا   فإنما
  يقول له كن فيكون                                                                                                                                             

Terjemahannya : Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab Al-Quran ini perihal Maryam, tatkala ia memencilkan diri dari keluarganya di sebuah tempat sebelah timur. Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka, maka Kami hantarkan kepadanya Ruh dari Kami, lalu ia menjelma kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya. Maryam berkata: "Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalau kamu seorang yang bertakwa. Dia berkata: "Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyampaikan khabar bahawa kamu akan dikurniakan seorang anak yang suci. Maryam bertanya (dengan cemas): "Bagaimanakah aku akan memperoleh seorang anak lelaki padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelakipun dan aku pula bukanlah perempuan yang jahat. Dia menjawab: "Demikianlah keadaannya, tak usahlah dihairankan. Tuhanmu berfirman: "Hal itu mudah bagiKu dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai suatu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami, dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya."……………….Yang demikian sifat-sifatnya itulah 'Isa bin Maryam. Keterangan yang tersebut ialah keterangan yang sebenar-benarnya, yang mereka ragu dan berselisih padanya. Tiadalah layak bagi Allah mempunyai anak. Maha Sucilah Dia. Apabila Dia menetapkan jadinya sesuatu perkara, maka hanya Dia berfirman kepadanya: "Jadilah engkau", lalu menjadilah ia." (Maryam: 16-35)

Najasyi masuk Islam

Apabila Saidina Ja'afar selesai membaca ayat-ayat itu, Najasyi terus bertakbir. Najashi telah membenarkan apa yang diperkatakan oleh Al-Quran tentang Nabi Isa as. Terkejutlah para penasihat Najasyi dari kalangan pendita Nasrani kerana mereka meyakini bahawa Nabi Isa adalah anak Tuhan. Najasyi berNajasyi melepaskan semula orang-orang Islam dan selepas itu Najasyi selalu memanggil Saidina Ja'afar mengajarnya tentang Islam. Akhirnya Najasyi beriman kepada Rasulullah saw tetapi dia telah merahsiakan keislamannya. 

Para penasihatnya  yang merupakan ulamak-ulamak Nasrani yang tidak senang dengan pendirian Najasyi terhadap Nabi Isa telah berjaya mengumpulkan kekuatan untuk menggulingkan Najasyi. Berlakulah peperangan diantara tentera Najasyi dan pemberontak-pemberontak ini. Peperangan ini berlaku berdekatan dengan sebuah sungai, dikatakan sungai itu adalah sungai Nil. Orang-orang Islam tinggal diseberang sungai. Dari jauh mereka dapat melihat peperangan  itu tetapi mereka tidak mengetahui siapakah yang menang. 

Mereka telah menghantar Saidina Zubair bin A'wam menyeberang sungai untuk memerhati peperangan itu. Sekiranya Najasyi menang selamatlah orang Islam di Habsyah tetapi sekiranya Najasyi kalah, orang-orang Islam di Habsyah akan menghadapi masalah. Alhamdulillah Najasyi telah menang dalam peperangan itu. Para Sahabat turut bergembira dan bersyukur di atas kemenangan ini. 

Najasyi telah istiqamah berpegang dengan agama Islam sehinggalah dia meninggal dunia. Ketika Najasyi meninggal dunia, Jibril telah datang memberitahu Rasululah saw. Lalu Rasulullah saw dan para sahabat melakukan sembahyang ghaib kepada Najasyi.
Imam Bukhari ada meriwayatkan satu hadis dari Saidina Jabir. Sabda Rasulullah saw pada hari kematian Najasyi : ( ( مات اليوم رجل صالح فقوموا فصلوا على أخيكم أصحمة. Terjemahannya, "Telah meninggal dunia pada hari ini seorang lelaki yang soleh maka bangunlah dan sembahyanglah ke atas saudara kamu Ashamah (namanya Ashamah)."

Setelah itulah berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj. Ia adalah satu peristiwa besar dalam  sejarah hidup Rasululah saw dan dalam sejarah umat Islam. Menurut Imam Nawawi, peristiwa Isra' dan Mikraj  berlaku pada bulan Rejab tahun keduabelas selepas kenabian.

