Social Icons

Wednesday, 30 April 2014

Tips Melembut Hati Yang Keras Dan Menyuci Hati Yang Kotor


Berikut adalah tips atau panduan para kekasih Allah yang telah menempuh jalan kemenangan di hujung perjuangan mereka melawan hawa nafsu. Semuanya mengambil panduan dari Baginda Nabi saw yang menggariskan jalan kemenangan bagi sesiapa yang mahu berusaha dan bermujahadah. 
 
Antaranya ialah dengan membanyakkan berlapar, kurangkan tidur, banyakkan berzikir dan bertafakur iaitu memikirkan kebesaran Allah SWT melalui ciptaannya serta memikirkan masalah akhirat seperti kegelapan alam barzakh, kepanasan Padang Mahsyar dan seksaan neraka.

Banyakkan Berlapar
Rasulullah saw. bersabda “Apabila seseorang itu kurang makan, penuhlah badannya dengan cahaya”. Allah swt akan melahirkan cahaya (nur) di dalam diri orang yang berpuasa dan memberinya kekuatan untuk mendampingi Allah.

Kurangkan Tidur.
Antara kebiasaan ahli syurga ialah mengurangkan tidur untuk bertahajjud:
"Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) sertadengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya) dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka (As-Sajdah 16).

Dari Ummah Al-Bahili dari Rasulullah s.a.w; “hendaklah kamu melazimkan qiamullail - sembahyang malam. Sebab itu adalah amalan orang-orang soleh sebelum kamu. Ia menghampirkan kamu dengan Allah, menebus keburukan (kamu) dan mencegah dari melakukan dosa.” (Riwayat At-Tarmizi)

Banyakkan Zikir
Rasulullah s.a.w bersabda: “Bagi segala sesuatu ada penggosok untuk membersihkan dan menghilangkan kekotorannya. Maka demikian itulah penggosok (pembersih) hati ialah zikrullah.”

Banyakkan Fikir Masalah Akhirat
Fikirkan tentang kegelapan kubur di Alam Barzakh. Cubalah duduk dalam bilik air yang tertutup dan gelap tanpa menghidupkan lampu. Betapa susahnya untuk bernafas dalam situasi itu. Fikirkan tentang kepanasan di Padang mahsyar. Ketika itu matahari berada seolah-olah sebatu (di atas kepala), panas yang tidak terperinya seperti diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA yang dikeluarkan oleh Imam Muslim dengan sanad yang sahih.

Banyakkan Fikir Kebesaran Allah
Fikirkan kehebatan Allah di sebalik ciptaan sesuatu kejadian untuk mendekatkan diri kita kepada Allah. "Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?
Az-Zariyat (21). 
"Patutkah mereka merasa cukup dengan mengetahui yang demikian sahaja dan tidak memikirkan dalam hati mereka, (supaya mereka dapat mengetahui), bahawa Allah tidak menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya itu melainkan dengan ada gunanya yang sebenar dan dengan ada masa penghujungnya yang tertentu, (juga untuk kembali menemui Penciptanya)? Dan sebenarnya banyak di antara manusia, orang-orang yang sungguh ingkar akan pertemuan dengan Tuhannya - Ar-Ruum (8). 
 
Banyakkan Taubat dan Istighfar
Taubat itu membersihkan hati manusia daripada kotoran dosa dan titik hitam yang melekat di hati. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud “Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali” (Riwayat Muslim).

Salah satu cara bertaubat ialah dengan melafazkan istighfar seperti “Astaghfirullahal Adzim aladzi laa ilaha illa huwal hayyul qayyum wa atubu ilaihi” (Aku mohon keampunan kepada Allah yang maha agung, tiada tuhan melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya, dan kepadaNyalah aku bertaubat )

Selain itu istigfarlah 3 kali sebelum tidur. Semoga Allah membantu kita!

Petunjuk Baru Dijumpai Dalam Misi Pencarian MH370?


Adakah dakwaan seorang wanita rakyat Malaysia yang baru pulang dari menunaikan umrah pada 8 Mac lalu yang ternampak sebuah bangkai pesawat yang besar berwarna perak di perairan Laut Andaman berkait dengan dakwaan terbaru sebuah syarikat penerokaan Australia yang telah menemui bangkai pesawat MH370 Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang sejak 8 Mac lalu. 

Dalam laporan Astro Awani pada 21 Mac lalu, wanita tersebut, Raja Dalelah Raja Latife, 53 mendakwa melihat bangkai sebuah pesawat yang sebahagiannya tenggelam dan sebagaian lagi timbul di perairan Laut Andaman ketika pesawat yang dinaikinya itu melintasi kawasan berkenaan pada pagi 8 Mac lalu.

Benarkah Raja Dalelah yang ketika itu berada dalam pesawat milik Penerbangan Saudi SV2058 yang berlepas dari Jeddah pada jam 3.30 pagi waktu Arab Saudi (8.30 pagi waktu Malaysia) telah melewati kawasan bandar Chennai di India sebelum memasuki ruang udara di perairan Laut Andaman.

Dalam satu laporan berita daripada 7News Australia semalam pula, menyatakan bahawa SyarikatGeoResonanceyang membuat pencarian sendiri pesawat tersebut sejak 10 Mac lalu telah mengesan objek yang berkemungkinan sebuah bangkai pesawat di Teluk Bengal berdekatan dengan perairan Laut Andaman.

Menurut jurucakap GeoResonance, David Pope, pihak penyelidiknya telah mengesan elemen pada dasar lautan yang dikatakan konsisten dengan elemen pesawat.

“Teknologi yang kita gunakan pada asalnya direka untuk mencari kepala peledak nuklear, kapal selam. Pasukan kami di Ukraine memutuskan kita perlu cuba dan bantu,” katanya seperti yang dipetik 7News.

Pencarian syarikat berpangkalan di Adelaide itu melibatkan kawasan seluas 2,000,000 km persegi di perairan di mana P itu dikatakan terhempas, menggunakan imej dari satelit dan pesawat.

Menurutnya objek tersebut semamngnya tiada sebelum kejadian tersebut.Berdasarkan kedua-dua dakwaan itu mungkinkah ini merupakan satu petunjuk baru dalam misi pencarian pesawat yang masih lagi gagal ditemui sehingga pada hari ini, lapor Astro Awani. ~awani 

Apakah Maksud Dan Huraian Tentang Syariat, Tarikat, Hakikat, Makrifat

Hidup adalah untuk beribadah kepada Allah. Allah menjadikan kita sebagai hambaNya dan melantik kita sebagai khalifahNya di atas muka bumi. Seluruh pelosok bumi diamanahkan kepada kita sebagai 'wakilNya' memastikan berlakunya perintah Allah dan laranganNya dipatuhi umat manusia.

Justeru hidup mesti berpaksi kepada terbinanya hubungan kita sebagai hamba, dengan Allah selaku pencipta. Begitu juga hidup mestilah berpaksikan kepada harmoninya hubungan kita sesama manusia - sesuai dengan peranan kita menjadi khalifah Allah. Untuk itu satu mekanisma perlaksanaan perlu kita tempuhi agar mencapai maksud yang sebenarnya daripada kewujudan kita. 

Maka sebagai orang yang beriman kita kena akui bahawa Allah menuntut kita 'bergerak' untuk 'sampai' padaNYa. Konsep, cara dan tindakannya sudah Allah gariskan di dalam Al-Quran. Tidaklah sukar memilih jalan yang benar asalkan ianya bertitik tolak daripada azam mahu mendapatkan keselamatan dunia akhirat.

