Social Icons

Tuesday, 31 December 2013

Semuanya Pinjam! Pinjaman Bersyarat...

Dari blog matahati
                                                                                                                                                                                                                                                                                      
"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasehat menasehati supaya menetapi kesabaran."

Semalam sempat merayau di Dataran Beyazid. Pasar lambak yang menawarkan pelbagai barangan terpakai, lama, antik dan unik. Ada juga yang menjual barangan baru atau 'buka balut'. Konsepnya lebih kurang sama seperti Lorong Kulit di Penang, Lock Keng di Ipoh, Perak (dulu, sekarang berpindah ke kawasan lain), Sydney Market di Flemington, NSW, Balad atau Abdali di Jordan, Sungei Road di Singapura dan Hussein di Mesir.



Persoalannya ialah terdapat perniagaan seperti ini di mana-mana pun. Barangan yang dilambakkan adakalanya kita rasa macam tak logik boleh dijual atau ada orang yang mau membelinya.

Allah jadikan manusia ini walau pun berlainan bangsa, namun fitrah mereka hampir sama saja.
Hikmah adanya bangsa-bangsa itu ialah untuk saling kenal mengenal, berkerjasama dan berkasih sayang lalu bertambahlah keindahan hidup.

Ada beberapa sebab orang membeli sesuatu barang atau melanggan sesebuah perkhidmatan. Pertama kerana perlu, kedua untuk kemudahan, ketiga hobi atau kegemaran, kesukaan, hiburan atau kepuasan sendiri.

Begitu jugalah dengan orang yang mengunjungi pasar-pasar lambak, bundle, carboot sale, garage sale, uptown, lelongan barangan antik dan seumpamanya. Ada yang mencari barangan yang mereka memang perlukan, cuma mungkin tidak mampu untuk membeli yang baharu atas faktor over bugget atau terlalu mahal.

Selalunya harga barangan terpakai dengan barangan yang baharu perbezaannya agak besar, sekali pun kualitinya tidaklah berbeza jauh sangat. Bagi penggemar barangan berkualti yang tidak mementingkan status baharu atau terpakai, pasar lambak atau jualan barangan terpakai adalah pilihan yang sesuai dan lebih selesa berbelanja di situ kerana ada ruang untuk tawar menawar.

Sebab membeli kedua ialah untuk menyempurnakan atau melengkapkan kemudahan urusan seharian. Ada yang tidak kisah menggunakan barangan terpakai atau barangan murah asalkan tercapai maksud membeli dan menggunakan barangan tersebut..

Golongan ketiga adalah yang membeli bukan sebab perlu atau untuk kemudahan hidup mereka. Golongan ini mencari kepuasan atau sekadar memenuhi hobi atau kegemaran mereka. Kononnya untuk kepuasan diri. Lebih teruk daripada itu, membeli atau menjual hanyalah untuk bermegah-megah atau kerana cinta dunia dan kekayaan. Golongan ketiga ini adalah orang yang mengikut hawa nafsu. Sama ada dia mahu mengaku atau tidak, hakikatnya itulah nafsu.

Mereka merasakan wang atau duit atau kemampuan berbelanja adalah hak mereka. Mentang-mentang mereka ada rezeki lebih, maka terpulanglah, apa yang mereka nak buat pada duit mereka itu. Bukan menyusahkan orang lain pun. Bukan ambil duit mak bapak sape-sape pun. Itulah antara hujahnya mereka.



Semasa berlegar-legar di Dataran Beyazid, Istanbul, hati kecil tersentuh bila melihat beraneka ragam peniaga dan pelanggan. Istanbul sekarang sedang musim sejuk. Baju sejuk, selimut. stokin, sarung tangan, snowcap dan kasut memang menjadi keperluan.

Terutamanya yang berkerja di luar bangunan. Sedangkan kalau dalam bangunan yang sistem pemanasnya kurang sempurna, pun masih perlu memakai pakaian pelindung cuaca sejuk. Ada yang berniaga di Dataran Beyazid kerana desakan hidup. Itu sahaja jalan rezeki mereka. Menjual apa sahaja termasuk barangan yang mungkin sudah dibakul sampahkan. Tetapi mereka tidak ada pilihan.

 
Rata-rata orang Turki rajin dan semangat berdikarinya sangat tinggi. Maruah mereka juga tinggi. Mereka sanggup mengutip kotak dengan mengusung guni besar merata lorong-lorang bahkan di jalan-jalan besar di Kota Istanbul yang sentiasa sesak dengan manusia dan kenderaan.

Biasa terserempak orang buta berniaga di tepi jalan. Sekadar menjual tuala kecil, sapu tangan dan tuala mandi. Seorang yang berkerusi roda kemudian bangun menggunakan tongkat, menjaja air mineral di tepi jalan besar berhampir lampu isyarat.

 
Seorang tua yang berserban dan bertongkat, menjual tasbih dan lain-lain barangan dengan menggantungkan semuanya jualannya di dada beliau sambil merayau-rayau di perhentian bas. Hampir belum pernah terjumpa orang Turki yang meminta sedekah semata-mata. Peminta sedekah yang mengejar dan melobi sepanjang kita berjalan kebanyakannya mereka yang datang dari Syria. Iye atau tidak, kurang pasti.

Yang pasti mereka memang orang luar, bukan orang Turki. Sambil memerhatikan gelagat penjual dan pembeli di Dataran Beyazid, terkenang bagaimana susahnya kehidupan sesetengah orang. Mungkin mereka telah berusaha sungguh-sungguh. Tapi itulah takdir untuk mereka.
 
Pada suatu hari yang lain, kami pernah merayau di Canyon. Sebuah pusat membeli belah golongan elit di Levent, Istanbul. Tidak ramai pengunjung. Agak sunyi, rata-rata pengunjungnya wanita atau berpasangan yang bergaya, moden dan kaum kebanyakannya mendedahkan aurat.

Meninjau harga barangan yang ditawarkan, memang cukup luar biasa. Ternyata barang berjenama, berkualti dan mewah biasanya bukan lagi bertujuan untuk memenuhi keperluan atau kemudahan hidup, tetapi semata-mata hobi atau kepuasan.



Apa yang puas? Bukankah nafsu? Iye, nafsulah yang puas! Buktinya, semua barangan mahal, berjenama, eksklusif, mewah dan terhad itu hanya untuk berbangga-bangga, menunjuk-nunjuk, sombong dan akhirnya adalah pembaziran.

Tidak salah menggunakan barangan berjenama, mahal dan berkualiti jika untuk tujuan mewibawakan Islam, mengajak manusia kepada Tuhan dan sebagai strategi dalam perjuangan kebenaran. Selain dari tujuan itu, jika sekadar untuk kepentingan diri atau memenuhi kehendak peribadi, itu semua adalah pembaziran yang sangat dibenci Allah.

Menjadi kemurkaan Allah bila tujuannya untuk berbangga-bangga atau menunjuk-nunjuk kekayaan atau kemampuan kita berbanding orang lain. Di sinilah Allah menyeru supaya kita bertaqwa kepadaNya. Rupanya ada rahsia besar.

Orang bertaqwa, dia cukup dengan Tuhan. Hatinya cukup bahagia bila dapat bersama Tuhan. Bersama Allah, hati menjadi tenang. Begitulah seterusnya.


 
Mana mungkin orang yang bangga diri boleh bersama Allah? Sebab, orang yang hatinya hidup bersama Allah, rasa takut setakut-takutnya kepada Allah tidak lekang dari hati mereka. Sementara perasaan rindu serindu-rindu kepada Rasulullah penuh dalam jiwa mereka. Bolehkah orang seperti ini hidup dalam kemewahan?

Sedangkan pada masa yang sama terdapat saudara muslim yang menderita kelaparan, kesejukan dan kesusahan akibat bencana alam atau peperangan. Maka cukuplah kalau kita sedar betapa hidup kita hakikatnya bukan kita punya, tetapi adalah amanah yang Allah pikulkan kepada kita. 

Kelak di akhirat semuanya akan ditanya semula, dari mana kita dapat, ke mana, bagaimana dan untuk apa kita gunakan? Kalaulah semua yang kita miliki ini memang menjadi hak mutlak kita, kenapa pula Allah sibuk-sibuk mahu siasat bila kita balik semula ke kampung Akhirat nanti? Jawapanya ialah, semua yang kita miliki, bukan kita punya, tetapi Allah yang punya, cuma Allah bagi kita pinjam sahaja! 