Keberadaan umat Islam di Habsyah berlanjutan walaupun sehingga berlakunya perintah hijrah ke Madinah.  Diriwayatkan Saiyidina Ja'afar tetap berada di sisi Najasyi dengan mendapat perlindungan serta menjadi jiran yang dihormati. Manurut riwayat, rapatnya hubungan mereka sehingga Najasyi memberikan seorang anaknya untuk disusui (menjadi anak susuan) bagi Asma' Mereka hanya meninggalkan Habsyah dan menuju ke Madinah pada tahun ke tujuh Hijrah. Mereka bertemu dengan Rasulullah saw. yang baru kembali dari medan perang Khaibar yang memberikan kemenangan besar umat Islam terhadap Yahudi. Kegembiraan umat Islam di Khaibar terpancar di merata-rata.

Kehadiran sepupu Baginda saw. iaitu Saiyidina Ja'afar Abu Talib juga begitu menggembirakan Baginda saw. Itulah nikmat iman dan Islam. Saling rindu merindui. Bahkan Baginda saw sedang meraikan dua kegembiraan serentak dengan mengatakan; "Aku tidak tahu kegembiraan ini atas sebab kepulangan Jaafar atau kemenangan Khaibar.


RSA dan Bonda Wasilah ar, tolong dan bantulah kami melayakkan diri!!

Selasa, 22 Januari 2013

10 Ramuan Bahaya Dalam Mee Segera!

Pak Lang agak sibuk dua tiga hari ini. Untuk melayan pertanyaan anak cucu serta remaja yang bertanyakan paparan terkini Blog suaramuhajirin ini, renungkanlah fakta berkaitan makan kegemaran anak-anak dan remaja. Pak Lang perturunkan di sini dari Blog PenPatah.



Memang tidak dinafikan, ramai yang dah tahu keburukan memakan mee segera tapi mee segera tetap menjadi pilihan kerana harganya yang murah, mudah untuk menyediakan, dan rasanya yang agak enak. Bagi mereka mee segera tidak bagus untuk kesihatan kerana banyak bahan perasa.

Sebenarnya lebih dari itu, bukan sekadar bahan perasa dan antaranya:
136 bahan penambah kebanyakannya bahan kimia dibenarkan ditambah di dalam mi segera oleh Codex, piawaian makanan WHO/FAO. Daripada 136 bahan penambah itu, 24 daripadanya adalah garam natrium, di samping garam makan juga turut ditambah. Disebabkan itulah kenapa mi segera mengandungi natrium yang tinggi. Satu paket mi segera sahaja boleh mengandungi kira-kira maksimum pengambilan harian yang dibenarkan 2,400 mg natrium.

Di samping banyak bahan penambah dan paras natrium yang tinggi, mi segera juga mengandungi jumlah lemak yang tinggi. Kebanyakan mi segera digoreng dalam proses pembuatannya.

Menurut Majlis Pengguna Hong Kong (HKCC) dan Pusat Keselamatan Makanan (CFS), sampel 3 cawan mi segera didapati mengandungi lebih daripada 30g daripada jumlah lemak bagi setiap pakej, yang merupakan lebih daripada 50% daripada had pengambilan harian bagi jumlah lemak untuk diet 2,000-kcal.


10 Ramuan Bahaya Dalam Mi Segera
Kalsium Sulfat: Kapur Paris.

Asid Tartarik: Bahan kimia yang digunakan dalam julap dan untuk memutihkan cermin. Lebih beracun berbanding 100% alkohol tulen.

Kalsium Oksida: Digunakan rawatan sisa buangan dan dalam racun serangga.

Tertiary Butylhydroxyquinone (TBHQ): Produk berasaskan petroleum; satu bentuk butane (cecair dalam pemetik api).

BHT: Risiko karsinogen dan kesan berbahaya kepada ginjal.

