Secara umum negara Thai dikenali sebagai tempat hiburan yang menyediakan segala-galanya. Pelacur, arak, judi dan segala yang bernama dosa besar yang dilaknat Tuhan wujud di negara gajah putih itu.
Maksiat dan kejahatan sebenarnya wujud di mana-mana adanya manusia. Soalnya bagaimana seseorang yang beriman dan mempunyai rasa takut Allah mengendalikan permusafirannya melepasi negara sebegini.
Thailand adalah negara pelancongan. Produk pelancongan terlalu banyak. Halal haram bukan persoalannya kerana apa sahaja yang boleh di'niagakan' akan wujud secara sah di negara itu.
Sesiapa sahaja perlu mengatur perjalanannya agar terpelihara imannya dari hasutan syaitan dan nafsu. Bukan mudah melepasinya jika calang-calang keyakinan dengan Tuhan. Pelacur di sana sangat kreatif dalam menggoda. Jangan cuba-cuba.
Sebaik-baik musafir ialah secara berkumpulan. Berjemaah itu rahmat. Bila beramai-ramai, kenderaan dari Malaysia boleh dibawa masuk melepasi sempadan dengan hanya mengisi borang yang mudah (dan ada surat hak milik kenderaan).
Penginapan pula eloklah di homestay milik rakan atau kenalan atau di hotel-hotel yang lokasinya bersih dari elemen pelacuran. Tidaklah rahsia bagi mereka yang biasa menginap di hotel-hotel, akan ada ketukan di pintu bilik menawarkan teman tidur....Hanya insan yang mempunyai rasa takutkan Allah dengan sebenar-benar takut sahaja yang akan dapat berkata, "Aku takut dan malu dengan Allah yang maha melihat lagi maha mengetahui!!'.
Bermusafir atau bercuti di Thailand perlukan teman-teman yang sehati sejiwa mahu mencari Tuhan. Bukan mencari yang selainNya. Demikianlah budaya hidup orang-orang soleh sepanjang zaman. Bahkan mereka sentiasa terdorong untuk beramal ibadah, berakhlak dan bersopan santun sesama mereka dan terhadap siapa sahaja.
Iman wajib dipelihara dan diselamatkan. Iman perlu dijauhkan dari perkara-perkara atau situasi yang boleh memudharatkannya. Diri kita mesti dijaga dari terkena tempias fitnah. jangan berada di tempat yang salah di waktu yang salah.
Di sekitar Danok, Hatyai, Satun, Rantau Panjang bahkan Phuket memang banyak masjid, kedai makanan halal dan penempatan umat Islam. Memang boleh direncanakan di mana mahu menginap, di mana hendak makan dan sebagainya. bahkan jika rajin bertanya dan mencari, kita akan mudah bertemu dengan masyarakat islam yang baik-baik yang boleh membantu aktiviti percutian kita ke tempat-tempat yang bersesuaian.
Kerap berlaku dek pandai sendiri, malas nak bertanya, simuslim termakan menu makanan mengandungi daging khinzir. Sama jugalah mudahnya seseorang terjebak dalam kes zina. Na 'uzubillahi min zalik!!
Berikut adalah catatan seorang pengembara yang rajin berkelana seorang diri. Ternyata imannya boleh tahan. Dia mampu melepasi ujian dan godaan wanita pelacur (setakat ini). Nasihat Pak Lang padanya, jangan bermusafir seorang diri!!
Kerdipan Sebelah Mata Pelacur… II
“LEBIH-LEBIH lagi aku seorang Islam. Islam sungguh-sungguh. Tak mahu buat dosa besar itu…” Kata-kata yang hampir seperti inilah juga membuat aku berkenalan dengan seorang pemuda, pemandu motosikal tambang di pekan Sungai Golok. Sebuah pekan di Thai sempadan dengan Rantau Panjang Kelantan.
“Abang nak perempuan ke?” Kata muqaddimahnya untuk mencari pelanggan. Kerjanya, disamping ambil upah bawa penumpang, juga dapat komisyen bila ada pelanggan yang nak perempuan, dari taukeh-taukeh niaga perempuan atau hotel-hotel.
“Perempuan di sini muda-muda belaka, belasan tahun atau lebih sikit. Tak macam balik sana Malaysia, mahal dan tua-tua pula. Puluh-puluh RM saja sehari semalam, tak masuk sewa hotel. Boleh guna sini saja atau bawa keluar sebagai teman perjalanan.” Aku jumpa dia depan sebuah hotel di pekan itu.
Tiba-tiba sebuah jeep Land Rover baru berhenti di depan kami. Dalamnya dipenuhi dengan wanita-wanita muda. Bagaikan rombongan penuntut-penuntut sekolah menengah sedang bercuti hendak pergi berkelah di pantai. Mereka membimbit dan menggalas seorang satu beg pakaian. “Siapa mereka ni, nak ke mana pula??”
“Itulah perempuan cari makan, macam yang aku sebut tadi. Mereka dipanggil oleh taukeh hotel bila ada pelanggan nak lihat atau nak pilih mereka. Tu sebab mereka bawa beg pakaian, bila terpilih mereka terus ikut pelanggan, tak perlu balik ke tempat taukeh, ambil beg pakaian lagi.” Jelasnya lagi. “Eh. Abang tak nak perempuan ke?”
