Social Icons

Wednesday, 30 September 2015

Bisnes Besar Lawan Bisnes Kecil

Pada perkiraan logik, bisnes besar sudah pasti menghasilkan kejayaan yang besar, manakala perniagaan yang kecil, tetap dilihat kecil-kecilan. Namun pada hakikatnya, ia tidak semestinya begitu. Dunia bisnes ini seperti roda..

Dalam dunia bisnes, apa pun boleh berlaku. Bisnes besar ataupun bisnes kecil, ia bergantung kepada sejauh mana kita meraih keuntungan bersih, berapa banyak duit keluar dan sejauh mana kita mampu terus ke hadapan (growth). Apa guna bisnes besar tetapi tidak mampu membayar gaji pekerja dan hutang bertimbun. Negatif…

Semakin besar bisnes, maka semakin banyak keperluan yang perlu dipenuhi. Salah satunya adalah kos-kos melibatkan tenaga kerja. Semakin ramai pekerja, semakin banyak kos untuk bayaran upah ataupun gaji. Manakala bisnes kecil pula, ia mampu berkembang jauh, tetapi akibat tenaga kerja yang terhad, ia juga boleh mengundang kesusahan.

Bisnes besar tidak akan menjual satu produk atau satu perkhidmatan sahaja. Ia perlu banyak kerana semakin banyak, maka semakin banyak aliran wang masuk yang dapat digunakan kembali untuk melunaskan kos-kos berkaitan. Manakala bisnes kecil, walaupun fokus pada satu produk sahaja, ia sudah mampu menyara hidup si usahawan.

Bisnes besar sukar diurus. Bisnes kecil senang digerakkan. Bisnes besar banyak politik dan peraturannya, dan tidak semua keputusan boleh dibuat sesuka hati. Tetapi bisnes kecil, sendiri-sendiri boleh tentukan ke mana hala tuju tanpa perlu pening kepala dengan rakan kongsi, barisan lembaga pengarah, barisan pengurus dan eksekutif.

Persoalannya… Yang mana satu pilihan terbaik? Bisnes besar ataupun bisnes kecil?

Sebenarnya sudah ada jawapan dalam tulisan di atas. Pilihlah yang mana satu. Kecil ataupun besar, segalanya perlu berpaksi kepada ilmu.

Penulis: Mohd Zulfadli
Mohd Zulfadli (SmartZul) adalah seorang penulis dan usahawan Internet sepenuh masa. Beliau memulakan perniagaan melalui Internet sejak tahun 2005, dengan memfokus kepada bidang penulisan dan penerbitan secara online. Beliau turut aktif berkongsi ilmu dan pengalaman melalui blog dan juga komuniti Facebook. 

Kenali Pengarang Kitab Hikam Melayu


Tokoh ini dilahirkan di Kampung Pauh, Hulu Terengganu pada tahun 1060-an (Hijrah) / 1650-an (Masihi).

Beliau merupakan keturunan Sharif Mohammad, yang berasal dari Baghdad. Menerima pendidikan agama di peringkat awal daripada kaum keluarganya sendiri. Beliau lebih dikenali dengan panggilan Tok Pulau Manis.

Syeikh Abdul Malik kemudiannya belajar di Aceh yang digelar Serambi Mekah. Adalah dipercayai beliau telah menerima pendidikan secara langsung daripada ulama besar Aceh, Syeikh Abdul Rauf Singkel (1030-1050 H/1620-1693 M) yang juga seorang tokoh yang berusaha membawa kepada pengukuhan terhadap aliran al-Sunnah wal Jamaah di Alam Melayu.

Beliau telah menyalin kitab Tafsir Baydawi yang dikarang dalam Bahasa Melayu oleh Syeikh Abdul Rauf Singkel. Selanjutnya beliau menyambung pengajian di Mekah sekitar tahun 1680, ketika beliau dipercayai berusia 30 tahun.

Selama hampir satu dekad di Mekah, beliau telah berguru dengan ulama-ulama terkenal seperti Syeikh Ibrahim al-Kurani (1025-1011 H/1616-1690 M), yang juga menjadi guru kepada Syeikh Abdul Rauf Singkel, bersahabat dengan pelajar-pelajar yang seangkatan dan seperjuangan dengannya seperti Tuan Haji Mohd Salleh bin Omar al-Semarani dari Jawa, Dato’ Syed Abdullah dari Terengganu, Fakeh Abdul Kadir Palimbang, Fakeh Abdul Rahman Patani, Fakeh Abdul Samad Kedah dan Haji Mohamad Siantan dan mengajar apabila terdapat peluang berbuat demikian.

Semasa berada di Mekah dan juga Madinah, Syeikh Abdul Malik telah memberi penumpuan kepada keilmuan tiga serangkai, iaitu ilmu-ilmu Fikah, Usuluddin dan Tasawwuf di samping Tafsir, Hadis dan ilmu-ilmu bantu seperti nahu, saraf dan sebagainya.

Beliau mendalami Fikah al-Syafie dengan berguru kepada Syeikh Ibrahim al-Kurani yang telah menggantikan Ahmad Qushashi yang menjadi pengajar kepada pengikut Imam Syafie di sana. Bidang Usuluddin yang diikutinya pula adalah berdasarkan pendekatan Imam al-Asya´ari yang menjadi pegangan umum pengikut Ahli Sunnah wal Jamaah, manakala bidang Tasawwuf yang diceburinya pula adalah berdasarkan etika ubudiyah kepada pengajian Tasawwuf.

Syeikh Abdul Malik memilih Tarekat Shadhiliyah yang diasaskan oleh Abu al-Hasan al-Shadili (M. 656/1258) yang berasal dari Maghribi. Beliau berkenalan dengan tarekat ini menerusi pengajiannya iaitu melalui karangan pendukung utama dari kalangan generasi ketiga aliran sufi iaitu Ibnu ´Athaillah (M. 709/1309). Tulisan yang menarik minatnya itu ialah Al-Hikam, di samping al-Tanwir fi Isqat al-Tadbir, Lata ‘if al Minan dan Taj al-Arus.

Pengajaran al-Shadhili dan Ibnu ´Athaillah dianggap lanjutan daripada pendekatan Tasawwuf al-Imam al-Ghazali dan kitab Ihya ´Ulumuddin menjadi kitab penting bagi pengajaran bagi Imam Abu al-Hassan al-Shadhili dan para pengikutnya. Sebagai seorang yang kesedaran tentang peri pentingnya mendalami ilmu Syariat di samping Usuluddin sebagai asas mendalami ilmu Tasawwuf, Syeikh Abdul Malik sendiri, sebelum pemergiannya ke Tanah Suci sudah pun mendalami beberapa bidang ilmu tersebut.

Ilmuwan yang menjadi rujukannya berjumlah tidak kurang daripada 143 orang, antara yang terpenting di kalangan mereka itu ialah Ibn ´Athaillah dan Abu al-Hasan al-Shadhili sendiri, Abu al-Abbas al-Mursi, Ibn Arabi, Abu Hafs Umar bin Muhammad bin Abd Allah al-Suhrawardi, Abu Turab al-Khashabi, Abu Yazid al-Bistami, Abu Talib al-Makki, Abu Hamid al-Gahzali, Abu al-Qasim al-Nasr Abadhi, Abu Bakar al-Shibli, Abu Nasr al-Sarrj, Ahmad al-Rifa´i, Ahmad Ibn Hanbal, iBn Abbad, Hassan Basari, Junayd al Baghdadi, Ahmad Zarruq, Shal bin Abdullah, Sirri al-Suqti, al-Sha´rani, Abd al-Salam bin Mashish dan Ma´ruf al-Karkhi.

