Social Icons

Thursday, 31 October 2013

Pendekatan JAIS Terhadap GISB Terbukti Menghasilkan Natijah Positif!!

Sebagai manusia - kita adalah makhluk ciptaan Allah yang lemah. Biasanya gagal dalam mengawal diri. Kebanyakan manusia leka membiarkan nilai dirinya jatuh ke tahap binatang atau haiwan. Mereka tidak mampu melawan nafsu syaitan yang menggoda. Sedangkan  ada pula hamba-hamba pilihan yang berupaya mencipta keajaiban membentuk dirinya sehebat malaikat yang taatkan Allah.

Manusia juga lemah kerana tidak mampu berkasih sayang dan bertolong bantu. Sedangkan berbuat baik, bekerjasama, tolong menolong adalah keperluan dan keinginan semua insan. Ianya fitrah semula jadi yang dianugerahkan Tuhan sejak manusia diciptakan. Sebaliknya kebanyakan manusia lebih cenderung bermasam muka, tidak saling maaf memaafkan dan tidak mahu saling merendah diri. Hasilnya manusia hidup dalam masyarakat berpecah belah, suka bergaduh yang dciptakannya sendiri. 

Soalnya bagaimana manusia boleh hidup dalam harmoni dan saling memahami?

Inilah hal yang tidak difahami oleh ramai orang. Sukarnya mendapatkan jawapan atas persoalan yang semudah ini. Ada ketikanya kita tidak berupaya memahami tindakan seseorang. Tindak-tanduknya sukar untuk kita tebak apakah rasional dan tujuannya. Kadang-kadang kita terjebak dengan sangka-sangka jahat yang tidak sepatutnya. 

Memang wajarlah kita bersangka baik kerana dalam banyak hal kita akan tersilap dalam menilai seseorang atau sesiapa sahaja. Bahkan isteri atau suami kita pun, kadang-kadang kita sukar memahami apa yang ada di hatinya. Cakap seseorang itu kadang-kadang tidak sama apa yang di hatinya. Mungkin yang disebut macam mengiyakan tetapi yang dimaksudkannya mungkin tidak. Begitulah jika kita kurang memahami antara satu sama lain. Kita akan terdedah dengan sangkaan yang tersilap dari hakikat sebenar. 

Justeru hubungan rapat, mesra serta penuh kasih sayang akan membantu kita bersangka baik. Paling tidak kita akan berupaya menahan hati dari menyangka yang tidak baik. Kekuatan hubungan hati ini akan membantu seseorang terselamat dari dosa suu udzhan (sangka jahat), mengumpat atau mengadu domba. Kita akan dapat mengawal diri dari menyakiti seseorang - samada secara berhadapan atau di belakangnya. 

Inilah cabaran kepada ramai orang yang ingin mencari kebenaran di akhir zaman. Lumrah akhir zaman ialah lumrah kehidupan nafsi-nafsi, berbohong dusta serta berkrisis berburuk sangka. Seseorang yang tidak berhati-hati akan mudah terjebak dalam dosa buruk sangka. Lintasan hati menyangka apa-apa yang negatif pada diri seseorang adalah dosa jika ianya tidak ditolak serta merta. Yang berdosa jika lintasan atau sangkaan itu dilayan atau dibiarkan kekal wujud di dalam hati. 

Orang yang baik-baik itu biasanya bercakap apa yang di dalam hatinya. Cuma biasanya mereka tidak suka bercakap secara berterus terang. Mereka lebih selesa memberi isyarat atau kiasan dalam berbicara. Bagi golongan yang kurang cerdik, mereka sangat sulit memahami kehendak dalam bentuk kiasan atau isyarat kata sebegini rupa. 

Dahulu, Al-Marhum Abuya sangat biasa menggunakan kaedah kiasan atau kata isyarat dalam menyatakan sesuatu. Adalah menjadi kebiasaan Al-Marhum lebih memilih perkataan yang tidak berbentuk arahan. Yang disebutkannya ialah perkataan seperti, "Elok sangatlah kalau dibuat begini-begini" - menunjukkan Al-Marhum sangat berkenan dan setuju bahkan mengesyorkan sesuatu yang lebih baik. Atau ada kalanya biasa didengar Al-Marhum memberi respon terhadap sesuatu cadangan, "Terpulanglah pada enta!" - yang memberi faham bahawa Al-Marhum tidak bersetuju.

Sebab itu perpaduan dan kasih sayang menjadi asas kesefahaman sesama anggota. Di dalam mana-mana organisasi, selain menjaga hubungan hati dengan Tuhan, hal perpaduan ini menjadi syarat berlakunya kejayaan. Tanpa hubungan rapat serta perpaduan yang erat, pastilah akan berlaku krisis, pertelingkahan dan ketegangan sesama anggota.  Maka bersangka baik dan tidak melatah dapat mengelak dari berlakunya 'senget hati' yang membawa krisis serta perpecahan.

Bersangka baiklah dalam semua hal dan bertanyalah mendapatkan penjelasan sekiranya kita ikhlas mengutamakan perpaduan dan kasih sayang.

Pak Lang tertarik dengan pendekatan yang dilakukan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap Ummu Jah (Puan Ibu Hatijah Aam). Mereka melakukan proses soal siasat dalam bentuk bermuzakarah. Setiap perkara yang keliru difahamkan secara jelas dengan bukti dan hujjah yang sangat relevan dengan situasi yang sedang dihadapi.

JAIS mengutamakan perpaduan dan berbaik sangka. Mereka tidak prejudis. Mereka mendekati dan cuba memahami apa yang sebenarnya ada pada pemikiran Ummu Jah. JAIS tidak semata-mata memantau tetapi berusaha untuk melihat dari dekat apa yang dilakukan GISB. Memang wajar mereka curiga berdasarkan berbagai laporan dan tohmahan. Tetapi JAIS seolah-olah tidak terikat dengan apa yang diperkatakan. Sebab itu dari awal mereka melayan Ummu Jah secara profesional. Mereka tidak berkasar atau memaksa-maksa. 

Pendekatan membuka minda secara rasional berjaya menembusi kefahaman Ummu Jah yang dilihat kebal selama ini. Banyak pihak yang terkejut dengan perubahan yang berlaku terhadap Ummu Jah. Berjayanya JAIS dalam hal ini memang patut dipuji. Rupanya di tangan JAIS, Ummu Jah dan 4,000 orang staf GISB (sekarang - GISB HOLDINGS SDN BHD) dapat dikembalikan ke dalam masyarakat arus perdana.

Pak Lang bersyukur kerana inilah hasrat masyarakat. Pak Lang bertemu dengan ramai golongan masyarakat yang mengharapkan Ummu Jah dan GISB kembali ke pangkuan masyarakat. Mereka mengatakan GISB adalah aset masyarakat. Mereka tahu, selagi masih dicurigai oleh pihak berkuasa agama, masyarakat akan rasa serba salah dalam menyokong aktiviti ekonomi dan sosial yang GISB gerakkan. 

Setelah hebuh isu taubatnya Ummu Jah dan GISB di tangan JAIS (Maksudnya dengan berkat hasil usaha JAIS), ramailah rakan dan teman Pak Lang yang memberitahu Pak Lang bahawa mereka menghargai usaha yang telah dilakukan pihak JAIS. Mereka tahu bukan mudah tetapi semuanya yakin pendekatan sebeginilah yang wajar dibuat sejak dulu lagi.

Justeru memang benarlah apa yaang dikata oleh mereka. Ketika berlangsungnya program penjenamaan semula YKPPM di Menara Kuala Lumpur 2 malam lepas, Pak Lang menyaksikan kehadiran tamu yang luar biasa. Jumlahnya cukup untuk memenuhi semua tempat duduk yang disediakan. Rakan Pak Lang sekeluarga yang sudah biasa dengan GISB terpaksa diberi tempat duduk yang paling jauh daripada pentas utama. 

Pak Lang lihat semua tamu berpuas hati dengan majlis yang diadakan. Yang menariknya ialah mereka berkesempatan bertemu dan bermesra dengan Puan Ibu Hatijah Aam. Mereka yang baru bertemu dan dapat bergambar dengannya dilihat begitu teruja memperoleh kesempatan sebegitu rupa.  Maklumlah beliau dikenali sebagai wanita kontroversi selama ini. Mereka yang bertemu dengannya pada majlis tersebut dapat merasakan keikhlasan Puan Ibu Hatijah untuk terus berubah. 

Majlis penjenamaan semula Yayasan Kebajikan Dan Perkhidmatan Perubatan Malaysia (YKPPM) itu menjadi pertunjuk awal ke arah perubahan demi perubahan yang akan dilakukan oleh Puan Ibu Hatijah Aam bersama GISB HOLDINGS Sdn Bhd. Dan jangan terkejut bila mengetahui sudah banyak syarikat besar sedang berunding untuk bekerjasama dengan GISB HOLDINGS Sdn Bhd. Nilai bisnes bersama mereka ada yang mencecah hampir RM10 billion!! 

Sesiapa pun boleh menjalankan projek usahasama dengan GISB HOLDINGS Sdn Bhd tetapi pastinya ada syarat awal yang mesti dipersetujui!! Nantilah kita perkatakan lain kali. Apa yang penting, pembahagian keuntungan dan wang ringgit bukanlah syarat utama. Masya Allah!! Bukankah berniaga itu untuk mendapatkan keuntungan dan kekayaan? Pelik? Sebaliknya itulah hakikatnya jika kita mengenali Puan Ibu Hatijah Aam.!!!

Kes Remaja Lari Dari Rumah Kian Membimbangkan!!

Banyaknya jumlah universiti di negara kita menunjukkan ramainya tenaga pakar di bidang pendidikan di dalam masyarakat kita. Kelompok ini bertaraf doktor fasafah dan profesor. Semua pensyarah universiti wajiblah belajar tentang saikologi, teori-teori pendidikan serta kaedah pengajaran dan pembelajaran. Itulah kemahiran asas yang perlu ada di dalam diri seseorang pensyarah universiti - walau dianya pensyarah dalam bidang apa sekalipun. 

Ertinya untuk berdepan dengan pelajar universiti, seseorang itu mesti faham tentang manusia terlebih dahulu.  Tentulah banyak ilmu dan kajian mereka tentang manusia. Apa juga bidang yang dikhususkan untuk mereka mengajarnya - dari sudut teknikal (Kejuruteraan, Teknologi, Pentadbiran, Kewangan dan lain-lain), mestilah berpaksikan keupayaan mereka memahami 'manusia' yang dihadapan mereka. 

Mereka dianggap pakar tentang manusia kerana tanpa kepakaran khusus ini, tidak mungkin mereka mampu menyampaikan dan memahamkan para pelajar. Itulah rasionalnya kewujudan seseorang guru atau pensyarah bagi para pelajar.

Tetapi lihatlah apa yang berlaku!! Apa yang dipaparkan dalam media tentang gejala sosial sepatutnya menjadi cabaran kepada mereka. Mereka tidak boleh lagi bersenang lenang dan berteori semata-mata. Mereka mesti tahu apa puncanya dan berusaha membaikinya. Jangan jadikan ramai atau sedikitnya data sebagai alasan untuk mengelak dari dipersalahkan tetapi jadikan ianya iktibar. 

Walau seorang pun di kalangan pelajar kita yang sudah terjebak, sepatutnya para gurulah yang sangat rasa bersalah. Apatah lagi kalau ribuan orang yang sudah terlibat. Sepatutnya para pakar penddikan sudah tidak boleh lagi bercakap banyak dalam forum-forum. Mereka wajar insaf dan merenung semula kerja mereka selama ini. 

Saiyidina Omar menangis mengenangkan seekor kambing mati di Sungai Dajlah kerana rasa bersalahnya yang luar biasa. Sebaliknya pakar-pakar pendidikan kita gagal menyelamatkan ribuan pelajarnya darpada terjebak dalam gejala sosial - pun masih mampu bergelak ketawa?