 
 
Pinjam bersyarat! Bersamanya ada hak-hak orang lain! Nanti di Akhirat kita akan ditanya apakah kita menepati syarat-syaratnya atau tidak? Kalau kita pinjam ikut syarat, ok lah. Mungkin boleh dapat hadiah, syurga.

Tapi kalau kita pinjam, lepas tu kita buat macam hak kita, tak ingat Tuan Punya yang sebenar-benarnya, syarat-syarat pinjam lagilah kita buat tak tau, tunggu sajalah hukumannya. Jadi rahsia barangan murah ialah, cukuplah kita membeli barangan murah atau terpakai jika dengan itu dapat menyelesaikan keperluan dan kemudahan hidup peribadi dan keluarga kita.

Tetapi sekiranya memang perlu menggunakan barangan berjenama, mahal, eksklusif dan mewa untuk tujuan mewibawakan Allah, Rasul dan Islam, silakanlah. Tidak salah malah boleh dapat pahala lagi.

 
 
Bagi tujuan untuk kepuasan, itu semua nafsu. Orang yang membeli atau menggunakan barangan berjenama atau mahal semata-mata untuk kepuasan dirinya, realitinya hidup mereka tidak bahagia pun. Ramai di kalangan mereka itu menderita kerana jiwanya kosong.

Bila berseorangan, semua barangan berjenama, mahal dan berprestij tidak mampu menghiburkan hati apa lagilah hendak membahagiakan jiwanya. Dunia ini hanyalah tipudaya. Ramai yang tertipu dengannya dan ramai juga manusia yang sanggup menipu kerananya.

Sambut Tahun Baharu cara Islam

JANATUL FIRDAUS YAACOB (SINAR HARIAN)
 31 Disember 2013 KLIK SUMBER

Dr Halimah Ali
 
SHAH ALAM – Sempena ambang tahun baharu 2014, Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan hampir RM100,000 bagi melaksanakan pelbagai aktiviti yang direncanakan untuk manfaat rakyat.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali memaklumkan bermula jam 7 malam ini, acara dimulakan dengan solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah di Dataran Kemerdekaan.

“Majlis ambang 2014 diisi dengan program persembahan, sembang santai bersama Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi dan diselangi persembahan berilmu.

"Majlis perasmian disempurnakan oleh saya sendiri."
“Alunan zikir Asmaul Husna akan diadakan pada jam 12.30 tengah malam, kemudian disusuli dengan tayangan skrin besar dokumentari permotoran, tazkirah permotoran dalam Islam, pendaftaran acara pertandingan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) ‘stunt’, motor berhias, dan pertunjukan penunggangan selamat,” katanya kepada Sinar Harian.

Selanjutnya, Dr Halimah turut memaklumkan, pada jam 1 pagi sesi pertunjukan permotoran lasak daripada KL Freestyle crew, sesi bunyi ekzos untuk motosikal 250cc ke bawah dan superbike dan juga sesi bersosial bersama Miros dan JKJR.

“Seterusnya bertempat di Jalan Perdagangan 14/1 dan 14/2 pada jam 2 pagi akan diadakan pertunjukan keselamatan menunggang dan stunt, demonstrasi khas trafik Johor.

"Selain itu, disusuli sesi bersosial bersama Hafiz Syahrin dan Riders Selangor Motor Race dan juga sesi drift.

Sementara pada jam 3.30 pagi, pengisian disegarkan dengan sesi pesanan ikhlas daripada Bahagian Trafik Bukit Aman, penyampaian cenderahati oleh wakil kerajaan negeri dan VIP jemputan.

Program diteruskan pada jam 4 pagi dengan zikir munajat dan solat Subuh berjemaah sebagai penutup acara ambang tahun baharu.

Rakyat Selangor dijemput bersama-sama memenuhi agenda keagamaan dan pendidikan yang dibawakan kerajaan negeri bagi menjadikan sambutan tahun baharu 2014 lebih bermakna, terisi dan diredai ALLAH S.W.T

Monday, 30 December 2013

Kisah Benar Tentera Sultan Muhammad Al-Fateh (Dari Blog Matahati)

Paparan berikut Pak Lang ambil dari blog Matahati. Penulis blog ini iaitu Tn Nawawi Dahlan sekarang sedang merantau ke Turki dan Eropah. Tulisannya tentang Sultan Muhammad Al-Fateh ini terbit dari pengalamannya sendiri menyaksikan lokasi peristiwa penawanan Kota Konstantinopel. 
 
Apa yang dilihat dengan apa yang ditulis dalam sejarah sudah bercampur dengan rekaan, penipuan dan kebenaran. Rekaan dan penipuan tentulah oleh musuh Islam yang tidak mahu menampakkan Islam itu hebat dan mempunyai keajaiban sebagai bukti kebenarannya.  
 
Kebenaran yang ada di sana pun hanya akan dapat dirasai oleh mereka yang menempuh jalan yang sama di tempuh oleh Sultan Muhammad Al-fateh. Tulisan Tuan Nawawi, membantu kita melihat dan merasai situasi sejarah yang hebat itu. 
 
Diharapkan beliau akan terus menulis tentang sejarah yang begitu tersembunyi rahsia luar biasanya. Tentunya banyak yang perlu disingkapkan dan dihuraikan untuk semua yang mempunyai cita-cita perjuangan. Sejarah adalah untuk kita pelajari, menganalisa, mengambil pengajaran dan menirunya untuk mencapai hasilnya yang serupa untuk kita di akhir zaman. 
 
Rugilah mana-mana bangsa yang hanya membaca sejarah sekadar mengambil maklumat tanpa mahu mengambil iktibar. Iktibar sejarah mampu membangkitkan semangat juang untuk generasi yang mahu menempa sejarah gemilang di mana jua mereka berada dan di zaman apa sekalipun. Bacalah!!


Bukan sekadar berfikir di luar kotak, tapi di luar logik...

Catatan ini adalah sambungan tidak rasmi artikel "The Conqueror".

Cerita Sultan Muhammad Al Fateh berjaya menawan Kota Konstantinopel memang popular. Banyak yang telah ditulis, ada juga yang telah diterbitkan dalam bentuk video dokumentari. Sebuah filem bertajuk Fatih, pada hemat saya kandungannya tidak menepati fakta dan jauh tersasar dari kebenaran.

Penyelewengan yang sangat jelas ialah kisah mengenai Hassan yang mempunyai hubungan sulit dengan perempuan bukan mahram. Walau pun banyak yang telah didedahkan melalui kajian dan ulasan peminat sejarah berkenaan dengannya, tetapi tidak dinafikan masih terdapat banyak rahsia yang belum dibongkarkan.

Sebahagian rahsia kejayaan luar biasa itu telah dengan sengaja dilupuskan oleh Yahudi dari pesada ilmu sejarah. Sedikit kajian yang termungkin untuk menyingkap rahsia ini sedang dijalankan. Beberapa tokoh yang mahir dan mempunyai pandangan dari sudut yang berbeza ditemubual. Segala usaha bagi menyempurnakan penyelidikan ini sedang terus berjalan dari semasa ke semasa.

Kali ini kita cuba berbincang dari sudut yang jarang diperkatakan secara serius. Kurang penyelidik yang mahu melihat dari sudut ini sebagai bahagian terpenting yang menyumbang kepada kemenangan tentera Sultan Muhammad Al Fateh.

Apa yang dimaksudkan ialah sudut kekuatan kerohanian. Kekuatan roh Sultan Muhammad dan tentera-tenteranya. Kekuatan yang bertunjangkan Iman, Islam dan Ihsan. Kekuatan yang terbit dari hati yang takut setakut-takutnya kepada Allah, rindu serindu-rindunya kepada Rasulullah saw.

Bagi mereka yang tidak berminat atau tidak yakin dengan hipotesis ini, anda berhak untuk menyangkalnya. Namun, menafikan sesuatu yang kita belum pernah mengalami atau merasainya, samalah macam kita cuba menafikan pengalaman orang yang pernah melancung ke kutub utara.

