Social Icons

Ahad, 4 Jun 2017

Hikmah Diturunkan Al-Quran Di Bulan Ramdhan


Bulan Ramadhan bulan bertuah, b0ulan ibadah bulan mujahadah, bulan rahmat bulan maghfirah, bulan Al-Quran dan Lailatul Qadar, besarkan Ramadhan dengan puasa, di waktu malam tambahkan ibadah, bacalah Al-Quran banyakkan sedekah, terawih kerjakan walaupun sunat...

Mari kita ikuti ayat Al Quran yang ada hubungkait dengan bulan Ramadhan. Mafhum ayat Al Quran itu lebih kurang begini: Bulan Ramadhan bulan yang mana diturunkan padanya Al Quran untuk jadi petunjuk kepada manusia dan untuk menunjukkan mukjizat-mukjizat yang membuktikan kebenaran itu. Dan untuk membuktikan bahawa Al Quran adalah pemisah antara yang hak dengan yang batil.

Dalam ayat ini baru kita tahu Ramadhan ini besar, agung dan di bulan agung ini Tuhan datangkan ibu ilmu iaitu Al Quran, ilmu yang tidak pernah disentuh lagi oleh manusia, belum ada manusia campur tangan samada yang sebelum mahu pun sesudah. Dia merupakan barang ‘pure’ dari Tuhan untuk manusia. Tuhan tak kata untuk orang beriman sebab waktu Quran mula diturunkan mana ada orang beriman, sebab itu diseru untuk manusia yang belum beriman. 

Bila datangnya Al Quran manusia yang tak beriman terus jadi beriman. Kalau begitu apa yang kita faham kedatangan setiap kali bulan Al Quran bermakna kedatangan ilmu dari Tuhan. Setiap kali Ramadhan datang, setiap kali pula umat Islam yang mungkin di bulan-bulan lain tak ada kesempatan untuk mengkaji ilmu Al Quran maka diperuntukkan satu bulan untuk mengkaji ilmu Al Quran. 

Oleh sebab itu Tuhan jadikan bulan Ramadhan bulan puasa. Bila berpuasa ikut sistem Tuhan, bukan sekadar tak makan tak minum tapi nafsu yang berpuasa, fikiran yang berpuasa, jiwa yang berpuasa, perasaan yang berpuasa. Orang itu saja yang boleh jadikan sebulan itu dia dapat ilmu Al Quran yang banyak, sebab puasa itu, seperti mana yang digambarkan tadi. Bukan tak makan, tak minum tapi boleh menerima ilmu wahyu, mudah boleh terima ilmu, mudah faham. 

Itu untungnya disuruh berpuasa. Sebab jiwa yang bersih dari nafsu dan akal yang bersih dari nafsu sangat mudah memahami ilmu Al Quran, itulah hikmahnya digandingkan Al Quran dengan puasa. Jadi kalau puasa ikut sistem yang sebenar, kemudian kita belajar Al Quran, sembahyang sebulan Ramadhan ikut sistem yang sebenar, ertinya kita masuk belajar di universiti Tuhan yang ilmunya sangat banyak, itulah maksudnya. 

Tapi pelik setiap kali Ramadhan datang kita tak dapat ilmu Al Quran. Setiap kali Ramadhan datang, kita tak dapat ilmu wahyu. Inikan sudah melanggar sistem, sudah jauh dari apa yang dikehendaki oleh Tuhan seolah-olahnya bila Ramadhan fikir nak makan sedap, ini konsep Ramadhan sudah beralih.

Yang baik sikit nakkan fadhilat yang banyak. Itu baik sikit tapi itu pun dah terseleweng. Padahal kedatangan Ramadhan nak canai hati supaya datang ilmu Al Quran, dikaji, di tadabbur, mudah difaham, mudah dihayati, mudah diamalkan. Pernahkah tak kita rasa bila Ramadhan datang, itu yang kita target dan jadi cita-cita kita. Tak pernah. Jangan-jangan baru hari ini kita dengar. 

Padahal Ramadhan ertinya masuk universiti Tuhan nak terima ilmu dari 30juz Quran, 6666 ayat dan 114 surah. Tuhan ada berkata maksudnya ilmu Tuhan itu sebanyak yang ada dalam Al Quran. Kalau ditulis dengan dakwat hingga kering dakwat seluruh dunia, datangkan dakwat sebanyak itu lagi, takkan habis ilmu Tuhan yang tersirat dalam Al Quran.kalau itulah yang digambarkan oleh Tuhan, tak terasa apa-apa pun Ramadhan kita? 

Tak rasa nak berhadapan dengan sesuatu yang besar? padahal Tuhan berkata, kalau kering dakwat di dunia ini kemudian didatangkan dakwat sebanyak itu juga pun tak habis ilmu Tuhan. Kalau kita nak berhadapan dengan Ramadhan kita berfikir begini jadilah. Sebab ilmu Tuhan itu hebat, tak mungkin ditarget semua, kalau sedikit jadilah, maksud sedikit diatas banyak. Kalau sedikit dari seribu atau sejuta itukan banyak. Kalau sedikit dari satu itu memanglah sedikit, ini tidak yang kita maksud sedikit dari sejuta itu nisbah tapi itu banyak. 

Tapi pernahkah kita berfikir begini? Inilah generasi umat Islam. Bulan ilmu tak terasa nak berhadapan dengan ilmu, terasa nak berhadapan dengan lapar sahaja. Waktu lapar, makan banyak-banyak Waktu Maghrib, terus rehat-rehat sekejap baru sembahyang. Kan dah jauh dari konsep puasa sebenar. Siapa ajar ini semua? Ini yang kita hairan. 