Jadi mekanisma yang dimaksudkan ini ialah melaksanakan 4 perkara berikut mengikut tertibnya. Tanpa tertib sebegini, akan sukarlah kita menghubung jalinkan antara ke empat-empatnya secara keseluruhan. Hakikatnya tiada pemisahan antara keempatnya. Semuanya membentuk makna yang satu walaupun secara zahirnya dilihat tidak sama atau tidak serupa. Ianya boleh dianggap proses yang perlu kita lalui fasa demi fasa. 
 
Setiap fasa mempunyai ciri-ciri dan kelebihannya yang tersendiri. Dan kita memerlukan setiap fasa berkenaan dalam proses membaiki diri. Prosesnya ialah menempuhi tertib dalam amalan: Syariat, Tarikat, Hakikat dan Makrifat.

Kita perlu faham, hidup kita menempuh perjalanan yang ada penghujungnya. Sedangkan kehidupan kita adalah ibadah. Sepatutnya tidak ada ruang waktu yang kosong daripada mendapat nilaian ibadah di sisi Allah. Tetapi bayangkan realiti yang kita lalui setiap hari. Kita sendiri sedar betapa dalam kehidupan seharian, kita melupakan Allah termasuk ketika kita mengerjalan ibadah solat. 
 
Kalau Allah tidak 'wujud' di dalam ibadah solat dan dalam kehidupan seharian, lama kelamaan,  akan bertambah jauhlah kita dariNya. Lebih-lebih lagilah kalau tujuan dan niat ibadah itu adalah untuk dipuji, untuk disanjung dan kerana sebab-sebab lain yang berbentuk duniawi. Sudah tentulah ia tidak akan ada nilai apa-apa. 
 
Malahan ibadah seperti ini akan Allah lemparkan semula ke muka pengamalnya beserta dengan laknat-Nya sekali. Lagi banyak dia beribadah, lagi dia rasa sombong, angkuh, riyak, ujub, rasa diri mulia, rasa diri baik dan sebagainya. Lagi banyak dia beribadah, lagi dia pandang orang lain hina, jahat dan tidak berguna.

Sebab itu beramal dalam Islam ada tertibnya. Ada “progression”nya dari satu tahap ke tahap yang lebih tinggi, dari satu fasa ke fasa yang lebih kemuncak. Ianya bermula dengan Syariat, kemudian dengan Tariqat, diikuti pula dengan Hakikat dan diakhiri dengan Makrifat.

1. Syariat.
Ini adalah ilmu. Ia melibatkan ilmu tentang peraturan, hukum-hakam, halal haram, sah batal dan sebagainya. Ilmu perlu dalam beramal. Tanpa ilmu, kita tidak tahu macam mana hendak beramal mengikut cara yang Tuhan mahu. Kalaupun kita sudah cinta dan takut dengan Tuhan dan kita terdorong untuk menyembah-Nya, kita tidak boleh berbuat demikian ikut sesuka hati kita atau ikut cara yang kita cipta sendiri. Tuhan tidak terima, kita mesti ikut cara yang ditetapkan oleh Islam dan kita mesti belajar. Amalan tanpa ilmu itu tertolak. Ilmu atau syariat ini ibarat biji benih.

2. Tariqat.
Ini adalah peringkat menghidupkan ilmu menjadi amalan secara istiqamah dan bersungguh-sungguh, difahami, dihayati. Ilmu (syariat) yang ada perlu dilaksanakan. Pengamalan ilmu ini dinamakan juga tariqat wajib dan ia tidak sama maksudnya dengan tariqat sunat yang mengandungi wirid-wirid dan zikir-zikir yang menjadi amalan setengah pengamal-pengamal sufi. Tariqat ini ibarat kita menanam biji benih tadi (syariat) hingga ia bercambah, tumbuh dan menjadi sebatang pokok yang bercabang dan berdaun.

3.Hakikat.
Hakikat adalah buah. Selepas kita ada syariat, kemudian kita amalkan syariat itu hingga ia naik ke peringkat tariqat, yakni ia menjadi sebatang pokok yang bercabang dan berdaun, maka kalau cukup syarat-syaratnya maka pokok itu akan menghasilkan buah.

Buah tariqat adalah akhlak dan peningkatan peringkat nafsu atau pencapaian maqam-maqam mahmudah. Boleh jadi ia menghasilkan maqam sabar, maqam redha, maqam tawakkal, maqam tawadhuk, maqam syukur dan berbagai-bagai maqam lagi. Boleh jadi hanya terhasil satu maqam sahaja (sebiji buah sahaja) atau boleh jadi akan terhasil beberapa maqam berbeza dari satu pokok yang sama.

Hakikat juga adalah satu perubahan jiwa atau perubahan peringkat nafsu hasil dari syariat dan tariqat yang dibuat dengan bersungguh-sungguh, istiqamah, faham dan dihayati.

4. Makrifat.
Ini adalah hasil dari hakikat, iaitu hal-hal hakikat yang dapat dirasai secara istiqamah. Ia adalah satu tahap kemajuan rohaniah yang tertinggi hingga dapat benar-benar mengenal Allah dan rahsia-rahsia-Nya. Orang yang sudah sampai ke tahap ini digelar Al Arifbillah.

Kalau kita lihat dengan teliti, tertib dalam amalan ini bermula dari yang lahir dan berakhir dengan yang batin. Syariat dan tariqat itu terletak dalam kawasan lahir. Hakikat dan makrifat pula menjangkau ke alam batin iaitu ke dalam hati dan rohani.

Kita juga dapat lihat bahawa peringkat syariat dan tariqat adalah peringkat-peringkat yang agak mudah untuk dicapai kerana ia hanya melibatkan usaha lahir. Tetapi untuk mencapai peringkat hakikat dan makrifat, ia agak lebih sukar dan lebih rumit.

Kesukaran ini ialah kerana pertama, ia memerlukan istiqamah dalam beramal dan kedua kerana ia memerlukan juga amalan batin atau amalan hati atau apa yang dinamakan hikmah. Amalan yang berhikmah ialah amalan yang dihayati dan dijiwai, yang mempunyai roh dan rasa-rasa. Tanpa kedua-dua perkara ini iaitu istiqamah dan hikmah, tariqat tidak akan dapat melonjak ke peringkat hakikat dan seterusnya ke peringkat makrifat.

Itu sebabnya ramai orang yang berjaya sampai ke peringkat tariqat iaitu boleh berilmu dan beramal tetapi tersekat di situ sampai ke tua tanpa dapat meningkat ke peringkat hakikat. Sudah beramal selama 50 hingga 60 tahun tetapi tidak juga lahir akhlak dan tidak juga dapat mencapai maqam-maqam mahmudah. Dalam ertikata yang lain, mereka sudah beribadah berpuluh-puluh tahun tetapi ibadah mereka belum menghasilkan buah iaitu akhlak.

Perlunya Istiqamah.
Ini adalah salah satu syarat atau tuntutan untuk mencapai hakikat. Istiqamah ialah tetap dalam beramal. Amalan pula adalah amalan lahir dan ada amalan batin atau hati. Istiqamah itu perlu dalam amalan lahir mahupun amalan batin. Malahan istiqamah dalam amalan batin lebih dituntut.

Istiqamah dalam amalan lahir agak mudah. Ramai orang yang istiqamah dalam sembahyang, dalam berpuasa, dalam berzakat dan sebagainya. Ramai yang tak tinggal sembahyang, tak tinggal puasa. Tetapi istiqamah dalam amalan batin adalah lebih sukar dan rumit. Istiqamah dalam amalan batin ini ramai yang tidak mampu melakukannya walaupun sudah istiqamah dalam amalan lahir.

Ramai orang cuba sabar tapi tidak istiqamah dalam sabar. Duit hilang boleh sabar. Sakit dan demam boleh sabar. Tapi bila orang kata nista dan menghina, tidak sabar. Bila isteri buat hal, tidak sabar.