Bacalah situasi yang membimbangkan ibubapa dan kita semua seperti yang dipapar dalam blog berikut: SILA KLIK


Kes remaja lari dari rumah kian membimbangkan
October 7, 2012 Utama1



BANGI – Statistik 2010 yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kes remaja lari dari rumah meningkat dengan angka mencatatkan sebanyak 4,097 remaja yang membabitkan seawal usia 13 hingga 17 tahun.

Pensyarah Psikologi dan Pembangunan Manusia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nazirah Hassan berkata, Malaysia kini berada di dalam perubahan ke arah kemajuan yang membawa arus hedonisme sekaligus memberi impak negatif kepada masyarakat khususnya remaja.

“Kalau kita lihat remaja yang dilahirkan kini di atas fasa yang penuh keagresifan, memberontak, celaru identiti, mudah terpengaruh dan lebih kepada ke arah kebebasan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual oleh wartawan TV ISMA berhubung isu kes remaja lari dari rumah yang semakin membimbangkan.

Daripada kes kehilangan remaja perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan diculik dari sebuah hentian bas di Seksyen 9, Shah Alam 31 Januari lalu, sebelum berjaya diselamatkan Polis Thailand di Bangkok pada 11 Mac lalu, dan disusuli pula dengan kejadian seorang lagi remaja Tingkatan Tiga di Kuantan yang mendakwa diculik, tetapi timbul fakta terbaru kononnya dia melarikan diri ke rumah keluarga teman lelakinya.

Perkembangan ini membimbangkan semua pihak kerana ia merupakan di antara penyumbang terbesar kepada masalah kritikal yang lain seperti mangsa jenayah kekerasan, sama ada dirogol, dilacurkan atau dibunuh.

Kelihatan pula keruntuhan akhlak dan moral turut berlaku di kalangan remaja kini khususnya membabitkan remaja berbangsa Melayu.

Menurut Nazirah, bukan golongan remaja sahaja yang wajar dipersalahkan, tetapi terdapat faktor lain yang perlu dilihat apabila remaja kini mengambil jalan mudah untuk melarikan diri.

“Masalah ini datang berpakej, bukan sahaja desakan dalaman diri, tapi sistem sosial dan keluarga sebenarnya juga menyumbang kepada remaja untuk lari daripada rumah.

“Ini bukan era menuding jari kepada remaja, menyalahkan kerajaan, pihak polis dan pihak lain kerana orang yang paling dekat dengan anak-anak ialah ibu bapa.

“Ibu bapa harus belajar cara mendidik anak generasi Y, generasi moden sekarang tak boleh dididik dengan cara marah, rotan, dan sebagainya, tetapi sekarang ini ibu bapa harus menjadi kawan kepada anak-anak, tahu apa masalah mereka, benarkan anak bagi pendapat,” jelas beliau.

Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM) Prof. Madya Dr. Mohamed Fadzil Che Din, yang mengulas Laporan Khas mengenai remaja hilang akhir tahun lalu, kajian terhadap 379 remaja yang pernah lari dari rumah menunjukkan mereka mengakui bahawa tekanan menyumbangkan kepada faktor utama, selain 105 kes membabitkan pengaruh kawan, 55 kes ingin bebas, 41 kes bergaduh dengan keluarga, 38 kes bosan dan 35 kes kurang kasih sayang.

Bagi Khairudin Abas selaku wakil pendidik di salah sebuah sekolah, ibu bapa yang juga pihak paling rapat dengan anak-anak mereka perlu memainkan peranan penting dalam menawan hati mereka untuk memahami setiap permasalahan yang dialami.

“Peranan utama yang perlu dimainkan ialah kukuhkan institusi kekeluargaan.

“Ada 3 aspek utama, iaitu penerapan ilmu dari sudut iman, amal dan ketaqwaan kepada Allah, yang kedua penguasaan akhlak dan yang ketiga, pendidikan sunnah yang dijalankan oleh rasul, dengan cara 7 tahun diajar untuk solat iaitu tahap penting bagi setiap ibu bapa, kemudian berumur 14 tahun diajar dengan ketegasan, dan selepas 14 tahun sehingga besar, disantuni dan disahabati bersama mereka,” ujarnya



Tulisan Puteri Abuya - Apa Yang Tersirat Dalam Pendidikan Rasulullah SAW?. - Bacalah!!


Aku tidak pernah bercita-cita hendak menjadi seorang guru. Tak pernah minat nak mengajar. Entah kenapa. Kerana aku malas belajar kot. Tahlah! Tapi cikgu/guru tak pernah sekalipun masuk dalam list cita-citaku sewaktu kecil dan besar. Aku tak rasa cikgu adalah kerja yang best padahal apalah yang aku tau pasal kerja seorang peguam diwaktu aku tergedik-gedik ingin menjadi peguam ketika masih sekolah rendah. Huh!

Takdir Tuhan merubah segalanya. Bila aku try test cuba mengajar bermula di Mekah hari tu (rasa macam baru semalam jek) tiba-tiba aku diresapi perasaan,eh eh best jugak jadi cikgu. Eh.. bestlah rupenye! Selain dari aku bebas memarahi anak muridku, yang lebih besar ialah aku boleh belajar banyak benda yang aku mungkin belum tahu. Bila jadi je cikgu,terus timbul keinginan untuk tahu ini dan itu. 
Rasa bahagia bila boleh berbincang,saling bersoal jawab dengan anak muridku. Bertambah bahagia bila aku boleh kongsikan hal yang mereka tak tahu. Bukan pasal aku tau semua benda,tapi sebab kita boleh cari tau bersama. Ada hal yang aku tak pasti,senang je.. Aku suruhlah depa buat kerja rumah cari maklumat sana sini. Hihi
 
Dan sekarang aku percaya,tugas seorang guru jauh lebih besar dari itu. Sebelum ni aku prejudis saja dengan guru. Kini barulah ku tahu.. Guru bukan sekadar berdiri di kelas memberi ilmu,tetapi membimbing anak murid dalam seluruh kehidupan mereka juga adalah tugas utama seorang guru. Ikatan seorang guru dan murid tidak sepatutnya hanya terhad di dalam kelas, tetapi guru juga harus menjadi orang yang ikut campur dalam memastikan masa depan dunia akhirat seorang muridnya. Bukankah guru juga memikul amanah dalam hal mencorak bangsa? Andai beban tidak digalas sempurna,punahlah nasib mereka!

Setiap hari aku terjerit-jerit pada mereka, mengejar segala kudrat yang mereka punya untuk pastikan mereka semua dapat dibina. Padahal aku sendiri jauh dari sempurna. Kerana itu aku berharap agar Tuhan sempurnakan aku dengan kehadiran mereka semua. Kita manusia,biasa sangat terlepas pandang setengah benda. Semoga dengan kebersamaan ini akan membuka mata,akal dan jiwa kita.

Aku senang melihat bagaimana mereka bertatih-tatih belajar dari guru yang bernama pengalaman. Aku juga seperti mereka. Pengalaman belum luas tapi ianya sudah bermula. Mengajak mereka memanfaatkan usia yang masih muda belia adalah satu usaha untuk aku menutupi segala kebaikan yang tidak sempat ku capai diusia remaja. Aku berharap mereka tidak melakukan kesalahan yang sama. Biarlah mereka mencorak sejarah yang berbeza. Walau kita manusia.. Salah silap dimana-mana.. Namun biarlah semuanya berlaku dengan penuh makna. Kalau ditilik kekurangan diri, siapalah yang sanggup nak galas beban ni. Diri sendiri pun tak guna, macamana nak ajak orang jadi luar biasa? Tuhanlah yang berkuasa melakukannya..

Sesekali hati terusik dek kesabaran Pak Ude, Pak Njang, Mat Solo yang suka buat perangai. Sedih sebab termarah Imran, Fida', Sya3. Kadang tu geram dengan karenah Musab, Awah, Rozi, belajar menghargai Mat Utbah yang mau belajar, Qutai yang taat, tabik dengan Fairuz yang pengemas, Hasanah yang lurus, Pipah yang macam ustazah,  Adek yang tak fokus, Balkis yang misteri, Erun, Lilah, Ema' yang suka menolong. Tak lupa aku menekuni kegagahan Kakak, istiqamahnya Tim, penghiburnya Iyah..Aku mengajar depa tiap hari dan turut belajar dari mereka. Keberadaan mereka buat aku sedar banyaknya kebaikan yang aku tak punya. Aku menumpang semuanya.

Selalu aku sisihkan sedikit waktu berdoa buat mereka. Aku tidak punya wang untuk dikongsi bersama, tetapi Ummu sering mengingatkan, berilah Tuhan pada manusia. Jika manusia mendapatkan Tuhan dijiwa, mereka sanggup melakukan apa saja demi Tuhan cinta agungnya. Justeru itu betapa aku hargai kesanggupan adik-adikku ini untuk bersusah payah walau tidak dijanjikan upah. Kita kongsi sabun basuh, berus gigi, syampu, sampai stokin pun boleh pakai sorang sebelah!

Wahai Tuhan.. Tolong pandu kami untuk jayakan pendidikan seperti pendidikan Rasulullah. KLIK UNTUK KE BLOG PUTRI ABUYA

Bagaimana Menyelamatkan Negara Kita? - Bacalah Pengalaman Atau Kesan Orang-Orang Yang Khusyuk Dengan Tuhan

 Mari kita bina masyarakat kita seperti yang berlaku di zaman Rasulullah saw dan para sahabat. Niatkanlah sebegini walaupun kita sedar, siapalah kita untuk mencita-citakan hal sehebat mereka. Pada Pak Lang, kita wajar wujudkan niat terlebih dahulu. Niat adalah gambaran cita-cita dan keazaman. Islam mengajar umatnya berjiwa besar. 

Sebab itu hadis tentang niat ini menjadi hadis permulaan sesuatu perbicaraan ilmu oleh para ulamak.
عن أمير المؤمنين أبي حفص عمر بن الخطاب (رضي الله عنه) قال: سمعت رسول الله (صلى الله عليه وسلم) يقول: "إنما الأعمال بالنيات و إنما لكل امرئ ما نوى، فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله، فهجرته إلى الله ورسوله، ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها أو امرأة ينكحها، فهجرته إلى ما هاجـر إليه Ertinya: 
Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs 'Umar ibn al-Katthab Radhiallahu ‘anhu beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:
"Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu".



Kita sedang mengharapkan kegemilangan dan kecemerlangan berlaku untuk negara kita. Tentunya ia bukan harapan kosong. Kegemilangan tidak akan terjadi tanpa wujudnya asas yang sebenar dan tepat mengikut acuan Allah dan Rasul.  Tanpa asas mengikut fahaman yang tepat, kita hanya berangan-angan Mat Jenin. 


Marilah kita kaji secara realiti apakah asas kekuatan yang perlu dibina bagi melahirkan masyarakat yang mampu mencapai kegemilangan dunia akhirat. Jika kita memahami ini semua dan sanggup bersusaha payah mengusahakannya di dalam diri, keluarga dan masyarakat kita, barulah kita boleh bercakap tentang kecemerlangan. Tanpa ini, cakap kita hanyalah gendang kosong!!

Bacalah semoga apa yang dipaparkan di bawah ini dapat memahamkan kita tentang tugas kita semua. Cita-cita besar itu hanya ada pada orang yang berjiwa besar. Dan hanya orang yang berjiwa besar sahaja yang akan sanggup mengusahakan perkara-perkara berikut.

Ciri-ciri orang yang berjiwa besar ialah mengikuti apa yang dilakukan Baginda saw. Lihatlah sahaja pada sembahyang Baginda  khusyuk dan banyak

Rasulullah SAW adalah manusia biasa tetapi kemampuan Baginda untuk sembahyang banyak dan berlama-lama adalah perkara luar biasa. Ianya tidak termampu dilakukan oleh manusia biasa. Sembahyangnya sampai beratus-ratus rakaat sehari semalam. Dalam pada itu, Baginda tetap mentadbir dunia, tetap berhubung dangan sahabat-Sahabat dan masyarakat. Bagaimana hal ini boleh berlaku serentak? Ini tentulah tidak terbuat oleh manusia biasa. Tentu ada yang akan berkata, “Yalah dia tu nabi, tentulah boleh buat begitu!”

