Social Icons

Isnin, 6 April 2015

Baru Kita Tahu Kenapa Ramai Ibubapa Tidak Suka Televisyen!!

Ibubapa yang cerdik - biasanya golongan profesional, sudah lama tahu kesan negatif televisyen terhadap anak-anak. Itu baru televisyen, belum lagi dilihat pada gajet elektronik yang berbagai. Semuanya berupaya memberi kesan negatif jika digunakan tanpa kesedaran dan panduan. 

Sebenarnya televisyen bukanlah ancaman utama sekarang kerana gajet sudah mula mengambil alih keasyikan anak-anak dan remaja. Gajet sudah 'berjaya' 'mengurung' anak-anak di bilik masing-masing. Gajet menjadikan anak-anak sudah mula berubah dan akan terus berubah. 

Walau bagaimana pun televisyen merupakan peralatan rumah yang dianggap 'wajib ada' di setiap rumah. Bahaya dan unsur negatifnya diakui tetapi untuk berpisah dengan televisyen - suatu yang mustahil. Mari baca kenapa televisyen berupaya merosakkan anak-anak!! Nanti bolehlah di kaitkan kerosakan serupa pada gajet elektronik. Tulisan berikut Pak Lang dapatkan daripada Saudara ZulZaidi. Tulisannya menarik dan membongkar persoalan ini secara jelas. Semoga ianya menyedarkan kita semua.

Menjejaskan Prestasi Akademik Dan Pembacaan Lancar

Rancangan kanak-kanak dipertontonkan kepada sicilik pada “Golden Time” kanak-kanak iaitu diantara jam 2 petang sehingga 8 malam. “Golden Time” adalah waktu yang sesuai dan sewajarnya untuk sicilik menyiapkan kerja sekolah, membaca bacaan ilmiah untuk melancarkan pembacaan, belajar mengaji, riadah untuk menyihatkan tubuh badan dan masa untuk menjana kreativiti sicilik. 

Tetapi waktu-waktu ini telah digunakan oleh sicilik untuk menonton televesyen tanpa rasa rugi. Menurut laporan 1994 dari Jabatan Pendidikan Amerika Syarikat, pencapaian akademik jatuh ketara bagi kanak-kanak yang menonton lebih daripada 10 jam seminggu. 

Masa 10 jam seminggu ini jika digandakan selama setahun jauh lebih banyak dengan masa seorang penuntut Ijazah Sarjana Muda menghabiskan jumlah jam kredit untuk menjadi graduan. Perkara ini perlulah difikirkan oleh ibu bapa dan perlu dititikberatkan untuk menjana generasi mendatang.

Melalui pembacaan, otak sicilik berfungsi semaksima mungkin untuk membayang dan menganalisis apa yang dibaca dan ia juga memerlukan bantuan ibu bapa. Penulis bertanya kepada pembaca artikel sekelian, pernah tidak anak anda membaca dalam keadaan merangkak dan bertanya sesuatu kepada anda? 

Contohnya anak anda mengeja “ L O R I “kemudian bertanya “ibu! apa itu lori ?” Pastinya pertanyaan itu telah menjana kecerdasan otak kanak-kanak itu untuk menganalisi perkataan yang disebut dan cuba membayangkan apa itu lori.

Menurut Dr Jerre Levy Pakar Perkembangan Hemisfera Otak di Universiti Chicago telah menyatakan “ otak direka bagi memenuhi cabaran-cabaran kognitif. Ia seperti otot: jika anda tidak membuat latihan ia akan lemah. 

Jika tidak melatih otak anda, ia juga akan lemah”. Kemahiran bahasa boleh dirangsang melalui pembacaan dan juga perhubungan dua hala lebih-lebih lagi keluarga iaitu ibu bapa bukannya menonton televisyen. Menonton televisyen adalah proses interaksi sehala sahaja iaitu televisyen menayangkan rancangan dan sicilik sibuk menonton tanpa berfikir dan tidak kreatif.

Menurut Dr Patti Valkenburg dan Dr Tom Van De Voort dari Pusat Kajian Media Kanak-Kanak di Leiden, Belanda, yang telah meneliti semua kajian yang dijalankan dalam tempoh 40 tahun. 

Kajian-kajian itu meneliti perbezaan dalam daya imaginasi kreatif kanak-kanak yang di rumah mempunyai televisyen berbanding kanak-kanak yang tidak mempunyai televisyen [petikan Buku Kesan TV Terhadap Perkembangan Anak Anda Terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang]. 

Contohnya anda melihat anak anda sibuk bermain dengan sebatang pen. Pastinya anda tertarik bahawa sicilik menggunakan hanya sebatang pen dengan banyak cara antaranya menulis, menconteng dan ada juga yang menganggap ia adalah “microphone” untuk menyanyi. Bukankah itu tandanya otak sicilik telah digunakan untuk menjana kreativiti?

