Social Icons

Isnin, 10 Oktober 2016

Keutamaan Mencintai Seseorang Kerana Allah

Keutamaan Mencintai Kerana Allah Dan Menganjurkan Sikap Sedemikian, Juga Memberitahukannya Seseorang Kepada Orang Yang Dicintainya Bahawa Ia Mencintainya Dan Apa Yang Diucapkan Oleh Orang Yang Diberitahu Sedemikian Itu

Allah Ta’ala berfirman:

“Muhammad adalah Rasulullah dan orang-orang yang beserta Muhammad itu mempunyai sikap keras (tegas) terhadap kaum kafir, tetapi saling kasih-mengasihi antara sesama kaum mu’minin…….” Surah al-Fath : 29

Allah Ta’ala berfirman pula:

“Dan orang-orang yang telah lebih dulu dari mereka bertempat tinggal dalam kampung – Madinah – serta beriman, mereka menunjukkan kasih-sayang kepada orang yang berpindah ke kampung mereka itu.” (al-Hasyr: 9)

Dari Anas r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya:

“Ada tiga perkara, barangsiapa yang tiga perkara itu ada di dalam diri seseorang, maka orang itu dapat merasakan manisnya keimanan iaitu: jikalau Allah dan RasulNya lebih dicintai olehnya daripada yang selain keduanya, jikalau seseorang itu mencintai orang lain dan tidak ada sebab kecintaannya itu melainkan kerana Allah, dan jikalau seseorang itu membenci untuk kembali kepada kekafiran setelah diselamatkan oleh Allah dari kekafiran itu, sebagaimana bencinya kalau dilemparkan ke dalam api neraka.” (Muttafaq ‘alaih)

Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya: “Ada tujuh macam orang yang akan dapat diberi naungan oleh Allah dalam naunganNya pada hari tiada naungan melainkan naunganNya (yakni pada hari kiamat), iaitu: imam – pemimpin atau kepala – yang adil, pemuda yang membesar (sejak kecil) dalam beribadat kepada Allah Azza wa jalla, seseorang yang hatinya tergantung kepada masjid-masjid, dua orang yang saling cinta-mencintai kerana Allah, keduanya berkumpul atas keadaan yang sedemikian serta berpisah pun demikian pula, seseorang Ielaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan serta kecantikan wajah, lalu ia berkata: “Sesungguhnya saya ini takut kepada Allah,” – ataupun sebaliknya yakni yang diajak itu ialah wanita oleh seorang Ielaki, seseorang yang bersedekah dengan suatu sedekah lalu menyembunyikan amalannya itu (tidak menampak-nampakkannya), sehingga dapat dikatakan bahawa tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tangan kanannya dan seseorang yang ingat kepada Allah di dalam keadaan sepi lalu melelehkan airmata dari kedua matanya.” (Muttafaq ‘alaih)

Dari Abu Hurairah r.a. pula, katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesungguhnya Allah Ta’ala berfirman pada hari kiamat: “Manakah orang-orang yang saling cinta-mencintai kerana keagunganKu? Pada hari ini mereka itu akan saya beri naungan pada hari tiada naungan melainkan naunganKu sendiri.” (Riwayat Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Demi Zat yang jiwaku ada di dalam genggaman kekuasaanNya, engkau semua tidak dapat masuk syurga sehingga engkau semua beriman dan engkau semua belum disebut beriman sehingga engkau semua saling cinta-mencintai. Sukakah engkau saya beri petunjuk pada sesuatu yang apabila itu engkau semua lakukan, maka engkau semua dapat saling cinta-mencintai? Sebarkanlah ucapan salam antara engkau semua.” (Riwayat Muslim)

Dari Hurairah r.a. pula dari Nabi s.a.w. "Bahawasanya ada seorang Ielaki berziarah kepada seorang saudaranya di suatu desa lain, kemudian Allah memerintah seorang malaikat untuk melindunginya di sepanjang jalan,” kemudian dihuraikannya Hadis itu sampai kepada sabdanya: “Sesungguhnya Allah itu mencintaimu sebagaimana engkau mencintai saudaramu itu kerana Allah.” (Riwayat Muslim)

Dari Albara’ bin ‘Azib radhiallahu’anhuma dari Nabi s.a.w. bahawasanya beliau bersabda mengenai golongan sahabat Anshar: “Tidak mencintai kaum Anshar itu melainkan orang mu’min dan tidak membenci mereka itu melainkan orang munafiq; barangsiapa yang mencintai mereka, maka ia dicintai oleh Allah dan barangsiapa membenci mereka, maka mereka dibenci oleh Allah.” (Muttafaq ‘alaih)

Dari Mu’az r.a., katanya: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Allah ‘Azzawajalla berfirman:

“Orang-orang yang saling cinta-mencintai kerana keagunganKu, maka mereka itu akan memiliki mimbar-mimbar dari cahaya yang diinginkan pula oleh para nabi dan para syahid (mati dalam peperangan untuk membela agama Allah).”

Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.

Dari Abu ldris al-Khawlani rahimahullah, katanya: “Saya memasuki masjid Damsyik, tiba-tiba di situ ada seorang pemuda yang bercahaya giginya – yakni suka sekali tersenyum – dan sekalian manusia besertanya. Jikalau orang-orang itu berselisih mengenai sesuatu hal, mereka lalu menyerahkan persoalan itu kepadanya dan mereka mengeluarkan huraian dari pendapatnya, kemudian saya bertanya mengenai dirinya, lalu menerima jawapan: “Ini adalah Mu’az bin Jabal. Setelah hari esoknya, saya datang pagi-pagi sekali, lalu saya dapati Mu’az sudah mendahului saya datang paginya. Ia saya temui sedang bersembahyang. Kemudian saya menantikannya sehingga ia menyelesaikan shalatnya. Seterusnya saya pun mendatanginya dari arah mukanya, lalu saya mengucapkan salam padanya, kemudian saya berkata: “Demi Allah, sesungguhnya saya ini mencintaimu kerana Allah.” Ia berkata: “Kerana Allahkah?” Saya menjawab: “Ya, kerana Allah.” Ia berkata: “Kerana Allah?” Saya menjawab: “Ya, kerana Allah.” Mu’az lalu mengambil belitan selendangku, kemudian menarik tubuhku kepadanya, terus berkata: “Bergembiralah engkau, kerana sesungguhnya saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman – dalam Hadis Qudsi: “Wajiblah kecintaanKu itu kepada orang-orang yang saling cinta-mencintai kerana Aku, duduk-duduk bersama kerana Aku, saling ziarah-menziarahi kerana Aku dan saling hadiah-menghadiahi kerana Aku.”

Hadis shahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik dalam Almuwaththa’ dengan isnadnya yang shahih.

Sabda Nabi s.a.w.: Hajartu ertinya berpagi-pagi sekali mendatangi, ini adalah dengan syaddahnya jim. Sabdanya s.a.w.: Aallahi, faqultu: Allah. Yang pertama dengan hamzah mamdudah untuk istifham – pertanyaan, sedang yang kedua tanpa mad.

Dari Abu Karimah iaitu al-Miqdad – di sebagian naskhah disebut al-Miqdam-bin Ma’dikariba r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya:

“Jikalau seseorang itu mencintai saudaranya, maka hendaklah memberitahukan pada saudaranya itu bahawa ia mencintainya.”

Diriwayatkan oleh Imam-imam Abu Dawud dan Tirmidzi dan Tirmidzi mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.

Dari Mu’az r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. mengambil tangannya dan bersabda:

“Hai Mu’az, demi Allah, sesungguhnya saya ini mencintaimu. Kemudian saya hendak berwasiat padamu hai Mu’az, iaitu: Janganlah setiap selesai shalat meninggalkan bacaan – yang ertinya: Ya Allah, berilah saya pertolongan untuk tetap mengingatMu serta bersyukur padaMu, juga berilah saya pertolongan untuk Beribadat yang sebaik-baiknya padaMu.”

Hadis shahih yang diriwayatkan oleh Imam-imam Abu Dawud dan Nasa’i dengan isnad shahih.

Dari Anas r.a. bahawasanya ada seorang lelaki yang berada di sisi Nabi s.a.w., lalu ada seorang lelaki lain berjalan melaluinya, lalu orang yang di dekat beliau berkata: “Ya Rasulullah, sesungguhnya saya mencintai orang ini.” Nabi s.a.w. bertanya: “Adakah engkau sudah memberitahukan padanya tentang itu?” Ia menjawab: “Tidak – belum saya beritahukan.” Nabi s.a.w. bersabda: “Beritahukanlah padanya.” Orang yang bersama beliau s.a.w. lalu menyusul orang yang melaluinya tadi, lalu berkata: “Sesungguhnya saya mencintaimu.” Orang itu lalu menjawab: “Engkau juga dicintai oleh Allah yang kerana Allah itulah engkau mencintai aku.”

Diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud dengan isnad shahih.

KREDIT SUMBER

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text