Samakah pengalaman dan perasaan orang yang sampai ke kutub utara dengan orang yang hanya melihat dalam gambar atau visual sahaja? Terdapat banyak perkara dan peristiwa dalam peperangan sehingga terbukanya Kota Konstantinopel yang berlaku di luar logik akal.

Sekarang ini ramai motivator atau ahli fikir mengajak kita berfikir di luar kotak. Setakat penelitian saya yang cetek ini, kebanyakan yang ghairah mengajak orang berfikir di luar kotak, dia sendiri pun masih terperuk dalam kotak kecil sahaja fikirannya.

Rasulullah saw dan para sahabat bukan sekadar berteori di luar kotak, tetapi mereka mampu mencipta sejarah nyata di luar logik akal manusia. Inilah kekuatan sebenar yang ada pada umat Islam tetapi telah ditimbus seedalam-dalamnya oleh Yahudi.


 
Kembali kita memperkatakan tentang Sultan Muhammad Al Fateh ll, The Conqueror. Mengikut fakta sejarah, kejayaan menawan Kota Konstantinopel ialah sewaktu pemerintahan baginda belum pun mencapai tempuh dua tahun pertama selepas menaiki tahta buat kedua kalinya.

Dalam tempuh kurang dua tahun, baginda berjaya memimpin 250 ribu tentera yang dipercayai semuanya terdiri daripada tentera sebaik-baik tentera. Sebaik-baik yang dimaksudkan ialah bertaqwa. Orang bertaqwa sangat menjaga diri dari terlibat dengan dosa besar. Terhadap dosa kecil pula, kalau pun terlajak itu pun tidak disengajakan.

Orang bertaqwa ialah orang yang hatinya sangat kuat dengan Allah. Takut dan cintakan Allah sangat ketara pada peribadi mereka. Mereka sangat kuat berkorban masa, tenaga, harta hatta nyawa untuk Allah, Rasul dan Islam. Cinta dunia tidak ada sama sekali sebaliknya mereka sangat cintakan Akhirat. 

Persoalannya, logikkah seorang pemimpin atau mana-mana Sultan mampu mendapatkan sejumlah tentera yang memiliki sifat-sifatnya tersebut dalam masa yang begitu singkat? Bukan itu sahaja, mampukah seorang pemimpin mendidik dan mengasuh atau memimpin sejumlah 250 ribu orang tentera yang semuanya baik-baik pada usia awal 20'an?

Pernahkah sejarah lain mencatatkan kejayaan seumpama ini, sebelum atau sesudahnya? Sejurus sebelum memulakan kempen perang, Sultan Muhammad Al Fateh r.a. telah mengumpulkan seluruh tenteranya dalam satu sesi. Sebaik sebelum solat fardhu yang akan diimamkan oleh baginda sendiri, semua tenteranya diminta bangun berdiri tegak terlebih dahulu, lalu baginda mengajukan beberapa soalan antaranya;

1. Siapakah di kalangan tuan-tuan yang sejak balighnya pernah tertinggal solat fardhu walau pun sekali, silakan duduk. Semua tenteranya berdiri tegak, tanpa ada seorang pun yang duduk.

2. Siapakah di kalangan tuan-tuan yang sejak balighnya pernah tertinggal solat berjemaah walau pun sekali, sila duduk. Sebahagian tenteranya duduk.

3. Siapakah di kalangan tuan-tuan yang sejak balighnya pernah tertinggal sunat rawatib walau pun sekali, silakan duduk. Sebahagian besar tenteranya yang masih berdiri pun duduk. Baki yang masih bediri dari kebanyakannya adalah tentera yang kanan-kanan. Kemudian baginda bertanya lagi.

4. Siapakah di kalangan tuan-tuan yang sejak balighnya pernah tertinggal solat malam (tahajjud) walau pun sekali silakan duduk. Maka semua tentera yang tadinya masih berdiri tegak pun duduk.

Tinggallah Sultan Muhammad Al Fateh berdiri terpacak seorang diri di hadapan seluruh tenteranya. Maka fahamlah tentera-tentera Sultan Muhammad Al Fateh bahawa Sultan dan juga ketua tentera yang menjadi imam setiap kali solat berjemaah itu tidak pernah meninggalkan amalan solat sunnat malam sejak baginda baligh walau pun sekali.

 
Inilah ISO yang digunapakai oleh Sultan Muhammad Al Fateh dalam memilih pasukan tentera untuk menyerang Kota Konstantinopel. Lalu apakah di peringkat ini, masihkah kita belum nampak sebesar-besar keajaiban yang berlaku?

Kalau sekadar cerdik, pandai, brilliant atau genius sekali pun, belum ada sejarah mencatatkan adanya seorang tokoh segenuis mana pun mampu melahirkan sebuah pasukan ketombokan tentera yang memiliki watak dan sifat sehebat ini dalam tempuh yang cukup singkat. Belum ada dan tidak pernah ada!

Apa lagi hujah yang boleh kita katakan supaya kita menerima hakikat bahawa inilah yang dikatakan kekuatan roh, bukan kekuatan akal apa lagilah kekuatan fizikal, jauh sekali! Kita cuba bawa satu analogi atau perbandingan untuk membantu kita faham perkara tersebut.

Katalah ada sebuah universiti yang Rektornya seorang Professor yang paling bijak, semangat perjuangannya berapi-api dan mempunyai pelajar seramai 25 ribu orang, semuanya Islam. Bolehkah kita bayangkan pencapaian yang termungkin dapat dilakukan dalam tempuh kurang dua tahun kepada semua pelajarnya?

Rasanya tak perlulah kita harapkan dalam tempuh dua tahun itu semuanya tidak pernah tinggal solat wajib walau pun sekali. Tapi memadailah kalau kita katakan yang Rektor itu berjaya menjadikan seluruh 25 ribu pelajarnya dapat menunaikan solat fardhu walau pun sesekali tertinggal atau terlewat sehingga di luar waktunya sepanjang tempuh dua tahun. 

Kalau ada yang berjaya sampai tahap ini pun sudah cukup hebat bagi seorang yang sangat pintar! Tapi belum pernah ada seorang tokoh yang kita boleh jumpa sehebat ini, pada masa ini atau masa-masa lampau.

Apa yang selalu kita jumpa sekarang ialah orang yang bercakap Islam berapi-api pun selalu lewat sembahyang. Kalau sekadar pengikutnya tinggal sembahyang, itu tak usah ceritalah. Berlambak. Pemimpinnya yang bercakap pasal Islam berapi-api itu pun buat tak kisah saja, selamba saja anak buahnya tak sembahyang. Inilah pemimpin Islam yang ada hari ini.

Satu lagi bahagian terpenting dalam peperangan yang dipimpin oleh Sultan Muhammad Al Fateh perlu kita selidiki keajaibannya ialah peristiwa lebih 70 buah kapal perangnya 'berlayar' menyeberangi bukit Galata menggunakan jalan darat! Nah! Tidakkah kita terfikir, keajaiban apa yang sedang berlaku waktu itu?

Jarak 'pelayaran darat' yang perlu ditempuh oleh lebih 70 buah kapal perang melalui jalan darat dengan mendaki bukit Galata ialah kira-kira 30-40 minit berjalan kaki tanpa bebanan. Bayangkan bagaimana tentera-tentera Sultan Muhammad Al Fateh mampu mengangkut 70 buah kapal perang melalui jalan darat dalam tempuh kurang 10 jam.


Secara logiknya, setiap kapal mungkin terpaksa menggunakan tenaga 3000 orang tentera. Pada malam itu. Setiap jam pula sekurang-kurangnya 7 buah kapal mesti sampai di tebing Golden Horn. Kapal-kapal tersebut diangkut atau diseret 'belayar' di atas daratan. Menjelang Subuh esoknya lebih 70 buah kapal telah berada di perairan Golden Horn.

Memang ada logiknya. Namun tidak logiknya pun ada dan lagi banyak. Mudahkah seorang yang masih terlalu muda, berumur sekitar 23 tahun, boleh ditaati oleh sejumlah besar tentera untuk melaksanakan arahan yang boleh saja dianggap sebagai satu kerja gila?

