Social Icons

Ahad, 28 Disember 2014

Banjir: Empat Kawasan Kritikal Di Kelantan

30 kawasan putus hubungan di Kuala Krai
PEMANDANGAN udara penempatan yang ditenggelami air di Tumpat, Kelantan, semalam. – MINGGUAN/Hafiz Johari


KOTA BHARU 27 Dis. - Jawatankuasa Bencana Banjir negeri kini memberi tumpuan untuk operasi menyelamat dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di empat kawasan yang kritikal iaitu Tanah Merah, Pasir Mas, Rantau Panjang dan Tumpat.

Secara keseluruhannya keadaan banjir di negeri ini masih merun­cing termasuk di Kuala Krai dan Gua Musang biarpun air mula menu­njukkan sedikit penurunan.

Pengarah jawatankuasa tersebut, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, keempat-empat kawasan itu telah terputus hubungan dan bekalan makanan sejak beberapa hari lalu.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang menggerakkan keperluan logistik dan aset ke kawasan tersebut bagi memastikan bekalan makanan kepada mangsa mencukupi.

“Saya bersama Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim telah membuat tinjauan di empat kawasan ini dan singgah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ta­nah Merah 2 yang menepatkan 2,000 orang mangsa serta SMK Lati, Pasir Mas melibatkan 3,000 mangsa.

“Di SMK Tanah Merah 2, kese­mua mangsa diuruskan oleh seorang guru namun bekalan makanan serta perubatan tidak ada manakala di SMK Lati, mangsa tinggal dalam bilik darjah dan menguruskan diri masing-masing.

“Kita mendapati bekalan makanan seperti beras di empat kawasan ini hampir habis dan kita sedang berusah untuk menghantar makanan ke sana,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mustapa berkata, kea­daan di daerah yang terjejas teruk iaitu Kuala Krai, tidak banyak berubah namun bantuan serta bekalan makanan telah dihantar ke kawasan tersebut.

Katanya, di Gua Musang bekalan makanan masih berkurangan dan usaha akan ditingkatkan untuk memastikan kebajikan mangsa di sana terbela.

“Kita akui di Kuala Krai sebelum ini terdapat 30 kawasan terputus hubungan terus tetapi kita sudah berjaya memasuki kawasan itu namun secara keseluruhannya Kuala Krai masih gawat.

“Di kawasan sekitar Kota Bharu, kerja-kerja menyelamat dan men­yampaikan bantuan bekalan makanan berjalan dengan tersusun disebabkan kedudukannya di ibu negeri Kelantan walaupun mangsa yang berpindah melebihi 20,000 orang,” katanya.

Sementara itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan penyebaran mesej daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Setakat ini tidak ada mangsa yang mati beramai-ramai di pusat pemindahan banjir dan tidak ada sekolah yang runtuh, jangan percaya dengan penyebaran mesej palsu ini.

“Yang ada beratus rumah musnah dan mungkin keretakan struktur bangunan sekolah disebabkan arus deras namun tidak ada sekolah yang runtuh, ini semua kerja orang yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya amat mengalukan bantuan daripada mana-mana pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu mang­sa banjir di negeri ini.

SUMBER: Utusan.com 

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text