Ramai orang boleh bersyukur. Dapat duit bersyukur, dapat pangkat bersyukur, dapat anak pun bersyukur tapi tidak mampu bersyukur bila dapat berbuat ibadah dan kebaikan, dan bila terhindar dari berbuat maksiat dan kejahatan.

Ramai orang boleh jadi pemaaf kalau yang meminta maaf itu kawannya, isterinya atau anaknya. Tapi kalau yang meminta maaf itu musuh atau seterunya, susah dia hendak maafkan.

Ramai orang boleh berbuat baik kepada kawannya, sanak-saudaranya, ibu dan ayahnya yang selalu berbuat baik padanya tetapi tidak sanggup berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat padanya.

Ramai orang boleh bertegur sapa dan bermesra dengan kawan-kawannya tetapi tidak boleh bertegur sapa dan bermesra dengan orang yang dibencinya. Begitulah seterusnya.

Sangat susah dan payah untuk kita beristiqamah dalam amalan hati. Justeru itu ia tidak dapat dijadikan pakaian atau ia tidak dapat mendarah mendaging. Itu sebab istiqamah itu, terutamanya istiqamah batiniah sangat dipandang besar. Ia dianggap satu keramat.

Ada ungkapan kata hikmah yang bermaksudnya;
"janganlah kamu meminta jadi wali, tapi mintalah istiqamah dalam beramal"

Amalan yang tidak istiqamah tidak akan ada kesan apa-apa pada hati. Amalan yang istiqamah, walaupun sedikit akan tetap ada kesan pada hati. Ibarat air yang menitik ke atas batu, lama kelamaan batu itu akan terlekuk jua. Tetapi air banjir yang besar yang melanda batu sekali sekala tidak akan memberi apa-apa kesan kepada batu.

Istiqamah adalah tanda ikhlas. Kalau sesuatu amalan itu tidak ikhlas, ia sukar untuk diistiqamahkan. Seperti kata para ahli hikmah:
"Hidupnya (kekalnya) amal kerana ikhlas."

Dalam pada itu, istiqamah batiniah lebih memberi kesan kepada hati daripada istiqamah lahiriah. Itu sebabnya istiqamah batiniah lebih dituntut dan lebih utama. Ia adalah amalan hati dan kerana itu ia mempunyai kesan yang langsung dan terus kepada hati.

Hikmah.
Ia adalah syarat atau tuntutan kedua untuk mencapai hakikat. Hikmah di sini bukan bermaksud bijaksana. Kalau bijaksana, orang Arab akan sebut "Abqoriah". Hikmah di sini bukan bermaksud ilmu atau setakat faham ilmu sahaja. Hikmah ialah memperolehi ilmu di dalam ilmu. Hikmah adalah rasa dan penghayatan. Ia adalah rasa yang Allah campakkan ke dalam hati.

Untuk mendapat ilmu, kita boleh belajar. Tetapi untuk mendapat hikmah, ilmu mesti diamal dengan ikhlas. Baru ilmu itu bukan setakat di akal tetapi jatuh ke hati. Ilmu hati ini sahaja yang boleh mengubah dan menginsafkan orang.

Kalau ilmu lahir itu dikendalikan oleh akal, hikmah pula ialah ilmu yang dikendalikan oleh roh atau hati. Seperti yang disebutkan dalam sebuah hadis; Maksudnya; "Sesiapa yang mengamalkan ilmu yang diketahuinya, Allah akan ajar kamu ilmu (hikmah) yang kamu tidak tahu." Inilah juga yang dimaksudkan ilmu dalam ilmu. Ertinya mendapat ilmu hikmah ketika mengamalkan ilmu yang lahir.

Untuk menjadi ulama itu senang. Tetapi untuk menjadi ahli hikmah sangat susah. Ilmu adalah apa yang kita belajar tetapi hikmah adalah apa yang Tuhan ajar kita seperti dalam firman Allah ;
Maksudnya ; "Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengajar kamu (ilmu hikmah). Sesungguhnya Allah Mengetahui segala sesuatu." [Al Baqarah : Ayat 282]

Orang yang mendapat ilmu hikmah, dia mendekati nabi. Inilah dua perkara yang perlu dititik beratkan kalau sekiranya amalan hendak ditingkatkan dari peringkat tariqat kepada hakikat dan seterusnya kepada makrifat.

Ia memerlukan penglibatan hati dan rohani dalam ibadah dalam bentuk penjiwaan dan istiqamah terutamanya istiqamah batiniah di samping amalan lahiriah yang baik dan rapi. Ertinya kalau hati dan rohani tidak turut sama beribadah, agak mustahil perkara ini boleh tercapai.

Untuk mendapat buah dari ibadah iaitu akhlak dan untuk mencapai maqam-maqam mahmudah, ibadah mesti ada roh, mesti ada rasa-rasa, mesti ada penjiwaan dan mesti ada penghayatan. Salahlah orang yang menafikan amalan hati dan amalan rohani dalam ibadah.

Kalau amalan lahir sahaja dititikberatkan maka ia mungkin memadai di peringkat syariat dan tariqat iaitu pada peringkat ilmu dan amal. Memang itu kerja lahir. Tetapi untuk mendapat hasil dari ilmu dan amal tersebut dan supaya ibadah boleh mendidik hati, amalan lahir semata-mata tidak memadai. Dalam ertikata yang lain, untuk mencapai maqam hakikat dalam ibadah dan amalan, itu bukan lagi kerja lahir. Itu adalah kerja hati.

Pakatan Rakyat - Sedang Dan Akan Berpecah?

Isu-isu yang berlegar di dalam parti komponen PR semakin banyak dan membesar. Masihkah PR kekal dengan 52 peratus undi popular sekarang ini? Walaupun PR kekal 'bersatu' dalam menghadapi kerajaan BN, kerapuhan perpaduan dalam sesama PR semakin terasa. Momentum 'kemenangan' yang dialami sebelum ini semakin berkurangan. 

Adakah dengan 'bersuluknya' Dato' Seri Anwar di penjara selama 5 tahun nanti akan terus membuatkan PR terus merosot? Ini adalah suatu hal yang menarik untuk diperhatikan. Tambahan pula ketiadaan Karpal Singh di saat begini tidak juga meredakan goncangan isu hudud dari terus berlaku. Ramai pula tokoh DAP yang saling menolak hudud yang diperjuangkan PAS. Matinya Karpal Singh melahirkan lebih ramai tokoh 'pembangkang' di dalam PR.
 
Kedatangan Presiden Amerika Syarikat juga dilihat tidak banyak memberi mata kepada PR. Ianya lebih mempromosi Perdana Menteri dan kerajaan BN. Rakyat bawahan terus terhibur dengan lakaran sejarah hebat di era Najib apabila Malaysia dilawati Obama. Adakah PR akan makin ditinggalkan rakyat?

Lihat pula isu perebutan kuasa di dalam PR. Saingan merebut jawatan penting dilihat sudah mewujudkan kem-kem yang mempunyai pengikut tegar masing-masing. Apakah upaya yang ada untuk mengukuhkan kembali kem-kem berkenaan selepas pemilihan. Nanti rakyat melihat orang politik semuanya sama?

Semua yang terjadi akhir-akhir ini boleh mengukur sejauh mana populariti Anwar dan Pakatan Rakyat sekarang ini. Mari kita baca tulisan Pak Aspan Alias mengenai pengaruh PR sekarang dalam tajuk paparan di blognya
 
Masih kah PR kekal dengan 52 peratus undi popular sekarang ini?