Propyl Gallate: Satu xenoestrogen (sebatian seperti hormon). Boleh memberikan kesan sampingan kepada pembiakan, perkembangan janin yang sihat dan menghalang pengeluaran sperma.

Pentasodium Triphosphate: Bahan pencuci paling berkuasa (sering digunakan dalam bahan cuci), bahan samak untuk kulit binatang juga digunakan dalam pengeluaran kertas, penapisan petroleum, aplikasi lombong dan rawatan air.

Propylene Glycol: Pelarut sintetik yang dianggap racun neurologi. Digunakan untuk pembuatan bahan pendingin, antibeku automotif, cecair yang berfungsi dalam tekanan hidraulik dan sebagainya. Jumlah berlebihan yang diambil boleh membawa kepada kerosakan buah pinggang.

Polydimethylsiloxane: Digunakan dalam kanta sentuh, syampu (untuk menjadikan rambut berkilat dan licin), minyak pelincir dan jubin tahan panas.
Pewarna tiruan (contohnya: Sunset Yellow FCF dan Tartrazine): Menyumbang kepada hiperaktiviti dalam kalangan kanak-kanak dan mungkin turut menyumbang kepada gangguan visual dan pembelajaran serta kerosakan saraf yang mungkin menjadi penyebab kanser.

Jadi kurangkanlah makan mee segera, walaupun murah dan menjimatkan ianya membahayakan kesihatan. Malah, lebih banyak kos yang diperlukan untuk melakukan rawatan kalau kesihatan kita terjejas.


Rujukan : Akhbar Utusan Pengguna keluaran Nov-Dis 2010.

Sabtu, 19 Januari 2013

Hijrah Rasulullah saw Ke Madinah Berlaku Di Bulan Rabiul Awal


Rabiul Awal adalah bulan Maulid Ar Rasul saw. Selain Ramadhan dan ZulHijjah, bulan Rabiul Awal juga menjadi bulan yang meriah. Ianya penuh dengan aktiviti perayaan memperingati kelahiran manusia agung, kekasih Allah swt iaitu Nabi Muhammad saw. Sejarah perjuangan Baginda dan para sahabat rhum diulang-sebutkan lagi di bulan ini. Seluruh dunia Islam terdorong melakukan berbagai aktiviti membesarkan dan mengagungkan manusia agung ini.

Rabiul Awal sebenarnya bulan berlakunya hijrah Rasulullah saw bersama Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq ke Madinah. Cuma Saiyidina Omar Al-Khattab menetapkan permulaan tahun hijrah ialah pada 1 haribulan Muharram.- walaupun peristiwa hijrah sebenarnya terjadi di bulan Rabiul Awal. Ertinya setiap kali umat Islam menyambut Maulid Ar Rasul saw, kita juga mengenangkan peristiwa hijrah yang sangat bermakna dalam perjuangan Baginda saw.


Ikuti kisah Hijrah Baginda saw...... Pak Lang paparkan ambilan dari blog muzir.wordpress.com
Pada 26 Safar tahun ke-14 kenabian, setelah mendapat wahyu dari ALLAH Ta`ala, Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam bergegas untuk berjumpa Abu Bakar bagi menerangkan rancangan hijrah Baginda. Abu Bakar telah dapat meneka apa tujuan Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam berjumpa dengannya pada waktu tengahari yang panas itu. 

Setelah diberitahu mengenai rancangan Baginda, Nabi pun pulang ke rumahnya semula untuk menunggu tibanya waktu malam. Dalam masa yang sama, penjenayah-penjenayah besar Quraisy mula melakukan persiapan untuk melaksanakan apa yang telah mereka bincangkan di Darul Nadwah pagi tersebut, iaitu perancangan untuk membunuh Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam. 11 orang penjenayah telah terpilih untuk melaksanakan misi jahat tersebut. 
Bertolak dari Makkah 

Apabila malam menjelma, iaitu malam 27 Safar tahun ke-14 kenabian, 11 orang penjenayah tersebut telah berkumpul di depan rumah Nabi. Pembunuhan telah dirancang untuk diadakan pada setengah malam iaitu ketika Nabi sedang tidur. Jadi, sepanjang malam itu mereka menunggu dan mengintai-intai samada Nabi sudah tidur atau belum.