Bulan Ramadan bulan ilmu. Tapi dah 20 tahun berpuasa tak dapat ilmu. Baca juga Al quran bertambahkah ilmu? Padahal Al Quran itu kalau ambil kulit pun jadilah itupun kalau nisbah benda. Kalau ilmunya ibarat barang berketul tak larat nak bawa. 

Di dalam bulan Ramadhan juga berlaku Nuzul Quran di mana turunnya Al-Quran seperti diceritakan oleh Tuhan dalam Quran itu sendiri, Surah Al-Qadr, ayat 1, maksudnya: "Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam Al-Qadr (kemuliaan)". 

Dalam ayat yang lain, Tuhan memberitahu turunnya Al-Quran itu ialah pada bulan Ramadhan. "Bulan Ramadhan, bulan yang diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia."(Al-Baqarah:185) Maksud daripada nuzul Quran ini iaitu turunnya Al-Quran ialah Al-Quran itu diturunkan sekaligus pada malam "lailatul Qadar", dari Loh Mahfuz ke langit ke-7, langit yang hampir dgn dunia (Baitul Izzah). 

Kemudian daripada itu, Al-Quran itu diturunkan secara beransur-ansur selama sekitar 23 tahun kepada Rasulullah oleh malaikat Jibril dalam bentuk wahyu. Ayat yang pertama diturunkan ialah ayat 1-5 dalam surah Al-Alaq. Ada pendapat yang menyebut turunnya Al-Quran pada malam 17 Ramadhan. Pendapat lain berhujah, ia turun pada malam 24 Ramadhan. Jelas kepada kita, bulan Ramadhan dengan Al-Quran seperti tidak dapat dipisahkan. 

Disebut juga, Ramadhan itu bulan Al-Quran. Justeru, adalah menjadi satu tuntutan kepada kita untuk membaca Al-Quran di bulan Ramadhan. "Baca" di sini boleh dikaitkan dengan 2 ayat dalam Quran. Pertama, maksud ayat, "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan" (Al-Alaq:1) Kedua, maksud ayat, "Dan apabila kamu membaca Al-Quran, nescaya kami adakan pada kamu "hijaban mastura" (pendinding yang berlapis-lapis)" (Al-Isra:45) 

Tuntutan daripada ayat-ayat di atas sebenarnya bukan sekadar baca. Lebih-lebih lagi kepada kita, kalau tak faham bahasa Arab, baca Al-Quran tak memberi makna apa-apa. 

Oleh itu mari kita faham tuntutan Al-Quran, iaitu: 
1) Baca Al-Quran, selepas daripada itu; 
2) Faham Al-Quran 
3) Hayati dan amalkan 
4) Sampaikan 
5) Perjuangkan 

Peristiwa Nuzul Quran di bulan Ramadhan ini bukan sekadar menjadi catatan sejarah. Al-Quran adalah panduan hidup kita. Gunakanlah masa sebaiknya di bulan Ramadhan untuk memenuhi tuntutan Al-Quran seperti yang disebut di atas. Jangan sekadar membacanya. Walaupun mendapat pahala, ia tidak memberi kesan apa-apa pada peribadi kita. Kita tak dapat manfaat daripada Al-Quran. 

Sudah lama kita membaca Al-Quran tetapi Al-Quran tidak mendidik kita. Bahkan Al-Quran tidak mengubah diri kita menjadi orang yang cinta dan takut Tuhan. Moga-moga ini menjadi iktibar untuk kita bersama. 

Lailatul Qadar pula adalah hadiah dari Tuhan kepada hambaNya yang berjaya di bulan Ramadhan. Ganjarannya pahala menyamai ibadah 1000 bulan. Tidak semua yang akan mendapat hadiah tersebut. Hadiah hanya di beri kepada yang berjaya. Macam orang yang menduduki peperiksaan, tak semua akan berjaya. Dan hanya yang berjaya sahaja diberi hadiah. Samalah di sini untuk yang beribadah di bulan Ramadhan. Tak semua akan mendapat hadiah Lailatul Qadr. Ia hanya diberi kepada mereka yang berjaya sepanjang Ramadhan. 

Ramai orang beribadah; puasa, solat, baca Quran, sedekah dan terawih, mengejar lailatul Qadar tetapi mereka tertipu. Mereka menyangka mereka akan dapat hadiah. Tidak, kerana hadiah hanya kepada orang yang berjaya. Ia adalah rahmat Tuhan kepada orang yang berjaya baiki diri. Iaitu orang yang ibadah mereka ada roh. Bukan sekadar lahir beribadah, tetapi ianya dihayati dan dijiwai. 

Ibadah mereka berbuah yakni mendatangkan kesan kepada peribadi seterusnya meningkatkan taqwa. Jadi, janganlah kita mengejar lailatul Qadar seolah-olah kita dah dapat hadiah tersebut. Belum lagi. Berbuatlah ibadah kerana Tuhan. Soal hadiah jangan difikirkan. Itu hanya fadhilat. Itu hak Tuhan menentukan. Takut-takut nanti kita beribadah bukan kerana Tuhan tetapi kerana nak dapat hadiah Tuhan. Mana lebih besar? Tuhan atau hadiahNya? 

Oleh itu sesama kita merenung apakah selama ini kita sudah berbuat semata-mata kerana Tuhan? Apakah kita boleh berjaya dalam melalui Ramadhan di tahun ini?

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text