Social Icons

Isnin, 6 April 2015

Besarkanlah Anak Tanpa Televisyen Dan Tanpa Gajet?

Membesarkan anak-anak di zaman ini bukanlah mudah. Cabaran dan halangan untuk berjaya sangat besar. Banyak perkara yang perlu difikirkan. Tidak boleh lurus bendol dan tidak boleh ikut orang lain. Mesti berpijak di bumi nyata.

Anak-anak kita, kita yang bertanggung jawab. Jangan ikut gaya hidup jiran atau keluarga yang lain. Kita sendiri mesti ada prinsip dalam pendidikan untuk anak-anak kita. 

Hala tuju dan jalan kehidupan anak-anak kita, kita yang kena programkan. Tidak mesti kita memaksa mereka. Cukuplah kita biasakan mereka dengan hal-hal positif. Kalau mereka sudah terbiasa dengan sesuatu yang merosakkan, kitalah yang salah. 

Televisyen adalah satu cabaran bagi setiap ibubapa. Ramai ibubapa yang berada dalam dilema atau sekurang-kurangnya terpaksa bertegas dengan anak-anak soal rancangan televisyen. 

Lebih baik, jangan ada langsung televisyen di rumah kita!! Baca catatan berikut:

Oleh Nor Faizah Mohamed 
faizah@hmetro.com.my

Seronok mendengarkan kisah hidup wanita tinggi lampai ini. Kata orang kalau sudah namanya pakar motivasi, pasti ada saja cerita dan pesanan yang dititipkan dalam setiap bait tutur katanya.

Bagi Haliza Mohammad, segala ilmu dan pengalaman yang ditimba sebaiknya dikongsi bersama kerana ia dapat membantu individu lain bergerak ke arah lebih positif.

"Jika ia perkara yang baik, kenapa tidak dikongsi bersama yang lain? Sedikit-sebanyak ia mungkin dapat membantu mereka yang memerlukannya," katanya.

Lenggok bahasa kebangsaan digunakannya sepanjang pertemuan kami lancar dan jelas, yang sememangnya lahir daripada pengalaman yang bukan sedikit pada diri diri wanita ini untuk muncul sebagai penceramah disenangi ramai.

"Maaf kalau saya lebih banyak berbahasa Inggeris. Saya masih dalam proses belajar dan memantapkan lagi penguasaan Bahasa Melayu.

"Walaupun sudah lama kembali ke Malaysia, masih ada beberapa ayat Bahasa Melayu yang sukar untuk saya ucapkan," tambahnya merendah diri.

Melihat susur galur kehidupannya, sejak berusia tiga tahun Haliza menetap dan dibesarkan di London, England.

Dia hanya kembali ke Malaysia selepas menamatkan pengajiannya di universiti, pada usia 25 tahun, susulan mengikut suami yang juga tamat pengajiannya di sana.

Bidang jualan fesyen jadi pilihan kariernya sebelum Haliza mengambil keputusan berhenti kerja bagi memberi tumpuan kepada si anak yang masih kecil.

Namun wanita ini kembali ke medan kerjaya selaku penceramah motivasi dengan bergerak di atas nama syarikat Mindstream Resources yang banyak mengendalikan program untuk kanak-kanak dan remaja di sekolah.

Ikuti selanjutkan temu bual bersama ibu kepada lima cahayamata ini mengenai aktiviti yang dilakukannya.

SOALAN (S): Boleh kongsikan lebih lanjut mengenai latar belakang anda?

JAWAPAN (J): Pada usia antara dua ke tiga tahun, kami sekeluarga berhijrah ke London disebabkan bapa yang menerima tawaran kerja di sana.

Saya bersekolah rendah, menengah hinggalah melanjutkan pelajaran dalam jurusan Statistik Gunaan di Universiti Plymouth-di negara orang.

Jadi sudah tentulah cara didikan saya dan adik-beradik berbeza dengan kanak-kanak di sini.

Pada 1998, saya kembali ke Malaysia apabila suami enggan terus menetap di London. Sejurus kembali, saya terbabit dalam bidang jualan fesyen selama enam tahun.

Tapi demi keluarga dan anak yang makin membesar, saya nekad berhenti kerja lalu menjadi surirumah.

Pembabitan saya sebagai penceramah motivasi bermula beberapa tahun selepas itu apabila seorang rakan meminta saya menganjurkan aktiviti motivasi kepada pelajar sekolah rendah.

Saya mula tertarik dalam bidang terbabit dan boleh dikatakan 'jatuh cinta' dengannya. Saya seterusnya mengikuti beberapa kursus bagi membolehkan saya melakukan lebih banyak aktiviti berkaitan, sekali gus mengiktiraf pembabitan saya dalam dunia itu.