Mempertontonkan Unsur Keganasan

Kanak-kanak lebih banyak terdedah kepada unsur keganasan. Tidak kita sedar bahawa kebanyakan cerita kartun yang dipertonton kepada sicilik di dunia global ini mempunyai unsur-unsur ganas. Penulis yakin jika anak anda menonton rancangan Ultraman pasti mulut anak ada akan menyebut perkataan “BUNUH”. 

Anak anda akan berkata “Ultraman bunuh raksasa itu” - bukankah itu merupakan unsur keganasan tanpa kita sedari?. Keganasan di televisyen adalah terlalu banyak berbanding dengan dunia realiti kerana televesyen dapat menyediakan adegan-adegan bunuh, pukul memukul, menembak, menampar, menjerit dan sebagainya yang boleh diistilahkan sebagai ganas. 

Unsur ini jika tidak dibendung mendatangkan mudarat yang besar pada emosi kanak-kanak dalam kehidupan. Ada juga bila ibu menyuruh sicilik melakukan apa-apa kerja, lalu sicilik naik angin dan berkata “kalau ibu suruh lagi, adik fire ibu “. Bukankan itu satu pembentukan sahsiah yang merucing dan kebejatan yang tidak sepatutnya berlaku.

Mempertontonkan Unsur seks

Rancangan yang dipertontonkan kepada kanak-kanak seperti kartun yang mempunyai imej-imej seksi dan berunsurkan seks. Jika si hero dalam rancangan televesyen mempunyai imej ganas, si heroin pula mempunyai imej seksi. Imej seksi ini menampakkan bentuk atau lekuk-lekuk tubuh wanita yang sepatutnya dijauhi oleh kanak-kanak? 

Babak-babak cinta, cium dan tidur bersama adalah babak yang menjadikan sicilik terlalu cepat matang, bukan matang dengan perkara positif, tetapi matang dengan perkara negatif. Ibrahim M.Hefzallah dalam bukunya Critical Viewing of Televisyen menyatakan televisyen memaparkan hubungan seks yang berulangkali. [petikan Buku Kesan TV Terhadap Perkembangan Anak Anda Terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang].

Seks yang biasa ditunjukkan bukan hanya dalam cerita kartun tetapi cerita realiti juga yang mana unsur-unsur cinta si hero dan heroin telah berakhir di ranjang katil untuk menunjukkan bahawa itu adalah tanda cinta sejati. Perkara ini jika setiasa berulang dalam kehidupan sicilik ia akan mengangap ia adalah perkara lumrah dan biasa.

Pembaziran

Dalam buku “The Overspent American”, Pakar Ekonomi Harvard, Juliet Schor menegaskan lebih banyak seseorang menonton televesyen, lebih banyak ia berbelanja. [petikan Buku Kesan Tv Terhadap Perkembangan Anak Anda Terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang].

Dua benda yang menjadikan tontonan televesyen ini dikatakan membazirkan bagi penulis adalah “fun” and “fashion” dikalangan kanak-kanak. Bagi kanak-kanak lelaki apabila selepas melihat rancangan kegemaran mereka pasti keinginan mereka membuak-buak untuk membeli alatan-alatan yang kurang bermanfaat yang ada kaitan dengan rancangan yang ditonton. 

Contohnya mainan-mainan seperti robot, senapang dan kad-kad mainan yang mempunyai imej hero mereka. Bagi kanak-kanak perempuan patung-patung, t-shirt atau Costum dan sebagainya yang memaparkan imej heroin yang disukai. Sicilik sanggup untuk bermogok kepada ibu pada sekiranya tidak membeli peralatan hiburan ini. Bukankah ia sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

Penulis merasakan ibu bapa perlu memikirkan keperluan sicilik, jika ia dianggap keperluan yang mampu merangsang minda sicilik tanpa ada unsur negatif, penulis berpendapat itu boleh dipertimbangkan, kerana bukan semua perkara itu negatif. 

Bahasa Kasar Dan Khayalan Melampau

Bahasa yang digunakan oleh rancangan kartun mempunyai bahasa-bahasa kasar yang patut dijauhi. Contohnya dalam Ultraman atau Power Rangers perkataan yang tidak pernah ditinggalkan adalah perkataan “tak guna” atau “jahanam punya penjahat”. 

Perkataan atau frasa ini tidak sepatutnya di jadikan makanan untuk sicilik, kerana peringkat kanak-kanak merupakan peringkat pertuturan yang baik-baik dan tidak berunsur negatif. Jika perkataan ini berulang-ulang didengar oleh kanak-kanak, ia akan diterjemahkan ke dalam kehidupan harian terutama apabila berinteraksi dengan ibu bapa atau rakan sebaya.