Selain itu, beliau juga banyak merujuk kitab Fusus al-Hikam oleh Ibnu Arabi, Qut al-Qulub oleh Abu Talib al-Makki, karya-karya al-Ghazali seperti Ihya Ulumuddin dan Minhaj al-Abidin, al-Luma oleh Abu Nasar al-Sarraaj al-Tusi, al Ri´ayat Li Huquq Allah dan Amal al-Qulub wa al-Jawarib oleh al-Harith al Mushasibi, atau Qurrat al-Ayn oleh Ahmad Zarruq dan Halat Ahl al Haqiqat Ma´a Allah oleh Ahmad al-Rifa’i.

Peranan Syeikh Abdul Malik sebagai pengajar di Mekah menyerupai penglibatan sebahagian penting ulama-ulama lain dari seluruh dunia yang menjadikan Tanah Suci sebagai pusat pendidikan. Pelajar-pelajar yang menjadi tumpuan beliau adalah mereka yang datang dari Tanah Jawi.

Kedudukan Syeikh Abdul Malik di sini mempunyai persamaan dengan kedudukan ulama-ulama Jawi yang lain seperti Syeikh Daud bin Abdullah Fatani, Syeikh Abdul Samad Palimbang, Syeikh Mohamad Nawawi al-Bentani dan Syeikh Mohamad Khatib bin Abdul Latif Minangkabau. Sebagai guru yang amat meminati Tasawwuf beraliran etika Ubudiyah yang diperolehi oleh Imam al-Ghazali, beliau juga memilih mengajar dengan menggunakan karangan-karangan yang menjadikan hasil karya Hujjatul Islam itu.

Kitab-kitab yang dimaksudkan itu termasuklah Ihya Ulumuddin. Matan Hikam Ibnu Ata´ul-Lah yang dianggap sebagai lanjutan daripada pendekatan etika Ubudiyyah al-Imam al-Ghazali juga ternyata mendapat perhatian istimewa daripada Syeikh Abdul Malik. Minat Syeikh Abdul Malik terhadap Matan Hikam diperkukuhkan lagi oleh permintaan sahabat-sahabatnya seperti diungkapkan dalam karyanya Hikam Melayu:

“(Dan) sanya telah meminta akan daku setengah saudaraku yang salik bahawa menterjemakan aku akan dia dengan bahasa Jawi supaya memberi manfaat dengan dia segala orang yang mubtadi, maka ku perkenankan atas yang demikian itu dengan sekira-kira yang difahamkan Allah Taala akan daku (dan) adalah aku memanjangkan sedikit perkataannya kerana aku memasukkan perkataan sharahnya dengan sekadar kifayah bagi orang mubtadi mengetahui dia…”

Karangan di atas menunjukkan bahawa sahabat-sahabatnya di Mekah telah memintanya mengarang, sesuatu yang mencerminkan martabat kedudukannya di kalangan kawan-kawannya. Dengan penulisan tersebut Hikam Melayu merupakan sebuah kitab Tasawwuf terbesar dan terawal menurut aliran Ahli Sunnah wal Jamaah di dalam Bahasa Melayu.

Adalah dipercayai bahawa Syeikh Abdul Malik pulang ke tanah air sekitar pertengahan tahun 1960-an ketika berusia lebih kurang 40 tahun. Kehadirannya di dalam masyarakat tempatan, yang diperkukuhkan oleh Hikam Melayunya serta pertalian dengan pembesar tempatan di Negeri Terengganu. Malah disebabkan oleh pertalian Terengganu dengan Johor, peranan Syeikh Abdul Malik menjadi lebih penting lagi dalam konteks perkembangan sosial semasa.

Mengikut sumber-sumber yang boleh dipercayai, beliau dikatakan bertanggungjawab membawa dan menabalkan Zainal Abidin I menjadi sultan pemerintah Negeri Terengganu (1725-1734) yang berlangsung di Tanjung Baru. Raja tersebut juga telah berkahwin dengan anak perempuan Syeikh Abdul Malik.

Apabila Syeikh Abdul Malik berpindah dari Hulu Terengganu dan menetap di Pulau Manis baginda juga telah turut sama berpindah dan menetap tempat yang baru sebelum memilih tempat pemukiman tetapnya di Kuala Terengganu.

Syeikh Abdul Malik menjadi peneraju program pendidikan agama di Terengganu, sama ada selaku ulama istana atau sebagai guru kepada orang ramai. Di istana, Syeikh Abdul Malik berdampingan bukan sahaja dengan Sultan Zainal Abidin I tetapi juga dengan pembesar-pembesar yang turut berguru dengannya. Di dalam upacara keagamaan, beliau diberi peranan mengetuai majlis-majlis tersebut.

Dalam penglibatannya sebagai Syeikh al-Ulama dan Mufti, beliau mengeluar fatwa-fatwa berhubung dengan pegangan keislaman dan hukum hakam. Dengan berpandukan pengalaman pengajian di Jawa, Aceh dan Mekah, beliau telah menjadikan Pulau Manis sebagai tempat pengajaran dan ibadat yang didatangi oleh pelajar-pelajar dari jauh dan dekat. Adapun kitab beliau yang kedua terbesar selepas Hikam Melayu, iaitu Kitab Kifayah merupakan sebuah karya yang merangkumi Usuluddin dan Fekah.

Syeikh Abdul Malik atau Tok Pulau Manis meninggal dalam lingkungan usia 86 tahun, iaitu pada tahun 1149H bersamaan 1736 sebagaimana yang terakam pada pusaranya.

ABUL HANZALAH

13 Cara Mudah Bangun Malam (Qiamullail)


Faktor yang memudahkan seseorang itu boleh bangun untuk berqiyamullail

Menurut Syeikh Muhammad Solih al-Munajjid, terdapat beberapa faktor penting yang dilihat boleh membantu umat Islam untuk bangun bagi melakukan solat di tengah malam seperti di bawah ini:

1. Ikhlas kepada Allah dalam setiap tindakan yang dilakukan bagi meraih keredaan-Nya, iaitu melakukan solat malam dengan merahsiakannya daripada pengetahuan orang ramai, ia bertujuan supaya tidak ada rasa riak dalam diri.

2. Hendaklah bagi orang yang melakukan solat malam itu mempunyai perasaan dalaman, bahawa Allah SWT menjemputnya untuk bangun di tengah malam.

3. Mengetahui sedalam-dalamnya ilmu mengenai kelebihan bangun di tengah malam berdasarkan pengajian dan perbincangan.

4. Memerhati kepada kesungguhan individu-individu terdahulu daripada kita yang istiqamah dan iltizam melakukan qiyamullail khususnya para solihin di kalngan para sahabat dan ulama.

5. Tidur di atas lambung sebelah kanan akan memudahkan seseorang itu boleh bangun di tengah malam seperti yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w.

6. Tidur dalam keadaan berwuduk seperti ditegaskan oleh Rasulullah; “Apabila anda hendak masuk tidur, berwuduklah seperti untuk menunaikan solat.” Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim daripada al-Barra Bin Azib.

7. Bersegera masuk tidur (tidur di awal waktu) terutama lepas solat Isyak seperti amalan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

8. Berzikir dengan wirid-wirid yang berkat sebelum tidur, kerana ia menjadi benteng diri daripada kejahatan Syaitan dan membantu untuk mudah bangun, atau ayat-ayat pilihan dari al-Quran, baca doa tidur, membaca tiga Qul dan sebagainya.