Anwar berkata ‘Pakatan Rakyat is the rightful government to this country’ kerana mendapat 52 peratus dari undi rakyat negara ini dalam pilihanraya yang lalu. Kerjasama secara tidak formal ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat itu telah berjaya mengumpul sebanyak 52 peratus dari undi rakyat berbilang kaum dalam PRU yang lalu walaupun BN memenangi dalam jumlah kerusi yang di pertandingkan. Itu sistem kita selama ini, dalam mana pihak yang mendapat jumlah kerusi yang terbanyak akan menjadi kerajaan.

Tetapi jumlah sokongan rakyat sebanyak 52 peratus itu mungkin tidak lagi menjadi kenyataan jika pilihanraya diadakan sekali lagi kerana tentunya sebilangan besar dari penyokong PAS tidak lagi akan menyokong Pakatan Rakyat apabila isu hukum hudud timbul. DAP menentang keras hukum hudud itu walaupun suatu ketika dahulu pimpinan utamanya telah berjanji untuk menghormati perjuangan bangsa dan agama lain dinegara ini.

Apa pun DAP ada hak untuk tidak bersetuju kerana Islam itu bukan agamanya kepada kebanyakan pemimpin dan ahli parti itu. Malahan parti itu telah meminta PAS agar keluar dari Pakatan Rakyat dan sekali gus dari segi moralnya Pakatan Rakyat hanya mempunyai dua parti sahaja dalam Pakatan pembangkang itu. Justeru peratusan sokongan yang memihak kepada pembangkang sudah pastinya berkurangan dari 52 peratus yang digembar gemburkan itu.

Jadi pengakuan Anwar yang PR itu merupakan pihak yang secara politik dan moralnya adalah parti yang sepatutnya menjadi kerajaan itu sudah tidak relevan lagi. DAP telah dengan jelasnya meminta PAS keluar dari Pakatan Rakyat dan parti itu berkata yang dalam politik tidak ada persahabatan dan permusuhan yang berkekalan, maka DAP merasakan ini adalah masanya untuk mengambil tindakan berpisah dengan PAS kerana perbezaan yang sangat jelas dalam banyak hal perjuangan dan matlamat parti masing-masing.

Seandainya PAS benar-benar tidak lagi bersama dalam Pakatan Rakyat parti itu tidak akan menghadapi masalah moral kerana sememangnya dari awal penubuhannya, perjuangannya adalah untuk meningkatkan Islam yang hendak diaddinkan dalam pentadbiran kerajaan negara ini. Malahan jika PAS benar-benar parti yang mempunyai moral dan maruah yang tinggi, parti itu sepatutnya menyahut cabaran DAP itu kerana ini merupakan keputusan yang menjadi penentu kepada masa depan parti itu samada parti yang boleh diyakini dan tidak berbohong dipandangan mata rakyat.

PAS boleh memberikan penjelasan yang baik dalam isu hudud ini jika parti itu benar-benar mahu melaksanakan hudud di negeri Kelantan. Kelantan adalah salah sebuah negeri yang menganggotai Persekutuan ini dan Kelantan adalah sama seperti negeri lain yang memberikan sumbangan kepada kedaulatan negara. Kedaulatan negara datangnya dari penyertaan negari-negeri yang berdaulat dalam Persekutuan ini kerana negeri itu juga mempunyai legislatif nya sendiri.

Tiada apa salahnya jika negeri itu mempunyai undang-undangnya sendiri yang berlainan dari undang-undang diperingkat persekutuan dan negeri-negeri yang lain. Amerika Syarikat juga adalah sebuah negara Persekutuan yang dianggotai oleh 52 negeri di dalamnya dan ada negeri-negeri dalam Amerika Syarikat yang mana sebahagian dari undang-undangnya berbeza dengan undang-undang dinegeri-negeri lain dalam AS itu.

Maka tidak ada kesalahannya jika di Malaysia ini Kelantan dibenarkan melaksanakan hukum hudud itu memandangkan negeri itu mempunyai 97 peratus dari rakyatnya adalah dikalangan orang Melayu yang beragama Islam.

Hanya yang perlu menjadi fokusnya sekarang ini, tentukan undang-undang hudud itu adalah hudud yang sebenarnya dan ini belum ternyata lagi berjaya atau gagalnya perlaksanaannya di Kelantan. Malahan sebagai seorang Islam saya ingin melihat undang-undang hudud ini terlaksana di Kelantan yang akhirnya nanti dapat membezakan undang-undang mana yang lebih baik dari yang ada sekarang ini.

Alasan hudud ini menyalahi perlembagaan negara adalah alasan yang lembek. Negeri-negeri berdaulat itu ada undang-undang tubuh dan enakmen syariahnya sendiri yang boleh dipinda untuk kehendak rakyat negeri itu. Yang penting kerajaan persekutuan memberikan sokongan yang secukupnya bagi negeri ini untuk melaksanakan undang-undang itu.

Kita bersetuju yang undang-undang hudud ini wajar dilaksanakan dengan begitu berhati-hati agar ia tidak menjejaskan negara, tetapi ia tidak semestinya menjadi alasan kenapa hudud itu tidak perlu dilaksanakan di Kelantan. Mungkin ia memerlukan penglibatan ramai sadaqiah Islam peringkat antarabangsa yang berwibawa untuk membantu bagi perlaksanaan cita-cita PAS untuk melaksanakan hukum itu di negeri Kelantan yang 97 peratus dari rakyatnya yang beragama Islam itu.

Mungkin bukan mudah untuk memulakan perlaksanaannya tetapi tidak salah untuk diusahakan dan memulakan perlaksanaannya dalam keadaan berhati-hati dan cermat. Yang pentingnya dalam tidak beberapa lama selepas perlaksanaannya kita dapat membuktikan hukum dan undang-undang Islam itu mampu untuk menunjukkan kewibawaannya dari hukum-hukum civil yang ada hari ini.

Jika ia gagal menunjukkan bukti itu maka yang gagal nanti ialah PAS, bukannya hukum Allah itu. Kegagalan adalah sifat mustahil bagi Allah s.w.t.. Tiada apa yang gagal bagi Allah kerana nyawa dan nafas kita sendiri adalah dari Allah dan terbentangnya dunia dan alam ini adalah kenyataan kehebatan yang mustahil boleh dibandingkan dengan sesuatu.

Masakan hukum dan undang-undang agama yang diturunkannya itu adalah undang-undang yang gagal memberikan keadilan kepada umat sejagat.

Berbalik kepada isu sokongan 52 peratus kepada PR yang di sebut oleh Anwar itu, hakikat sebenarnya sekarang ini keadaan 52 peratus yang memihak kepada PR itu bukan lagi satu kenyataan dan ia telah menjadi sejarah bukan kerana sesiapa tetapi kerana PR itu sendiri.

Harapan Kepada Para Perokok - Tiru Masyarakat Australia!

 
Semasa Pak Lang di Australia, satu hal yang menarik perhatian ialah sikap dan budaya masyarakatnya. Maksud Pak Lang budaya penduduk kulit putih. Adapun penduduk asli yang tubuh mereka berwarna gelap berambut kerinting itu sangatlah berbeza pula watak mereka. Mereka yang dikenali sebagai Etnik Ebbo itu sangat jauh budayanya dengan masyarakat pendatang yang menguasai pemerintahan Australia.

Masyarakat kulit putih Australia ini kelihatan sangat menjaga tingkah laku dan sikap mereka. Mereka menghormati orang lain. Sebolah-bolehnya mereka tidak mahu menyusahkan orang lain (dan mereka juga tidak mahu orang lain menyusahkan mereka?). 