Baginda berbuat itu bukanlah kerana Baginda itu Nabi. Baginda berbuat kerana merasa dirinya adalah hamba Allah. Walaupun Allah sudah jamin syurga tetapi Baginda tetap merasakan dirinya adalah hamba. Jadi Baginda tetap berbuat walau tidak diminta atau diarahkan. Inilah yang perlu kita fahami!

Buktinya Sayidatina Aisyah r.a. isteri kesayangan pernah menegur baginda: “Kenapa engkau sembahyang sampai bengkak-bengkak kaki, ya Rasulullah! Sedangkan Allah mengampuni dosa-dosamu yang lalu dan yang kemudian.”

Baginda menjawab: “Tidakkah layak aku menjadi seorang hamba yang mengenang budi (yang bersyukur).”

Baginda dapat berlama-lama sembahyang sunat dan banyak pula sampai bengkak-bengkak kakinya. Rehatnya ialah dalam sembahyang. Di waktu itulah dia terasa benar-benar dapat bercakap dengan Allah, terasa amat dekat dengan-Nya, dapat bermanja, merintih, rindu yang amat sangat, merasa terlalu lazat dapat berdialog, mengadu, menyerahkan diri, menceritakan segala hal dan terasa Allah menjawab cakap-cakapnya itu. 


Terasa satu kepuasan dan nikmat hingga tenggelam dalam kerinduan cintanya. Itu sebabnya Baginda terlalu lama sembahyang sehingga tanpa disedari kaki baginda jadi bengkak. Dalam pada itu Baginda juga tetap sempat memikirkan pentadbiran dunia dan rakyatnya. Dunia yang ada di tangan, semuanya digunakan untuk agama Allah.

Salah seorang Sahabat Rasulullah SAW, Huzaifah r.a. pernah meriwayatkan tentang lamanya sembahyang baginda. Abu Abdullah (Huzaifah) bin Al Yaman r.a. berkata, “Saya bersembahyang di belakang Rasululah SAW pada suatu malam. Dan setelah membaca Al Fatehah baginda membaca surah Al Baqarah. Mulanya saya menduga akan rukuk pada ayat keseratus, mendadak terus dibacanya. Dalam perasaanku mungkin akan dibacanya satu surah dalam satu rakaat, mendadak setelah selesai terus memulai membaca surah An Nisaa’ sehingga selesai dan mulai surah Ali Imran. Maka dibacanya dengan tartil, tiap ada ayat tasbih, baginda membaca tasbih, dan bila ada ayat ta’awwiz, dia berlindung kepada Allah daripada bahaya. Kemudian dari itu semua baru rukuk sambil membaca ‘Subhana rabbiyal ‘azimi wabihamdih’. Dan rukuknya hampir sepanjang berdirinya. Kemudian bangun membaca ‘Sami’ Allahu liman hamidah, Rabbana lakalhamdu’. Dan lama berdiri sama dengan rukuknya. Kemudian bersujud sama dengan berdirinya.” (Riwayat Muslim)

Begitu juga dengan Sahabat-Sahabat yang lain. Sembahyang mereka juga banyak, ratusan rakaat dan lama. Paling sedikit di kalangan mereka ialah seratus rakaat. Itulha kesan sembahyang yang khusyuk. Ianya dirasakan sangat lazat dan indah.
 

Menangis kerana Takutkan Allah SWT

Dalam sebuah Hadis disebutkan: Anas r.a berkata bahawa pada suatu hari Rasulullah SAW berkhutbah, belum pernah dia mendengar khutbah seperti itu. Lalu baginda bersabda dalam khutbahnya itu: “Andainya kamu mengetahui sebagaimana yang kuketahui, nescaya sedikit tertawa dan banyak menangis.” Anas berkata: “Seketika itu para sahabat menutup muka masing-masing sambil menangis teresak-esak.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis yang lain pula mengatakan: Abdullah Syeikhir r.a. berkata: “Saya datang kepada Nabi SAW sedang baginda sembahyang, maka terdengar nafas tangisnya bagaikan suara air mendidih dalam bejananya.” (Riwayat Abu Daud dan At Tarmizi)

Membaca Al Quran

Ada di kalangan Sahabat-Sahabat dan salafussoleh, bila membaca Al Quran sama ada dalam sembahyang atau di luar sembahyang, bila sampai tentang ayat azab atau ayat tentang kebesaran Allah, ada yang jatuh pengsan dan terus mati. Sensitifnya dengan ayat-ayat Allah bagaikan terkena gencatan elektrik, terus mati.

Kalaulah bukan kerana kehebatan rasa dalam hati tidak begitu menekan sangat maka tidak mungkin dia jatuh pengsan. Ada sesetengah salafussoleh bila mendengar tentang ayat azab Neraka, ada yang tidak lalu makan berhari-hari. Kalaulah bukan kerana rasa hati yang begitu hebat tentang azab di Akhirat tentulah tidak sampai terjadi demikian. Sebab itulah sebahagian salafussoleh membaca Al Quran, oleh kerana terlalu lazat dan asyik, mereka boleh menghabiskan tiga puluh juz dalam waktu satu malam sahaja. Begitu juga wirid, zikir dan sedekah, terlalu banyak.

Kahwin

Sesetengah mereka ini kerana rasa hati terlalu takut dengan Allah hingga tidak ada mood untuk mengadakan perhubungan dengan isteri lagi. Hingga Rasulullah terpaksa menegur perbuatan mereka ini. Begitu juga telah diakui sendiri oleh isteri Sayidina Umar Abdul Aziz selepas diberi tanggungjawab berat memikul urusan negara (khalifah), dua tahun mereka tidak mandi junub.

Ertinya begitulah takutnya Sayidina Umar Abdul Aziz kepada Allah, takut akan ditanya tentang urusan dunia dan pentadbirannya dan takut ianya akan diazab. Dan matinya pun setelah mendengar cerita mimpi khadamnya yang menceritakan bagaimana para pemerintah Bani Umaiyah sebelumnya semuanya terjun ke Neraka. Belum sempat khadamnya menceritakan tentang nasibnya, dia sudah jatuh pengsan dan terus mati.
 

Syattah (melatah) dan Sakar (mabuk)

Ada di kalangan Sahabat-Sahabat yang membuat pengakuan, kalau aku ceritakan apa yang terasa di hatiku ini, akan ada orang yang akan menyesatkanku dan akan membunuhku. Setengahsetengah ahli su? zaman dahulu kerana mabuk cintanya sangat mendalam kepada Allah hingga berlakunya syattah atau melatah. Iaitu mengeluarkan kata-kata di mulut yang tidak dapat dikawal (control). Sewaktu-waktunya atau kadangkala tidak dapat difahami oleh orang yang mendengarnya. Kalau dilihat secara lahir, ia tidak dapat ditakwil dengan mudah agar sesuai pengertiannya mengikut kedudukan syariat. Kesannya, ada yang menuduhnya ka?r atau syirik. Ini yang berlaku kepada Ibnu Arabi dan Al Hallaj, hingga mereka dibunuh orang.

Sebenarnya apa yang terjadi ialah bahasa hatinya tidak dapat diterjemah oleh bahasa lidah. Maka terkeluarlah bahasa lidah yang tidak mampu menterjemahkan bahasa hatinya. Maka bagi orang yang tidak memahami soal-soal rasa ini dan juga tidak dapat mentakwilnya maka jadi fitnah padanya, langsung disesatkan orang yang hampir dengan Allah itu.

Juga pernah berlaku pada orang-orang sufi yang mabuk cintanya dengan Allah yang tidak dapat dikawal hingga ada yang sakar (mabuk). Iaitu seolah-olah macam orang gila seperti berlaku pada Uwais Al Qarni dan lain-lain lagi. Boleh juga terjadi pada satu keadaan lain, mereka ini bila cuba melahirkan bahasa cinta mereka kepada Allah, akan terkeluarlah bahasa-bahasa yang indah-indah dan sastera yang mendalam melalui syair dan sajak-sajak yang memuja dan memuji Allah atau Rasul. Contohnya berlaku pada Rabiatul Adawiyah dan lain-lain lagi.

Kesimpulannya, kesan daripada ilmu rasa (zauq) inilah dapat melahirkan sifat-sifat mukmin yang sejati. Rasa hati telah membentuk sikap manusia yang lahir di tengah-tengah kehidupan salafussoleh. Yakni orang mukmin itu pada lahirnya saja bersama-sama manusia tetapi hatinya bersama Allah. Badan lahirnya sibuk mentadbir dunia tetapi hatinya sibuk dengan Allah. Jasadnya sibuk berhubung dengan manusia tetapi hatinya remuk dan pecah-pecah dengan Allah.

Mereka ini nampak senyum wajah lahirnya tetapi hatinya berduka dengan Allah, cemas, harap, bergantung dan bertawakal dengan Allah. Kaki mereka berpijak di bumi tetapi hati dan perasaannya mengembara ke alam yang lebih tinggi. Kakinya di dunia tetapi perasaan di Akhirat. Jasad lahirnya bersama dunia tetapi hati tidak terpikat dengan dunia kerana hatinya bersama Allah. Badan lahirnya mengembara di bumi Tuhan tetapi rohnya mengembara di alam rohani. Mulutnya bercakap dengan manusia tetapi hatinya tidak lepas berhubung dengan Allah. Matanya memandang dunia tetapi hatinya gerun dengan Neraka-Nya. Telinganya mendengar percakapan manusia tetapi hatinya mendengar apa kata Allah.

Ini menjadikan mereka walaupun berpijak di bumi, menguruskan pentadbiran dunia tetapi hati mereka gementar takut kepada Allah yang mengawasi, melihat dan mendengar apa yang dilakukan. Akhirnya terkeluar daripada mulutnya, dia bercakap-cakap seorang diri seolah-olah berbisik-bisik dengan Allah, Tuhannya itu. Kadang-kadang payah untuk diceritakan dengan bahasa lidah.

Inilah yang menjadi kesulitan orang-orang dunia memahaminya. Ini adalah kerana mereka mengukur orang lain dengan ukuran diri mereka. Hal-hal rasa ini sudah tidak dicampakkan ke dalam hati mereka kerana hati sudah dipenuhi dengan cinta dunia. Lihatlah kehidupan mereka dan perbualan mereka. Yang jadi perbualan harian ialah hal-hal gaji, elaun, mileage, kenaikan pangkat, halhal yang menambahkan harta dan membesarkan rumah dan lain-lain lagi. Masakan Allah beri ilmu rasa ini! 


JIka kita sayangkan agama. bangsa dan negara kita, bangunlah mengusahakan ini semua di dalam diri, keluarga dan masyarakat kita!! Percayalah ianya praktikal dan mampu menyelamatkan negara kita!!

Ubahlah Sistem Pendidikan Negara Kepada Sistem Pendidikan Islam Yang Sebenarnya!!


Dalam dunia Islam hari ini rasanya tidak ada menteri pendidikannya yang mampu mengubah sistem pendidikan negaranya mengikut sistem Islam yang sebenarnya. Kebanyakannya terikut dengan sistem sekular yang meletakkan pencapaian akal sebagai asas penilaian kualiti seseorang pelajar.

Ya! bukan mudah untuk dirungkai sesuatu yang telah lama mengikat kita. Walaupun dunia pemikiran manusia telah banyak berubah, ramai pula yang masih selesa untuk terus kekal dalam kepompong lama.

Contohnya Tun Dr Mahathir sendiri mengatakan demokrasi bukan sistem yang baik.(BACA DI SINI). Tetapi secara realitinya berapa ramai tokoh politik yang berusaha mengawal demokrasi daripada terus dipergunakan untuk merosakkan agama, bangsa dan negara?