9. Seboleh-bolehnya tidur sebentar di siang hari yang dikenali sebagai ‘Qailulah’, iaitu sebelum masuk waktu Zohor atau selepasnya, ala kadar setengah jam.

10. Elak daripada banyak makan dan minum, kerana ia boleh membantutkan hasrat untuk bangun di tengah malam.

11. Bertekad sedaya upaya untuk bangun malam dalam apa jua keadaan.

12. Menjauhkan dosa dan maksiat, kerana ia dikenal-pasti sebagai penghalang pertama dan utama dari mudah untuk bangun di tengah malam.

13. Membuat perhitungan diri (muhasabah) jika tidak mampu untuk bangun di tengah malam.

Ketahuilah wahai saudara-saudaraku sekelian!

Qiyamullail adalah ibadat yang menghubungkan hati kita dengan Allah selain ia adalah sunnah muakkadah yang sangat dianjurkan oleh Nabi s.a.w. Baginda bersabda :
“Hendaklah kamu lakukan solat di tengah malam, sesungguhnya ia merupakan kebiasaan kepada orang-orang soleh sebelum kamu, ia boleh mendekatkan kamu kepada Tuhan kamu, ia juga penghapus segala dosa, penghalang daripada terjebak kepada maksiat dan dosa dan penawar kepada penyakit yang ada di tubuh.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Tirmizi)

Monday, 28 September 2015

Selamatkah Ayam Yang Kita Makan?

Baru-baru ini Pak Lang bertemu dengan seorang pengusaha / penternak ayam daging. Mungkin boleh dikatakan beliau juga seorang yang mahir dalam teknologi makanan. Banyak yang dikongsikan dengan Pak Lang mengenai rahsia bahan makanan yang ramai tidak tahu. 

Hal ayam pun terlalu banyak maklumat yang dia maklumkan Antaranya bagaimana ayam yang sudah mati tetapi masih di masukkan ke dalam mesin cabut bulu dan di proses potong seperti ayam yang disembelih. 

Bila lihat ladang ternak ayam, baru kita tahu - ayam puluhan ribu ekor itu tidak boleh stress.  Dia akan mudah mati kalau terkejut. Maka biasanya ayam akan banyak mati ketika berbelas orang (manusia0 masuk ke rebannya dan menangkap mereka dengan rakus dan kasar.  

Ayam sebanyak itu dalam masa 35 hari, hanya diuruskan oleh seorang pekerja sahaja. Semua menggunakan teknologi moden sedangkan ayam bukan barang tetapi makhluk hidup. Ayam-ayam itu akan terkejut dengan begitu ramainya manusia datang menangkap mereka. Keadaan itu pun banyak yang mati sepatutnya. Cuma penternak telah beri makan anti-biotik terlebih dahulu. 

Dos anti-biotik ini berganda-ganda daripada biasa untuk membolehkan si ayam tak stress. Bahasa lain, siayam diberi ubat pelali. Bagaimana bila ubat (baca bahan kimia) dalam kandungan yang banyak itu berpindah pula masuk ke tubuh manusia? 

Untuk menghilangkan kesan ubat itu pada ayam, perlu masa 3 hingga 7 hari. Sedangkan ayam yang ditangkap terus di bawa ke pusat memproses. Esoknya semua ayam berkenaan sudah ada di pasar untuk dijual kepada pembeli. Ertinya tidak sampai 24 jam daripada masa memberi ubat / bahan kimia berkenaan, ayam itu berkemungkinan sudah di masak untuk dimakan pula oleh kita. 

Patutla banyak sangat penyakit yang mendatangi kita. Apa yang kita makan - hakikatnya adalah racun!! Itu belum cerita soal halal  haram. Kes produk khinzir yang di makan oleh umat Islam sudah lama berlaku. Jangan tanya soal tanggung jawab siapa dan siapa pula yang menanggung dosa?

Gejala Sosial Remaja - Siapa Yang Perlu Bangkit Dan Bertindak?

Inilah persoalan yang sukar dijawab oleh kebanyakan ibubapa dan guru-guru. Apa yang berlaku terus berlaku. Anak-anak makin hari makin sukar di didik. Makin ditegur dikata mak ayah suka berleter. Tak ditegur makin rosak pula. Lebih dahsyat kalau kerap sangat ditegur, mereka akan ugut ibubapa - nak lari dari rumah!!

Hati ibubapa mana yang tidak cemas dan bimbang kalau sianak sudah berani ugut nak lari dari rumah. Mana nak cari nanti? Kalau anak lelaki yang lari dari rumah pun haru dibuatnya apatah lagi jika anak perempuan!! Habis! apa jalan penyelesaiannya?

Semua kisah mengenai sikap anak-anak zaman ini sudah kita sedia maklum. Kita mudah jumpa di mana-mana hal anak-anak yang sudah hilang kawalan. Siapa yang dapat membantu? Tidak ada!! Keadaan sudah tidak ada jalan keluar. Harapkan sekolah dan guru-guru, keadaannya juga sama. 

Guru-guru pun sudah tidak dapat berbuat apa-apa. Masing-masing lebih baik buat hal sendiri. Jangan serius sangat. Guru yang agresif nak menyelesaikan masalah pelajar, silap hari bulan kena tukar sekolah!! Apa yang ibu bapa dan guru-guru dapat buat hanya memendam rasa. 

Fenomena gejala sosial sudah jadi gejala yang mengerikan. Takut sangat apa yang berlaku pada remaja hari ini menular pada keluarga kita. Alhamdulillah kami di GISB dapat menarik nafas lega. Sekurang-kurang kami tidak hadapi masalah seberat orang lain. Itupun - jika ada juga masalah - akan segera ditangani secara bersama. Masalah tidak dibiarkan sehingga memburuk. Keadaan remaja kami terkawal. Sebahagian besar remaja dalam GISB sedang berada dalam landasan pendidikan yang betul. 

Soalnya bagaimana dengan remaja yang lain. Apa yang dapat dibuat? Adakah para pemimpin masyarakat akan terus membutakan mata tidak mengambil berat hal ini? Adakah ibubapa dapat tega menyaksikan kehancuran anak mereka sendiri dek kesibukan masing-masing mencari sesuap nasi untuk keluarga masing-masing juga?

Keadaan ini memerlukan rasa kesedaran, persaudaraan dan tanggung jawab. Siapa sahaja patutnya mempunyai 3 rasa ini. Dari sinilah ianya akan mendorong untuk berbuat sesuatu. Tetapi ternyata tiada siapa yang bangun membina satu institusi khas menyelamatkan anak-anak yang 'sakit' ini. Ternyata di kalangan masyarakat kita sudah hilang persaudaraan dan rasa tanggung jawab. Sangguplah masing-masing membiarkan hal kesusahan orang lain. Masing-masing hanya fikirkan anak sendiri. Malang sekali bangsa kita yang mengaku beragama ini!!

Agama mengajar kita tidak boleh tidur memikirkan masalah yang menimpa orang lain!! Jadi kenalah direnung-renung hal ini!!

Maka Pak lang suka sarankan, jika sesiapa yang ada jiwa mahu membaiki kerosakan remaja masakini - hubungilah Pak Lang. Nanti kita jumpa dan berbincang sesama kita. Pasti ada penyelesaian. Jangan ingat Allah tak tanya kita? Jangan ingat kita dengan mudah mahu ke syurga! Jangan harap dapat selamat di akhirat kalau dalam hati hanya sekadar memikirkan hal keluarga sendiri semata-mata. Hal anak saudara kita, hal anak jiran kita, hal remaja se agama dengan kita, siapa yang hendak fikirkan? Jangan-jangan dengan sebab ini saja pun, kita masuk neraka semuanya (Wal 'iya zubillah).