Hal ini mudah kita saksikan pada mereka yang merokok. Di bandar Perth - kita tidak mudah melihat orang merokok di merata tempat. Orang yang merokok akan mencari tempat yang jauh dari orang ramai. Kita tidak akan temui orang yang merokok di tempat awam, di restoran, di dalam tandas, di kaki lima kedai atau bahkan di jalanan. 

Mungkin berpegang dengan hak asasi manusia, mereka tidak mahu dikatakan 'menceroboh' hak orang lain. Pada mereka rokok yang dihisap itu memang memudaratkan dan berbau yang tidak enak pada kebanyakan orang lain. Mereka mengakui hal ini. Justeru mereka pun tahu 'membawa diri' ke mana-mana lokasi yang jauh dari orang ramai. 

Sebab itu lumrah kita dapat melihat para perokok ini akan bersendirian di bawah pohonan rendang - jauh dari orang lain. Di situ mereka melepaskan ketagihan rokok masing-masing. Kadang-kadang mungkin mereka berdua, bertiga dan sebagainya - beramai-ramai merokok sambil berbual. Jika kita yang tidak merokok kebetulan terpaksa melepasi kawasan tempat mereka merokok, mereka akan berusaha menjarakkan diri atau semakin menjauhkan lagi diri mereka. 

Seboleh-bolehnya mereka hendak pastikan asap rokok mereka tidak menyentuh hidung orang lain. Memang sangat beretika. Yang lucunya mereka kelihatan takut-takut dan merendah diri seolah-olah meminta kita dapat bertolak ansur dengan asap rokoknya. Mereka akan kembali ke tempat orang ramai setelah selesai melepaskan ketagih rokok tersebut. 

Jadi sepanjang berada di Australia, Pak Lang rasa selesa dari sudut ini. Memang sangat terasa 'sucinya' udara Australia daripada asap rokok. Pak Lang tidaklah tahu situasi di dalam pub atau tempat peleseran lain di negara kanggaro itu. Mungkin juga rokok sudah sepakat diterima di dalam tempat-tempat tersebut. 

Bagaimana dengan negara kita? Negara kita - seperti negara umat Islam lainnya penuh dengan perokok tegar. Sepatutnya umat Islam tidak merokok kerana secara semula jadinya merokok itu sangat memudaratkan. Kita tertanya-tanya bagaimanakah cara membantu mereka  menghilangkan ketagihan rokok. Atau mereka tegar membiarkan diri mereka dikuasai ketagihan rokok tanpa mahu berusaha membebaskan diri? 
Jadi di Malaysia, mereka merokok di mana-mana, tidak kira waktu dan tidak kira siapa di sekeliling mereka.  Tidak ramai yang kita lihat mahu berhati-hati dengan tabiat tersebut agar tidak mengganggu orang lain. Yang malangnya ialah semakin hari, perokok baru muncul di tengah masyarakat. Kanak-kanak dan remaja Malaysia sudah kelihatan berani merokok di mana-mana. Di luar rumah - didepan kita yang dewasa, mereka merokok sebebas-bebasnya. Jika di depan ibubapa mereka mungkin tidak tetapi di luar rumah?

Inilah konflik yang ada di dalam masyarakat kita. Bagaimana menanganinya? Jawabnya ialah kita tidak mempunyai seorang pakar pun untuk menyelesaikan masalah rokok yang mudah ini. Memang ramai yang pandai bercakap dan bersyarah tetapi tidak ada yang berupaya bangkit membanteras budaya ketagihan rokok yang ringan berbanding najis dadah. 

Kepada para pembaca yang merokok, janganlah diambil hati pada tulisan Pak Lang kali ini. Pak Lang hanya mengharapkan para perokok meniru masyarakat kulit putih Australia iaitu menghormati dan menghargai orang di sekeliling anda. Sebaik-baiknya tentulah diharapkan agar kembali pada ajaran agama. Bukankah menggangu orang lain itu hukumnya berdosa? 

Apa pun, Pak Lang sangat faham, ketagihan rokok - pada sebahagian individu - sangat sukar untuk dihapuskan. Ramai yang menganggapnya mustahil. Sedangkan ramai pula yang mampu berhenti serta merta di samping yang lain, berhenti secara berdikit-dikit. 

Semuanya bergantung pada diri sendiri. Pilihlah untuk hidup sihat atau mengumpul kekayaan sambil terus merokok. Nanti di hujung usia, wang ringgit yang terkumpul akan surut kekeringan kerana mengubat pelbagai penyakit yang terhasil dari tabiat merokok.

Pak Lang doakan bagi yang mahu berubah dan meninggalkan rokok agar dibantu Allah dalam usahanya. Allah hanya akan membantu kita jika kita bersungguh-sungguh dengan niat yang ikhlas serta tindakan yang tidak kenal putus asa. Azam dan tekad akan terkesan pada doa yang dipinta. Ampun maaf!! Semoga berjaya.
                  

Tuesday, 29 April 2014

Kisah Hakim Indonesia Yang Bijaksana - Menghukum Nenek Yang Mencuri

Kisah sedih yang mengharukan...bagaimana keadilan dan hati nurani bergabung secara bijaksana - menghasilkan satu keputusan penghakiman yang sangat bernilai tinggi di sudut kemanusiaan!! Tetapi sesungguhnya di dunia hari ini, tidaklah ramai manusia seperti hakim Marzuki ini. Bacalah...

Sangat mengharukan, seorang hakim bernama Marzuki di Mahkamah Indonesia berasa sebak dengan penerangan pesalah seorang nenek tua yang mengaku salah mencuri ubi kayu.

 
Di ruang mahkamah pengadilan, seorang hakim duduk termenung menyemak pertuduhan kepada seorang nenek yang dituduh mencuri ubi kayu. Nenek itu merayu bahawa hidupnya miskin, anak lelakinya sakit, dan cucunya kelaparan. Namun pengurus ladang tuan punya ladang ubi tersebut tetap dengan tuntutannya supaya menjadi iktibar kepada orang lain. Hakim menghela nafas dan berkata, “Maafkan saya, bu”, katanya sambil memandang nenek itu.

”Saya tidak dapat membuat pengecualian undang-undang, undang-undang tetap undang-undang, jadi anda harus dihukum. Saya mendenda anda RP1juta (lebih kurang RM350) dan jika anda tidak mampu bayar maka anda harus masuk penjara 2 setengah tahun, seperti tuntutan undang-undang”.
 
Nenek itu tertunduk lesu. Namun tiba-tiba hakim menbuka topi hakimnya, membuka dompetnya kemudian mengambil & memasukkan wang RP1juta ke topinya serta berkata kepada hadirin yang berada di ruang mahkamah.

‘Saya atas nama pengadilan, juga menjatuhkan denda kepada setiap orang yang hadir di ruang mahkamah ini, sebesar RP50ribu (lebih kurang RM17), kerana menetap di bandar ini, dan membiarkan seseorang kelaparan sehingga terpaksa mencuri untuk memberi makan cucunya.

“Saudara pendaftar, tolong kumpulkan denda dalam topi saya ini lalu berikan semuanya kepada yang tertuduh”

Sebelum tukul diketuk nenek itu telah mendapatkan sumbangan wang sebanyak RP3.5juta dan sebahagian telah dibayar kepada mahkamah untuk membayar dendanya, setelah itu dia pulang dengan wajah gembira dan terharu dengan membawa baki wang termasuk wang RP50ribu yang dibayar oleh pengurus ladang yang mendakwanya.

Kisah ini sungguh menarik dan boleh di share untuk menjadi contoh kepada penegak undang-undang di Malaysia agar bekerja menggunakan hati nurani dan mencontohi hakim Marzuki yang berhati mulia ini. 
 

