Social Icons

Isnin, 16 September 2013

Aduhai Para Pemimpin!! Bertanggungjawablah Dengan Amanah Kepimpinan Yang Tuhan Anugerahkan!!

Setiap kali memandu di sekitar Lembah Klang, Pak Lang sentiasa merasa sayu di hati. Deretan kenderaan yang 'macet' atau jem sepanjang jalan sangat mengharukan hati. Pak Lang bayangkan warga kota setiap hari melalui situasi yang sama. Mereka menempuhnya bertahun-tahun - melalui jalan yang sama setiap hari.

Keluar sebaik solat Subuh juga menempuh macet, pulangnya selepas maghrib pun tetap juga macet. Jika hari hujan, alamat bergandalah masa yang diperlukan menempuh kesesakan sebelum sampai ke rumah. Keluar rumah di awal pagi tidak sempat bersama anak-anak, pulangnya juga anak-anak sudah tidur pula. Itulah nasib warga kota.  

Tentulah sangat menyulitkan dan menyusahkan. Deritanya jiwa menanggung itu semua. Secara saikologi situasi ini sangat mendatangkan tekanan perasaan pada semua yang terlibat. Tidak banyak, sedikit pasti ada 'stress' yang dijana daripada keadaan sebegini. Hati yang tidak tenteram, pulang ke rumah bergaduh atau bermasam muka pula suami isteri. Aduh!! derita jiwa bertimpa-timpa.

Jalanraya yang ada pula terlalu jauh dari kualiti yang diharapkan. Terasa sangat betapa terlalu jauhnya kita tertinggal berbanding negara jiran. Jalan yang ada berlubang sana sini. Keadaannya pecah-pecah, berlopak-lopak dan menggoyangkan kenderaan. Itulah dhaifnya negara kita. Dan ini semua di dalam Bandaraya Kuala Lumpur. Belum lagi kita tinjau keadaan jalan di luar bandar. Sangatlah mudah kita temui kondisi jalan yang lebih teruk. Seolah-olah kita baru hendak merdeka.

Menghampiri tol juga macet semakin menjadi-jadi. Sepatutnya jalan bertol itu bebas dari macet. Sekalipun bukan hari-hari kebesaran yang memberi ruang cuti umum yang panjang, jalan bertol juga menempuh macet yang serupa. Paling tidak, terpaksa bersesak untuk melepasi 'Smart Tag atau Touch N Go'. Jika laluan tunai sesaknya menunggu sehingga satu kilometer. Sedangkan jalan tol patut melegakan pengguna tetapi malah lebuh raya bertol juga sangat menyusahkan pengguna.

Tidak dinafikan adanya projek membaiki jalan atau menaik taraf jalan menjadi punca jalan macet. Ada pula pembinaan landasan 'LRT' dan sebagainya yang mengakibatkan berlakunya kesesakan jalan. Biar apa pun alasan, kerajaan yang katanya mendahulukan rakyat mestilah mengambil langkah proaktif bagi membuktikan sememangnya kerajaan sangat mendahulukan rakyat. 

Sebab itu ada tafsiran di kalangan rakyat bawahan yang mentertawakan slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.' dengan berkata bahawa; 'Dahulukan Rakyat Untuk Menanggung Semua Kesusahan....Apa pun itulah yang mampu diluahkan rakyat yang menanggung kepedihan...

Maka rakyat kekal menanggung susah tanpa pembelaan yang sewajarnya. Rata-rata rakyat dibiarkan menerima nasib malang hasil kerakusan mengaut kekayaan oleh pihak lain. Banjir kilat akibat projek pembangunan yang tidak diselenggara dengan baik adalah contoh biasa dan mudah dibuktikan. Jalan berlubang dikorek kontraktor atau bukit yang ditarah menjadi punca kematian rakyat hasil terjatuh atau terjunam atau tertimbus adalah insiden yang sangat lumrah. 

Dalam banyak hal, kemalangan itu tidak patut terjadi tetapi berlaku kerana kelalaian pihak tertentu melaksanakan prosedur sepatutnya. Tetapi seperti biasa, nyawa seorang rakyat biasa hanyalah secebis kuman yang tidak perlu digusarkan. Biarkanlah simati dengan 'perjalanannya kepada Tuhan'. dan biarkanlah anak-anak dan isteri menangisi kematian tunggak kehidupan mereka. Para pemimpin tidak sempat memperdulikannya. Banyak lagi urusan mengaut harta negara yang belum dilangsaikan - setidak-tidaknya ketika masih menjadi wakil rakyat. 