Pastikah Minyak Masak Yang Kita Gunakan Di Rumah Tidak Bercampur Dengan Minyak Goreng Khinzir?

Bila kita tahu apa yang kita makan selama ini adalah kotoran dan najis, apa perasaan kita? Apa yang kita makan dan minum akan jadi darah daging. Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq pernah memuntahkan makanan yang ditelannya setelah menyedari apa yang baru dimakannya adalah makanan yang bukan haknya!! 

Masya Allah begitu takutnya dan berhati-hatinya mereka dalam soal makan minum. Hadis Nabi menyatakan: "Mana-mana daging yang tumbuh dari makanan yang haram, maka api nerakalah yang layak untuknya!!" Ertinya api neraka secara terus akan menyambar daging-daging yang tumbuh dari sumber yang haram!!

Inilah kehidupan kita di zaman ini. Mencari yang halal dan suci itu terlalu sukar dan sulit. Payahnya hendak ditemui manusia yang sangat berhati-hati dalam soal ini. Ramainya yang ambil mudah. Tanpa selidik dan bertanya soal, Semua 'benda' di bawa balik ke rumah untuk dimakan bersama anak dan isteri. Wal-hal jika diselidiki, banyak produk yang beredar di  pasaran adalah barangan yang haram dimakan oleh umat islam.

Jangan bicara soal orang kafir sengaja memberi kita makanan yang kotor dan merbahaya. Memang itu agenda sebahagian mereka. Secara tidak langsung, mereka meracuni kita, merosakkan integriti jiwa kita dan malah generasi kita. Lebih malang, kita membayar dengan wang kita untuk kerosakan kita sendiri!!

Kita juga dapat maklumat daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang telah mengesan lebih 90 peratus restoran dan premis makanan di Malaysia menggunakan minyak masak paket yang dikitar semula.

Nama pun minyak masak kitar semula. Ertinya ianya adalah minyak masak yang telah digunakan, dikumpulkan dan diproses mudah untuk kelihatan jernih dan menarik. Risikonya boleh mengundang pelbagai penyakit termasuk kanser. 

Isu ini bukan sekadar dilihat dari sudut kesihatan malah ianya adalah industri kitar semula yang amat menguntungkan. Aktiviti kutipan minyak terpakai di merata tempat di negara ini memberikan keuntungan kepada pihak ketiga dengan nilai mencecah jutaan ringgit!!

Persoalannya di sini ialah sangat besar kemungkinan minyak masak kitar semula tersebut diproses daripada minyak yang dikumpul daripada dapur RESTORAN TIDAK HALAL !!! Masya Allah!!! Bayangkan minyak yang telah di gunakan untuk goreng daging babi "Khinzir"  itu kita gunakan pula untuk memasak menjamu anak dan keluarga kita di rumah? 

Berapa banyak restoran tidak halal yang menggunakan minyak masak setiap hari. Setelah berkali-kali menggunakannya, mereka tentu mahu membuangnya. Dan jika ada yang mahu mengambil minyak yang mahu dibuang itu, restoren berkenaan pasti  boleh memberinya secara percuma. Kalaupun mahu dijual, harganya pastilah tersangat murah!!

Bayangkan ianya dikumpulkan bertan-tan dan kemudian nya  diproses semula.  Minyak inilah yang biasa digunakan oleh suri rumah di luar bandar (baca orang Melayu Islam) dan peniaga-peniaga pasar malam kerana harganya yang murah. 

Pihak berkuasa juga tidak membuat tinjauan dan pemeriksaan. Carilah taukeh-taukeh yang buat kerja ini. Peniaga pasar malam menggunakan minyak masak kitar semula yang sebegini kerana murah. Mereka tidak perlu selidik apa-apa kerana yang dia tahu itu minyak masak. Dosanya ditanggung oleh siapa? 

Jadi kita patut berhati-hati dengan produk minyak masak. Jangan terbeli minyak masak dalam bentuk paket! Jangan kompromi dengan harga yang murah. Selidiki dulu  minyak yang digunakan menggoreng sebelum membeli di pasar malam atau gerai-gerai pisang goreng di tepi jalan.

Cara Memastikan Minyak Masak Yang Anda Beli Asli Bukan Kitar Semula

Bagaimana nak pastikan jika minyak masak adalah kitar semula

Letakkan minyak masak dalam peti sejuk lebih kurang 2 jam. Kalau ada buih keputihan atau berbuih, maka itulah tanda minyak itu sudah pernah digunakan. Jadi kita tau minyak itu dibuat dari minyak buangan kitar semula. 

Ujian yang senang::

Masukkan seulas bawang putih bila goreng sayur2an, jika bawag putih jadi merah, itu menunjukkan kandungan minyak kitar semula yang sangat beracun. Bawang putih akan kekal putih jika minyak berkualiti baik.

Thursday, 24 September 2015

Satu Negeri Hampir 11,000 Kes Dadah Setahun - Kalau Satu Malaysia?

Menurut laporan, polis telah menangkap sejumlah 10,696 atas kegiatan berkaitan dadah, dan merampas dadah dan aset bernilai RM7.6 juta di negeri itu pada tahun ini. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah Helmi Aris berkata, rampasan merangkumi dadah bernilai RM3.4 juta dan aset bernilai RM4.2 juta. “Dadah yang dirampas adalah 72kg heroin, 109kg kanabis, 7.9 kg methamphetamine, 7,905 biji pil psikotropik dan 6,194kg daun ketum,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di ibu pejabat kontinjen polis negeri semalam selepas operasi serbuan terbaru mereka, di mana dua lelaki di tahan di tempat letak kereta Taman Gemilang Ahad lalu. 

Kami merampas 2.29kg heroin dan 263gm methamphetamine dari kereta mereka,” katanya lagi dan menambah dadah yang dirampas itu bernilai kira-kira RM91,000. 

Helmi turut mengucapkan terima kasih kepada media kerana sentiasa membuat liputan berkenaan kejayaan serbuan dadah yang dibuat polis negeri. “Liputan berita telah meyakinkan orang ramai untuk tampil ke hadapan membantu kami dalam membanteras bencana dadah,” katanya lagi. 

Sejumlah 10,696 tangkapan! Ini jumlah tangkapan yang mengejutkan. Pecahan tangkapan untuk kegiatan berkaitan dadah tidak diketahui, tetapi ia mungkin merangkumi pemilikan, penyalahgunaan dan pengedaran. Laporan itu diterbitkan 22 September lalu. 

Jika 10,696 telah ditangkap pada tahun 2015 setakat ini, ini bermakna secara purata 40 orang ditangkap atas kegiatan berkaitan dadah setiap hari. 

Perlu dinyatakan bahawa menurut statistik Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK), Kedah merupakan negeri yang memiliki jumlah penagih dadah ketiga terbanyak di Malaysia, dengan 2,702 penagih pada 2013 dan 2,535 pada 2014. 

Dua negeri teratas adalah Pulau Pinang dan Perak. Tidakkah ini membimbangkan?

Bagaimana jika statistik sebegini untuk 14 negeri - untuk sathun? Jumlahnya mungkin mencecah 150,000 kes atau tangkapan individu terbabit dengan dadah. Mereka semua akan mencuri, merompak, meragut dan sebagainya bagi mendapatkan dadah. 

Penyelesaian yang menyeluruh mesti dibuat. Bagaimana kaedahnya dan siapa yang mampu menanganinya?