Monday, 28 April 2014

Kisah Peribadi Wanita Solehah - Rabiah Al-Adawiyah


Bacalah kisah seorang wanita solehah yang patut dicontohi. Sebenarnya wanita solehah yang terkenal dengan berbagai riwayat ini adalah RABIUL AL ADAWIYAH: Beliau terkenal dengan ungkapan doanya seperti berikut: "Tuhanku, apa saja yang Engkau hendak kurniakan kepadaku berkenaan dunia, berikanlah kepada musuhku dan apa saja kebaikan yang Engkau hendak kurniakan kepadaku berkenaan akhirat, berikanlah kepada orang-orang yang beriman, kerana aku hanya hendakkan Engkau kerana Engkau. Biarlah aku tidak dapat syurga atau neraka. Aku hendak pandangan Engkau padaku sahaja. Doaku pada-Mu ialah sepanjang hayatku, berilah aku dapat mengingati-Mu dan apabila mati kelak berilah aku dapat memandang-Mu".

Rabiah ialah anak keempat dalam satu keluarga miskin dilahirkan pada kurun pertama Hijrah di kota Basrah, tebing Sungai Dajlah, Iraq. Bapanya bernama Ismail bin Muhammad Dawi. Beliau dilahirkan dalam keluarga yang sangat patuh dan taat pada agama, sukakan kebaikan dan sentiasa berdamping diri dengan Al Quran. Ayahnya seorang yang warak, sentiasa memenuhi masa dengan membaca Al Quran, memperbanyakkan sembahyang sunat, dan berpuasa serta hati tak lekang dari berzikir mengingati Allah.

Oleh kerana Rabiah anak yang bongsu, dia selalu mengikuti bapanya dan berdamping dengan segala program ayahnya. Sejak kecil lagi beliau telah dapat menghafaz Al Quran. Selain itu Al Quran juga menjadi penawar hatinya dan ubat bagi mengubati segala penyakitnya. Perangai Rabiah sangat berbeza dari adik beradiknya yang lain. Beliau sentiasa tenang dan tidak gopoh apabila melakukan sesuatu pekerjaan. Bila waktu makan, beliau makan sedikit dan berhenti sebelum kenyang.

Rabiah selalu mengingatkan ayahnya supaya mengawasi dari memberi makanan yang syubhat lebih-lebih lagi yang haram kepadanya. “Wahai ayah, lebih baik bersabar kerana lapar di dunia daripada bersabar terhadap azab Allah di akhirat.”

Dari keistimewaan yang terdapat padanya serta tingkah lakunya yang luar biasa sejak dari kecil itu, ternyata bahawa suatu hari nanti Rabiah Al Adawiyah akan menjadi salah seorang di antara kekasih-kekasih Allah. Bagaimanapun untuk mencapai darjat yang tinggi itu beliau terpaksa menghadapi berbagai ujian dan penderitaan hidup. Allah SWT tidak akan mengangkat darjat seseorang dengan semudah atau tanpa diuji terlebih dahulu.

Ujian pertama yang terpaksa ditempuhi ialah ayahnya meninggal dunia dalam usianya yang masih muda, ibunya pula menyusul tidak lama selepas itu. Ini membuatkan beliau terpaksa berpisah dengan adik beradiknya yang lain. Tinggallah Rabiah yatim piatu dan sebatang-kara tanpa saudara mara tempat mengadu dan bergantung hidup. Ketika itu ia hidup penuh dengan linangan air mata dan kesedihan memanjang. Ini membuatkan dia sedar dan insaf bahawa ujian yang Allah timpakan itu adalah untuk mengajarnya agar jangan bergantung dengan makhluk yang lain kecuali Allah. Allahlah tempat mengadu dan Allah jugalah yang menjadi hiburan dan tempat mengharap kasih sayang. Kini beliau menyerahkan dirinya bulat-bulat pada Allah.

Dalam keadaan demikian Rabiah telah bersua dengan seorang lelaki tua yang sedang bertasbih dan memuji Allah. Beliau menasihatkan Rabiah supaya bersabar kerana itu merupakan ujian Allah. Rabiah sentiasa diperlihatkan dengan mimpi-mimpi yang baik dalam tidurnya serta membuatkan beliau tenang dan sabar dalam menempuh dugaan dan cabaran hidup.

Tidak berapa lama kemudian, bandar Basrah tempat tinggalnya telah dilanda musim kemarau yang sangat teruk dan berakhir dengan kebuluran dan kemusnahan. Ini membuatkan Rabiah terpaksa berhijrah ke tempat lain yang lebih selamat. Sewaktu menumpang dalam satu kafilah, tanpa disangka-sangka kafilah mereka telah diserang oleh perompak. Ketua perompak itu telah menangkap Rabiah untuk dijadikan barang rampasan dan beliau telah dijual di pasar sebagai hamba abdi.

Kini ia terikat dan berkhidmat pula dengan seorang tuan yang baru. Siang hari terpaksa bekerja kuat, membanting tulang empat keratnya mengangkat air, mengemas serta mengurus rumah. Namun begitu, walaupun keletihan, di malam hari, tetap digunakan untuk bermunajat dan beribadah kepada Allah. Dia sedar masa yang Allah kurniakan sangat berharga kepada hamba-hamba-Nya yang mahu berfikir.

Suatu hari, ketika beliau ke satu tempat atas suruhan tuannya, beliau telah dikejar oleh orang jahat. Rabiah terpaksa lari menyelamatkan diri tetapi malang, kakinya telah tergelincir lalu jatuh. Tangannya patah lantas beliau berdoa kepada Allah: “Ya Allah, aku ini anak yatim lagi abdi. Sekarang tanganku pula patah. Sungguh aku tidak peduli itu semua asalkan Engkau redha padaku, dan tunjukkanlah akan keredhaanMu itu.”

Tiba-tiba dia terdengar satu bisikan menyuruh ia bersabar dan mengingatkan ia akan janji-janji Allah di akhirat kelak. Selepas peristiwa itu pergantungan hatinya dengan Allah semakin teguh. Segala pengalaman yang dilalui dalam menempuh hidup ini yang penuh onak dan duri serta malapetaka dan bahaya menjadikan beliau seorang yang tahan diuji. Segala ujian yang ditimpakan itu semakin meneguh dan menguatkan keyakinannya terhadap Allah.

Pada suatu malam secara tidak sengaja tuannya telah terdengar suara rayuan dan munajat Rabiah kepada Allah. Ia bangun bertahajud di kala orang lain sedang enak tidur dibuai oleh mimpi-mimpi indah. Dengan penuh linangan air mata, Rabiah bercakap-cakap dengan Alllah, katanya: “Tuhanku, Engkau lebih mengetahui bagaimana aku cenderung benar hendak melakukan perintah-perintahMu dan menghambakan diriku dengan sepenuh jiwa wahai cahaya mataku. Jikalau aku bebas, aku akan habiskan seluruh masa malamku dan siangku dengan melakukan ibadat padaMu. Tetapi apa yang boleh aku buat kerana Kau jadikan aku hamba kepada manusia.”

Tiba-tiba bilik Rabiah diterangi cahaya yang terang-benderang sedangkan dalam bilik itu tidak ada pelita atau lampu. Ini membuatkan tuannya sedar dan insaf akan kesalahannya kerana tidak membebaskan orang yang begitu hampir dan cinta kepada Allah.

Keesokan harinya, pergilah tuannya berjumpa dengan Rabiah dan memberitahu bahawa ia menyesal kerana memperhambakan Rabiah selama ini bahkan dia pula bersedia untuk menjadi hamba kepada Rabiah. Mendengar itu Rabiah merasa terharu. Dia lebih rela meninggalkan rumah itu dan mengasingkan diri dengan beruzlah serta bertaqarub kepada Allah.