Namun, kekuasaan ALLAH dan peliharaan ALLAH terhadap kekasihNYA mengatasi kesempurnaan perancangan jahat penjenayah-penjenayah Quraisy tersebut sebagaimana disebut di dalam Surah al-Anfal, ayat ke-30. Sebelum Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam bertolak meninggalkan rumah, Banginda telah menyuruh Ali bin Abi Talib untuk tidur di tempat tidurnya dengan menggunakan selimut yang biasa Nabi gunakan iaitu selimut al-Hadrami berwarna hijau.

Nabi kemudian keluar, mengambil pasir dan menaburkannya ke atas penjenayah-penjenayah itu sambil membaca ayat ke-9 dari surah Yasin. Dengan izin ALLAH `Azza wa Jalla, penglihatan penjenayah-penjenayah tersebut ditutup dan mereka tidak dapat melihat Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam. Mereka terus menunggu waktu yang sesuai untuk melakukan pembunuhan, sedangkan Nabi telah pun keluar meninggalkan rumahnya.

Dari rumahnya, Nabi terus ke rumah Abu Bakar sebagaimana yang telah dirancang tengahari tadi. Mereka berdua bertolak dari rumah Abu Bakar dari pintu belakang dan terus meninggalkan Makkah sebelum waktu fajar. Seorang lelaki yang melihat dari jauh kemudiannya menegur penjenayah-penjenayah itu kenapa tidak dilakukan seperti yang dirancang, kerana dia melihat Nabi Muhammad sudah pun keluar meninggalkan rumahnya.

Penjenayah-penjenayah itu mengatakan bahawa mereka tidak nampak langsung Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam seperti didakwa lelaki tersebut. Setelah mendengar penjelasan lelaki tersebut, penjenayah-penjenayah itu pun mengintai ke dalam rumah Nabi dan melihat ada orang yang sedang tidur berselimut. Mereka pun yakin bahawa lelaki yang mendakwa bahawa Nabi sudah keluar itu, tersilap. Mereka lalu terus menunggu-nunggu sehingga menjelang pagi. Kecewalah mereka rupa-rupanya yang di dalam selimut itu ialah Ali bin Abi Talib, bukannya Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.

Di Gua Thur Selama 3 Hari 
Walaupun Yathrib (nama asal bagi Madinah) terletak di Utara Makkah, namun Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam tidak memilih jalan biasa iaitu utara Makkah untuk ke sana. Ini kerana Baginda menyedari bahawa risiko yang sangat tinggi buat mereka berdua di laluan tersebut yang pastinya sedang menunggu Nabi. 

Lokasi Bukit Thur

Sebaliknya, Baginda menuju selatan Makkah sebagai jalan keluar Nabi dari Makkah. Setelah 5 batu berjalan, Nabi sampai di Bukit Thur. Ketika melalui di atas bukit ini, kaki Nabi yang mulia melecet kerana bukitnya berbatu bata dan sangat sukar untuk didaki. Abu Bakar terpaksa memapah Baginda dengan bersusah payah hingga menemui sebuah gua di puncak bukit tersebut.

Mereka berdua tidak terus masuk ke dalam gua kerana khuatir ada bahaya di dalamnya. Abu Bakar menawarkan diri untuk masuk terlebih dahulu untuk memeriksa dengan katanya: 
“Demi ALLAH, jangan engkau masuk ke dalamnya melainkan aku masuk terlebih dahulu. Kalau ada apa-apa bahaya, maka biar aku yang kena, asalkan jangan kamu.” 

Abu Bakar menguis-nguis kakinya dan didapatinya ada 1 lubang. Beliau pun mengoyakkan kainnya lalu menutup lubang tersebut. Kemudian didapati pula ada 2 lubang lagi di dalamnya, lalu ditutup 2 lubang tersebut dengan menekapkan 2 kakinya ke lubang tersebut. 