Khayalan dalam cerita-cerita di televesyen juga tidak ada bandingan lagi kerana khayalan yang dibawa adalah khayalan yang melampau dan ditakuti menjadi habit atau cubaan kepada sicilik. 

Contohnya kartun Superman atau Spiderman yang memaparkan khayalan yang mustahil berlaku, dan jika diterjemahkan oleh sicilik dalam dunia realiti ini dikhuatiri mendatangkan kesan buruk.

Unsur Yang Merosakkan Nilai-Nilai Keagamaan.

Rancangan di televesyen mempunyai kesan-kesan negatif yang telah diterangkan diatas, ada juga kesan yang paling buruk yang akan merundung dan menyelubungi anak kita secara tidak langsung. 

Kesan itu adalah pengaruh terhadap nilai-nilai keagamaan terutama kepada yang kanak-kanak yang mula mengorak langkah mengenal agama. Contoh yang paling ketara adalah masa rancangan disiarkan di televesyen, kita sedia maklum untuk menarik kanak-kanak waktu yang paling sesuai adalah dari jam 7 hingga ke 8 malam. 

Di dalam waktu ini bagi yang menganut agama Islam terdapat waktu Maghrib yang mana umat Islam akan mengerjakan solat Maghrib. Waktu kanak-kanak adalah waktu yang paling sesuai untuk mentarbiah sicilik untuk belajar solat. 

Jika waktu ini disia-siakan maka tiang agama mudah dirobohkan. Selain waktu yang tidak sesuai, rancangan-rancangan berbentuk merosakkan akhlak juga banyak dipertontonkan seperti pakaian, atau watak-watak yang tidak senonoh dipertontonkan.

BAGAIMANA CARA MENGATASI DAN MEMBANTU PERKEMBANGAN ANAK ANDA

Kesan televisyen terhadap perkembangan sicilik telah diterangkan di atas secara ringkas agar pembaca dapat mengetahui bahawa kesan negatif adalah lebih banyak kesan positif apabila anak anda menonton rancangan di televesyen. 

Bukan semua rancangan di televesyen mempunyai kesan buruk dan negatif tetapi pemantauan ibu bapa adalah perlu agar sicilik hanya melihat rancangan yang berunsurkan ilmu pengetahuan yang mempunyai positif - tetapi ianya tidaklah mudah!!

Peranan Ibu Bapa

Ibu bapa mestilah meluangkan waktu bersama kanak-kanak dalam setiap aktiviti mereka. Belaian ibu bapa terhadap sicilik merupakan tanda kasih sayang yang amat diperlukan mereka. Jika menonton rancangan televesyen sewajibnya ibu bapa menemani sicilik agar rancangan televesyen yang dipertontonkan dipantau dengan rapi agar tidak terdedah kepada unsur-unsur negatif.

Rancangan Berunsur Dokumentari

Bukan semua rancangan di televesyen itu negatif, terdapat juga rancangan yang menjana otak mereka supaya menjadi matang. Antaranya rancangan berbentuk dokumentari yang mana rancangan tentang unsur-unsur alam semulajadi. 

Kehidupan haiwan dan tumbuhan yang ditayangkan memberi kesedaran kepada mereka bahawa Alam ciptaan Tuhan amat luas dan tiada penghujungnya. Apabila sicilik melihat rancangan dokumentari ini dengan ditemani ibu bapa dan keluarga secara tidak langsung keterikatan hubungan makin erat dan rapat.

Pastikan Televesyen Jarang Terpasang

Televesyen yang dipertontonkan kepada anak anda haruslah jarang dipasang agar televesyen tidak menjadi keperluan mereka. Jika perkara sebegini berlaku dan televesyen menjadi kehidupan mereka, hubungan ibu bapa dengan anak-anak akan mula renggang akibat ada orang ketiga. Dalam tempoh 12 tahun pertama kehidupan kanak-kanak ia haruslah rapat dengan budaya membaca. Budaya membaca ini akan menjadikan anak anda lebih matang dan berwawasan jauh.

KESIMPULAN

Selaku orang dewasa yang diamanahkan untuk mendidik kanak-kanak, perlulah kita mentarbiah mereka agar mereka menjadi generasi yang terbaik. 

Setelah diterangkan secara ringkas berkenaan dengan kesan dan pengaruh televisyen terhadap kanak-kanak, dapatlah kita fahami bahawa televisyen bukanlah cara menyelesaikan masalah yang terbaik. 

Selaku orang yang berfikiran matang haruslah kita mengambil beberapa langkah untuk membendung gejala yang kurang bermanfaat ini. Apa yang perlu disedari, bukanlah mudah untuk membentuk genarasi kanak-kanak yang bijak pada hari ini dan gemilang pada masa depan. Cabarannya besar.

SUMBER; ZULZAIDI

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text