Iye, bukan mudah untuk mendapatkan ketaatan solid seumpama itu. Bukan sekadar itu, seluruh pasukan tersebut pada keesokan hari akan dikerahkan untuk berperang walau pun sudah tentu sedang sangat keletihan. Sedangkan musuh yang hendak ditentang masih segar, bertenaga, cukup rehat, cukup makan dan selesa menunggu dalam kubu.

Setelah melakukan kerja terlalu berat tanpa tidur semalam, di awal pagi pula terus berperang dengan musuh yang jauh lebih segar, bertenaga dan cukup makan, bukankah itu juga satu daripada keajaiban yang terjadi kepada pasukan ini? Sungguh luar biasa sebenarnya apa yang telah terjadi pada malam itu.

Mengikut riwayat yang telah dibunuh oleh Yahudi dan sekularisma, Sultan Muhammad Al Fateh pada malam tersebut telah berhubung langsung dengan baginda Rasulullah saw dan mendapat sentuhan ajaib dari Baginda Nabi.
 

Maka berlakulah mukjizat di mana kapal-kapal tersebut seolah-olah sedang berlayar sama 
seperti di dalam lautan, mudah, ringan dan lancar. Dipercayai seluruh tentera yang mengalami peristiwa ajaib ini telah merahsiakan cerita tersebut atas dasar sangat beradab dan berhalus dengan Baginda Nabi saw.

Inilah kekuatan kerohanian yang telah dinafikan oleh umat Islam yang belajar dan mengambil ilmu Islam dari Yahudi. Lagi-lagilah mereka yang berjuang di atas landasan Yahudi. Mereka tidak mempercayai sesuatu perkara yang di luar logik. Sekadar berbangga dengan slogan "cubalah berfikir di luar kotak"!

Apa ada kelebihan dengan berfikir di luar kotak, kalau sekadar baru peringkat teori saja. Islam boleh melakukan lebih jauh dari itu. Luar LOGIK! Bukan sekali, tetapi menjadi kebiasaan di kalangan sahabat dan pejuang kebenaran.
 
Sebaliknya jika dalam sebuah perjuangan Islam itu tidak berlaku perkara-perkara yang di luar logik, maka timbul tanda tanya, apakah perjuangan tersebut tidak mendapat perhatian dan pertolongan Allah?

Perjuangan yang tidak berlaku di dalamnya perkara-perkara yang di luar logik, sebenarnya perjuangan tersebut disangsikan kebenarannya!

Kutub Menyongsang Pada 2015, Tanda Awal Kiamat?



KEBANYAKAN media sosial dan blogger kini sibuk memperkatakan fenomena pelik yang berlaku di seluruh dunia dan didakwa sebagai tanda awal kiamat.

Negara beriklim tropika dan panas mula menerima kesan akibat perubahan cuaca mendadak pada tahun ini dan sebahagian kawasan seperti Mesir serta Vietnam turut dilitupi salji tebal.

Perubahan magnet pada kerak bumi menyebabkan Kutub Utara bergerak dengan lebih cepat ke arah Siberia untuk berada pada kedudukan 40 darjah.

Beberapa kajian mendapati pergerakan itu berlaku semakin laju iaitu pada jarak 42 km sebulan dan dianggarkan berganjak sebanyak 2 km sehari pada 2013.

Ia merentasi garisan Khatulistiwa untuk berada pada kedudukan 40 darjah di selatan.

Jika keadaan itu berlaku, seluruh permukaan bumi berkemungkinan akan berubah seperti dipaparkan dalam filem sains fiksyen berjudul ’2012′.

Paling memeranjatkan, kawasan Amerika Selatan terutamanya Brazil didakwa akan menjadi Kutub Utara manakala India menjadi Kutub Selatan.
Bagaimana dengan nasib Malaysia? Ia dikatakan akan membeku dan berada sebaris dengan India, sekali gus meletakkan garisan Khatulistiwa berada di Antartika.

Bandar pesisir pantai bakal tenggelam dan Australia Barat dipercayai turut mengalami nasib sama serta setengah negara mengalami waktu siang atau malam lebih panjang.

Fenomena medan kutub bumi menyongsang dikhuatiri mengakibatkan bencana alam lebih dahsyat seperti taufan, gempa bumi dan letusan gunung berapi.

Selain itu, ia juga akan memberi kesan besar kepada ekosistem dan migrasi haiwan yang selama ini bergantung kepada perubahan musim dan iklim di sesuatu kawasan.

Medan magnet bumi juga akan menjadi lemah dan terdedah kepada fenomena ribut suria serta sinaran kosmik iaitu partikel bertenaga tinggi dan gelombang elektromagnet dari angkasa lepas.

Pergerakan kutub memang sedang berlaku dan ia boleh dilihat menerusi kejadian bencana alam yang didakwa berpunca daripada pemanasan global dan perubahan iklim secara mendadak sejak akhir-akhir ini.

Pelbagai teori didedahkan menyebabkan saintis menganggarkan medan magnet akan menyongsang dalam tempoh dua tahun lagi berdasarkan pergerakan kutub yang semakin laju.

Adakah keadaan itu akan berlaku atau ia hanya sebuah lagi spekulasi seperti ramalan kiamat 2012 yang digembar-gemburkan pada tahun lalu?

Kiamat menurut Islam

Beberapa hadis dan ayat al-Quran ada menjelaskan persoalan mengenai hari kiamat:

Ibnu Umar RA berkata, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, lima kunci perkara ghaib, tidak mengetahuinya melainkan ALLAH iaitu:

1) Tiada mengetahui apa tersimpan di dalam rahim (kandungan perempuan) melainkan ALLAH.

2) Tiada siapa mengetahui apa akan terjadi esok hari melainkan ALLAH.

3) Tiada seorang pun mengetahui bila waktunya hujan akan turun melainkan ALLAH.

4) Tiada seorang pun mengetahui di negeri mana dia akan mati melainkan ALLAH.

5) Tiada yang mengetahui bila kiamat akan terjadi melainkan ALLAH.
(Hadis Riwayat Bukhari)

Adakah fenomena pelik melibatkan perubahan ekstrem cuaca dunia dan bencana alam dahsyat adalah satu peringatan atau petanda kepada manusia di akhir zaman?

Abu Hurairah berkata, Rasulullah bersabda, ‘Tidak akan tiba hari kiamat sehingga ilmu pengetahuan (agama) dilenyapkan, banyak gempa bumi, masa saling berdekatan (semakin singkat), banyak timbul fitnah, banyak huru-hara iaitu pembunuhan, hingga harta benda melimpah ruah di antara kamu.’ (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud)
Sebagai orang Islam, kita wajib percaya bahawa hari kiamat merupakan Rukun Iman ke- 5 akan tiba seperti diterangkan dalam al-Quran.

ALLAH SWT berfirman :
"Mereka menanyakan kepadamu tentang kiamat: “Bilakah terjadinya?” Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang kiamat itu adalah pada sisi Tuhanku; tidak seorangpun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia. Kiamat itu amat berat (huru haranya bagi makhluk) yang di langit dan di bumi. Kiamat itu tidak akan datang kepadamu melainkan dengan tiba-tiba.” Mereka bertanya kepadamu seakan-akan kamu benar-benar mengetahuinya. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang bari kiamat itu adalah di sisi ALLAH, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”
(Surah Al-A’raf, Ayat 187)

Dan juga pada ayat:
"Manusia bertanya kepadamu tentang hari berbangkit. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang hari berbangkit itu hanya di sisi ALLAH.” Dan tahukah kamu (Muhammad), boleh jadi hari berbangkit itu sudah dekat waktunya."
(Surah Al-Ahzab, Ayat 63)

Sunday, 29 December 2013

Pemikiran Kreatif Ada Di Dalam Al-Quran!!


Dunia kreatif merupakan alam yang penuh imiginasi. Ianya memungkinkan segala sesuatu. Asasnya bermula pada pemikiran kreatif yang memberi ruang untuk tidak lagi menggunakan kaedah logik. Di dalam berfikir, hanya ada dua kaedah yang diguna pakai oleh manusia di dunia. 1) Pemikiran logik 2) Pemikiran kreatif.

Berfikir secara logik ialah bertujuan mencari hanya satu jawapan bagi setiap persoalan. Jawapannya ialah samada ya atau tidak! Untuk mudah memahaminya, lihatlah pada logik metamatik. 2+2: 4!! Jika dicampur 2 dengan 2 dan kita kata 5 ertinya salah!! 

