Social Icons

Ahad, 23 Mac 2014

Kisah Penagih Dadah Sempat Bertaubat Sebelum Terbakar!!

Taubat dari segala dosa, mengaku menyesal atas semua kesalahan serta berazam janji tidak akan mengulangi lagi kesalahan tersebut adalah kewajipan kita. Samada taubat kita diterima Tuhan atau tidak, ianya terserah kepada Tuhan yang maha kuasa. Apa yang penting jika di saat akhir sebelum nyawa ditarik sehingga ke kerongkongan, kita masih berpeluang bertaubat. Itupun jika ianya dilakukan sepenuh hati yang benar-benar insaf. 
 
Dosa yang berulang-ulang dibuat biasanya berpunca daripada ketagihan. Dadah adalah suatu ketagihan yang dahsyat. Setiap kali penagih dadah itu menangis kesal, mereka belumlah boleh dipercayakan. Harapan tetap ada tetapi bagaimanakah membebaskan mereka daripada cengkaman ketagihan dahsyat sebegitu rupa? Selagi mereka masih menagih, mereka jangan dipercayakan jika menangis mahu berubah.
 
Kisah berikut bertepatan dengan apa yang dilakukan GISB mewujudkan Pusat Kembali Bersinar Malaysia (PKBM). Pusat ini khusus untuk para penagih dadah yang menyerah diri untuk dipulihkan. Kaedahnya diletakkan di satu penempatan yang memisahkan mereka dari sumber bekalan dadah. Mungkin seperti Pusat Serenti tetapi penekanan di PKBM ialah mendidik ruh dan jiwa mereka untuk dibawa kembali kepada Tuhan. 
 
Jiwa yang gelap dengan dosa dan najis dadah mahu disinarkan kembali dengan cahaya Nur Muhammad SAW. Usaha-usaha yang pelbagai dilakukan untuk membina rasa takut setakut-takutnya pada Tuhan dan merindui Nabi dengan serindu-rindunya. Inilah intipati bagi proses memulihkan mereka. Tentunya bukan mudah. 
 
Apa yang penting putuskan hubungan mereka dengan kawan-kawan di luar. Jika perlu, YKPPM yang menaungi PKBM ini akan buatkan perkampungan khas untuk kelompok mereka sahaja. Jika mereka sendiri mahu berubah - dengan proses baiki diri yang dilaksanakan, insya Allah mereka akan berjaya melepasi diri daripada cengkaman dadah. Setakat ini sudah ramai yang kembali pulih walaupun awalnya mereka terpaksa berperang dengan rasa ketagih yang menggila. 
 
Kaedah memisahkan mereka yang mahu berubah dari kawan-kawan luar merupakan pendekatan utama agar mereka tidak lagi mendapat bekalan dadah. Inilah yang dilakukan sendiri oleh seorang remaja di Marang, Terengganu yang sangat ingin menghapuskan pengaruh dadah dari dirinya. Dia mengikat kakinya sendiri agar tidak boleh keluar bertemu rakan-rakan. Dalam taubat itulah dia mati terbakar dalam keadaan kakinya masih terikat. 
 
Semoga kisah ini menjadi iktibar..

Laporan: MOHD AZLIM ZAINURY - SINAR HARIAN - KLIK UNTUK LIHAT VIDEO
7 November 2013

MARANG – “Hati arwah akhirnya terbuka untuk kembali ke pangkal jalan. Arwah sempat bertaubat, tidak meninggalkan solat dan sering berjemaah bersama bapanya sejak minggu lalu sebelum maut dalam kebakaran itu,” kata Rohani Mohamad, 59.

Rohani merupakan ibu kepada seorang penagih tegar, Rosli Omar, 41, yang maut dalam kebakaran membabitkan sebuah stor yang terletak di bahagian belakang rumah keluarga berkenaan di Lubuk Perah, Wakaf Tapai di sini, malam kelmarin.

Sebahagian tubuh anak kedua daripada enam beradik itu ditemui rentung dalam keadaan mengiring manakala kakinya juga terikat dengan tali berdekatan pintu di dalam stor yang dijadikan sebagai bilik tidurnya kira-kira jam 11.40 malam.

Berseorangan dalam stor

Rohani yang lebih mesra dipanggil Mak Long berkata, ketika kejadian anaknya berseorangan berada di dalam stor berkenaan manakala dia dan suami, Omar Husin, 67, serta ibunya, Zainab Said, 96, berada di dalam rumah.

“Mak Long hanya sedar kebakaran berlaku apabila terdengar bunyi percikan api dari arah stor tersebut. Mak Long panggil Rosli tapi dia tidak menyahut lalu terus masuk semula ke dalam rumah untuk membawa ibu yang uzur keluar,” katanya.

Dengan bantuan jiran berdekatan rumah, ibu Rohani yang berusia 96 tahun itu berjaya dibawa keluar dari rumah ke tempat lebih selamat sementara suaminya dan orang ramai cuba memadamkan kebakaran dalam stor tersebut.

“Pihak bomba yang dimaklumkan mengenai kejadian juga tiba sebelum kebakaran dapat dipadam sepenuhnya. Pasukan bomba berjaya membawa arwah keluar dari situ, namun dia disahkan meninggal dunia oleh pihak polis,” katanya.

Banyak berubah sebelum meninggal

Rohani berkata, walaupun anaknya penagih dadah namun, jauh di sudut hatinya tetap ingin kembali ke pangkal jalan. Malah, arwah sempat bertaubat dan meninggalkan tabiat buruk itu sebelum meninggal dunia dalam tragedi itu.

“Arwah bukan sahaja tidak meninggalkan solat tetapi akan menunggu Mak Long dan bapanya (Omar) untuk makan bersama sejak kebelakangan ini. Kami tak sangka perubahan sikap itu adalah sebagai tanda dia akan pergi,” katanya.

Katanya, aktiviti arwah yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah sejak berumur 18 tahun cukup menyedihkan, namun dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa selain menasihati anaknya itu dan memohon doa kepada ALLAH SWT.

“Kami sekeluarga juga tidak pernah berhenti menyokongnya untuk berubah agar kehidupan kami sekeluarga dapat kembali normal, tambahan pula arwah adalah satu-satunya anak lelaki dalam keluarga ini dan masih lagi belum berumah tangga.

“Walaupun arwah adalah seorang penagih dadah, kasih sayang kami terhadapnya tidak pernah luntur. Kami tetap mengambil berat dan jaga arwah sehinggalah kejadian kebakaran itu meragut nyawanya malam ini (kelmarin),” katanya.

Kesal tindakan abang

Turut bersedih dengan kejadian tu adalah adik perempuan mangsa, Yati Omar, 35, yang menyifatkan keadaan kematian abangnya dengan keadaan kaki terikat dengan tali adalah kehendak abangnya sendiri kerana tidak mahu keluar pada waktu malam.

“Arwah berubah secara mendadak dan sempat meminta maaf daripada mak dan ayah atas dosa-dosa dilakukannya. Dia juga sanggup mengikat kaki sendiri agar dapat menahan diri daripada keluar malam dan berjumpa dengan rakan-rakan penagih,” katanya.

Bagaimanapun, Yati kesal dengan tindakan abangnya itu kerana sanggup mengikat kaki sendiri hingga menyebabkan usaha untuk menyelamatkannya dari kebakaran menjadi sukar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text