Social Icons

Ahad, 17 Mei 2015

Apa Nak Jadi Dengan Masyarakat Kita Ni!!

Polis berunding 6 jam, selamatkan sekeluarga tebusan amuk


Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Daerah Melaka Tengah Rohani Ramli menenangkan tiga kanak-kanak yang menjadi tebusan bapanya dalam kejadian amuk di Taman Duyong Indah ketika melakukan lawatan di Hospital Melaka hari ini. – Foto Bernama

Lima mangsa yang menjadi tebusan dalam kejadian amuk bersenjata lebih enam jam di Taman Duyong Indah di sini, awal pagi tadi akan diberi rawatan psikiatri kerana dipercayai mengalami trauma disebabkan pengalaman menakutkan itu.

Pakar Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka, Dr Abdul Rahman Abdul Kadir berkata semua mangsa tersebut berada dalam keadaan sangat takut, menggigil dan tidak dapat bertutur dengan lancar sebaik sahaja berjaya diselamatkan pihak polis.

Kesemua mereka berjaya diselamatkan polis selepas polis bertindak menyerbu masuk rumah tersebut kira-kira 2 pagi tadi.

Mengulas lanjut, Dr Abdul Rahman berkata semua mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan tiada anggota badan yang patah.

“Isteri mangsa mengalami lebam pada bahagian muka tetapi dia dalam keadaan stabil. Ibu suspek juga tidak mengalami kecederaan parah dan telah dibenar keluar hospital pagi tadi,” katanya.

Sementara itu, anak sulung suspek berkata dia bersama dua lagi adiknya serta ibu dan neneknya sering dipukul bapanya terutama sejak dua minggu kebelakangan ini.

Kanak-kanak itu berkata sebelum kejadian itu, dia dan dua lagi adik mereka sedang menonton televisyen sebelum suspek menyuruhnya mengambil air minuman di dapur kira-kira 6.30 petang semalam.

“Lepas saya bagi ayah air, dia marah-marah kata saya buat dia…lepas itu dia ambil batang buluh dan pukul di kaki dan terajang belakang saya dan lepas tu dia pukul dan terajang mak.

“Saya takut ayah pukul dan marah-marah lagi,” katanya. – Bernama

MELAKA: Polis berjaya menyelamatkan lima sekeluarga yang dijadikan tebusan selepas lebih enam jam berunding dan cuba menenangkan seorang lelaki bersenjata parang dalam kejadian amuk di sebuah rumah di Taman Duyong Indah di sini, awal pagi ini.

Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye berkata dalam kejadian itu seorang lelaki berusia 30-an telah menjadikan isterinya berusia 40-an; ibu kandungnya 60-an; dan tiga anak perempuannya berusia antara tiga hingga sembilan tahun sebagai tebusan dipercayai akibat tidak puas hati dengan isteri dan ibunya.

Polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira 7.15 malam dan bergegas ke tempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa tebusan, katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata polis telah cuba berunding meminta lelaki itu menyerah diri tetapi tidak berjaya kerana dia dalam keadaan amat marah dengan ibu dan isterinya yang didakwanya telah melakukan sihir terhadapnya.

“Polis tidak dapat mengambil tindakan awal kerana suspek bersenjatakan parang dan menggunakan senjata itu untuk mengancam ahli keluarganya,” katanya.

Polis bagaimanapun terpaksa bertindak menyerbu rumah berkenaan dan berjaya menyelamatkan semua tebusan serta menahan suspek kira-kira pukul 2 pagi selepas suspek semakin bertindak agresif terhadap terhadap isteri, ibu dan anak-anaknya, katanya.

Chuah berkata semua mangsa tebusan berkenaan dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan. Isteri lelaki itu mengalami kecederaan di muka dan mata dipercayai dipukul manakala siasatan masih dilakukan bagi mengetahui sama ada emak serta anak-anaknya mengalami kecederaan.

Mengulas lanjut tentang rundingan lebih enam jam dengan suspek, katanya polis berusaha tidak menggunakan kekerasan atau senjata sebaliknya secara rundingan yang diketuai Timbalan Ketua Polis Melaka SAC Mohd Shahrizan Che Mat Din atas faktor keselamatan tebusan.

Katanya polis akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu termasuk latar belakang suspek yang dipercayai tidak mempunyai pekerjaan.

“Terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan terhadap suspek termasuk sama ada dia adalah penagih atau berada dalam pengaruh dadah ketika bertindak menahan ahli keluarganya sebagai tebusan dan bertindak agresif,” katanya.

Sementara itu, seorang jiran suspek yang menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian itu, berkata suspek seorang yang panas baran dan sering bertindak memukul anggota keluarganya.

“Kami sering mendengar jeritan dan melihat dia (suspek) memukul ahli keluarganya terutama isterinya. Lebih ketara dalam beberapa hari ini kerana pergaduhan antara mereka berlarutan dari malam sampai awal pagi,” kata lelaki itu.

Beliau berkata dalam kejadian amuk pada hari tersebut, suspek pada mulanya menarik isterinya ke luar rumah dan bertindak memecahkan sebuah kenderaan jiran pada kira-kira pukul 7 malam.

Katanya suspek kemudian masuk ke dalam rumah dan mengunci diri serta anggota keluarganya di dalam rumah yang telah didiaminya kira-kira tujuh tahun lepas yang menyebabkannya menghubungi polis kerana bimbang dengan keselamatan mereka. 

– Bernama

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text