Sedangkan  cara berfikir kreatif membolehkan kita mencari sebanyak-banyaknya jawapan dan semuanya betul dan benar!! Inilah cara berfikir yang mendorong seseorang kreatif dalam meneroka masalah dan kreatif pula dalam menyelesaikannya dengan pelbagai pendekatan. Idea yang ada di dalam pemikiran kreatif tidak pernah habis. Inilah yang dikatakan sebagai inovasi

Pemikiran logik adalah pemikiran biasa yang digunakan oleh kebanyakan manusia biasa. Pemikiran kreatif adalah pemikiran khusus. Pemikiran logik - walaupun ada banyak jenisnya - tetapi ia hanya ada satu level berbanding pemikiran kreatif yang mempunyai pelbagai tahap atau peringkat. Pemikiran kreatif yang paling puncak ialah apa yang diajar oleh Allah di dalam AlQuran dan diaplikasi oleh para nabi dan rasul di dalam perjuangan mereka. Bukankah para nabi dan rasul itu mempunyai sifat khusus yang tidak ada pada manusia lain iaitu fatanah. 

Lihatlah pada kalimah awal yang diturunkan Jibrail kepada Nabi Muhammad saw iaitu 'Iqra'. Ianya adalah kalimah yang sangat mendorong kreativiti. "Bacalah!!" adalah ungkapan biasa tetapi bila ianya dipilih Tuhan sebagai kalimah pengenalan, tentulah Allah yang maha bijaksana menghendaki kita mengkaji kalimah ini. 

Apabila membaca dikaitkan dengan Tuhan, ertinya hubungan hati dengan Tuhan itulah yang menjadi penentu kreativiti seseorang. Maka para kekasih Allah itu adalah manusia kreatif di zaman mereka. Apa saja yang mereka cetuskan adalah pimpinan dari Allah - hasil penghayatan rasa hati mereka yang takutkan Allah, rasa cemas, bimbang dan gerun dengan neraka Allah. Mereka jadi manusia yang sangat berhalus dalam mengendalikan hati, perasaan, pemikiran dan godaan nafsu atau syaitan. 

Cukuplah dinyatakan bahawa pemikiran kreatif yang diajar oleh Allah kepada para nabi ini telah menjadikan mereka mampu mengubah umat manusia daripada syirik kepada mentauhidkan Allah. Hebatnya panduan yang Tuhan berikan kepada mereka.

Pemikiran logik sepatutnya tidak lagi diajar di sekolah-sekolah kita. Ianya menghalang anak-anak kita memahami cara berfikir yang diajar di dalam Al-Quran. Ianya juga akan menggagalkan mereka dari memahami hal-hal yang tidak logik yang terdapat di dalam Al-Quran dan berlaku secara nyata pada Baginda Nabi saw dan para sahabat.

Bukankah perkara ghaib itu tidak logik pada pemikiran akal biasa sedangkan yang ghaib itulah yang wajib diyakini dan diimani. Dan bukankah mukjizat dan karamah yang berlaku kepada para Nabi, Rasul serta wali-wali Allah itu adalah di luar logik akal manusia? Sebenarnya Tuhan perlakukan ini semua untuk umat Islam supaya mereka kuat pendirian dalam hal-hal yang tidak logik. Ianya sangat kreatif.

Pemikiran kreatif membenarkan berfikir semua yang tidak logik. Tidak ada salah dan silapnya berbanding pemikiran logik yang sentiasa menghalang untuk berfikir lebih jauh kerana dimomokkan dengan kata-kata tidak logik. Dengan kata lain pemikiran kreatif ini sifatnya melawan logik atau anti logik. Mungkin juga menolak paradigma lama dengan membawa pandangan baru yang lebih kreatif dan segar. Hakikatnya hari ini, dunia logik sudah mula ditinggalkan orang. 

Untuk Islam naik ke atas dan menguasai dunia, umat Islam mestilah keluar dari kepompong pemikiran logik. Sebaliknya berfikirlah dan berbuatlah apa saja demi untuk Allah dan Rasul. Nanti kita akan temui Islam itu sangat hebat, luas, kreatif dan berkembang merentasi hal-hal masa kini untuk berada jauh di depan orang lain. 

Untuk anda yang sedang meneliti perjalanan GISB HOLDINGS Sdn Bhd dan juga YKPPM yang kedua-duanya diterajui oleh Puan Ibu Hatijah Aam, anda pasti menyaksikan dunia kreatif sebegini sudah lama wujud di dalam kedua-dua entiti ini. Jika anda selidiki, anda akan sedar pemikiran kreaif dan inovasi sedang berkembang dengan rancaknya.


(Rujukan; PEMIKIRAN KREATIF - Puan Ainon Mohd)

Kisah Remaja Pilihan - Bagaimana Hatinya Dengan Perkahwinan?

Pak Lang menerima kiriman kisah berikut daripada salah seorang pembaca blog suaramuhajirin313. Kisah ini terjadi di zaman Baginda Nabi saw. masih hidup. Betapa Baginda saw menjadi pembela bagi remaja pilihan ini. Pak Lang mencari kisah ini mengikut 'link' yang diberikan dan Pak Lang paparkan di sini tanpa edir. Terima kasih pada blog: http://shawaliza.blogspot.com/2012/05/zuhud-seorang-pemuda.html

Zuhud Seorang Pemuda


Terdapat seorang pemuda pada zaman Rasulullah SAW,yang baik dan rajin beribadah. Suatu hari, pemuda tersebut datang menemui Rasulullah SAW dan menyatakan hajatnya dan meminta pandangan daripada Rasulullah untuk mengahwini seorang gadis yang solehah. Maka Rasulullah pun memberi kebenaran kepadanya. 
 
Setelah mendengar kata-kata Rasulullah,maka pemuda tersebut menemui wali gadis tersebut iaitu bapa kepada gadis yang dihajatinya. Maka dinyatakan hasrat hati pemuda itu untuk mengahwini anak gadis lelaki tersebut. Pemuda tersebut tidaklah selembut Abu Bakar,tidaklah segagah Umar al-Khattab, tidak sekaya Abdul Rahman bin Auf dan tidak pula setampan Ali bin Abu Talib. Maka ditolak permintaan pemuda tersebut kerana dirasakan tidak sepadan pemuda itu untuk mengahwini anak gadisnya yang ternyata menjadi buruan para pemuda lain.

Setelah itu, pulanglah pemuda itu dengan hampa kerana hajatnya itu tidak diterima oleh bapa si gadis. Ternyata, perasaan hampa pemuda itu jelas terlihat pada wajahnya dan pemuda tersebut datang menemui Rasulullah untuk memberitakan bahawa hajatnya itu ditolak. 
 
Mendengar khabaran tersebut,maka Rasulullah SAW sendiri menemui wali gadis tersebut dan mengatakan bahawa,”sesungguhnya aku membawa pinangan dari seorang pemuda untuk anak gadismu”. Bapa gadis itu bertanya, ”siapa pemuda tersebut?” Rasulullah menjawab,dialah pemuda yang engkau tolak pinangannya.” 
 
Mendengar kata-kata Rasulullah, lantas membuatkan bapa gadis itu terkejut lantas bapanya mendapatkan anak gadisnya. Maka, gadis yang solehah itu berkata pada bapanya,”tiada pinangan yang lebih baik daripada pinangan yang dibawa oleh Rasulullah sendiri.”

Mendengar kata-kata anak gadisnya yang yakin akan kebenaran dan barakah yang dibawa oleh Rasulullah,maka fahamlah bapanya bahawa anak gadisnya sedia menerima pemuda tersebut sebagai suaminya.

Maka bersatulah dua jiwa yang sama-sama ada cinta Allah dan Rasul di hati mereka. Berpadu dan bertambah kuat cinta mereka pada Allah dan Rasul. Pemuda yang soleh dan gadis yang solehah. Pada malam pertama selepas pernikahan, si isteri pun mempersiapkan diri untuk menerima layanan dari tetamu istimewanya,manakala si suami,pemuda itu tadi terus berteleku di tikar sembahyang dengan solat, zikir dan doanya sehinggalah si isteri itu terlena kerana terlalu lama menunggu.