Video Tragedi Mina





Tragedi Mina - Tiada Jemaah Haji Malaysia Yang Terlibat

S


LAPORAN AWAL TIADA JEMAAH HAJI MALAYSIA TERLIBAT

Tragedi rempuhan akibat kesesakan menyebabkan kematian seramai 310 jemaah haji meninggal dunia dan 450 cedera ( maklumat rasmi dari Kerajaan Arab Saudi). Kejadian ini dilaporkan berlaku pada 1130 pagi. Lokasi sebenar berlaku di Jalan 223 dan 204, iaitu lokasi penempatan dan perkhemahan Jemaah Haji negara arab dan bukannya di Kompleks Jamrat.

Setakat ini, tiada JH Malaysia terlibat, pihak Tabung Haji masih membuat headcount bagi memastikan sekiranya ada jemaah dari Malaysia yg hilang. Pihak Peronda TH dari semasa ke semasa sedang membuat semakan secara terperinci. Untuk pengetahuan, pihak TH sememangnya menempatkan 8 post PERONDA dengan 2 orang peronda di setiap pos yang telah ditugaskan bagi memastikan pergerakan JH Malaysia dari tempat penginapan di Muassim hingga ke Kompleks Jamarat (tempat melontar). Ini bagi memastikan tiada jemaah yg tersesat memasuki laluan jemaah haji dari negara lain.

Lagipun bagi JH Malaysia waktu melontar telah ditetapkan antara pukul 530 petang dan 8.00 malam.

Secara prinsipnya pergerakan JH Malaysia tidak akan melalui laluan JH Arab iaitu jalan 223 dan 204 lokasi tragedi; ini kerana mereka akan melalui laluan yang berbeza dengan lokasi kemalangan. Bahkan dihadang dengan pagar sehingga ke Kompleks Jamarat.

Insya Allah jika JH Malaysia mengikut peraturan, laluan dan masa yang ditetapkan, kemalangan ini tidak akan melibatkan JH Malaysia.

Semoga Allah menjauhi kita semua dari bala bencana dan sama-samalah kita mendoakan kesejahteraan jemaah kita disana dan umat Islam keseluruhannya.

-YB Senator Dato' Dr Asyraf Wajdi Bin Dato' Dusuki-
(Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri)

Korban Rempuhan Mina Kini 717, 805 cedera


Jumlah angka korban jemaah haji dalam kejadian rempuhan di Mina hari ini meningkat kepada 717 orang, manakala 853 jemaah cedera, menurut Direktorat Pertahanan Awam Arab Saudi dipetik Bernama.

Agensi Pertahanan Awam Saudi berkata pasukan pertahanan awam sedang menjalankan operasi menyelamat dalam kejadian di pintu masuk jambatan ke jamrah untuk mengerjakan ibadat melontar jamrah di Mina, di luar Mekah.

Kejadian rempuh-rempuhan itu berlaku apabila bilangan besar jemaah berasak-asak di Mina, di luar bandaraya suci Mekah.

Menurut agensi tersebut, lebih kurang dua juta orang kini mengerjakan ibadah haji di Arab Saudi.

Kejadian itu berlaku di Street 204 di pusat perkhemahan Mina, beberapa kilometer ke timur Makkah, di mana jemaah lazimnya menginap beberapa hari sebelum cara kemuncak musim haji bermula.

Munajat Pengaduan Umat Akhir Zaman Kepada Allah Dan Rasul (2)

Wahai anak kunci bagi segala kejayaan..

Hari ini kami terkenangkan mu Ya Nabi dengan penuh kerinduan. Kaulah manusia paling bertanggungjawab untuk terjadinya kemenangan Islam kali ke-2 ini. Siapa kata Nabi Muhammad telah wafat? Dia sedang hidup di setiap hati-hati kami yang merinduinya sepenuh hati. Dia bahkan berbisik-bisik di setiap hati-hati itu tentang kerinduannya pula yang begitu teramat sangatnya! Dialah sebenarnya yang telah membawa kami pergi sejauh ini demi menunaikan janji Nya bahawa bumi akan diIslamkan sampai peringkat empayar!

Bisikan rasa dari rohmu Ya Nabi membuatkan kami diubah dari hanya merujuk kepada akal tentang hidup, kini telah pandai memanfaatkan hati dan segala jenis rasa-rasa yang ada didalamnya untuk melakukan hidup ini! Rupanya di Universiti Mu Ya Allah, Ya Rasul, manusia dan kemanusiaan dinilai pada apa yang ada dihatinya!

Tidak, tidak, tidak hanya dibaca tentang apa-apa yang sedang difikirkannya. Lalu manusia itu tidak lagi ditanya apakah pandai atau tidak. Tapi manusia disoalkan apakah baik atau tidak orangnya! Sebab kecerdikan yang tertinggi hanya mampu dicapai oleh hati!!!

Kata Nabi secerdik-cerdik manusia ialah yang paling banyak dapat mengingati kematiannya! Sedangkan akal belum pernah melahirkan seorang yang demikian itu dimana-mana Universitinya! Hanya Universiti hati mampu menggapai ketinggian sebegitu!

Wahai kekasih kepada segala kekasih junjungan,

Kau tidak hanya mampu membangunkan Universiti Rasa untuk kami Ya Mustafa! Yang lebih menariknya ialah bahawa kau punyai bank kewangan rasa yang mampu melimpahkan wang secara percuma kepada siapa-siapa yang meminta! Bank rasa ini ialah bank yang melayan penggunanya secara rasa hati! Siapa yang kuat hatinya dengan Allah dan Rasul, bila diminta berapa pun Wang, nescaya tidak ditolaknya! Yang pasti Wang akan didapatkannya melalui 1001 jenis teknologi pengiriman yang mampu direka cipta oleh pengurus bank. Maka Allah kini benar-benar dipanggil-panggil oleh bumi! Kerana manusia akhirnya yakin bahawa tanpa Allah, teori hebat mereka meleset sama sekali! Sedangkan Allah tanpa apa-apa proposal pun, kini berjaya menghasilkan sebuah sistem hidup bertaraf luarbiasa! Bukan kerana pandai tapi kerana bertaqwa! Paling digeruni Yahudi dizaman ini!!!

Ya Allah Ya Rasul idaman setiap hati..

Buatkanlah kami ini boleh merasa takut setakut-takutnya padaMu dan rindu serindu-rindunya pada NabiMu! Bukannya untuk apa-apa melainkan hanya untuk benar-benar dapat menjayakan maksud misi hidup dibumi olehMu. Iaitu untuk dapat gelaran hamba dan khalifah Allah dibumi! Untuk kembali nanti tidaklah akan dilempar begitu saja ke Neraka! Indahnya hidup kalau dapat melihatmu disyurga wahai kedua-duaMu yang setiap saat ini  sangat melayan kami yang hina dina ini. Si hamba lemah yang diciptakan dengan rasa seagung-agung cinta! Kamu siapa wahai Allah dan Nabi? Ruginya kalau tidak bercintaan. Inginnya utk bertemu dan dapat menatap wajah kalian! Tolong aminkan Ya Allah, Ya RasulNya..

Wednesday, 23 September 2015

Munajat Pengaduan Umat Akhir Zaman Kepada Allah Dan Rasul (1)

"Apabila tiba pertolongan Allah dan kemenangan (menakluk Makkah). Dan engkau lihat munusia masuk ke dalam agama Allah sepuak demi sepuak. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan pohonlah keampunan-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Penerima Taubat (hamba-Nya). (An-Nasr : 1-3)

Wahai Nabi akhir zaman,

10 Zulhijjah 1436 Hijrah ini adalah sejarah agung kepada Malaysia dan seluruh dunia Islam. Allah SWT mentakdirkan peristiwa demi peristiwa pahit melanda! Allah membuatkan penduduk bumi merasakan Maha berkuasanya Allah! Orang jadi mahukan Allah semula setelah Allah sudah tidak diambil kira sekian lamanya dimuka bumi ini! Allah itu Maha Sabar akan kezaliman hamba-hamba padaNya. Terus-teruslah Dia menghadiahkan nafas demi nafas supaya hamba-hamba dapat meneruskan hidup dengan selesa. 