Akhirnya, Rabiah Al Adawiyah kembali menumpukan sepenuh perhatian untuk beribadah dan memuji-muji Allah, mencurahkan harapan dan isi hatinya kepada Allah. Dia cintakan Allah sepenuh jiwa dan perasaan kerana dia dapat melihat Allah dengan ‘ainul basirah’. Dia sedar hanya Allah sahaja yang layak dicintai dan dirindui serta dipuja dan hanya Allah yang mempunvai sifat-sifat yang lengkap untuk dipuji.

Berbagai karamah yang Allah kurniakan padanya dalam pengalaman kerohanian yang dilaluinya. Di antaranya, pada suatu ketika Hassan Al Basri mengajak Rabiah berbincang mengenai hal-hal kerohanian yang dilaluinya di atas air tasik. Beliau berkata begitu dengan niat hendak menunjukkan kelebihannya kepada orang lain yang ia dapat menguasai air (seperti Nabi Isa boleh berjaian di atas air). Rabiah Al Adawiyah berkata, “Hassan, buanglah perkara yang sia-sia itu jika kamu benar-benar hendak memisahkan diri dari perhimpunan aulia’ Allah. Kenapa kita tidak terbang saja di udara?” Rabiah Al Adawiyah berkata sedemikian kerana dia boleh berbuat demikian dan itulah salah satu karamah yang Allah kurniakan kepada beliau tetapi Hassan tidak boleh berbuat seperti itu. 







 
Rabiah berkata lagi, “Ketahuilah bahawa apa sahaja yang kamu boleh buat, ikan pun boleh buat dan inikan aku boleh terbang, lalat pun boleh terbang. Buatlah suatu yang lebih dari perkara luar biasa itu. Carilah ianya dalam ketaatan dan sopan santun terhadap Allah.”



Satu-satunya cara agar kita memperolehi kasih sayang ialah jangan menuntut agar kita dicintai, tetapi mulailah memberi kasih sayang kepada orang lain tanpa mengharapkan balasan - Rabiatul Adawiyah

Cintakan makhluk pada pendapat Rabiah Al Adawiyah tidak akan mewujudkan kebahagiaan yang abadi untuk seorang insan kerana ia tidak kekal. Cintakan makhluk seringkali membuatkan seseorang itu kecewa, merana, menderita dan terseksa. Oleh itu, tidak ada suatu cinta pun yang dapat membuahkan kebahagiaan dan kenikmatan yang kekal abadi kecuali cinta kepada Pencipta makhluk itu sendiri. Bahkan Rabiah Al Adawiyah sentiasa menangis. Air matanya terlalu mudah tumpah walaupun kesalahan yang dilakukan tidaklah seberat mana, cuma lalai atau lupa pada Allah sedetik sahaja tetapi dirasakan terlalu besar dosanya. Ada orang bertanya kenapa Rabiah Al Adawiyah mudah menangis? Rabiah menjawab, “Aku takut berpisah dengan Allah walau sedetik pun dan aku tidak boleh hidup tanpa Dia. Aku takut Tuhan akan berkata kepadaku tatkala menghembuskan nafasku yang terakhir, jauhkan dia dari-Ku kerana dia tidak layak berada di majlis-Ku.”

Kehidupan Rabiah Al Adawiyah terlalu miskin dan zuhud. Di dalam rumah beliau hanya terdapat sebuah balang yang mengandungi air minum dan wuduk, sebiji bata sebagai bantal dan sehelai tikar buruk sebagai alas tempat tidur. Melihatkan keadaan beliau yang terlalu dhaif, orang pun bertanya kepadanya, “Kenapa kamu hidup begini, sedangkan kamu mempunyai ramai teman yang hidup kaya raya dan mereka tentu boleh membantumu?”

Rabiah Al Adawiyah berkata, “Aku malu meminta perkara dunia dari sesiapa pun yang bukan milik mereka kerana perkara-perkara itu adalah amanah Allah kepada mereka dan Allah jua memiliki segala-galanya. Bahkan aku lebih senang hidup dalam keadaan begini tanpa sibuk memikirkan soal-soal dunia yang bersifat sementara.”

Sungguhpun keadaan rumahnya begitu, ia tetap menjadi kunjungan orang ramai dari segenap lapisan masyarakat dan secara tidak langsung merupakan sebuah sekolah untuk mempelajari “Al Hikmah” kerana orang ramai dapat menilai diri sendiri dari nasihat-nasihat beliau. Mereka juga datang untuk mempelajari ilmu-ilmu yang lain seperti feqah, tasawuf, ilmu jiwa dan lain-lain.

Antara doa Rabiah Al Adawiyah yang termasyhur ketika beliau bercakap-cakap dengan Tuhan dan tatkala merintih di waktu sunyi berbunyi: 

Tuhanku, apa saja yang Engkau hendak kurniakan kepadaku berkenaan dunia, berikanlah kepada musuhku dan apa saja kebaikan yang Engkau hendak kurniakan kepadaku berkenaan akhirat, berikanlah kepada orang-orang yang beriman, kerana aku hanya hendakkan Engkau kerana Engkau. Biarlah aku tidak dapat syurga atau neraka. Aku hendak pandangan Engkau padaku sahaja. Doaku pada-Mu ialah sepanjang hayatku, berilah aku dapat mengingati-Mu dan apabila mati kelak berilah aku dapat memandang-Mu.” 

Sunday, 27 April 2014

Kami Taubat Ya Allah!!- Munajat GISB



      
Selama 2 minggu blog ini tidak dapat diuruskan sepertimana biasa. Ramai teman dan pembaca blog bertanya Pak Lang kenapa tiada paparan terkini. Sebenarnya Pak Lang berada di Jelebu, Negeri Sembilan. Ya, Pak Lang bersama Puan Hatijah Aam dan 58 orang terdiri daripara ahli lembaga pengarah GISB HOLDING SDN BHD serta 9 anak syarikatnya dan selebihnya beberapa orang staf  telah mengikuti Kursus Pemulihan Untuk Bekas Pengikut Al-Arqam / Global Ikhwan. Kursus ini berjalan secara intensif selama 2 minggu. 

Pak Lang memohon maaf kerana tidak memaklumkan di dalam blog situasi Pak Lang. Tumpuan menghayati pengisian kursus tersebut sangat penting. Ianya satu kursus yang sangat bermakna pada kami. Lagi pula, modul kursus itu sendiri menjadikan kami tidak sempat hendak santai-santai. Tetapi walaubagaimana sibuk sekalipun, Pak Lang mencatit semua yang terlintas di hati untuk di paparkan dalam blog ini. Sememangnya Pak Lang bercadang menuliskan semuanya selepas selesai kursus. Jadi paparan kali ini akan dapat menjelaskan apa yang kami telah lalui dalam tempoh tersebut. Semoga semua pembaca blog ini akan terus mendoakan kami..

KURSUS PEMULIHAN BEKAS-BEKAS ARQAM / GLOBAL IKHWAN 
(FASCA 1) - 13 APRIL – 27 APRIL 2014 - Di Pusat Pemantapan Akidah Jelebu (PPAJ)

Munajat Dan Harapan:
Segala puji dan syukur kami persembahkan kepadaMu ya Allah. Kasih sayangMu terlalu agung. Kami yang bersalah dan berdosa ini, telah Engkau beri peluang sekali lagi untuk bertaubat - setelah berkali-kali kami gagal membuktikan kebenaran taubat kami sebelumnya. 

Betapa luarbiasanya kasih sayangMu Ya Allah terhadap kami. Engkaulah yang telah mengetuk-ngetuk hati kami untuk mahu datang ke sini. Tanpa gerak dan taqdirMu tentulah kami masih jauh daripada kebenaran. Jika itu berlaku, malanglah nasib kami kerana tidak akan mendapat keinsafan yang dengannya mendorong kami bertaubat. 