Malam kedua, seperti biasa si isteri yang faham,mungkin kerana kepenatan,maka suaminya tidak dapat bersamanya semalam. Masih setia menunggu suaminya itu, namun si suami masih memilih untuk berada di hamparan tikar sembahyang berbanding menikmati keselesaan hamparan tilam lembut yang selayaknya sebagai pengantin yang dirai. 
 
Perkara tersebut berlanjutan sehinggalah ke malam yang ketiga. Maka dengan rasa tertanya-tanya terhadap sikap suaminya, si isteri menyampaikan khabar suaminya kepada Rasulullah kerana inginkan kepastian. Masakan seorang suami yang sangat ingin berkahwin dengan wanita yang dihajatinya, seolah-olah membiarkan sahaja isterinya itu setelah mendapat apa yang dihajati. 
 
Apakah benar tindakan yang dilakukan seorang lelaki soleh terhadap isterinya? Berbagai-bagai pertanyaan timbul di benak fikiran isteri. Setelah khabar tersebut sampai ke pengetahuan Rasulullah SAW. Maka Rasulullah SAW datang menemui pemuda tersebut lantas bertanya tentang kesahihan apa yang diketahui Baginda SAW.

“Apakah benar selama kau berkahwin dengan isterimu,kau membiarkan dia keseorangan pada waktu malam sedangkan kau berada di tikar sembahyang?” Tanya Rasulullah SAW.

“Benar wahai Rasulullah.”

“Mengapa kau tidak tunaikan hak yang sepatutnya isterimu nikmati?”

Maka pemuda itu menjawab pertanyaan Rasulullah dengan tenang.

“Wahai Rasulullah, aku baru sahaja bernikah, dan aku hanya mengambil beberapa malam bermula aku dinikahkan untuk bersama Allah,mengabdikan diriku sepenuhnya kepada Allah yang sangat aku kasihi dan cintai,juga sebagai tanda syukurku kepada Allah atas anugerah-Nya mengurniakan aku seorang isteri yang solehah lagi cantik akhlak dan budinya.”

Mendengar jawapan itu, terlakar pada riak wajah Rasulullah tanda puas hati dan yakin dengan jawapan yang diberikan pemuda tersebut.

Masya-Allah,betapa hebatnya jiwa seorang pemuda. Pemuda yang sentiasa tertaut hatinya kepada cinta Allah. Pernikahannya itu benar-benar ikhlas kerana Allah. Mengharapkan semaian cinta Allah melalui pernikahan.

Saturday, 28 December 2013

Malam Pertama Bagi Pengantin Baharu - Apa Yang Patut Dilakukan?

Berikut adalah tips atau panduan menempuh malam pertama pengantin baharu. Pak Lang kutip berdasarkan pengalaman orang-orang lama, pembacaan dan kisah-kisah realiti remaja masakini. Walau bagaimana pun, ianya tentulah tidak sama dengan malam pertama di dalam kubur ya!!

1)   Malam pertama hendaklah dijadikan malam untuk bertaaruf (berkenal-kenalan) secara lebih dekat - dari hati ke hati. Bersembang berdua sambil bercerita akan memberi ruang kasih sayang tercetus atas dasar saling memahami.
2)  Pernikahan adalah halal dan dikira ibadah atau amal soleh menurut syariat. Ganjaran kehidupan suami isteri sangatlah besar di sisi Tuhan. Menghayati hal sebegini, akan mendorong suami isteri bersungguh-sungguh membina rumah tangga bahagia yang diredhai Tuhan.

3)  Mulakan pertemuan suami isteri dengan suami mendatangi isteri sambil menghulur tangan bersalam. Ketika isteri memegang kedua tangan suami dan mengucup belakang tangan suami, niatlah mengambil keberkatan suami dan berazamlah untuk mentaati suami dalam apa keadaan sekalipun. Suami hendaklah meletakkan tangan kirinya di atas ubun-ubun isteri lalu mendoakannya dengan sebaik-baik doa. 

4)  Jadikan malam pertama sebagai malam menyimpulkan niat dan azam bersama mencari keredhaan Tuhan. Fokuskan kepada Allah dan Rasul agar permulaan perkahwinan diwarnai dengan hati yang rasa takut, cemas dan bimbang dengan ancaman Tuhan.

5)  Layanilah suami atau isteri dalam keadaan hati yang menguasai diri. Mohonlah bantuan Allah agar janganlah nafsu yang memainkan peranan di malam pertama dan sepanjang usia perkahwinan.

6)   Suami mestilah lebih matang dan menonjol dalam membimbing isteri. Suami yang pemalu kadang-kadang lebih lambat memahami isteri. Walaupun ianya normal bagi seseorang remaja yang tidak pernah terdedah dengan pergaulan bebas, seeloknya bakal suami mendapatkan maklumat berkaitan rumah tangga sebagai persiapan. 

7)   Bakal suami atau isteri kenalah banyak bertanya dengan orang yang lebih dewasa, para pemimpin atau guru-guru yang tentu boleh menunjuk cara bagaimana bersama suami atau isteri bermula dari malam pertama. Ada banyak panduan berdasarkan pengalaman yang perlu diketahui oleh para remaja yang baru kahwin.

8)  Usahakan tidak ada situasi kaku di malam pertama. Salah seorang perlu 'meruntuhkan tembok pemisah' antara keduanya. Berani dan takut kenalah bertempat.

9)   Berhati-hati dalam berkata dan berjanji. Takut-takut syaitan dan nafsu menguasai diri maka yang diungkapkan adalah hampas yang tidak bernilai disisi Tuhan. Biasanya yang terjadi, yang dibicarakan adalah hal-hal dunia, kemewahan serta merencanakan masa depan untuk kesenangan di dunia semata-mata. 

10)   Untuk para remaja yang belum kahwin, peliharalah kehormatan diri anda - walau apa pun berlaku. Ingatlah bahawa zina akan menjadikan anda kesal seumur hidup. Berhati-hatilah dengan pergaulan anda agar tidak menjerumuskan anda ke lubang neraka! Wal 'iyazubillah!! mereka yang mendahului perkahwinan dengan zina, tidak akan mengalami kemanisan atau keindahan malam pertama yang sebenarnya.

11)  Jika anda lelaki yang berpoligami, berhati-hatilah dengan segala tindak tanduk anda. Kesilapan di malam pertama mengundang masalah yang tidak sudah. Banyak kawan-kawan Pak Lang mengalaminya sebab tidak pandai mendekati isteri yang baru dikahwininya. Panduannya ialah, bersabarlah dan berilah masa untuk siisteri mengenali dan memahami. 

12)  Lihatlah pasangan anda untuk segera memahami hati dan jiwa dan perasaannya. Semakin cepat anda faham tentangnya, akan semakin mudah anda menangani masalah dan memahami karenahnya. Sebaik-baiknya kajilah dan fahamilah ini semua lebih awal. Tapi pastikan ianya mengikut lunas syariat dalam berhubungan dengan bakal isteri. 

13)    Masyarakat Melayu zaman dahulu mengamalkan 'nikah gantung'. Ianya adalah nikah yang sah, cuma tidak disertai dengan kenduri kesyukuran atau majlis perkahwinan. Ia hanyalah akad nikah oleh wali atau naib kadi bagi mengelak berlakunya pertemuan kedua anak muda secara haram yang boleh membawa kepada zina. Untuk keselamatan, diakad nikahkan terlebih dahulu. Kendurinya mungkin beberapa bulan selepas itu. Langkah sebegini, elok juga diamalkan oleh kita di zaman ini. Jadi pertemuan malam pertama sudah didahului dengan perkenalan sesama mereka yang halal di sisi syarak.

Cukuplah sekadar ini sahaja. Bagi pembaca yang ada tambahan tips, sila tuliskan di bahagian komen. Syukran!!

Cerita Sepasang Remaja Di Malam Pertama Pengantin Baru 2013 (Sambungan)

Kisah malam pertama yang Pak Lang paparkan pada Rabu, 20 November 2013 disambung kembali. Semoga para remaja sekalian dapat mengambil manfaat dari kisah ini. 
Sila baca semula dari awal ..........
 