Padahal Dia boleh saja menghentikan nafas - cukup hanya selama 3 minit untuk menamatkan kehidupan  seseorang manusia! Kenapa Allah boleh biarkan hidup orang-orang yang sangat menyakitinya? Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana Dia kasih dan sayang! Umpama seorang ibu yang disusah-susahkan oleh anak-anak, namun tetaplah melayan baik kepada anak-anaknya! Kenapa? Sebab sayang.

Ibu sangat berharap kepada Allah agar anak-anaknya mahu menghargai kasih sayangnya demi keselamatan mereka. Allah yang sanggup menunggu lamanya untuk hamba-hamba akan kembali mendekatiNya, menikmati cinta Tuhan pencipta manusia! 

Oh Tuhan, Oh Nabi, terima kasih tidak terhingga kerana sangat menyayangi dan merindui! Sebuah cinta yang terbiar yang disia-siakan! Nafas-nafas yang terlalu banyaknya itu dialir tanpa henti! Bukti terbesar sedang terjadinya cinta dari langit ke bumi.

Wahai cahaya bagi segala cahaya!

Allah tentunya ada cara untuk membaiki kesilapan hamba-hambaNya terhadapNya! Ruginya manusia kalau tidak sempat menyintai Tuhannya sebelum kematian mereka. Maka di bumi tempat hamba-hambaNya melakukan kehidupan tanpa Tuhan itu, Allah merancang sebuah kebangkitan! Tiba-tiba di tengah-tengah arus perdana duniawi yang menggila-gila diperjuangkan, terdengar pekikan-pekikan kata-kata Islam, Islam, Islam, dimana-mana, diseluruh Dunia, terutamanya di Malaysia! Allah tentu tahu suara-suara Islam, Islam, Islam itu paling digeruni di bumi! Sebab Dunia sangat tahu perihal Islam akan bangkit sekali lagi sesudah dihancurkan seluruhnya kebangkitan pertamanya.

Berbagai caralah dunia yang berteknologi tinggi ini menghalang Allah daripada melakukan perancangan baikNya! Maka Allah yang Maha Penyayang itu berlembut-lembut, 'mengalah-ngalah' dan 'mengelak-gelak' untuk tidak menyusahkan hamba-hambaNya dengan apa yang sedang dibuat oleh mereka! 1001 penghinaan lah yang dapat disaksikan untuk program mengIslamkan bumiNya semula ini!

Oh Allah, Oh Nabi,

Kenapa begitu terlalu baiknya Allah kepada makhluk ciptaan? Tentulah kerana sayang yang Maha tidak terkira yang mahu dipamerkan bukan? Supaya hamba-hamba nanti sudi datang dengan merendah diri kepada Tuhan dan kembali kepada Nabi mereka yang mereka tahu terlalu sayangkan mereka! 

Wahai rahsia bagi segala rahsia Allah,

Oleh kerana hidup ini sangatlah terikat dengan sunnah Allah. Maka manusia yang tadinya menyangka mereka boleh berjaya tanpa Allah dalam perjuangan mereka, telah tewas! Dunia khususnya Malaysia kini sedang berada didalam kegagalan! Gagal akibat 'berperang 'dengan Allah. Dengan ketetapan Allah, sebab Allah yang Maha Suci lagi Maha Tinggi sudah tetapkan bahawa formula untuk orang Islam berjaya didunia ini ialah dengan taqwa!

Ada 3 kekuatan asas bagi umat Islam untuk dikatakan mereka itu bertaqwa ialah :

1. Kekuatan Iman

2. Kekuatan Kasih Sayang

3. Kekuatan Keselarasan

Wang hanyalah kekuatan tambahan. Ertinya wang tidak akan bermakna apa-apa kepada sesuatu perjuangan yang tidak ada 3 ciri-ciri asas kekuatan yang utama!

Lihatlah! Lihatlah dunia yang tiada Iman, tiada kasih sayang sesama. Tidak selaras antara satu sama lain. Walaupun berjuang di dalam satu parti yang sama! Lihatlah apa sudahnya orang-orang yang tidak mengikut perintah Allah! Kekayaan yang mereka perjuangkan kini telah menjadi sebab untuk mnghancurkan mereka!

Ya Allah Ya Tuhanku, itu sama sekali Dikau tidak bersalah! Bukan Allah yang menimpakan bencana ini semuanya kepada dunia tetapi dunia dan manusialah yang bersalah kerana tidak mengikut apa yang Allah dan Rasul nyatakan dalam Quran dan Hadis!

Langit dan bumi ciptaan Allah digunakan tanpa berpegang kepada panduan yang Allah berikan. Ibarat menggunakan sesuatu produk tanpa merujuk pada 'katalog' yang dikeluarkan oleh pembuatnya! Sungguh ianya adalah suatu malapetaka! Kejatuhan sesebuah kuasa itu benar-benar sedang terjadi didepan mata kepala kita semua! Sejarah dunia zaman silam sedang berulang didunia kita yang paling moden.

Wahai ubat bagi semua penyakit, jalan keluar bagi semua masalah!

Allah yang Maha Mengetahui itu pun telah berjanji untuk menggantikan bumi yang jahiliyyah itu kepada bumi baru. Allah pun keluarkanlah orang-orang yang dipersiap-siapkan untuk itu! Dan berpesan kepada mereka: "Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan! Dan kamu melihat manusia masuk ke dalam agama Allah berbondong-bondong! Maka bertasbihlah memuji Tuhan Mu dan beristighfarlah! Sesungguhnya Dia Maha penerima taubat!"

Ya Allah yang terlalu baiknya, masakan kami tidak akan memuji-mujiMu serta bertaubat padamu di hari-hari kemenangan Islam ini! Sedangkan satu nafas dariMu pun sepatutnya kami balasi dengan ucapan 'Allah!!', satu kali kerana nafas itu terlalu mahalnya! Kaulah yang buatkan kami jadi begitu! Buatkanlah seluruh nafas-nafas kami ialah Allah, Allah, Allah, Allah, Allah. Menjadikan setiap degupan jantung itu, kami tidak putus dengan penciptanya! Dengan Mu Ya Allah!

Nanti di Futuh Mekah kedua itu Ya Allah, nescaya akan kami agungkan sungguh nama Mu dan nama Nabi Mu! Dua nama iaitu Allah dan MuhammadNya, akan ditabalkan dilangit dan bumiNya ini sebagai yang paling diperlukan dalam hidup seluruh makhluk yang masih mampu bernafas dimaya pada ini! Akan diperjuangkan mereka dengan seluruh hidup mati disetiap nafas-nafas yang beralun demi membalasi cinta agung yang disia-siakan selama ini! Sebab hidup tanpa Mu Ya Allah, Ya Rasul ertinya hidup tanpa nafas!

Tuesday, 22 September 2015

Petua Tradisi Untuk Cepat Empukkan Daging Korban



Daging merupakan salah satu menu pilihan masakan yang tinggi protein, zat besi dan kalsium. Tetapi tahukah anda jika tidak tahu cara yang betul sewaktu memasak, daging akan jadi keras dan kurang sedap. 

