Social Icons

Saturday, 23 April 2016

Sudah Masuk Islam - Apa Langkah Seterusnya?

Sehari dua ini hebuh dengan program Perbandingan Agama oleh Dr Zakir Naik. Di semua tempat, pasti ada penganut agama lain yang tertarik dengan hujjah beliau lalu spontan memeluk Islam. 

Apa yang kena diperhatikan oleh pihak bertanggung jawab ialah bagaimana pendidikan untuk mereka yang baru memeluk Islam itu? Kita tertanya-tanya pihak manakah yang diberi tanggung jawab mengajar dan mendidik saudara baru kita tersebut? Islam perlu dipelajari difahami, diamalkan dan dihayati. 

Islam itu dibina atas 5 Rukun Iman, 6 Rukun Islam dan 2 Rukun Ehsan.. Seseorang yang memeluk Islam mesti mempelajari 3 ilmu yang asas ini. 

Islam bukan sekadar agama untuk dibahaskan. Membuat perbandingan agama berupaya mengukuhkan iman seseorang terhadap keunggulan Islam. Selanjutnya mestilah diisi dengan ilmu serta kefahaman Islam yang menyeluruh. 

Inilah yang dikhuatirkan tidak berlaku pada mereka yang baru memeluk Islam. Kita biasa mendengar aduan saudara baru kita yang tidak dipedulikan. Mereka terbiar tanpa bimbingan dan pimpinan. Sepatutnya mereka dengan mudah dibawa menghayati ajaran islam sebagai sistem hidup. Kesedaran mereka sudah ada. Yang penting mereka ditunjuk jalan - apa dan bagaimana yang perlu dilakukan.

Sebab itulah ulama menggariskan 8 syarat bagi seseorang yang ingin menjadi orang beriman. Maksudnya bagi mencapai tahap rasa hati yang mempunyai perasaan takutkan Allah dengan sebenar-benar takut, setiap insan perlu menempuh proses demi proses. Tahapnya mesti bermula dengan pilihan Allah. Ini tidak boleh diusahakan. 

Jika Allah kehendaki seseorang dengan kebaikan, Allah akan masukkan hidayah di dalam hatinya. Dia akan cenderung untuk merenung hakikat penciptaan diri dan tujuan kehidupannya di dunia. 

Tahap seterusnya ialah ilmu yang wajib dipelajari. 
Ketiga - faham dan yakin dengan apa yang dipelajari
Keempat - beramal dengan ilmu yang telah dipelajari, diyakini dan difahami tadi. 

Kelima - Istiqamah dalam beramal. Yang fardhu dan wajib itu sudah pasti tetapi amalan yang sunat yang boleh menundukkan nafsu serta yang boleh menghidupkan hati agar khusyuk dengan Allah hendaklah dilakukan secara istiqamah. Sedikit tetapi berterusan istiqamah lebih berkesan dan lebih baik dari 'hangat-hangat tahi ayam'!!

Keenam ialah perlu bermujahadah melawan nafsu yang sentiasa mengganggu usaha membawa hati kepada Allah. Nafsu mengajak kepada kejahatan lahir dan batin. Melawan dorongan dan keinginan nafsu inilah dinamakan mujahadah.

Ketujuh - mesti ada pimpinan guru mursyid. Guru mursyid adalah faktor penentu setelah allah berikan hidayah. Gurulah yang mampu mendidik dan memberi ilmu. Bagaimana ilmu ini boleh diamalkan bukanlah suatu yang mudah. Betapa ramai ustaz lulusan universiti Islam di dunia yang gagal mengamalkan ajaran islam dalam diri dan keluarganya. Puncanya mereka tidak mempunyai guru pembimbing yang mampu menunjuk contoh teladan untuk melaksaakan ajaran islam yang dipelajari. Akhirnya ilmu dan amalan seharian terpisah jauh. 

Yang akhirnya ialah doa. Ya! doa adalah munajat bicara hati dengan Allah. Doa adalah lambang rintihan seorang hamba yang mengharapkan panduan, rahmat dan keampunanNya agar perjalanan menuju kematian yang berjaya dipimpin Allah. Doa merupakan unsur menyerah diri dengan Allah setelah segala usaha lahir batin telah dilakukan bagi memastikan diri benar-benar sedang berjalan di atas jalan kebenaran. Jalan taqwa hanya dapat ditempuh jika hati benar-benar merasa hamba yang hina sehina-hinanya yang hanya mengharapkan semata-mata keberkatan dan rahmat Tuhan. 

0 comments:

Post a Comment

 

Sample text

Sample Text

Sample Text