“Tidak. Aku orang Islam. Aku tidak mahu buat kerja dosa besar itu…” Kataku tegas. “Tapi kalau sekadar jalan-jalan melawat pekan Sungai Kolok ni, boleh le.” Aku tidak mahu kecewakannya.
“Moh!” Dia bersetuju. Aku membonceng di belakang motosikalnya berkeliling pekan. Melintasi kedai-kedai dan lorong. Ada kedai papan dan batu. Melintasi beberapa masjid, taman permainan dan lain-lain. Akhirnyanya kami berhenti disebuah deretan kedai-kedai lama berdinding papan yang sudah lusuh warnanya. “Nak masuk?” Dia mempelawa.
Aku pun turun motosikal terus mengikutnya, masuk dalam kedai itu. Terkejut aku, bila melihat dalam kedai itu berhias cantik. Lampu-lampu neon berwarna-warni, bagaikan dalam kelab-kelab malam di bandar-bandar besar.
Semasa melangkah masuk loceng isyarat berbunyi, tanda ada pelanggan datang. Wanita-wanita pelacur yang sedang berehat, berbual dan tidur-tidur ayam pun dikejutkan. Mereka bangun dan duduk berbaris dalam cermin. Bagaikan patung permainan yang dipamerkan dalam almari.
“Tuan mahu yang mana? Boleh pilih!” Kata penjaganya kepadaku.
Aku pura-pura merenung dan menggelengkan kepala, seolah-olah dagangannya tidak baik.
“Kenapa?” Tanya penjaga itu.
“Mereka tahu cakap Melayu?” Aku bertanya.
“Tidak!” Jawabnya.
“Cakap Inggeris??” Aku bertanya lagi mencari alasan untuk tidak mahu. Penjaga itu bertanya kepada mereka dalam bahasa Thai, ada dua dari wanita-wanita itu mengangkat tangan. Berdebar juga dadaku takut ada yang tahu bahasa Inggeris, jadi aku terpaksa mencari alasan lain pula untuk tidak melanggani mereka…
Tapi katanya, “Yang itu boleh cakap Cina bukan cakap Inggeris.” Selamat aku. Aku pura-pura merungut, akhirnya keluar dari situ.
Sambil berjalan, kawanku pemandu motosikal sewa itu menjelaskan, “Sebenarnya puak-puak betina cari makan ni, bukan nak sangat kerja tu, mereka terkurung dalam cermin siang malam, tak boleh keluar.
Lainlah kalau ada pelanggan yang bawa keluar. Barulah bebas sikit, macam burung keluar dari sangkar. Barulah boleh lihat dunia bebas. Kadang-kadang ada yang cuba lari, tapi ditangkap semula oleh taukehnya.”
“Tapi, bagaimana boleh sampai sini kalau tidak dengan rela sendiri?” Aku minta penjelasan.
Dia terus bercerita dengan rasa terharu… “Pada suatu malam, aku terdengar suara ratap tangis dengan hibanya dari satu keluarga. Mereka datang dari jauh untuk menyerahkan kedua anak gadisnya menjadi pelacur di sini.
Mereka terpaksa serah untuk dapatkan pinjaman kira-kira RM10,000 dari taukeh pelacur itu. Sebagai bayar baliknya, 1/3 dari hasil pendapatan kerja anak gadisnya itu akan dipotong. 2/3 lagi, boleh guna sendiri atau bantu adik beradik di kampong.
Mereka bukan nak kerja macam ni, tetapi terpaksa! Kerana terlalu miskin dan sempit hidup. Kebanyakannya, didatangkan dari utara Bangkok seperti Chiang Mai, Chiang Rai dan lain-lain.”
“Berapa lamakah baru habis bayar hutang?”
“Bergantung pada perniagaan. Kalau maju, cepat le habis. Biasanya 4 atau 5 tahun. Lepas tu kalau nak sambung lagi pun boleh, jika masih ia muda, cantik dan kuat kerja. Tapi kalau dah layu, lembek… tak lakulah!” Dia terus bercerita, “Ada juga taukeh-taukeh perniagaan yang pergi menjelajah kampung-kampung utara Thai, janjikan kerja pendapatan lumayan seperti ini dan beri pinjam kepada mak bapa mereka. Di sana barulah boleh pilih yang cantik-cantik belaka.”
Tiba-tiba berselisih dengan kami di jalan raya beberapa bas melintas laju. Di dalamnya dipenuhi wanita muda. “Ke mana mereka dibawa pergi?” Aku tanya.
“Seminggu 2 kali mereka dibawa ke Hatyai untuk dirawat dari penyakit. Memang tempat macam ni mudah dijangkiti penyakit.
Kalau tidak dikawal ia boleh membimbang dan menakutkan pelancung luar untuk datang. Tiada pelancung luar bererti boleh menjejaskan pendapatan ekonomi negara.” Jelasnya macam pakar ekonomi.
Memang kerana ekonomi manusia boleh terjerumus ke lembah hina. Sanggup menjual anak kandungnya sendiri. Mana pejuang-pejuang hak asasi dan pembebasan wanita yang kononnya berjuang untuk kesejahteraan manusia-manusia seluruh dunia?
Di situlah perlunya negara yang berpaksikan agama dan akhlak, mampu memberikan kehidupan kepada rohani dan jasmani insan, sesuai dengan naluri dan tabii insan itu sendiri.
Catatan Perjalanan: www.ibnuhasyim.blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
0 ulasan:
Catat Ulasan