Bajet kalau rebus lama, daging jadi empuk tetapi sebenarnya cara ini akan buat daging mudah hancur. Anda boleh guna dua cara untuk melembutkan daging iaitu satu cara tradisional dan kedua cara moden. Jom kita lihat satu persatu...

1. Letak daging yang bersih dalam peti
Biarkan daging lembut dan simpan di dalam peti. Mungkin anda rasa susah untuk masak jika daging masih beku, tetapi daging yang sudah disimpan di dalam peti lebih empuk dan mudah dipotong berbanding segar.

Langkah-langkah:
Cuci bersih daging setelah dibeli dari pasar di bawah air yang mengalir.
Rebus daging, simpan di dalam bekas tertutup rapat dan masukkan di dalam peti dan guna jika perlu.

2. Guna daun betik
Daun betik mengandungi enzim yang boleh empukkan daging. Caranya mudah, ramas daun betik muda hingga keluar getahnya, kemudian gunakan untuk membungkus daging.

Langkah-langkah:
Cuci bersih daging setelah dibeli dari pasar di bawah air yang mengalir.
Rebus daging (bergantung menu masakan).
Bungkus dengan daun betik muda yang sudah diramas, kemudian biarkan lebih kurang 1 jam sebelum dimasak.
Apabila daging sudah direbus, maka proses ini sekali gus membantu penyerapan rempah.

3. Cuci dengan nenas
Anda boleh menggunakan parutan nenas muda.Nenas mengandungi enzim yang boleh meleraikan serat-serat daging sehingga menjadi lebih empuk ketika dipotong.

Langkah-langkah:
Cuci bersih daging setelah dibeli dari pasar di bawah air yang mengalir.
Biarkan selama 30 minit sebelum dimasak.

4. Rebus dengan rempah
Cara menggunakannya mudah, setelah daging dicuci bersih, tabur daging cukup dengan rempah dan ramas. Biarkan beberapa saat, daging akan jauh lebih empuk.

Langkah-langkah:
Cuci bersih daging setelah dibeli dari pasar di bawah air yang mengalir.
Tabur daging dengan rempah sambil ramas tapi jangan sampai terlebih rempah, ya.


Semua cara yang kongsi ini dapat membantu melembutkan daging, anda boleh pilih salah satu cara yang paling praktis dan mudah.
mingguan wanita

Petikan : OPEN MINDA

Wang Pencen Tidak Dikira Harta Pusaka

Soalan: SAYA ingin tahu mengenai wang ganjaran dan pencen seorang kakitangan awam yang sudah meninggal dunia. Si mati mempunyai dua isteri, seorang diceraikan (dengan isteri ini dia mempunyai tiga anak berusia daripada 17 tahun hingga 20-an) manakala isteri keduanya mempunyai tiga anak yang masih bersekolah. Kemusykilan saya ialah wang pencen dan ganjaran si mati hanya dinikmati oleh semua anak tirinya, isteri dan anaknya sendiri yang berusia 17 tahun saja. Dua lagi anak si mati tidak mendapat sebarang habuan. Saya berpendapat dalam hal ini pembahagian adalah sangat tidak adil kerana anak sendiri tidak mendapat apa-apa habuan daripada harta (wang ganjaran dan pencen) bapa mereka. Bagaimanakah hal ini boleh terjadi?
Isteri musykil,Selangor.

Paparan bertajuk di atas disiarkan dengan izin penulisnya: KLIK DI SINI

JAWAPAN: PUAN, untuk menjawab persoalan ini, rujukan akan dibuat terhadap Akta Pencen. Pencen adalah harta kepunyaan seseorang jika beliau menerima pencen itu semasa masih hidup. Oleh itu, apabila meninggal dunia, pencen yang masih belum sempat dikeluarkan semasa hayatnya adalah menjadi pusaka dan perlu dibahagikan menurut faraid.

Menurut Perkara 27 (1) Akta Pencen Pihak-pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980 (Akta 1980), wang pencen si mati boleh dibayar kepada orang tanggungan si mati tanpa perlukan sebarang surat kuasa.

Bagaimanapun, apabila ia termasuk sebagai pusaka, penerima pencen hendaklah membahagikannya kepada waris menurut faraid.

Merujuk persoalan puan, isteri yang diceraikan sebelum si mati meninggal dunia, tidak termasuk sebagai waris pusaka. Namun, puan tidak merujuk secara khusus dan jelas berkaitan anak dan isteri mana yang menerima wang pencen dan ganjaran si mati. 

Maka, huraian ini adalah khusus kepada huraian biasa berkaitan 1) pencen, 2) pencen terbitan, 3) ganjaran dan 4) ganjaran terbitan.

Apabila pesara meninggal dunia, bayaran pencen kepada akan diberhentikan. Bayaran pencen akan disambung bayar kepada orang tanggungan dan bayaran itu dinamakan Pencen Terbitan. Akta Pencen menetapkan apabila pesara meninggal dunia, bayaran pencen berikutnya akan dibayar kepada orang tanggungan yang layak menerima saja.

Tafsiran orang tanggungan menurut Akta Penyelarasan Pencen 1980 (Akta 238) menyatakan, mereka termasuklah balu atau duda dan anak pesara (si mati) yang belum mencapai umur 21 tahun dan belum berkahwin serta anak yang menuntut di institusi pengajian tinggi untuk ijazah pertama. Anak angkat, cacat otak atau hilang upaya jasmani secara kekal sehingga tidak mampu menanggung diri sendiri juga layak mendapat pencen terbitan itu.

Untuk menentukan jumlah akan diterima setiap bulan oleh tanggungan, ia dikira 1/600 x tempoh perkhidmatan (dikira dalam bulan) x gaji terakhir pesara.

Menurut Wan Abdul Halim Wan Harun dalam Pengurusan dan Pembahagian Harta Pusaka yang merujuk kertas taklimat Pengurusan Pencen di bawah Sistem Pentadbiran Pencen oleh Bahagian Pencen Jabatan Perkhidmatan Awam antara lain menyatakan, objektif Skim Pencen yang hanya dibuat kepada tanggungan pesara dan bukannya waris menurut faraid adalah untuk meringankan beban tanggungan dengan memberi saraan hidup kepada tanggungan pesara yang meninggal dunia sebagai pengorbanan atau pemberian kerajaan kepada kakitangannya. Maka, pencen terbitan TIDAK dikategorikan sebagai harta pusaka.

Ganjaran pula adalah pemberian majikan kepada kakitangan yang sudah bersara atau dikehendaki bersara daripada perkhidmatan kerajaan. Ia diberikan secara sekali gus kepada anggota yang berpencen bukan seperti pencen yang akan dibayar setiap bulan kepada pesara.

Menurut Wan Abdul Halim yang merujuk Perkara 4 Peraturan-peraturan Pencen 1980 PU (A) 176 tahun 1980, ganjaran diberikan kepada pesara dikira mengikut formula yang ditetapkan iaitu 1/20 x tempoh perkhidmatan (dikira dalam bulan) x gaji terakhir diterima.

Namun, jika seseorang itu bersara, ganjaran akan diberikan kepadanya. Jika beliau meninggal dunia, ganjaran akan diberikan kepada tanggungannya iaitu balu, anak, duda dan ibu bapa. Ia dinamakan ganjaran terbitan.

Akta Pencen TIDAK mentakrifkan ganjaran terbitan sebagai harta pusaka si mati walaupun sehingga kini khalayak mempersoalkan supaya ganjaran terbitan boleh ditakrifkan sebagai harta pusaka dan hendaklah dibahagikan menurut faraid.