Setelah keadaan dirasakan agak selamat, barulah Abu Bakar memanggil Nabi Muhammad masuk ke dalam gua. 
Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam pun masuk dan meletakkan kepalanya di atas pangkuan Abu Bakar lalu tertidur. Tiba-tiba kaki Abu Bakar disengat binatang berbisa dari salah satu lubang itu, namun ditahannya kesakitan itu sehingga menitis air matanya di atas wajah mulia Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam. Nabi tersedar dan bertanyakan apa yang telah terjadi. Setelah Abu bakar menceritakan bahawa beliau telah disengat, Baginda pun meludah ke tempat sengatan itu, lantas hilanglah rasa sakit akibat sengatan binatang berbisa itu. 

Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam dan Abu Bakar berada di dalam gua tersebut selama 3 hari iaitu malam Jumaat, malam Sabtu dan malam Ahad. Selama 3 hari tersebut, ada 2 insan yang terlibat sama, iaitu `Abdullah bin Abu Bakar (anak lelaki Abu Bakar) dan `Amir bin Fuhayrah (hamba Abu Bakar). 

Abdullah bin Abu Bakar bermalam berdekatan Bukit Thur. Apabila waktu sahur, beliau akan ke Makkah seolah-olah dia tidur di Makkah. Siangnya, beliau akan mengintip-ngintip perbualan orang-orang musyrikin Makkah terutama yang berkaitan dengan usaha pembunuhan Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam. Semua berita akan disampaikan kepada Baginda pada malamnya apabila `Abdullah bin Abu Bakar berjumpa Nabi. `

Amir bin Fuhayrah pula mengembala kambing-kambing milik Abu Bakar di kawasan tersebut. Apabila waktu malam, beliau akan menghalau ternakan-ternakannya ke kawasan tempat Nabi dan Abu Bakar bermalam dan membekalkan susu kepada mereka. Apabila malam sudah larut, kambing-kambing itu akan dibawa ke Makkah mengikut jalan yang dilalui `Abdullah bin Abu Bakar supaya jejak kakinya terpadam. Begitulah yang terjadi sepanjang 3 hari itu. 
Dalam pada itu, orang-orang kafir Makkah berasa sangat marah kerana tidak menjumpai Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam. Ali bin Abi Talib telah dipukul dan diseret ke ke Ka`bah dan Asma’ bin Abu Bakar pula telah ditempeleng dengan sangat kuat dalam usaha mereka untuk mendapatkan maklumat di manakah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam. 
Bengang dengan kegagalan mereka untuk mengesan Nabi, mereka lalu menyekat semua jalan keluar Makkah dengan meletakkan lelaki-lelaki bersenjata dan tawaran 100 ekor unta kepada sesiapa yang dapat menawan Nabi samada hidup atau mati turut diwar-warkan. Dengan tawaran itu, maka ramailah orang yang berusaha mencari Nabi yang terdiri dari orang biasa, para penjejak jalan dan pahlawan-pahlawan Makkah. 

Bertolak Dari Gua Thur ke Yathrib (Madinah) 
Selepas 3 hari di gua Thur, `Abdullah bin Urayqit al-Laythi seorang penunjuk jalan yang mahir yang bukan beragama Islam, tetapi boleh dipercayai, telah menemui Nabi di Gua Thur dengan membawa bersamanya kenderaan untuk mereka berdua, sebagaimana dijanji sebelum itu. Mereka bertolak pada bulan Rabi`ul Awwal tahun 14 kenabian. 
Selain Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam dan Abu Bakar, `Amir bin Fuhayrah dan `Abdullah bin Urayqit turut sama dalam perjalanan tersebut. Sebelum bertolak, Asma’ bin Abu Bakar telah menemui mereka untuk memberikan bekalan bagi menempuh perjalanan yang jauh dan mencabar itu. 