Begitu juga ramai mengakui sistem pembelajaran berasaskan peperiksaan sudah tidak relevan dengan keperluan masa kini. Sitem berasaskan peperiksaan tidak akan melahirkan pelajar yang berfikiran kritis dan kreatif. Pakar pendidikan dunia mengakui hal ini. Malangnya tidak ramai menteri yang sanggup mengubah dasar pendidikan di negara mereka. Mereka tidak mempunyai kekuatan untuk keluar dari pemikiran lama.

Dalam Islam, manusia dinilai pada hatinya bukan pada kekuatan akalnya. Lihatlah panduan Tuhan di dalam Al-Quran yang bererti; "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa kamu dan harta kamu dan sesungguhnya Allah melihat kepada hati dan amal ibadah kamu."

Sabda Rasulullah s.a.w.; yang bererti: "Allah tidak menerima amalan melainkan amalan yang dikerjakan dengan tulus dan ikhlas bagiNya dan bertujuan mendapat keredaanNya"

Juga Baginda saw bersabda: Terjemahannya: "Ketahuilah sesungguhnya dalam diri anak Adam itu ada segumpal daging. Jika baik daging itu maka baiklah seluruh jasad. Bila buruk daging itu, maka jahatlah seluruh jasad. Ketahuilah, itulah hati". (Riwayat Bukhari & Muslim)

Semua menteri pelajaran di negara-negara Islam membaca dan memahami ayat Al-Quran dan hadis yang membawa makna di atas. Malangnya mereka tidak mengambilnya sebagai dasar tindakan mereka. Hasilnya mereka terus mengutamakan pencapaian akal dalam pendidikan. Sedangkan pendidikan yang sebenarnya ialah proses mencelikkan mata hati. Pendidikan adalah membina rasa-rasa hati yang tepat dengan Allah swt yang akal tidak mampu mencapainya.

Akal hanya berupaya faham tetapi tidak mampu mendorong untuk berbuat taat yang ikhlas kerana Allah. Sebab itu pendidikan hati yang perlu digubal dan dikurikulumkan!!

Sukarnya berubah dan mengubah sesuatu yang sudah diketahui membahayakan kepada yang menyelamatkan. Susahnya orang mahu mengakui kesilapan dan berani untuk menukar cara berfikir dan bertindak. Semuanya masih selesa dengan cara lama yang hasilnya sangat merugikan negara.

Lihatlah hasil pendidikan di negara kita pada hari ini!! Kemelutnya sudah meruncing dan menyedihkan tetapi kita masih belum mahu mengakuinya. Data dan statistik yang ada sudah menunjukkan graf akhlak yang semakin menjunam tetapi pakar-pakar pendidikan masih terkial-kial mencari kaedah demi kaedah. Memang ada yang dirombak atau diubah suai tetapi ianya hanya mengubah pada nama - tidak pada hakikatnya.

Membaiki manusia mesti dimulakan dari membaiki hatinya!! Inilah fokus yang sangat signifikan dengan keperluan pembangunan negara sekarang dan pada masa depan. Jika negara mahu terus terhormat mulia, binalah anak bangsa dengan rasa hati yang kenal siapa penciptanya. Mereka akan tahu berakhlak dan bertindak yang sejajar dengan kehendak Tuhan.

Walau bagaimana pun hanya yang sedar sahaja yang akan bangkit. Bagi mereka yang masih tidur, hanya mimpi buruk sahaja yang mampu mengejutkan mereka. Siapa yang akan bangkit dengan kesedaran baru, jika ia masih tidak memahami situasi sebenar? Kita akan kekal mengutip hasil yang busuk jika terus tidak menjaga pohon yang kita tanam dengan baja dan kawalan seccukupnya. Semoga Allah menyelamatkan anak bangsa kita!!

Pandangan Tun Dr Mahathir Terhadap Demokrasi dan Demonstrasi

Berikut adalah petikan artikel Tun Dr Mahathir yang Pak Lang ambil dari blog http://chedet.cc SILA KLIK

Demonstrasi

1. Kita telah lihat Kerajaan Mesir yang dipilih melalui pilihanraya dijatuhkan oleh demonstrasi secara besar-besaran penentang Kerajaan Ikhwanul Muslimin pimpinan Morsi.

2. Kebebasan berdemonstrasi adalah hak rakyat dalam negara demokratik. Apakah hak ini lebih utama daripada hak mengundi dalam pilihanraya?

3. Sebenarnya walaupun berjuta yang berdemonstrasi, jumlah mereka kurang daripada jumlah pengundi yang memilih Kerajaan. Mereka, yang terdiri dari aktivis, adalah minoriti berbanding jumlah pengundi yang mengundi.

4. Jika minoriti ini diberi hak untuk menjatuhkan Kerajaan pilihan majoriti apakah hak ini secucuk dengan demokrasi?

5. Di Malaysia ada ahli politik yang ingin jatuhkan kerajaan pilihan rakyat dengan demonstrasi. Tetapi mereka gagal mencetuskan huru-hara secara besar-besaran sepanjang masa seperti di Mesir.

6. Sebenarnya demokrasi mempunyai banyak kecacatan. India berbangga dengan menjadi demokrasi yang terbesar di dunia. Tetapi India tidak pun berjaya mengurangkan kebuluran dikalangan hampir separuh dari rakyatnya. Sekarang ekonomi India merosot teruk.

7. Sebaliknya Cina yang tidak demokratik hari ini sudah menjadi kuasa ekonomi yang kedua terbesar di dunia. Berjuta dari rakyat mereka dapat melancung keluar negeri. Kemajuan sains dan teknologi Cina sudah sampai ketahap menghantar angkasawan ke stesen angkasa lepas. Dan berbagai lagi kejayaan Cina yang mengkagumi dunia. Sistem Kerajaan Cina tidak demokratik. Tetapi rakyat dan negara Cina lebih berjaya dari segi kemajuan dan keselesaan hidup.

8. Namum demokrasi masih lebih baik dari sistem pentadbiran kukubesi. Sebab utama ialah demokrasi memboleh penukaran pemerintah tanpa perang sivil atau demonstrasi ganas. Tetapi bagi mereka yang tidak faham kebebasan dalam demokrasi, ia tidak mendatangkan hasil yang baik. Ramai dari negara-negara yang baru mengamal demokrasi merosot prestasi mereka. Lihatlah apa yang sedang berlaku di Mesir.

9. Demokrasi memerlukan fahaman akan kelemahan-kelemahan sistem itu. Segala kebebasan dalam demokrasi mempunyai hadnya. Jika pengamal melebihi had maka demokrasi akan gagal membuahkan hasil yang dijanji darinya.

10. Satu daripada perkara yang boleh menentukan demokrasi berhasil ialah kesanggupan menerima keputusan pilihanraya. Dalam pilihanraya tentu ada yang kalah dan yang menang. Seperti yang menang akan terima keputusan, yang kalah juga perlu terima kekalahan.

11. Jika yang kalah tidak sanggup menerima kekalahan dan sebaliknya mencuba gagalkan penubuhan Kerajaan oleh yang menang, maka demokrasi tidak akan berjaya. Harus diingat bahawa jika yang menang pula kalah halangan terhadap penubuhan Kerajaan oleh lawannya akan diusahakan olehnya. Dengan itu demokrasi akan gagal.

12. Mungkin dakwaan oleh yang kalah akan penipuan oleh yang menang mempunyai asas. Perkara ini hanya boleh diputus oleh mahkamah. Perbuatan untuk menggagalkan keputusan pilihanraya dengan cara ganas akan menidakkan demokrasi.

Bayangkan Malaysia Berubah Bilamana Pemimpin Dan Rakyat Jelata Serius Membaiki Hati Untuk Cinta Dan Takut Tuhan!!



Menjadi pemimpin adalah amanah. Tugas pemimpin yang utama ialah membaiki diri, keluarga dan masyarakat yang dipimpinnya. Jika orang biasa hanya bertanggung jawab tentang diri dan keluarganya, para pemimpin dibebani persoalan amanah untuk kelompok yang lebih besar. Tentunya ruang lingkup tanggung jawabnya lebih besar mengikut jumlah manusia yang di amanahkan di bawahnya.


Tidak mudah mencari pemimpin yang sentiasa cemas dengan amanah kepimpinan yang dipikulnya. Sebaliknya rata-rata pemimpin bergembira (baca 'enjoy') dengan status dan keistimewaan yang diterimanya. Hakikat yang mengatakan pemimpin itu sebagai hamba rakyat atau wakil rakyat tidaklah pernah berlaku. Apa yang menjadi realiti rakyat diperkudakan dan diperbodohkan sewenang-wenangnya. 

Malaysia merindui pemimpin yang sanggup bersusah payah demi rakyat. Malaysia mengharapkan para pemimpinnya berkorban habis-habisan demi kesejahteraan rakyat. Bukan senang mendapatkan pemimpin politik dari aliran demokrasi yang sanggup berkorban untuk rakyat tanpa mengharapkan undi sebagai balasannya. Biasanya yang diharapkan ialah balasan sokongan rakyat sebagai imbalan 'pertolongannya' kepada rakyat. Ya! amanah membantu rakyat dianggap dirinya berbudi kepada mereka. Itulah jahatnya pemimpin sebegini. 

Siapa yang boleh diharapkan di Malaysia? Sukar untuk kita menjawabnya! Tetapi sejarah berkenaan pemimpin yang bertanggungjawab seperti yang diharap-harapkan, benar-benar pernah berlaku. Ianya pernah menjadi realiti sebelum ini. Semoga akan ada tokoh yang muncul menjadi pilihan rakyat yang mampu menaungi dan mendidik rakyat. 

Kita harapkan ada tokoh di dalam masyarakat kita yang mampu mengajak rakyat kepada Tuhan. MengesakanNya dan menjadikanNya sebagai kecintaan hati rakyat jelata. Pemimpinlah yang sepatutnya memfokuskan seluruh aktiviti pentadbirannya ke arah mendorong rakyat kepada cinta dan takut Tuhan. Fokuskan supaya rakyat serius dalam melaksanakan solat berjemaah. Solat itu dibimbing supaya ada rasa gerun dengan Allah. 

Usahakanlah dengan pelbagai cara dan pendekatan supaya rakyat cemas, gerun dan takut dengan Allah swt. Wah!! kalau ini dapat dilakukan oleh seseorang tokoh di Malaysia, tidak syak lagi, dialah pemimpin yang layak memimpin negara dalam era yang mencabar ini.  

Banyaklah lagi kerja pemimpin. Bukanlah sekadar mengajak sembahyang yang khusyuk. Akan tetapi yang Pak Lang maksudkan ialah jika ada seseorang yang mampu menggerakkan rakyat sampai ke tahap mengagungkan sembahyang, maka Pak Lang yakin itulah orang yang layak menjadi pemimpin negara Malaysia ini. Cubalah kita cari diseluruh negara, semoga kita bertemu orangnya!!!

 Bacalah artikel di bawah supaya kita lebih memahami persoalan yang Pak Lang maksudkan.

Sayidina Abu Bakar berkata:
"Terdapat lapan perkara yang menjadi perhiasan kepada lapan perkara: 
1)   Menjaga perkara yang haram, perhiasan kepada fakir. Syukur perhiasan kepada nikmat Sabar perhiasan kepada bala. Tawaduk perhiasan kepada kemuliaan. Berlemah lembut perhiasan kepada ilmu. Merendah diri perhiasan kepada orang yang bercakap. Meninggalkan riyak perhiasan kepada kebaikan. Khusyuk perhiasan kepada sembahyang.

Rahsia kejayaan RasulullahSAW, Khulafa-ur-Rasyidin dan salafussoleh dapat memerintah dan menawan tiga suku dunia dengan jayanya adalah kerana mereka cintakan Allah lebih daripada cintakan dunia. Juga kerana mereka memberi tumpuan yang serius kepada Akhirat dengan membersihkan hati mereka. Mereka mampu menundukkan nafsu, lalu dunia jatuh terjelapak ke tangan mereka.