Sudah diperbincangkan bahawa ganjaran terbitan tidak boleh disamakan dengan pencen terbitan. Ini kerana pencen terbitan dikatakan sumbangan kerajaan kepada tanggungan si mati setiap bulan dan ia akan terhenti dengan sebab tertentu seperti apabila anak mencapai umur 21 tahun, sudah berkahwin, tamat pengajian ijazah pertama atau balu atau anak kurang upaya kemudian meninggal dunia.

Ganjaran terbitan diberikan bersangkutan dengan khidmat seseorang dalam kerajaan. Jumlah bayaran berdasarkan tempoh perkhidmatan pesara. Oleh itu, perkiraan ganjaran terbitan sudah ada dan jumlahnya sudah diketahui apabila berlaku kematian. Namun, sehingga kini tujuan dan matlamatnya kurang jelas.

Walaupun Jawatankuasa Fatwa pada 12 September 1988 menyarankan supaya Akta Pencen 1980 dikaji semula namun muzakarah bersetuju bahawa ganjaran terbitan dan pencen terbitan TIDAK TERMASUK sebagai harta pusaka dan kaedah pembahagiannya tidak tertakluk kepada kaedah pembahagian harta pusaka.
Ini berdasarkan hujah jawatankuasa itu bahawa ganjaran terbitan dan pencen terbitan yang diperuntukkan Akta Pencen 1980 ialah hadiah kerajaan kepada tanggungan kakitangan kerajaan apabila kakitangan itu meninggal dunia.
Pemberian dibuat atas asas ganjaran kerana perkhidmatan dengan kerajaan seperti diperuntukkan dalam Akta Pencen. Pemberian itu disebutkan sebagai hak tanggungan dan jumlahnya tidak diketahui. Maka, ganjaran dan pencen BUKANLAH sebagai harta pusaka atau peninggalan si mati yang mesti dibahagikan menurut faraid.
Oleh itu, puan dinasihatkan merujuk persoalan puan kepada kaedah pembahagian di Bahagian Pencen Jabatan Perkhidmatan Awam demi mengetahui pembahagian dan tanggungan yang disenaraikan oleh pesara semasa hayatnya.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Siti Razasah Abd Razak. Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Layari http://peguamsyarie.blogspot.

Anda mahu membuat wasiat atau ingin maklumat lanjut? Hubungi saya:

Abd Karim Abu Bakar
(Perancang Harta Pusaka Islam)
as-Salihin Trustee Bhd
Telefon/sms: 019 355 6552Email: abdkarimiep<at>gmail<dot>com

Nenek 101 Tahun Jaga Anak OKU Telah Kembali Kerahmatullah..Al-Fatihah..


Seorang ibu tunggal yang cekal menjaga anak lelakinya yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) sejak dilahirkan kira-kira 63 tahun lalu meninggal dunia di rumahnya di Kampung Nako Nambua, Kuala Nerang, dekat sini, awal pagi tadi.

Allahyarham Meliah Mat Diah, 101, menghembuskan nafas terakhir 3.30 pagi di hadapan ahli keluarga lain termasuk anak lelakinya yang OKU, Abd Rahman Saud.

Anak saudaranya, Siti Jaleha Yunus, 59, berkata, Tok Meliah sebelum itu hanya mengadu sesak dada dan sukar untuk bernafas tanpa menyangka ia menjadi petanda arwah akan pergi buat selama-lamanya.

"Kami sekeluarga kemudian membawa dia dan anaknya (Abdul Rahman) ke rumah saya kira-kira jam 9 malam semalam untuk memudahkan memantau keadaan kesihatannya.

"Tok Meliah sebelum ini tidak pernah mengidap sebarang penyakit kronik, tetapi hanya demam dan batuk biasa. Saya meletakkannya di atas katil di ruang tamu tetapi kira-kira 3.30 pagi tadi, tetapi nafas mak cik semakin perlahan sebelum meninggal dunia di hadapan ahli keluarga," katanya ketika ditemui, di sini.

Menurutnya, mereka sekeluarga berasa sedih dengan pemergian Tok Meliah yang bimbang dengan keadaan Abdul Rahman kerana tiada orang akan menjaga anak istimewa yang begitu disayanginya.

"Sehingga pagi ini, Abdul Rahman belum menjamah sebarang makanan kerana kebiasaannya Tok Meliah akan menyuap sendiri makanan ke mulut anaknya itu," katanya.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Nako Nambua, Kuala Nerang, di sini, selepas solat Jumaat.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Tok Meliah yang kematian suami sejak 20 tahun lalu, terpaksa mengambil alih menjaga anaknya walaupun kudratnya tidak kuat.

Wanita berkenaan sebelum ini turut bertekad untuk menjaga anak lelakinya yang tidak boleh bercakap, berjalan dan bergerak secara normal sejak dilahirkan hingga ke akhir hayatnya.



Kini nenek Meliah sudah pergi menghadap ilahi siapakan yang akan menjaga anak lelaki nya yang selama ini di jaga oleh nya selama 63 tahun. sumber asal

Friday, 18 September 2015

Selamat Bertemu Kembali!!!

Pak Lang mohon maaf kerana lama tidak uodate blog ini. Pergi ke mana-mana pun pasti ramai yang berbisik bertanya bila nak posting yang terkini? Hah! memang sangat mendukakan hati lantaran tidak dapat tunaikan hajat para pembaca.... 
Sebenarnya sejak berpisah dengan laptop, aktiviti menulis agak tersekat. Ya! laptop kenangan memulakan penulisan blog ini sejak 2012 sudah berpindah tangan. Ianya sebuah laptop yang 'ajaib' juga. Mana-mana negara Pak Lang pergi mesti bawa dalam beg sandang belakang. 
Banyak kali laptop ini menghadapi ancaman hilang atau 'dirampas', tapi ianya tetap setia mengikut ke mana Pak Lang berkelana. Huh!! memang ada berkat kat dia. Pak Lang semangat tulis blog bila dapat kiriman laptop tu dari Malaysia ketika di Mekah hujung 2012. 10 bulan di Mekah menjadi medan Pak Lang menulis semula apa yang berada di sanubari selama hidup ini. 
Idea tak pernah habis. Isu berlunggok nak diluahkan. Sehingga ketika dalam tarhil di jeddah selama 35 hari, Pak Lang bimbang sangat tentang keselamatan laptop kesayangan tu. Tapi berkat yang ada, ternyata ianya selamat. Berada dalam tarhil bersama ratusan bangsa asing - walaupun sesama muslim - agak membimbangkan.  Bayangkan macam-macam boleh berlaku.
Bila ada kesempatan memiliki laptop yang lebih canggih, perpisahan dengan yang lama yang banyak jasa pasti terjadi.
Doakan moga Allah beri peluang Pak Lang terus menulis - untuk dapat terus berhubung secara maya dengan kawan-kawan seperjuangan, juga kenalan jauh dan dekat serta siapa sahaja yang sudi menjengok blog ini. Semoga Allah pilih kita mendapat anugerah hati yang kuat terhubung denganNya. 
Mendapatkan hati yang ada rasa takut setakut-takutnya pada Allah dan rindu serindu-rindunya pada Baginda Nabi saw adalah seutama-utama tugas kita di dunia. Inilah wajah  atau bentuk hati yang dikatakan 'qalbun salim' - yang nak dibawa mengadap Tuhan!! Inilah matlamat kehidupan kita sebenarnya. 
Mohon ampun maaf!!
(Terima kasih Tuhan kerana menganugerahkan hambaMu ini laptop secanggih ini!!Bantulah daku memanfaatkannya benar-benar untuk membesarkanMu dan memuliakan RasulMU serta orang-orangMu!!)
 

Sample text

Sample Text

Sample Text