Sepanjang hidup, kita akan dapati ramai manusia terbelenggu dengan hal-hal negatif. Pemikiran, perasaan, persepsi, penglihatan, pendengaran, perbuatan dan percakapan semuanya berunsur negatif. Berdepan dengan kelompok sebegini, kita terasa kehidupan di dunia ini jadi sempit, 'panas' dan sulit.
Bayangkan kelompok negatif lebih suka mengkritik membuta tuli daripada mengkaji dan menganalisa terlebih dahulu. Sangka baik adalah positif. Ianya akan mendorong untuk tidak cepat menghukum dan tidak cepat melatah.
Orang positif akan tenang dan suka bertolak ansur, bekerjasama dan berlapang dada. Orang negatif memilih untuk buruk sangka, hasad dengki, bertengkar dan bergaduh. Mereka lebih cenderung 'mencari fasal' daripada mencari solusi.
Mereka suka dan terbiasa dengan hal negatif. Semuanya diberi penilaian negatif. Ruang untuk tenang dan rasa lapang dada tidak berlaku. Dan ianya akan terkena pada siapa sahaja yang berada di sekitar diri mereka. Jika ada anak-anak kecil, pada anak-anak ini pun akan terjangkit virus negatif ini.
Secara semula jadi, ibubapa yang negatif akan mencetak ciri negatif mereka pada anak-anak mereka. Itulah akibanya kalau mereka sudah terasuh dengan cara negatif. Mereka akan mencetak siapa sahaja di bawah mereka dengan acuan negatif.
Inilah yang begitu menguasai kebanyakan individu. Ada yang di tahap kritikal. Ada yang masih oleh dirawat. Itupun jika bertemu dengan orang yang mampu membantu. Jika sepanjang hidup tidak bertemu dengan orrang yang boleh menyelesaikan masalah ini, sampai matilah situasi ini kekal dalam dirinya
Ramai yang tidak sedar, mengekalkan hal-hal yang negatif ini adalah satu dosa. Negatif adalah maksiat dan penderhakaan kepada Allah. Ianya membina kerosakan dalaman diri sendiri dan berupaya merosakkan hubungan dengan sesama insan.
Sebenarnya hal negatif membawa maksud tidak dapat menerima ketentuan Tuhan seadanya. Ada saja hal yang dipandang tidak elok, tidak sesuai, tidak padan, tidak layak dan sebagainya. Tafsiran atau kefahaman terhadap sesuatu itu menggambarkan hati tidak dapat menerima apa yang Allah lakukan. Mulut mengkritik orang lain tetapi hakikat sebenar ialah 'mengkritik Allah'.
Orang negatif terlalu ramai. Mereka wujud dan hidup di sekeliling kita. Mereka berinteraksi dengan kita setiap hari dan setiap ketika. Watak dan ciri negatif memang mampu meruntuhkan semangat orang lain. Mereka ibarat cuka yang dituang ke dalam minuman yang manis lazat. Sedikit pun sudah cukup merosakkan yang lain.
Sebab itu kalau kita hidup dalam kelompok yang negatif, usahakanlah agar situasi itu berubah. Ajak dan dorong mereka yang dalam kelompok itu untuk jadi manusia positif. Kalau kita mengepalai sesebuah organisasi, tanggung jawab kita ialah mengubah manusia negatif kepada positif. Pastinya ianya bukan mudah.
Ramai manusia positif larikan diri daripada bergaul dengan manusia negatif. Aura negatif yang merosakkan itu sangat mahu dijauhi.
Orang negatif akan menjalani kehidupan dengan suram dan muram. Mereka kehilangan semangat, optimis dan keyakinan diri. Di dalam diri mereka, mereka sendiri membina rangkaian alasan untuk terus negatif yang akibatnya mereka tidak akan berubah. Mereka kekal merosot dan semakin jatuh. Untuk bangkit dan menjadi manusia luar biasa jauh sekali.
Di dalam masyarakat Islam, sepatutnya orang beriman itu fikirannya, hati jiwanya, percakapannya dan perbuatannya adalah positif. Apa yang kita fikir, kita rasa, kita cakap dan kita buat adalah doa. Hakikatnya itulah sangkaan kita terhadap Allah. Bukankah Allah itu mengikut apa yang hamba sangkakan terhadapNya?
Manusia yang kuat hubungan hati dengan Allah adalah manusia pilihan. Mereka adalah manusia luar biasa. Semakin takut hati mereka dengan Allah, semakin luar biasalah keajaiban yang tercetus di tangan mereka. Bukankah itu semua ciri yang ada pada Rasulullah saw, para sahabat dan salafus soleh?
Mengubah seseorang yang sudah lama sebati dengan perkara negatif bukanlah mudah. Ianya memerlukan pimpinan dan bimbingan berterusan. Perjalanan kehidupan akan menempuh pelbagai elemen yang menguji keimanan kita dengan Allah.
Di sinilah perlunya manusia kepada murabbi. Hanya murabbi - yang tahu menyingkap rahsia dan hikmah pada setiap kejadian. Dan hanya murabbi yang arif dalam mendidik hati untuk kekal positif dengan Allah dan sesama insan.
0 ulasan:
Catat Ulasan