Jika kita mengutip statistik kematian rakyat biasa di seluruh negara dan jika kajian terperinci dibuat, kita akan dapati, banyaknya kemalangan yang boleh dielakkan jika kerajaan lebih serius mengutamakan kehendak dan keperluan rakyat. Tetapi siapa kita untuk pemimpin mendengar keluhan kita. Kita hanya rakyat murahan tanpa harga dan nilai apa-apa. Pemimpin hanya mengumpan kita dengan janji-janji murahan memujuk kita untuk mengundi mereka lima tahun sekali. Itupun hanya janji. 

Pemberian apa pun kepada kita hanyalah sandiwara mengelabui mata kita. Sebodoh-bodoh kita, kita sedar kita sedang ditipu mereka. Buktinya selepas pilihanraya, tiada lagi wakil rakyat mengunjungi kita. Tidak ada lagi skuad sayang atau pemimpin prihatin berjiwa rakyat turun meneruskan usaha mengenal pasti masalah kita. Apa yang sedang kita tanggung - atas apa situasi pun akan kekal bertahun-tahun sehingga pilihanraya akan datang. 

Dalam hal ini naluri Pak Lang tetap yakin dengan kesungguhan Dato' Seri Najib selaku Perdana Menteri. Beliau berhempas pulas cuba berbuat membuktikan gagasannya dalam membela rakyat dapat menjadi realiti dan meratai semua kelompok rakyat. Hasrat beliau tidak lain tentulah setiap orang rakyat menerima limpahan nikmat kekayaan negara. 

Malangnya apa yang Pak Lang nampak, beliau sedang keseorangan. Kalau pun ada beberapa orang yang lain, ianya boleh dibilang dengan jari. Ya! ramai yang lain sedang tidak memperdulikan wawasan sucinya untuk membela rakyat. Orang lain hanya berbuat menunjuk-nunjuk. Orang lain hanya mengambil kesempatan di atas apa jua peluang yang muncul. Secepat mana peluang melintas di depan mata secepat itu pulalah mereka menyambarnya!! Peduli apa dengan nasib rakyat!! Peduli apa dengan hasrat PM!!

Sebab itu dalam sibuk-sibuk UMNO akan mengadakan pemilihan kepimpinannya tidak lama lagi, kita kena perhatikan siapakah tokoh yang akan menjadi pilihan rakyat. Harapannya begitulah kerana peluang mengundi pemimpin UMNO kali ini di tangan hampir 150,000 perwakilan!! Tentunya mereka yang terpilih nanti adalah mereka yang dekat di hati rakyat bawahan. Rakyat sangat merindui pemimpin yang mahu turun ke bawah setiap masa dan ketika. Walau sesibuk manapun tugas yang digalas, jadikan rutin menyelami masalah rakyat sebagai bukti janji yang mahu ditepati. 

Dato Seri Najib mesti memastikan apa yang diumumkannya benar-benar larut sampai ke bawah - sampai kepada rakyat bawahan yang menjadi sasaran. Buatlah apa-apa pengumuman sebesar mana sekalipun tetapi pastikan nikmatnya dapat dirasai oleh rakyat yang ternganga menanti di bawah.

Dua hari lepas Dato' Seri Najib telah mengumumkan langkah untuk memperkasa ekonomi bumiputera dalam bentuk dana dan latihan yang akan disalur dan digerakkan menerusi pelbagai agensi seperti TEKUN, IKBN, JPA, MARA, UiTM, Yayasan Wakaf Malaysia dan banyak lagi, yang menelan belanja ratusan juta ringgit.

Pak Lang - secara peribadi mengikuti ucapan PM tersebut secara separuh hati. Jauh di sudut hati, ada ketidakyakinan apa yang diwar-warkan itu benar-benar akan sampai ke kelompok sasaran. Yang pasti - berdasarkan pengalaman yang lalu, rakyat hanya dapat menghirup kuah sedangkan isinya sudah disedut orang yang lebih atas. Allah!! Hanya lepada Tuhanlah tempat rakyat hendak mengadu. 

Rakyat sedang menunggu. hanya pemimpin yang benar-benar berjiwa besar dan berhati mulia sahaja yang akan mampu melayani keperluan rakyatnya. Semoga Allah menyelamatkan kita semua!!! Wahai para pemimpin! Bertanggungjawablah!!!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text