Banyak juga cerita yang Pak Lang dengar tentang remaja yang soleh (yang baik, warak dan beriman). Kisah mereka ini agak lucu. Maklumlah remaja yang tidak terdedah dengan maksiat atau mungkar. Mereka jadi manusia yang tidak pandai dalam hal berkaitan seks atau hubungan suami isteri. Eloklah begitu! Cuma ibu bapa pasangan pengantin sebegini kenalah pandai memahamkan mereka agar bahtera rumah tangga yang dilayari dapat dimulakan dengan penuh indah dan bahagia.

Sememangnya tidaklah dinafikan - terutama dalam jemaah islam - adanya remaja yang begitu bersemangat mentaati perintah Allah. Meraka sangat serius dalam menghayati syariat Allah. Jadilah mereka orang yang warak - yang sangat menjaga halal haram dalam segenap sudut kehidupan atau pergaulan. Bila tiba masanya untuk mereka berkahwin, mereka akan pastikan calon isterinya atau suaminya adalah sealiran dengan jemaah yang diyakininya.

Mereka tidak terlibat sama sekali dalam pergaulan bebas, berfoya-foya dan sebagainya. Hidup mereka penuh dengan aktiviti sembahyang berjemaah, pengajian agama, usrah, qiamullail, dakwah, menerbitkan bahan bacaan islami dan lain-lain aktiviti yang sangat positif. Justeru, mereka sangat berhati-hati menggunakan internet. Sangatlah mereka berusaha mengawal diri agar tidak memandang yang haram yang biasa terdapat di media internet.

Cerita malam pertama ini mengisahkan sepasang pengantin baru yang mengalami kebuntuan komunikasi. Lebih tepatnya kedua-duanya beku dan kaku ketika berdua-duaan di kamar pengantin. Apa yang terjadi kedua-duanya saling membisu. Tidak ada suara yang terbit dari mulut masing-masing. Suara seolah-olah tersekat di kerongkong. Suasana malam kekal sunyi. Hanya yang kedengaran ialah suara jengkerik dan burung 'segan' berbunyi yang menggerunkan.

Itulah kamar pengantin sepasang remaja yang benar-benar tidak terdedah dengan kisah seks bebas atau sebarang pengetahuan mengenai kehidupan yang melanggar batasan syariat.

Pengantin lelaki bernama Hisyam (bukan nama sebenar) manakala pengantin perempuan bernama Munirah (juga bukan nama sebenar). Mereka berkahwin atas dasar taat dengan pilihan emak ayah masing-masing. Mereka bersetuju kerana calon suami atau isteri yang dinyatakan kedua orang tua mereka adalah remaja yang juga sangat berakhlak dan komited dengan jemaah pilihan mereka.

Hisyam masuk ke bilik pengantin tanpa dapat mengucapkan salam. Suaranya tersekat, lidahnya kelu. Isterinya Munirah yang baru dinikahi pagi tadi telah merebahkan diri. Berselimut litup seluruh tubuh dari hujung rambut ke hujung kaki.

“Malu agaknya. Maklumlah malam pertama…” Hisyam berbisik di dalam hatinya tanpa dia sedar siisteri yang di dalam selimut masih belum tidur.

Hisyam pergi ke sudut bilik. Dalam samar lampu bilik yang penuh romantik itu, dia menunaikan solat taubat dan menutupnya dengan doa yang panjang. Dia merintih kepada Allah swt agar dikurniakan isteri yang solehah dengan harapan mereka dipimpinNya ke jalan yang benar. Dia mengharapkan lahirnya rumah tangga yang tertegak sistem hidup yang membesarkan Allah dan Rasul.

Sebaik selesai, Hisyam melirik sekilas kepada isteri yang masih di dalam selimut. Masih tidak ada sebarang gerak. Bunyi nafas pun tidak kedengaran! Hatinya terdorong untuk menyentuh atau mengejutkannya tetapi dia juga rasa malu. Tangannya menggeletar. Hasrat itu diundurkannya. 

Lantas, dia pun mematikan lampu dan terus mengucap basmalah lalu berbaring di atas katil di sebelah siisteri. Tibat-tiba Hisyam terdengar suara merdu isterinya penuh romantis memecah kesunyian bilik pengantin mereka. “Buah papaya sudah masak ranum, bilakah tupai nak datang merasa ?”

“Eh, eh!! apa cerita ni?” terperanjatnya Hisyam di dalam hati. Hampir dia bersuara menegur isterinya itu. Tapi diundurkan juga hasratnya kerana menyangka siisteri sedang mengigau. 
"Oh, agaknya isteri ku teringat kampung halaman. Kasihan...sampai mengigau? Takpelah, biarlah dia tidur" bisik hatinya yang sedang berusaha memahami hasrat siisteri. 

Hisyam tidak dapat melelapkan matanya. Dia teringat 'igauan' isterinya tadi. Dia mengambil kesimpulan akan membawa Munirah, isterinya mencari buah papaya seperti yang diigaukan itu. Maklumlah baru berkahwin - terasa sangat mahu melayan apa jua kehendak isteri. Hisyam tertidur bungkam dalam keadaan muka yang polos. Dengkuran nipisnya didengar Munirah. 

Siisteri yang belum tidur, sedang memasang telinga mendengar apa jua gerakan daripada sisuami. Dia menunggu suami mendekati dan menyentuhnya. Inikan malam pertama mereka. Dia pun tidak tahu apakah yang patut dilakukannya kepada suami. Dia hanya tahu, dia perlu taat dan patuh pada suami. Apa juga hajat suami, dia akan berusaha menunaikannya. Dia rela apa saja asalkan ianya adalah kehendak Allah dan Rasul termasuklah menyerahkan kehormatan diri yang sangat dipeliharanya selama ini. 

Mendengar dengkuran suaminya, Munirah agak kecewa, tetapi sempat dia memujuk diri dengan bersangka baik dengan suaminya. Adakah suaminya tidak mendengar ungkapannya tentang 'buah papaya masak' tadi atau suaminya tidak memahami kiasan kata-katanya itu? Itulah yang difikirkannya di dalam selimut itu. 

Munirah membuka selimut perlahan-lahan, khuatir gerakannya mengejutkan suaminya. Dia memandang wajah polos suaminya puas-puas. Sudah halal baginya memandang wajah lelaki ajnabi kerana lelaki yang sedang tidur itu adalah suaminya yang sah. "Lucu juga wajah suami aku ini...tidur macam gaya adik aku!!" Bisiknya dalam hati. Dia teringatkan adik bongsunya, Syafiq yang gaya tidurnya seperti gaya suaminya tidur ketika itu. 

Munirah tidak dapat menahan sabar. Rasa hatinya mendorong-dorong untuk dia menyentuh wajah suaminya itu. Tapi entah kenapa, tangannya gementar terlalu amat. Dadanya juga berombak kencang. Tidak tahu apa yang ditakutinya dan apa pula yang digeruninya. Dia hanya sedang berdepan dengan seorang suami yang sedang tidur. Cuma hatinya sangat yakin, dia sedang melakukan sesuatu yang diredhai Tuhan. Mereka suami isteri halal antara satu dengan yang lain. Mereka berdua bukan lagi orang asing. Mereka sudah sah sebagai suami isteri. 

Setelah puas menahan gementar, berjaya juga Munirah menyentuh kulit muka suaminya itu. Terasa diganggu, Hisyam dalam tidurnya mengukir tanda tidak selesa pada gerak mulutnya. Munirah tersenyum sendirian. "Wah! macam gaya Syafiq bila kena ganggu waktu tidur!!" Sukanya Munirah melihat reaksi tanpa sedar suaminya itu. 

Sekali lagi dia menyentuh wajah suaminya. Kali ini walaupun tangannya masih gementar, dia dapat meletakkan hujung jari telunjuknya itu di pipi suaminya yang agak berisi itu. malah diusap-usapnya dua tiga kali. Kali ini - dalam keadaan masih tidur, Hisyam rupanya terasa ada gangguan yang ketara pada wajahnya. Tangannya diangkat untuk menepis 'sesuatu' pada mukanya. Munirah segera menarik tangannya agar tidak terkena tangan suaminya. 