Mereka berempat menggunakan jalan selatan ke arah Yaman, kemudian menuju ke arah barat iaitu pesisiran pantai. Sampai di kawasan yang agak terpencil, mereka berdua menuju ke arah utara berhampiran Laut Merah menuju ke Yathrib dengan menggunakan jalan yang jarang digunakan orang. 
ALLAH Subhanahu wa Ta`ala telah memelihara sepanjang perjalanan kekasihNYA dan rombongannya itu. Bukan itu sahaja, malah terdapat beberapa peristiwa menarik berlaku di mana beberapa individu dan kaum telah memeluk Islam apabila bertemu dengan Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam dalam perjalanan. 

Singgah di Quba’ selama 4 Hari 
Pada hari Isnin, 8 Rabi`ul Awwal tahun ke 14 kenabian, Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam dan rombongannya itu sampai di Quba’. Di Quba’, Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam singgah di rumah Kalthum bin al-Hadam. Baginda menetap selama 4 hari iaitu Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis di Quba’. Di situ Baginda mengasaskan masjid dan bersolat di dalamnya. Itulah masjid pertama yang diasaskan atas dasar taqwa selepas Baginda menjadi Nabi, iaitu Masjid Quba’.

Sampai di Yathrib (Madinah) 
Pada hari Jumaat, 12 Rabi`ul Awwal tahun ke-14 kenabian, Baginda bertolak ke Madinah dengan rombongannya. Apabila masuk waktu solat Jumaat, Baginda singgah untuk bersolat Jumaat di sebuah kawasan lembah di perkampungan Bani Salim bin Auf. Seramai 100 orang lelaki menyertai mereka dalam solat tersebut. 
Selepas selesai solat Jumaat, Nabi terus bergerak ke negeri Yathrib dan disambut dengan sangat meriah oleh penduduk di situ. Walapun orang Ansar di Yathrib bukanlah orang yang mewah, tetapi masing-masing menawarkan diri supaya Nabi singgah dan menetap di rumah mereka lantaran besar hati ingin melayan insan yang mereka kasihi dan muliakan, iaitu Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam. 

Sebenarnya sebelum hari yang dinanti-nanti itu, mereka beramai-ramai telah menunggu Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam setiap hari dan pulang semula apabila mendapati Baginda tidak sampai. Walaupun penduduk Yathrib tidak mengenali wajah dan susuk Baginda, namun perasaan cinta dan rindu mereka sangat tinggi terhadap Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam.

Rumah Abu Ayyub al-Ansari telah terpilih menjadi tempat menetap Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam di Yathrib apabila unta Baginda berhenti di kampung Bani al-Najjar iaitu kampung keluarga pihak bapa-bapa saudara sebelah ibu Baginda, di mana rumah Abu Ayyub merupakan rumah yang paling hampir tempat unta tersebut berhenti. Tapak unta itu berhenti dijadikan tapak Masjid Nabawi. 
Beberapa hari selepas itu, Sawdah iaitu isteri Baginda sampai bersama 2 puteri Baginda iaitu Fatimah dan Ummu Kalthum. Bersama mereka juga Usamah bin Zaid dan Ummu Aiman. Mereka ini keluar dengan ditemani oleh `Abdullah bin Abu Bakar dan `A’ishah. Puteri Baginda yang bernama Zainab masih tinggal di Makkah bersama Abu al-`As kerana tidak mendapat peluang keluar dari Makkah sehinggalah setelah peperangan Badar. Allahu A`lam. 
Begitulah serba ringkas kisah hijrah Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam dari Makkah ke Yathrib. Selepas peristiwa besar itu, Yathrib digelar sebagai Madinah ar-Rasul sallAllahu `alaihi wa sallam atau lebih dikenali dengan nama Madinah sahaja sehingga kini. Peristiwa hijrah ini telah memulakan era baru dakwah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam dengan peluang yang lebih besar dan cabaran yang lebih hebat. 
Allahumma solli `ala Muhammad, wa `ala aali Muhammad. 

Sekadar menyampaikan,

muzir.wordpress.com* Diringkaskan dengan merujuk kitab terjemahan ar-Rahiq al-Makhtum yang diterbit oleh YADIM. 
 

Sample text

Sample Text

Sample Text