Kalaulah mereka tidak mengutamakan sifat-sifat terpuji (mahmudah) lebih daripada sifat-sifat terkeji (mazmumah) tentulah mereka senasib dengan kita. Yakni bukan saja tidak dapat menegakkan empayar, hendak memerintah satu negara pun tidak akan berjaya. Memerintah satu negeri pun akan gagal. Bahkan memerintah satu kampung pun akan timbul pecah belah. Bahkan gagal untuk menawan walau satu hati pun.

Kalau masalah dalam diri tidak dapat diatasi, tidak selesai-selesai, apa logiknya untuk tawan hati orang lain? Lebih-lebih lagi apa logiknya untuk tawan hati manusia dalam satu empayar? Bukankah ?trah hati itu akan jatuh hati hanya dengan orang yang mempunyai akhlak terpuji? Sekali lagi diulang, berjayanya Rasulullah SAW dan para Sahabat serta salafussoleh mengislamkan dunia adalah kerana mereka serius membersihkan hati mereka yang asalnya dari alam jahiliah kecuali Rasulullah SAW yang sememangnya bersih dan tidak berdosa (maksum). Memang sebahagian mereka pernah melakukan bermacam-macam dosa tetapi kerana seriusnya mereka dalam membersihkan hati daripada sifat terkeji melalui mujahadatunnafsi, riadatunnafsi, dengan disiplin serta barakah pimpinan Rasulullah SAW, maka mereka diberi Allah sifat-sifat hati yang bersih seperti yang disebutkan dalam tajuk-tajuk yang lepas.

Contohnya rasa kasih sayang, berkorban apa sahaja, cintakan kebenaran, cintakan Allah, takut, harap, tawakal pada Allah, rasa gerun dan hebat pada Allah, merasa diri hamba, merendah diri dan malu dengan Allah, pemaaf, suka meminta maaf, takut dan gerun dengan Neraka-Nya, cinta dan mabuk dengan Syurga-Nya dan lain-lain sifat mahmudah lagi. Bahkan hidup mati mereka diserahkan kepada Allah. Hati mereka sedikit pun tidak terpaut dengan dunia. Sedangkan di waktu yang sama, mereka mengurus dan mentadbir serta memerintah tiga perempat dunia.

Hakikat yang berlaku ialah bila mereka cintakan Allah dan cintakan Akhirat, di waktu itulah mereka mengorbankan hidup dan mati mereka untuk Allah. Seperti orang bercinta, dia sanggup beri apa saja demi menunaikan hajat cintanya. Begitulah hati mereka dengan Allah.

Hati, jantung, kaki, tangan serta seluruh anggota mereka gementar bila disebut nama Allah dan bila mendengar ayat-ayat-Nya. Mereka sangat cinta, rindu dan kasih kepada Rasul-Nya. Sesama mereka sangat berkasih sayang, bertolong bantu, bertolak ansur, berkorban apa saja, pentingkan orang lain, tenang dan damai serta hidup aman makmur. Dengan kehidupan yang beginilah mereka dapat tegakkan masyarakat yang baik selama 300 tahun. Itulah yang dikatakan masyarakat salafussoleh sepertimana yang Allah kehendaki.

Firman-Nya: “Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah.” (Saba’: 15)

Bilamana umat Islam sudah tidak mengikut kaedah ini lagi, yakni selepas umat Islam tidak mengamalkan Islam melalui proses pembersihan hati daripada sifat mazmumah, empayar Islam telah jatuh ke tangan musuh-musuhnya. Bila musuh datang, bukan musuh yang diperangi, tetapi sebaliknya yang berlaku. Kawan dianggap musuh maka mereka bermusuh sesama sendiri. Hati penuh dengan cinta dunia, hasad dengki, sombong, bakhil, penakut, pemalas, pemarah, gila pangkat, gila nama dan bermacam-macam gila lagi. Di waktu itu, dunia yang sudah ada di tangan, terlepas semula.

Tanpa proses pembersihan hati, negara dan masyarakat akan dikuasai oleh orang jahat kerana rakyatnya telah jahat. Rakyat akan hidup susah dan menderita. Sedangkan orang yang punya kuasa, hidup senang-lenang dan mewah serta berlumba-lumba membina empayar masing-masing. Hal ini kita boleh lihat dalam realiti hidup kita. Di mana negara yang umat Islamnya ramai, ekonomi negara dan masyarakat dikuasai oleh orang yang bukan Islam. Hidup masyarakat berkasta-kasta di mana yang kaya terlalu kaya dan yang miskin terlalu miskin. Hidup nafsi-nafsi, pecah amanah dan rasuah. Penipuan, pergaduhan, pencurian, demonstrasi, pembunuhan sering berlaku dan dunia seluruhnya tidak aman lagi.

Sebab itu Islam meminta agar umatnya membersihkan hati daripada sifat mazmumah dan menanam sifat-sifat mahmudah. Kerana dengan kaedah ini saja hati-hati manusia akan dapat ditawan. Dunia akan selamat dan aman makmur. Hati cinta dengan Allah tapi dunia dalam tangan. Hati rindu dengan Allah tapi dunia dapat ditadbir dan diuruskan. Kaki berpijak di bumi, mengurus ekonomi, pertanian, perubatan, khidmat masyarakat, berdakwah dan mengajar, berhubung dan mesra dengan manusia tetapi hati dengan Allah.

Kesan dari mujahadah yang sungguh-sungguh untuk membersihkan hati, maka lahirlah buah dalam kehidupan masyarakat. Apabila salafussoleh ini memerintah dan mentadbir dunia, oleh kerana terlalu takutnya dengan Allah yakni takut ditanya tentang pentadbiran dan rakyatnya, dia tidak sempat memikirkan keperluan dirinya sendiri. Tidurnya hanya satu pertiga malam. Sembahyangnya terlalu banyak. Kalau mereka berniaga, di waktu tidak ada pelanggan, mereka akan terus bersembahyang, membaca Quran atau berzikir. Ada di antaranya tidak sempat mandi junub kerana mendengar panggilan jihad (gendang perang) lantas menyahut seruannya. Mereka menangis kalau tidak dapat ikut serta dalam perang. Mereka menangis dan pengsan bila mendengar ayat-ayat Allah. Sanggup berpisah dengan suami atau isteri sampai berpuluh-puluh tahun kerana berdakwah atau berjihad. Sanggup hidup ala kadar kerana Islam. Sanggup hidup mati untuk Allah dan Rasul-Nya.

Malangnya melalui sistem pengajian Islam yang sudah disekularkan, ilmu tasawuf atau ilmu rasa (zauq) ini sudah ditolak atau sudah tidak diambil berat lagi. Bahkan dianggap mengarut dan sesat serta menyesatkan. Kalau diajar pun ajaran tasawuf, hanya di mulut atau seronok menyebut istilah-istilahnya sahaja. Tetapi intipati ajaran tasawuf tidak bertapak di hati. Sebab itu orang yang belajar tasawuf, ilmunya itu tidak dapat mengubah sikap dan peribadi mereka.

Oleh itu mari kita fikirkan secara serius tentang ilmu tasawuf atau ilmu rohani atau ilmu rasa (zauq) ini supaya jiwa kita yang sudah buta dan mati ini dapat dicelikkan kembali serta hidup dan berfungsi. Agar ia dapat menjadi power kepada kebangkitan Islam di akhir zaman. Kalau dulu dunia dapat ditawan, maka kali ini sejarah itu akan berulang sekali lagi di tangan-tangan kita.

Bunuh Diri Adalah Kematian Kedua Tertinggi Di Malaysia


PULAU PINANG 28 Dis. – Gejala bunuh diri dijangka menjadi faktor kedua tertinggi menyumbang kepada jumlah bilangan kematian di negara ini selepas penyakit kardiovaskular dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

Pensyarah Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. See Ching Mey berkata, angka itu diperoleh daripada laporan Kementerian Kesihatan yang dibuat pada tahun ini.

Menurutnya, dalam laporan bertajuk Pencegahan Pembunuhan Diri di Malaysia itu, kadar kematian pada tahun 2004 adalah antara 9 hingga 12 kes bagi setiap 100,000 penduduk manakala tahun lalu pula 13 kes dalam setiap 100,000 orang.

‘‘Dipercayai bilangan sebenar kes membabitkan bunuh diri di negara ini lebih tinggi daripada jumlah rasmi yang diberikan kerana kes-kes seumpama ini kurang dilaporkan.

‘‘Angka-angka ini juga dijangka akan terus meningkat sekiranya kita tidak mengambil langkah pencegahan dari awal khasnya bagi membendung ia daripada terus menjalar ke peringkat umur yang lebih muda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan siri syarahan umum pelantikan profesor yang bertajuk ‘Senang Tetapi Tidak Tenteram’ di USM di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. See berkata, antara faktor yang menjadi penyumbang kepada meningkatnya kes bunuh diri adalah disebabkan masalah kecelaruan mental.

Tambahnya, sedar atau tidak, sebanyak 3 juta daripada 26 juta penduduk termasuk kanak-kanak di negara ini disahkan menghidap masalah gangguan mental atau emosi, dan masalah itu perlu ditangani dengan segera kerana ia boleh mengancam nyawa.

‘‘Masyarakat ketika ini terdedah dengan dunia moden yang melengkapi serta mempengaruhi corak hidup seharian dan keadaan itu menyebabkan ramai di antara kita berada dalam keadaan tertekan.

‘‘Ia mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk kehendak dunia pada masa ini yang memerlukan kita pantas dan cepat berfikir, kerja yang mencabar, aktiviti harian yang terlalu sibuk dan sebagainya,’’ ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru organisasi di pelbagai sektor di negara ini supaya melengkapi persekitaran mereka dengan sistem yang dikenali Program Bantuan Kakitangan (EAP) bagi langkah pencegahan.

Jelas beliau, program tersebut boleh membantu serta memberikan khidmat nasihat bagi mereka yang mempunyai masalah sekali gus mengurangkan masalah kecelaruan mental yang dihadapi seseorang itu.

‘‘Selain itu, saya berpendapat negara ini perlu melahirkan lebih banyak ahli kaunseling kerana jumlah yang ada sekarang tidak mampu menampung pesakit mental ini yang meningkat setiap tahun.

‘‘Mengikut statistik daripada Lembaga Kaunseling Malaysia, jumlah kaunselor yang berdaftar kira-kira 900 orang dan angka itu terlalu sedikit jika dibandingkan dengan taburan penduduk di Malaysia,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1229&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_07.htm#ixzz2iug9mScH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Monday, 28 October 2013

Banjir Madinah 2013 – Jasad Para Sahabat Nabi Timbul Masih Utuh Dan Berdarah?

Pak Lang bertemu artikel berkenaan tajuk di atas. Ianya dikatakan kejadian benar yang terjadi di perkuburan Syuhada Uhud, di Madinah. Ada beberapa maklumat asas yang diperlukan dalam berita tersebut tetapi ianya tidak dinyatakan. Contohnya mengenai masa kejadian banjir yang dikatakan berlaku serta menyebabkan tubuh para syuhada' terkeluar. Tarikh kejadian tidak dinyatakan. Begitu juga tidak disebutkan tarikh pengebumian semula jasad-jasad dimaksudkan. Walaupun kita teruja untuk meyakininya, kita juga perlukan kesahihan atas apa yang dikhabarkan. 
 
Pak Lang berharap Tuan Haji Salleh Saliyan dan kawa-kawan yang sedang berada di Madinah dapat mencari kesahihan khabar ini. Di bawah ini, Pak Lang paparkan artikel berkenaan untuk tatapan semua anak cucu sekelian. Semoga ianya benar
 
 
Waktu terjadi banjir di Madinah, kubur 70 orang syuhada'Perang Uhud itu dilanda banjir, jasad para sahabat timbul keluar dalam keadaan masih utuh kerana mereka dikuburkan di kawasan padang pasir.