Engkaulah Ya Allah yang telah memilih kami untuk dapat mengikuti program pemulihan di Pusat Pemantapan Akidah Jelebu ini. Keberadaan kami di PPAJ selama 2 minggu ini telah membuka mata hati kami untuk terus sekali lagi tunduk mengakui kesalahan dan kesilapan kami. 

Terlalu banyak ilmu dan maklumat yang disingkapkan kepada kami. Terlalu banyak rahsia ilmu-ilmu wahyu dan sunnah Nabi saw diperjelaskan kepada kami satu persatu. Begitu ramai tenaga penceramah dan ulamak berwibawa yang di datangkan khusus untuk membantu kami memahami asas-asas yang perlu dalam memahami agama yang suci ini. 

Akhirnya kami jadi kerdil di hadapan lautan ilmuMu Ya Allah. IlmuMu yang maha luas itu rupanya lautan tidak bertepi. Lazatnya bila kami dapat mengecapi ilmu yang dinukilkan dalam kitab-kitab yang muktabar – yang dikarang oleh para ulamak yang ikhlas dalam memelihara kesucian agama kita ini. Sebenarnya itulah antara kepuasan kami apabila ianya menjadi rujukan bagi setiap pembentangan dan perbahasan tajuk-tajuk yang dikhususkan kepada kami. 

Para pensyarah dan penceramah telah berjaya membuktikan kepada kami betapa agungnya ilmu Islam yang datang melalui lidah Nabi Mu Saiyidina Muhammad saw. Daripada Bagindalah mengalirnya aliran akidah suci Ahli Sunnah Wal jamaah yang kami dituntut untuk sama-sama mempertahan dan memperjuangkannnya ini.

Ya Allah! Malunya kami mengenangkan kebodohan kami selama ini. Dalam keghairahan kami mahu mengamalkan ajaran Islam, kami tersasar dari landasan sebenar. Sepatutnya kami rajin bertanya daripada mereka yang lebih mengetahui tetapi kami lemah dalam mengusahakannya. Jadilah kami kelihatan meraba-raba walaupun di dalam terang apatah lagi jika di dalam gelap. 

Banyak perkara yang sepatutnya tidak ada apa-apa masalah tetapi kami menjadikannya bermasalah. Ianya jadi sukar mahu dibetulkan. Masyarakat umum jadi pelik dan aneh melihat tindak tanduk kami. Mereka cuba menegur kami tetapi kami masih buta untuk sedar hakikat ketelanjuran kami. 

Demikianlah apabila Engkau mentaqdirkan kami dihantar pulang dari tanah suci Mekah ke Malaysia oleh kerajaan Arab Saudi. Rupa-rupanya 13 Mei 2013 itulah detik bermulanya kami Engkau 'paksakan' menerima ketentuan dariMu. Berpuluh-puluh orang pegawai JAIS menunggu kepulangan kami di lapangan terbang Kuala Lumpur (KLIA). Engkaulah yang mencatur ini semua Ya Allah. 

Penghantaran pulang kami menjadi penyebab kami dipertemukan dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui bahagian penguat kuasanya. Bersama mereka, kami diberi peluang bermuzakarah. Kami diberi ruang untuk bertanya dan menyoal. Semua kekeliruan kami. berjaya mereka perjelaskan secara berhikmah. Ianya sangat mendorong kami berfikir sendiri. Bahkan ianya memaksa kami kembali berfikir secara rasional. 

Berbulan-bulan lamanya masa yang kami ambil dalam bertanya-soal dengan para pegawai Bahagian Penguat Kuasa yang begitu sabar melayan kami. Kami dilayan dengan penerangan dan penjelasan yang memuaskan hati. Kami diberi kebebasan menganalisa dan berfikir. Kami diberi peluang membuat penilaian sendiri. Segala fakta dan hujjah dilonggokkan di hadapan kami. Segala peristiwa dan insiden diperjelaskan. Semuanya berjaya membuktikan kepada kami betapa kusutnya masalah yang kami timbulkan di tengah masayarakat. 

Justeru, apabila kami yakin, semua yang berlaku ini adalah dengan kuasa dan pertunjukMu, maka kami mahu ianya benar-benar kami syukuri dan hargai. Kami tidak mahu keinsafan ini hilang begitu sahaja. Kami malah mahu membuktikan kami benar-benar insaf dan benar-benar  sedang dan mahu berubah. 

Walau seberat mana sekalipun bebanan yang kami tanggung dalam membuktikan kebenaran kata-kata taubat kami, kami berazam untuk melepasi cabaran ini. Apatah lagi sepanjang kursus ini, kami diyakinkan oleh pihak JAIS, Jakim dan pihak keselamatan bahawa mereka akan terus membimbing kami. 

Ya Allah Engkau perkenankanlah hajat kami dalam usaha taubat ini. Berilah kami kekuatan dalam melakukan semua perkara yang akan kami gariskan ini untuk menebus kembali kesalahan dan kekhilafan kami. Berilah kami peluang sekali lagi untuk kami kembali kepada kelompok Ahli Sunnah wal Jamaah yang sebenarnya. Amin, Amin, Amin Ya rabbal ‘Alamin.

Maka untuk itu; Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, kami isytiharkan di sini, pada hari ini bahawa kami para peserta kursus Pemulihan Akidah – selaku kelompok yang dikenali sebagai bekas-bekas Arqam atau Global Ikhwan – secara resminya telah meninggalkan segala bentuk fahaman dan amalan, secara lahir dan batin – apa-apa yang bercanggah dengan keputusan Fatwa oleh Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai fahaman Aurad Muhammadiyah, Syeikh Suhaimi sebagai Imam Mahdi, Putera Bani Tamim, Jadual Tuhan, amalan Pencak Sunda dan sebagainya. Kami menyesal dengan sebenar-benar penyesalan atas semua yang telah kami lakukan. 

Dan pada hari ini, kami isytiharkan bahawa kami semua kembali kepada ajaran ASWJ. Kami akan terus mendalami ilmu berkenaan akidah dan amalan ASWJ melalui guru-guru yang akan diuruskan oleh pihak JAIS dan JAKIM untuk kami. Inilah hasrat dan harapan kami agar terus dipandu serta ditunjuk ajar. Kami sudah serik dengan apa yang telah terjadi. 

Maka kami dengan ini menyerahkan segala-galanya untuk dicatur oleh JAIS dan JAKIM sehingga kami dapat menjalani kehidupan normal di dalam masyarakat arus perdana di Negara yang tercinta ini. Kami memohon kemaafan dan keampunan di atas segala kesusahan dan kesulitan yang kami cetuskan selama ini di tengah masyarakat.

Kami berazam selepas ini, kami akan menjadi warganegara yang baik, taat serta patuh dengan peraturan jabatan agama dan undang-undang negara. Kami akan berusaha membantu JAIS dan JAKIM dalam apa jua bidang kerjasama yang termampu oleh kami dengan niat menebus kembali kesalahan kami. Dan inilah juga niat kami untuk mahu menyambut ikatan silaturrahim dan kasih sayang yang sudah mula terjalin antara kami dengan pihak JAKIM, JAIS dan lain-lain badan berkuasa agama di negeri serta tidak lupa pihak keselamatan. 

Hanya Allah sahajalah yang mampu membalas segala budi dan jasa semua pihak yang sangat prihatin dengan masalah kami dan sanggup bersusah-payah membantu menyedarkan kami. Terima kasih. Sekian.
 

Sample text

Sample Text

Sample Text