Syukur dengan bantuan keluarga dan teman rapat, saya berjaya membuka syarikat Mindstream Resources yang mengkhususkan kepada aktiviti motivasi berteraskan 'soft skills'.

S: Difahamkan anda dibesarkan tanpa televisyen dan lebih banyak habiskan masa dengan aktiviti di sekitar kejiranan. Bagaimana pula dengan anak anda? Adakah mereka juga tidak dibenarkan menonton televisyen?

J: Benar, kami adik-beradik tidak dibenarkan menonton televisyen malah tiada langsung televisyen di rumah. Bapa saya amat tegas dan biasanya kami banyak habiskan masa bermain di sekitar rumah atau di sekolah.

Setiap kali cuti musim panas, bapa akan pastikan kami melakukan aktiviti bersama keluarga. Pernah juga bapa ke sekolah dan meminta pengetua memberikan kami kerja sekolah.

Walaupun tanpa televisyen, sesekali kami dibenarkan menonton wayang bersama ibu. Tapi saya dapati kami tiada masalah membesar tanpa televisyen.

Bila dewasa dan berkeluarga, baru saya faham mengapa bapa setegas itu. Cuma saya tidaklah sepertinya. Tidak adil untuk saya lakukan seperti itu terutama bagi mereka yang membesar dalam dunia teknologi maklumat ketika ini.

Saya masih benarkan anak-anak menonton televisyen tapi dalam tempoh tertentu. Mereka juga dibenarkan bermain gajet tapi perlu mengikut tempoh yang saya tetapkan.

S: Kala berdepan dengan kumpulan yang besar, khususnya daripada generasi Y, bagaimana anda mengendalikan suasana terutama apabila wujudnya pelbagai persoalan mempertikaikan input yang cuba anda sampaikan?

J: Generasi dulu sama sekali berbeza dengan generasi Y hari ini. Generasi Y lebih terbuka mindanya dan tidak gemar melakukan sesuatu yang menjadi kebiasaannya.

Generasi ini bagaimanapun ada sebahagiannya perlu 'disuap' kerana sudah terbiasa sejak kecil. Mereka perlu dibimbing agar tidak menyimpang daripada melakukan perkara tidak sepatutnya.

Kita tidak boleh salahkan mereka kerana mereka dibesarkan dalam suasana itu. Jadi sebagai penceramah dan pelatih motivasi, kami perlu banyak lakukan aktiviti membabitkan minda seperti berfikiran kreatif serta pencarian harta karun yang dilakukan di dalam juga luar kelas.

S: Sebagai pakar motivasi, apa pandangan anda mengenai masyarakat di negara ini secara amnya?

J: Saya dapati makin ramai masyarakat kita yang hidup dalam tekanan. Majoritinya disebabkan tekanan kerja. Makin ramai yang berlumba-lumba mencari kesenangan wang ringgit tapi mengabaikan kesenangan mental dan fizikal diri sendiri.

Ia menjadi salah satu punca kepada peningkatan jenayah keluarga kerana ibu bapa moden makin sibuk hingga memberi tekanan pada diri.

Akibatnya, anak-anak yang menderita fizikal dan mentalnya. Di sini saya lihat perlu adanya keseimbangan dalam hidup malah agama juga meminta kita melakukan setiap perkara secara bersederhana.

Untuk mencapai keseimbangan ini, perlu ada pengorbanan. Saya berkorban kerjaya dulu demi membesarkan anak-anak dan menguruskan keluarga.

Pembabitan saya dalam bidang motivasi ini juga tidak menuntut sepenuhnya masa kerana saya dibantu rakan niaga yang saling memahami situasi masing-masing.

Sesekali saya cuba mencari masa untuk diri sendiri. Sukar bunyinya ditambah saya tiada pembantu rumah. Tapi beranak lima tidak bermaksud saya tidak boleh memanjakan diri di spa dan bertemu rakan di kafe. Keseimbangan hidup itulah yang cuba saya amalkan sejak dulu.

S: Apakah perancangan masa depan anda?

J: Jika diberikan rezeki dan peluang, saya ingin menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi. Bagi saya, mencari ilmu itu tidak akan tamat selagi kita masih bernafas dan ilmu itu tidak akan mensia-siakan kita.

Saya juga ada perancangan untuk mengembangkan lagi skop aktiviti motivasi kami. Itu semua bergantung kepada persetujuan rakan niaga lain dan bukan dalam masa terdekat ini.

Buat masa ini, saya akan terus fokus kepada keluarga dan syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Disember 2014 @ 5:02 AM


0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text