Selepas banjir surut, darahnya masih mengalir harum dan dikuburkan semula tetapi sudah tidak ditandai nama-nama jenazah tersebut dan yang ditandakan kerana dikenali cuma 2 sahaja iaitu Saidina Hamzah RA kerana diketahui dengan luka didadanya, badannya tinggi besar.

Jasadnya masih berdarah dan harum. Bahkan tangannya masih menekup lukanya akibat terkena tombak, yang masih keluar darah. Walaupun sudah lebih seribu tahun.

Dan yang satu lagi adalah Abdullah bin Jaz RA kerana diketahui telinga dan hidungnya terpotong akibat diikat benang. Kedua orang inilah yang sekarang nisannya ada di Uhud. Jadi kalau sekarang kita berziarah ke Gunung Uhud, hanya ada 2 nisan saja.

Sebuah “Kesaksian” Dr Thariq As-Suwaidan dalam kasetnya yang amat berharga “Qisshatun Nihayah” yang dinukil secara langsung dari Syaikh Mahmud Ash-Shawaf menyebutkan peristiwa besar yang dialami oleh sebahagian ulama dalam penguburan semula sebahagian sahabat yang gugur syahid di perang Uhud.

Bagaimana mereka menyaksikan para sahabat setelah 1400 tahun berlalu, bagaimana jasad mereka seperti sedia kala tanpa perubahan, tanpa pembusukan. Sebagai bukti nyata atas kebenaran berita gembira dari Nabi Muhammad SAW kepada para syuhada, bahawa bumi tidak memakan jasad mereka.

Berikut adalah sebahagian dari kaset pembicaraan Dr Thariq As-Suwaidan tentang peristiwa tersebut. “Syaikh Mahmud Ash-Shawaf telah menyampaikan kepada kami bahwa dia adalah salah seorang yang diundang daripada kalangan ulama besar untuk pemakaman semula para sahabat yang gugur syahid di perang Uhud di kompleks kuburan syuhada Uhud iaitu sebuah kawasan perkuburan yang terkenal.

Kerana dilanda banjir, maka sebahagian jasadnya timbul ke permukaan. Para ulama diundang untuk menguburkan semula para sahabat tersebut. Beliau berkata ”Di antara orang yang aku kuburkan adalah Hamzah RA, badannya besar, kedua telinga dan hidungnya terpotong, perutnya terbelah, dia meletakkan tangannya di atas perutnya.

Ketika kami menggerakkannya dan mengangkat tangannya, darahnya mengalir. Aku menguburkannya bersama sahabat-sahabat lainnya yang gugur syahid di Uhud.” Dr Thariq As-suwaidan berkata, ”Ini adalah perkara yang terbukti secara mutawatir dan dengan mata kepala. Semoga Allah SWT menyampaikan kita semua ke darjat para syuhada.

Syaikh Mahmud telah menyampaikan kepada kami tentang aroma harum misk yang berasal darinya ketika darah mengalir dari jasad Hamzah RA.” SubhanAllah, setelah 1400 tahun lebih, betapa agungnya Engkau ya Allah. Alangkah besarnya kekuasaan-Mu, Maha suci Engkau.

Betapa utamanya, betapa mulianya, Allah memberikannya kepada para syuhada. Jika seperti itu kemuliaan jasadnya yang terpendam di perut bumi yang tak seorangpun melihatnya, lalu bagaimanakah dengan kemuliannya di surga yang luasnya seluas langit dan bumi.

Selamat bagi yang telah melihat sahabat mulia ini, Hamzah bin Abdul Mutthalib RA pakcik Rasulullah SAW Jasad Syuhada Yang Tidak Mengalami Pembusukkan Jabir bin Abdillah bercerita, ”Menjelang perang Uhud, ayahku memanggilku pada malam hari. Ia berkata: ’Aku merasa akan menjadi orang yang paling pertama gugur di antara para sahabat Nabi SAW.

Sungguh aku tidak meninggalkan sesuatupun yang lebih kusayangi selain engkau, disamping Nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya aku memiliki hutang, maka lunasilah. Dan bersikap baiklah kepada saudara-saudara perempuanmu.’ Keesokan harinya, ia pun menjadi orang yang pertama gugur.

Ia dimakamkan bersama orang yang lain dalam satu lubang kubur. Tetapi hatiku merasa kurang selesa membiarkan ayahku berkongsi lubang kubur bersama orang lain. Enam bulan kemudian, aku membongkar makamnya dan mengeluarkannya. Ajaib, jasadnya masih tetap utuh sama seperti pertama kali aku menguburkannya.” (Hadis Riwayat Bukhari, Fathul Bari, 3/214 )

Petikan hadis di atas membuktikan di mana ayah Jabir RA terbunuh dalam perang Uhud dan ketika enam bulan kemudian makamnya dibongkar, maka jasadnya tetap utuh. Enam bulan adalah waktu yang lama di mana tubuh mayat seharusnya sudah hancur.

Penelitian membuktikan bahwa 24-36 jam pertama mayat dikuburkan, maka bola mata mulai menonjol dan kornea menghitam. Cabang-cabang urat nadi mulai terlihat di perut dan dada. 2-5 hari berikutnya, wajah dan seluruh tubuh menggelembung, dari tubuh mayat keluar bau busuk. Setelah melewati 5-10 hari, kulit mulai rapuh dan tubuh dilitupi larva.

Organ-organ tubuh meleleh ke tanah dan mulai menyisakan tulang saja. (dinukil dari buku Ushuluth Thibbisy Syar’i, Dr. Muhammad Ahmad Sulaiman) CATATAN – Dalam buku sejarah bencana banjir pertama kali terjadi pada tahun 46 Hijrah atau 667 Masehi atau 43 tahun setelah Perang Uhud yang ceritanya mirip, iaitu jasad jasad mereka mengapung.

Akhirnya Mahathir Mulai Menyerang, Apakah Najib Bakal Tersungkur?

Sebagaimana yang diduga banyak pihak bahawa kekalahan Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir merebut jawatan Naib Presiden UMNO pasti akan menyebabkan rasa tidak senang bapanya, akhirnya menjadi kenyataan juga. Hari ini bekas PM selama 22 tahun mendakwa politik wang masih wujud dalam UMNO sehingga menyebabkan mereka yang tidak layak berjaya menang dalam pemilihan baru-baru ini.

Walaupun tanpa menyebut siapa yang tidak layak tetapi mengamalkan politik wang itu, tetapi kenyataan Mahathir itu jelas menggambarkan kekecewaan terhadap kekalahan anaknya itu.

Sebelum pemilihan dan sepanjang kempen, Mukhriz dilihat calon paling popular untuk memenangi salah satu jawatan Naib Presiden UMNO. Ke mana-mana beliau pergi, sambutan yang diberikan cukup hangat. Dengan kemenangan tipis dalam PRU 13 serta kejayaan merampas kembali Kedah daripada pas dan terlihat adanya keperluan terhadap pemimpin muda untuk meniup angin segar dalam UMNO, Mukhriz dilihat antara pemimpin yang memenuhi kriteria itu.

Malangnya, populariti yang diterimanya tidak diterjemahkan dalam bentuk undi. Mukhriz hanya berjaya mendapat tempat keempat dengan 91 undi di belakang Hishammuddin yang mendapat 100 undi. Kekalahannya antara lain ialah kerana beliau tidak memberi wang kepada ketua-ketua UMNO cawangan dan perwakilan yang bakal mengundinya.

Berbanding calon-calon lain, bukanlah rahsia lagi ada yang memberi antara RM300 sehingga RM1000 kepada para perwakilan.

Sehubungan itu, dakwaan Mahathir bahawa sehingga berjuta wang yang mengalir dalam pemilihan kali ini, memang sesuatu yang tidak dapat disangkal lagi. Bayangkan dengan 146,500 perwakilan, jika RM200 atau RM300 saja diberikan kepada perwakilan, sudah puluhan juta jumlahnya.

Sebelum pemilihan juga, Mahathir sudah merasakan peluang tipis bakal dihadapi anaknya berikutan beliau bukanlah calon pilihan Najib. Semua itu juga terbukti benar, apatah lagi 14 bahagian di Pahang, negeri yang sinonim dengan Najib, langsung tidak memberi undi kepada Mukhriz.

Dalam hal ini, memang sukar menyekat kemarahan Mahathir. Sudahlah anaknya dianaktirikan oleh Najib dengan tidak menjadikannya calon pilihan, berlakunya politik wang yang berleluasa sehingga ada yang beratur seperti menerima wang bantuan, pastilah menyukarkan lagi peluang beliau untuk memenangi jawatan itu, kecuali jika turut bersedia memberi wang kepada para perwakilan.

Dalam kritikannya hari ini, Mahathir bukan saja menyelar mengenai politik wang yang terus berlaku dalam UMNO dan menyebabkan anaknya tewas, tetapi turut mengkritik kepimpinan Najib yang disifatkannya lemah, kurang mendapat sokongan rakyat dan sering mengalah kepada tuntutan ekstremis daripada parti pembangkang.

Menurut Mahathir lagi, kerajaan pimpinan Najib sekarang juga tidak stabil kerana wujudnya persepsi kerajaan lemah dan orang yang tidak betul menjadi pemimpinnya.

Melihat kepada serangan Mahathir ini, tidak syak lagi ini adalah permulaan perang terbukanya terhadap Najib. Selepas ini, percayalah, lebih banyak lagi kritikan akan ditujukan kepada Najib.

Mahathir juga nampaknya tidak peduli jika serangannya ini menipiskan lagi peluang UMNO dan BN untuk memenangi pilihanraya kecil DUN Sungai Limau yang sedang berlangsung sekarang. Walaupun peluang BN amat tipis untuk merampas kawasan itu daripada Pas, serangan Mahathir kepada Najib ini bakal menjadi modal tambahan kempen Pas untuk mengekalkan penguasaannya di Sungai limau.

Jika ditakdirkan BN menang di Sungai Limau, Mahathir tentunya akan mendakwa bahawa pengaruh anaknya memang diterima baik oleh rakyat Kedah, walaupun kalah bertanding Naib Presiden UMNO. Ia kemudiannya akan mewujudkan persepsi bahawa perwakilan UMNO telah melakukan kesilapan kerana tidak mengundinya, sebaliknya memberi undi lebih kerana faktor wang semata-mata.

Jika BN kalah pula, ia turut membentuk persepsi bahawa kekalahan itu sedikit-sebanyak disumbangkan oleh kritikan dan serangan Mahathir terhadap Najib itu.

Ini bermakna, di Sungai Limau ini, sama ada BN kalah atau menang, kelebihan tetap berpihak kepada Mahathir dan ruang sentiasa lebih terbuka untuk beliau meneruskan siri serangannya terhadap kepimpinan Najib.

Dalam masa yang sama, serangan Mahathir ini juga menambahkan lagi hari-hari yang penuh runsing bagi Najib. Sementara Bajet 2014 yang baru dibentangkannya dikritik banyak pihak terutama hasrat memperkenalkan cukai GST, pemansuhan subsidi gula, banyak janji dimungkiri dan kegagalannya berada di Parlimen ketika perbahasan mengenai belanjawan itu bermula, Najib juga dibelenggu persepsi negatif mengenai salah seorang kakitangannya yang dikaitkan dengan homoseksual berikutan terdedahnya affidavit bekas isterinya yang sedang dalam proses perceraian.

Berita mengenai perkara itu banyak disiarkan dalam blog-blog pro UMNO yang diketahui mempunyai hubungan rapat dengan Mahathir.

Isu bil utiliti kediaman Perdana Menteri yang mencecah RM2.5 juta setahun yang sedang menjadi perbualan hanga rakyat sekarang di ketika Najib menyeru rakyat berjimat cermat, turut menambahkan lagi runsing di kepalanya.

Sepertimana kata Naib Presiden Pas, Sallahuddin Ayub bahawa Mahathir selepas kekalahan anaknya dalam pemilihan UMNO baru-baru ini adalah umpama singa yang cedera dan akan terus menyerang Najib sebagaimana yang dilakukannya kepada Pak Lah dahulu, nyata tidak dapat disangkal lagi. Mahathir sedang menunjukkan kecenderungan akan terus bersuara dan Najib tidak mungkin dapat menjinakkannya lagi.