"Alhamdulillah selamat!" Getus hatinya lagi sambil dia tersenyum sendirian. Munirah sudah berani. Tangannya sudah tidak gementar. Sekali lagi dicubanya menyentuh muka suaminya tetapi dia mengubah fikiran. Lebih baik dia membelai rambut suaminya - sama seperti yang selalu dilakukannya pada adiknya Syafiq. Tindakannya itu tidak mengundang apa-apa reaksi Hisyam. 

Munirah jadi makin berani. "Wah! terima kasih Tuhan!" Katanya dalam hati. Rasa bahagia dengan apa yang dilakukannya itu mula menyelinap masuk ke hatinya. Dia yakin suaminya tidak akan memarahinya malah mungkin menyukai tindakannya sedemikian. Kali ini Munirah bertekad untuk mendekatkan hidungnya ke wajah suaminya. 

Tetapi belum pun sempat dia melakukannya, Hisyam yang masih nyenyak tidur, tiba-tiba mengalihkan badannya. Munirah yang sedang mendekatkan mukanya tidak sempat mengelak. Tangan Hisyam yang cuba menarik selimut ke badannya. tersentuh pada kepala Munirah. 

Hisyam terjaga! Matanya tidak dibuka sepenuhnya tetapi hanya dicelikkan separuh dan bersedia untuk ditutup tidur kembali. Tetapi sebaik mata kuyu itu melihat bayangan wanita di depannya, dia terlupa dia sudah berkahwin. Tentulah dia terperanjat yang amat sangat. Siapa pula wanita yang sedang tidur bersamanya di waktu tengah malam begitu. 

Matanya dibuka luas malah terbeliak terperanjat. Hisyam bahkan terduduk, terjaga dengan wajah rasa bersalah, malu dan hairan. "OH! rupanya aku memang sudah kahwin! Ini isteri aku!!" Itulah ungkapan hatinya memarahi diri. 

"Ma...maaa..aafkan Munirah ya abang!" Munirah tunduk malu tetapi ungkapan maafnya jelas menyelinapkan arus sejuk yang syahdu ke telinga dan terus ke hati Hisyam.  Hisyam makin kaku. Dia cuba senyum dan bercakap. Suaranya melekat di kerongkongan. "O..Ok! tak pe!!" itulah yang termampu keluar dari mulut Hisyam. 

Munirah mengambil keputusan mendekat kepada suaminya. Dihulurkan tangannya kepada Hisyam. Hisyam masih kaku. Dia tidak tahu apakah yang patut dilakukannya. "Abang! Munirah minta maaf sebab ganggu abang tidur!!" "Oh!! tidak mengapa, eloklah kejutkan abang!" Akhirnya Hisyam berjaya berkata-kata sebanyak itu walaupun tangannya masih belum menyambut tangan isterinya. 

Munirah akhirnya memegang tangan suaminya. Terasa ada gementar yang kuat pada tangan Hisyam. Munirah tahu, gementar itu juga berlaku padanya di awal tadi. Nanti ianya akan berkurangan. Munirah menggenggam tangan kanan Hisyam dengan kedua belah tangannya. Tangannya yang lembut itu sangat meruntun hati Hisyam. 

"Terima kasih Tuhan atas kurniaMu pada kami. Engkaulah yang menjodohkan kami, Engkaulah penentu segala-galanya untuk kami. Bantulah kami untuk terus mentaatiMu sehingga ke akhir hayat kami". Itulah munajat Hisyam - remaja yang baru bergelar suami yang kuat hubungan hatinya dengan Tuhan. Dia kembali tenang setelah mendapat jabatan tangan, salaman siisteri. Dia terasa macam bermimpi tadinya. 

Tiba-tiba Munirah tunduk lalu  mencium dan mengucup belakang tangan Hisyam. Berdebar gemuruh pula jantung Hisyam dengan tindakan Munirah itu. Sebaliknya Munirah kekal lama dalam keadaan tunduk sebegitu. Mulutnya masih mencium belakang tangan Hisyam. Genggamannya masih belum dilepaskan bahkan ianya makin erat.

Munirah berkata, "Abang tolong doakan saya ya! Doakan agar saya jadi isteri yang solehah, isteri yang tetap mengagung dan membesarkan Tuhan  dengan rasa takutkan Allah serta rindukan Baginda Rasulullah saw. Abang doakanlah Munirah di malam yang para malaikat menyaksikan kita berdua sebagai suami isteri" 

Hisyam pun mengangkat tangan kirinya lalu diletakkannya di atas ubun-ubun isterinya. Lalu dia pun mengungkapkan doa yang diaminkan oleh Munirah, 

"Ya Allah, ya Tuhan Kami, terima kasih atas kurniaanMu kepada kami dengan jodoh kami ini. Engkaulah Tuhan yang maha agung yang telah menyelamatkan kami sepanjang usia remaja kami untuk mentaatiMu. Terima kasih Tuhan kerana Engkaulah yang telah menunjuk jalan keselamatan ini untuk kami. Kalaulah tidak dengan pimpinanMu, nescaya telah lama kami terjerumus seperti remaja-remaja yang lain."

Ya Allah, kami berazam untuk menjadikan rumah tangga kami sebagai rumah tangga contoh di akhir zaman. Engkau bantulah kami ya Allah agar kami terpimpin melakukannya. Ya Allah ya Tuhan kami, Tuhan yang maha mendengar rintihan hati kami. Inilah malamnya engkau pertemukan kami walaupun sebelum ini kami tidak pernah saling mengenali. Berikanlah perasaan cinta, kasih dan sayang sesama kami atas dasar semata keranaMu Ya Allah."

"Engkaulah yang maha tahu betapa kami ingin terus mencari keredhaanMu. Engkau jadikanlah rumah tangga kami sebagai landasan untuk kami mencapai redhaMu. Engkau peganglah hati-hati kami, pandulah kami melepasi ranjau-ranjau kehidupan rumah tangga agar kami istiqamah dalam ibadah, dalam perjuangan dan dalam pengorbanan."

"Pimpinlah kami Ya Allah pada setiap waktu dan ketika agar kami sentiasa dapat menerima apa saja yang Engkau timpakan ke atas kami. Janganlah Engkau biarkan kami tanpa pimpinan kerana kami takut kami kecundang di pertengahan jalan."

"Tuhan, sesungguhnya kami lemah jika kami sendirian. Tolonglah kami Tuhan! Kami sangat perlukan orang yang boleh memimpin kami. Pertemukanlah kami dengan orang-orangMu Tuhan agar kami boleh terus membaiki diri dan terpimpin melawan nafsu dan syaitan. Ya Allah kabulkan permintaan kami.... Amin Ya rabbal 'Alamin"

Hisyam mengakhiri doa yang dibacanya sepenuh jiwa itu dengan mengucup ubun-ubun dan dahi isterinya. Air matanya bergenang dengan pelbagai perasaan yang berbaur. Munirah hanya mampu menangis teresak-esak. Dia terus tersembam di ribaan suaminya. Hatinya tersentuh dengan doa suaminya. Itulah harapannya selama ini dan suaminya telah ungkapkan satu doa yang sama seperti yang diharapkannya berlaku dalam perkahwinan mereka. 

Dia berjanji dengan Tuhan untuk benar-benar menjadi isteri yang solehah iaitu isteri yang bernilai tinggi di sisi Tuhan. Dia mahu mencatat sejarah sebagai seorang bidadari kepada suami dan sebagai seorang serikandi bersama suami membela Islam diakhir zaman. Dia tahu ujian dan cabaran pastinya akan datang silih berganti, tetapi dia menyerah segala-galanya kepada Allah. Jika dia tetap istiqamah, semoga apa yang dilaluinya nanti adalah peningkatan rohaniah yang berterusan. Itulah maksud kejayaan yang sebenarnya.

Demikianlah kisah Hisyam dan Munirah seadanya. Pak Lang ubah suai sedikit kisah ini untuk paparan dalam blog ini. Beruntunglah ibu bapa yang mempunyai anak-anak sehebat Hisyam dan Munirah. Mari kita sama-sama berazam dan berusaha untuk melahirkan generasi salafussoleh di zaman ini. Semoga kita semua dibantu Tuhan merealisasikannya dengan berkat Rasulullah saw dan para kekasih Tuhan!!

 

Sample text

Sample Text

Sample Text