Istanbul, Hangat Dalam Dingin
Berbeza betul wanita Turki di Makkah dengan apa yang saya lihat di negara asal mereka. Di kawasan Masjid al-Haram sebahagian besar kaum hawa Turki yang ditemui ketika sama-sama mengerjakan haji lima tahun dulu kelihatan kasar. Bertubuh sasa dan dengan seluruh anggota – termasuk kepala – ditutupi jubah labuh dan purdah, mereka adalah insan yang seberapa boleh hendak saya elakkan. Berjalan dalam kelompok besar, mereka akan merempuh sesiapa sahaja, tidak kira lelaki atau wanita dari negara lain. Sekurang-kurangnya itulah prejudis saya terhadap mereka setelah beberapa kali tersungkur dirempuh. Malah pernah sekali saya tertonggeng mencium simen Kaabah ketika bertawaf gara-gara disinggung siku wanita bertubuh besar itu. Lain pula yang saya lihat di Istanbul. Sejak tiba di sini dua hari lalu pandangan negatif terhadap mereka ketika di Tanah Suci, terus lenyap. Kini saya mengakui wanita Turki, terutama gadis, adalah insan yang lemah lembut, baik hati dan manis. Mungkin yang ke Makkah ad...