Tambahan lagi, peluru untuk Mahathir menembak Najib juga semakin banyak.

Walaupun sedang berada di London dalam cuaca yang mulai sejuk kerana menghadiri Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) ketika ini, Najib pastinya sedang berpeluh memikirkan serangan Mahathir ini. (SH 20/10/2013) KLIK SUMBER

Sunday, 27 October 2013

Pembentangan Belanjawan - Apakah Alasan Yang Sepatutnya Bagi Menggantikan Alasan Kencing Manis?

Isu kenaikan harga minyak, gula dan pengenalan cukai GST terus menghantui rakyat. Belanjawan yang dibentangkan Jumaat lalu oleh Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri menandakan kerajaan terpaksa mendapatkan semula wang dari sumber dalam negara - secara langsung daripada rakyat jelata. Tidak ada bijaksananya langkah sedemikian kecuali penasihat PM memberikan idea pendekatan ucapan yang signifikan dengan keadaan semasa negara. 

Ianya lebih terhormat jika isu kenaikan harga ini diperjelaskan bagi menyuburkan semangat patriotisma. Kesempatan berucap dalam pembentangan belanjawan negara yang sebegini sepatutnya mampu dieksploitasi oleh seseorang pemimpin negara. 

Ucapan seorang Perdana Menteri yang ditonton secara langsung oleh semua rakyat sepatutnya menjadikan rakyat kagum dan melonjak semangat cintakan negara. Tetapi ternyata tidak semua pemimpin mampu bertindak sebijak itu. Inilah yang terpaksa diakui apabila melihat pembentangan sedemikian Jumaat lalu. 

Menyatakan alasan kerajaan menaikkan harga gula disebabkan faktor kencing manis adalah kenyataan yang tidak bijak bahkan dianggap mengambil mudah isu rasional kenaikan harga gula. Jika kerajaan prihatin di atas kesengsaraan rakyat, tentu ada cara lain untuk menampung kekurangan dana negara hasil pemberian subsisi bahan berkenaan. Bahkan kalaupun terpaksa juga menaikkan harganya, pasti ada alasan yang lebih bersifat patriotik untuk mendorong rakyat menerimanya. 

Pak Lang paparkan di bawah; komen blogger MSO mengenai hal yang berkaitan. Ada rasionalnya.....KLIK SUMBER

Masalah ketiadaan pitis Najib patut berterus terangn
RENUNGAN

Najib minum air sebanyak lima kali masa bentang Bajet. 

Tindakan kerajaan untuk mengenakan cukai baru, GST serta mengumumkan kenaikan harga gula sebanyak RM0.35 sen semasa pembentangan Bajet Jumaat lalu kini menjadi isu dan pertuturan rakyat marhaen. Rakyat bercakap mengenai perkara ini dengan pelbagai perasaan dan keluhan.

Isu terbaru yang membabitkan rakyat secara langsung ini berpotensi menjadi isu besar di sepanjang tahun ini dan tahun depan. Tidak mustahil juga satu perarakan atau tunjuk perasaan mega akan dilakukan, apabila keadaan gula di dalam tubuh rakyat terlampau rendah apabila amalan mengurangkan gula dilakukan kerana menuruti arahan perdana menteri.

Pembangkang sudah tentu mengambil kesempatan atas apa yang berlaku. Sebagai pihak yang hanya mahu mencari salah kerajaan dan dijadikan modal politik untuk populis dengan rakyat, isu ekonomi ini akan mulai dikembangkan.

Pilihan raya kecil Dun Sungai Limau Kedah yang sedang berjalan kini menjadi gelanggang untuk mencanangkan isu berkenaan. Kenaikan harga gula dan pengumuman cukai GST dilihat satu kemalangan buat UBN di Sungai Limau yang tidak dapat dielakkan.

Sebenarnya kalau hendak dikira kenaikan harga gula dan cadangan mengenakan cukai GST itu tidak patut dijadikan isu dan rakyat boleh menerima dengan baik sekiranya kerajaan atau Najib Razak bijaksana dan berterus terang dengan rakyat serta tidak cuba menipu rakyat mengenai kedudukan sebenarnya tentang permasalahan di sebalik perkara itu.

Tetapi kerana sikap kerajaan yang tidak pernah bercakap benar dengan rakyat, suka mempermain-mainkan rakyat dan menyembunyikan isu-isu yang menyentuh langsung tentang kehidupan mereka, maka berlaku rasa tidak senang hati yang boleh membawa kepada kemudaratan sehingga tidak menstabilkan politik negara.

Kenapa dikatakan begitu? Kerana kalau kerajaan jujur dan berani menyatakan kedudukan sebenarnya ia boleh diterima oleh rakyat. Rakyat boleh menerima apa juga perkara asalkan diberi tahu kepada mereka. Tetapi ianya tidak begitu kerana kerajaan menganggap rakyat sebagai budak-budak yang boleh di'simsilabin' dan ditipu.

Umum tahu apa tujuan dan rahsia disebalik menaikkan harga gula dan mengenakan cukai GST itu adalah untuk kepentingan negara dan rakyat juga? Sebab dan matlamatnya ialah kerana negara sedang berdepan dengan masalah kewangan yang serius. Masalah kewangan negara pula berlaku disebabkan masalah ketirisan dan kebocoran dalam menguruskan kewangan negara.

Kalau hendak dikira aset atau khazanh yang Allah anugerahkan untuk kita sudah cukup tetapi kerana ketirisan disebabkan nafsu amarah manusia (pemimpin UBN), berlakunya penyelewengan, salah gunakan kuasa, rompakan secara teknikal, maka berlakulah kekurangan-kekurangan dan ketidakcukupan wang untuk mengurus negara.

Sekiranya negara tidak berdepan dengan masalah kewangan sudah pasti harga gula, petrol atau cadangan mengenakan cukai GST itu tidak akan dilakukan. Tetapi disebabkan kerana tabungan kewangan negara sudah kering maka kerajaan terpaksa memerah poket rakyat.

Tindakan sebegini bukan sesuatu yang pelik. Dalam mana-mana kerajaan di seluruh dunia ini melakukan hal yang sama menjadikan rakyat secara terpaksa sebagai penanggungjawab. Rakyat adalah pemodal utama kepada pembangunan sesebuah negara. Jadi tindakan mengutip wang dari poket rakyat untuk tujuan pembangunn, keselamatan dan hal-hal kebajikan lain tidak pelik dan bukan satu kesalahan jika dilakukan dengan telus dan adil.

Oleh demikian kenapa kerajaan atau Najib Razak menjadi 'sesat akal' dalam hal ini. Kenapa beliau tidak mahu berterus terang dengan rakyat akan kesusahan dan masalah negara. Beliau sepatutnya berterus terang dengan rakyat menjelaskan apa yang sedang berlaku. Betapa beliau hendak menyembunyikan masalah negara atau dirinya sendiri akhirnya rakyat akan tahu juga. Cara Najib tidak ubah seperti hendak melindungi garam dengan mencampakkan ke dalam sungai.

Saya yakin kalau Najib tulus, berani dan berterus terang rakyat tidak akan gelisah, kecewa dan marah dengan apa diumumkan itu. Rakyat akan menerima dengan seada-adanya. Misalnya semasa membentang bajet tempoh hari Najib boleh memberi tahu rakyat secara jujur dan ikhlas akan sebab musabab disebalik kenaikan harga gula, minyak petrol (sebelum ini atau selepas ini) dan juga dangan mengenai cukai GST mulai tahun 2015 itu.

Ceritalah dan akui kepada rakyat bahawa tindakan itu terpaksa diambil kerana negara sedang berdepan dengan masalah kewangan yang kritikal. Justeru beliau harus jujur mengatakan negara terpaksa mengemis dengan rakyat demi masa depan negara. Kalau Najib berani berkata begitu rakyat tidak akan ada masalah dan tidak akan terkilan. Ini kerana rakyat tahu akan tanggungjawab mereka lagi pun rakyat negara ini dikenali sebagai rakyat yang sangat bertoleran dan berbaik budi.

Tetapi kenapa Najib tidak berani berterus terang? Inlah satil dan cara orang kita berpolitik dan mentadbir negara. Mereka takut untuk berterus terang dengan rakyat dan sering menyembunyikan masalah kepada rakyat. Mereka sanggup menyatakan yang berkaki empat itu burung walaupun rakyat sudah tahu ianya adalah kambing. Cara dan tindakan Najib itu sangat merbahaya. Cara itu boleh merosakan reputasinya sebagai pemimpin.

Demikian juga alasan Najib kononnya kenaikan harga gula itu bagi mengelakkan rakyat negara ini diserang kencing manis adalah alasan yang dangkal dan 'kelas sampah'. Orang boleh pertikaikan apakah Najib baru sedar rakyat negara ini mengalami masalah kencing manis sedangkan fenomena itu sudah bertahun berlaku. Sepatutnya usaha mengurangkan gula demi mengurangkan serangan kencing manis diadakan kempen besar-besaran dua tiga tahun lalu bukan dengan cara menaikkan harga gula. Kelambatan Najib menyedari mengenai masalah ini adalah kelemahan sebagai seorang pemimpin.

Orang yang waras dan berifkir akan menempelak Najib dengan bertanya apakah rokok, shisa minum keras dan sebagai tidak mendatangkan mudarat kesihatan kepada rakyat? Tetapi kenapa pula tidak ada pengumuman kenaikan harga atau cukai kepada bahan-bahan najis dan berdosa itu atas alasan untuk menjaga kesihatan? Kesongsangan ini menyebabkan orang nampak kenaikan gula itu bukan masalah kencing manis tetapi kerana ingin wang dari 'kocet' rakyat. Kocet kocet tu gak, poketlah. Kocet bahasa Kelantan poket bahasa orang putih.

Lebih afdal kalau Najib berterus terang dan memberi alasan begini dalam ucapan bajet kelmarin; "kita terpaksa naikkan harga gula, mengenakan cukai GST kerana negara menghadapi masalah kewangan kritikal. Jadi untuk memastikan kewangan negara cukup maka kita kena mencari wang tambahan, dan caranya adalah begini (naikkan harga gula dan kenakan cukai GST). Adapun kenapa negara berdedapan dengan masalah kewangan kerana keadaan politik negara tidak setabil..."

"Ketidakstabilan ini pula disebabkan kerenah pembangkang yang sepanjang masa mengkritik dan menggocak pentadbiran kerajaan dan sedikit pun tidak bersimpati dengan kerajaan. Gara-gara itu menyebabkan pelabur asing melihat negara kita dalam keadaan tidak stabil dan tidak kondusif. Natijahnya menyebabkan mereka enggan melabur atau menarik pelaburan sedia ada ke negara lain. Impilikasinya kepada pengembangan ekonomi kita...".


Ertinya lebih baik Najib meletakkan masalah kewangan negara itu kepada pembangkang dan bukannya kepada penyakit kencing manis.

Sekiranya Najib memberi alasan itu rakyat boleh menerimanya dan merasakan ia sebagai tepat. Dan dalam masa sama juga Najib boleh membuat seruan kepada rakyat agar mengurang politiking. Serentak itu juga Najib boleh memberi pertunjuk kesediaan untuk mengadakan dialog nasional dengan Pakatan Rakyat seperti disaran Anwar Ibrahim. Cara ini dilihat lebih profesional dan meletakkan Najib sebagai seorang pemimpin yang jujur, ikhlas serta berani. Dan juga pembangkang khasnya Anwar Ibrahim merasa kekok untuk menyerang Najib kerana dia berterus terang.

Selagi Najib tidak mengakui kelemahannya dalam menjana pembangunan dan kewangan negara dan mengambil pendekatan mengseimbangkan kewangan negara dengan 'mencuri' duit rakyat dengan pelbagai cukai dan menaikan harga barang orang akan melihat Najib tidak ada idea dan kebolehan untuk mengurus sesebuah negara. Persepsi sebegini lebih teruk daripada tanggapan Najib suka berbohong dengan rakyat. [wm.kl.5:56 pm 27/10/13]

Kisah Benar - Menanti Doa 47 Orang Yang Ikhlas Untuk Panjang Usia

Apa yang diceritakan oleh sahabat saya (kisah benar) Roshaizad berusia 38 tahun mempunyai seorang isteri berusia 32 tahun yang cantik dan baik hati. Suri rumahtangga sepenuhnya. Dikurniakan dua orang anak lelaki berusia 8 dan 6 tahun. Beliau bekerja di sebuah syarikat antarabangsa sebagai maintenance engineer di samping memegang jawatan sebagai penyelia Emergency Responce Team ( ERT ) di kilangnya. Tugasnya agak sibuk dan adakalanya bekerja sehinga lewat malam dan juga di hujung minggu.

Januari 2009, beliau telah terlibat di dalam kemalangan jalanraya sewaktu ke tempat kerja pada kira-kira jam 7.30 pagi. Kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah van kilang sewaktu dia cuba memotong sebuah van kilang yang lain di sebuah selekoh di Gurun, Kedah.

Beliau telah koma selama 3 hari dan dirawat di sebuah hospital pakar selama 47 hari lagi.Saya di antara orang yang awal sampai di hospital selepas mendapat panggilan dari isterinya. Saya juga di antara orang yang pertama dilihatnya selepas beliau sedar dari koma selepas isteri dan doktor yang merawatnya.

Sewaktu beliau koma, beliau telah didatangi oleh malaikat dan mengatakan padanya usia beliau hanya tinggal 1 jam saja iaitu pada hari Ahad, jam 1.45 petang.Walau bagaimanapun Allah akan menangguhkan kematiannya sekiranya ada 50 orang yang mendoakan secara ikhlas akan panjang usianya.

Beliau agak kebingungan ketika itu. Beliau bertanyakan sudah ada berapa orangkah yang mendoakannya secara ikhlas sehingga kini. Jawab malaikat itu hanya baru 3 orang. Malaikat menunjukkan sesiapakah orang-orang itu.

Dilihatnya insan itu ialah isteri beliau yang bercucuran airmata sejak hari pertama lagi beliau di hospital itu dan juga kedua anak beliau yang sedang tidur tergolek di kerusi menunggu pesakit di luar wad. Malaikat itu juga telah memperlihatkan akan mereka yang mendoakannya iaitu kawan-kawannya termasuk saya, ahli kariah masjid yang membacakan surah Yasin untuknya.

Ibubapanya, ibubapa isterinya, adik beradik, sahabat handai dan rakan sepejabat. Kesemua di antara mereka telah melawatnya dan mendoakannya tetapi tidak diterima oleh Allah. Beliau bertanya kepada malaikat itu, mengapa doa mereka tidak diterima. Malaikat menjawab, tiada keikhlasan 100% di hati mereka.

Masa kian suntuk. Dia pun tidak tahu mengapa malaikat memperuntukkan masa yang begitu singkat kepadanya untuk hidup di dunia ini. Apa yang terjadi padanya kini. Dia pun kurang pasti. Malaikat terus menunggu dan melihat waktu yang kian menghampiri jam 1.45 petang.Hanya tinggal 10 minit lagi.

Adalah mustahil untuk mencari 47 orang yang ikhlas mendoakan panjang usianya dalam masa sesingkat itu. Dia bertanyakan malaikat itu, adakah tuan akan mencabut nyawa sekiranya saya gagal mendapat 47 orang berkenaan, Jawab Malaikat "Ya:.

Kurang dari 1 minit, malaikat menghampirinya....dan berkata, berbahagialah! Allah mengkabulkan doa mereka yang mendoakan panjang usia anda. Anda berjaya mendapat 50 orang ikhlas yang berbuat demikian. Roshaizad bertanya, siapakah orang-orang itu. Malaikat menunjukkan mereka itu.

Mereka adalah jemaah anak yatim yang baru saja menunaikan solat Zohor sebentar tadi dan berdoa untuk anda. Anda pernah pergi ke rumah anak-anak yatim berkenaan pada bulan Ramadhan yang lalu dan pernah menghulurkan bantuan kewangan.

Mereka telah terbaca di dalam akhbar harian berkenaan kemalangan anda dan Zohor tadi mereka telah bersolat dan berdoa untuk anda. Doa ikhlas mereka diterima Allah swt. Malaikat itu kemudiannya ghaib dan tepat 1.45 petang Roshaizad tersedar dari komanya dan meraung kesedihan.

Isteri beliau yang ada di sisinya turut menangis dan juga saya. Saya sebenarnya tidak tahu pada ketika itu apa yang berlaku padanya di dalam komanya dan mengapa beliau menangis selepas sedar dari komanya.

Setelah beberapa ketika barulah cerita di atas ini diceritakan pada saya untuk tatapan anda semua.

Apa yang disesalkan:

1.Beliau telah mengabaikan masa santai bersama isteri dan anaknya kerana mengejar duit dan tanggungjawab kerja. Sedangkan isteri dan anak-anaknya amat sayang padanya dan doanya amat ikhlas.

2.Dia telah mengabaikan tanggungjawab sosial dengan jiran dan masyarakat sekeliling dan ini menyebabkan mereka tidak ada rasa kasih pada nya kalaupun dia mati

3.Dia telah mengabaikan dan tidak menepati janji-janji pada kawan-kawan sehingga kawan-kawannya marah padanya dan sehingga doanya tidak ikhlas. termasuk dengan saya.

4.Beliau jarang pergi masjid kecuali pada hari Jumaat dan ini menyebabkan jemaah masjid kurang mengenalinya dan menyebabkan doanya tiada keikhlasan

5.Beliau jarang memberi sedekah dan amal jariah. Nasiblah sumbangan ke rumah anak yatim yang diberikan tempoh hari atas desakan isteri beliau.

6.Beliau jarang bertolak ansur dengan kakitangannya walaupun hal-hal yang remeh. Ini menyebabkan kakitangannya membencinya dan doa mereka juga tiada keikhlasan.

7.Beliau jarang berkunjung ke rumah adik beradik dan takut adik beradik meminjam wang dengannya. Ini menyebabkan juga tiada keikhlasan dari mereka.

8.Beliau banyak kali menyakiti hati hati ke dua ibubapanya kerana tidak menunaikan janji untuk balik ke kampung pada hari-hari tertentu lantaran kerja beliau. Ini menyebabkan ibubapanya marah. Kes ini hanya Allah yang tahu.

9.Beliau gagal menunaikan solat pada waktunya lantaran kerja beliau atau adakalanya tertinggal terus terutamanya solat Asar

10.Beliau tidak menunaikan zakat walaupun beliau memang layak berbuat demikian.

Sahabat : Allah masih sayang pada sahabat saya ini ataupun ianya untuk memberi pengajaran pada kita melalui tulisan saya ini. Ambillah ikhtibar dari cerita ini.Sahabat saya ini masih gagal untuk mendapatkan perlindungan takaful disebabkan oleh kemalangan dan kecederaannya.

Dirikan solat tepat pada waktunya, keluarkanlah zakat. Luangkan masa bersama keluarga.Imarahkan masjid selalu.

Baliklah selalu lihat wajah ibubapa kerana Allah akan memberikan pahala ke atas perbuatan kita itu.

Berbaiklah dengan jiran dan kenalilah mereka. Bertolak ansurlah dengan mereka yang memerlukan. Ingat! kita akan dapat apa yang kita telah beri. Selalulah memberi.

Rompakan Ambank: Pertanyaan Terakhir Pegawai Bank kepada Suaminya


IRWAN Kamarudin menabur bunga rampai bersama dua anaknya, Mohd. Hazimy, 8, 
(dua dari kanan) dan Nurnisa Nabilah, 12, (kanan) di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru Ayer Hitam, Labu, Kampar, Perak, malam tadi.


"Awak sayangkan saya?" ungkapan terakhir arwah kepada suami


[UM] KUALA LUMPUR 24 Okt. - "Awak sayangkan saya tak?"

Itulah pertanyaan terakhir Norazita Abu Talib, 37, pegawai operasi AmBank yang mati ditembak oleh pengawal keselamatan bank itu sendiri dalam rompakan di Jalan USJ Sentral 2, semalam, kepada suaminya, Irwan Kamarudin, 37.

Menurut Irwan yang bekerja sebagai pemandu peribadi, ungkapan itu diluahkan Norazita ketika menghubunginya menerusi panggilan telefon bimbitnya kira-kira sejam sebelum kejadian.

"Saya terima panggilan telefon itu pukul 5.15 petang yang semata-mata mahu bertanyakan soalan sama ada saya menyayangi dia.

"Selepas saya menjawab bahawa saya sayangkan arwah, dia terus memberitahu dia sedang sibuk dan terus mematikan talian telefon," katanya dalam nada sebak tetapi tenang ketika ditemui di pekarangan rumah mayat Hospital Serdang di sini hari ini.

Irwan berkata, dia kemudian menghubungi semula isterinya itu kira-kira pukul 6.30 petang kerana bimbangkan keselamatan arwah yang akan memandu pulang dalam keadaan hujan lebat.

Bagaimanapun, katanya, panggilan itu tidak dijawab dan dia cuba menghubunginya sekali lagi sebelum dijawab oleh majikannya.

"Ketika majikan isteri saya menjawab panggilan tersebut, dia hanya meminta saya datang segera ke bank tetapi tidak memaklumkan kejadian yang menimpanya sehinggalah saya sendiri mengetahuinya sejurus tiba di situ. Lemah kaki dan menggigil badan saya apabila mengetahui wanita yang mati ditembak di dalam bank tersebut adalah isteri saya," katanya lagi.

Selama 13 tahun mendirikan rumahtangga, Irwan menyifatkan Norazita seorang yang baik dan taat menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri.

Beliau memohon individu yang memuat naik dan menyebarkan gambar ngeri selepas arwah isterinya ditembak di internet supaya segera mengeluarkannya sebagai menghormati sensitiviti dan kesedihan yang sedang dialami seluruh ahli keluarganya.

Anak arwah, Nurnisa Nabilah, 12, pula berkata, semalam pertama kali ibunya tidak menghantar dia dan adiknya, Mohd. Hazimy ke Sekolah Kebangsaan Subang Bestari kerana kesuntukan masa. 

Nurnisa menyifatkan ibunya seorang yang penyayang walaupun tegas dan garang dalam mendidik anak-anak. "Walaupun mama garang, saya sangat rapat dengannya. Saya sayangkan mama," katanya sambil menitiskan air mata.

Sementara itu, jenazah arwah Norazita selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru Air Hitam Labu di Kampar, Perak kira-kira pukul 7.30 malam ini. Kira-kira 300 orang terdiri daripada ahli keluarga, kenalan, pemimpin setempat serta pegawai AmBank hadir dalam majlis pengebumian itu.


Suami mangsa, Irwan Kamarudin mententeramkan anak bongsunya, Muhd Hazimy ketika menunggu mayat isterinya dibedah siasat. - Foto Sinar Harian oleh NUR FARHANA ABDUL MANA

Kata suami mangsa, Irwan Kamaruddin seperti yang dipetik oleh Bernama: "Saya harap semua dapat memadamkan gambar dan video insiden kematian isteri saya."

Hormatilah perasaan dan hak orang lain!

Selain itu, hentikanlah juga penyebaran gambar mangsa pembunuhan, mangsa peperangan, mangsa kemalangan kerana perbuatan itu salah dan tidak beretika. Kita tahu situasi yang berlaku di negara yang bergolak, maka tidak perlulah mengaibkan mangsa peperangan dengan menyebarkan gambar yang kurang menyenangkan mata yang melihat.

Takziah kepada keluarga Norazita Abu Talib.



Suspek kejadian masih BEBAS

 

Sample text

Sample Text

Sample Text