Rasa hamba? Macam baru dengar saja istilah ni!!
Nak rasa kat mana? Macamana nak buat rasa-rasa ni?
Kenapa kena ada rasa hamba?
Kenapa hendak hinakan diri pulak?
Bukankah Allah telah muliakan anak Adam?
Kena hinakan diri sendiri? Macam hamba abdi ke?
Ya demikianlah persoalan bagi sebahagian orang yang jahil. Tidak tahu tapi tak mahu belajar! Tak reti tetapi sombong nak mengaku. Islam ini agama dari Allah yang disampaikan kepada kita oleh seorang Rasul yang luar biasa peribadinya. Rasul ini mengajar kita supaya kekal mempunyai rasa hati seorang hamba yang hina. Rasul tak ajar kita sombong dan ego. Rasul mengajak kita kepada merendah diri, mengaku kita bersalah dan rasakan kita hina kerana pada diri masing-masing ada tempelan dosa yang menjijikkan.
Tetapi hari ini tidak ramai yang tahu nak mengajar cara menghina diri depan Allah dan merendah diri di depan sesama manusia. Hanya Rasul dan para kekasih Allah sahaja yang tahu melakukan teknik membina rasa hamba ini. Lihatlah Baginda Rasul!! Rasul itu insan paling sempurna, kekasih Allah, tidak ada dosa tetapi semulia-mulia makhluk. Baginda kekal dengan jiwa hamba yang begitu hebat. Tawadhuknya luar biasa.
Kalau dalam sistem pendidikan di mana-mana pun pada hari ini, melahirkan pelajar yang tawadhuk bukanlah fokus utama. Malah bukan intipati atau teras sasaran! Yang hendak dikejar hanyalah sijil akademik. Bukan tak sedar sistem itu sudah gagal segagal-gagalnya tetapi sudah tertutup makrifat dan hakikat. Payahlah hendak nampak suatu yang benar dan utama.
Melahirkan pelajar yang tawadhuk merendah diri dan kreatif adalah bidang profesional keguruan yang utama. Ada method dan kurikulum yang tersendiri yang mesti digarap. Ianya mesti dilihat dan diteropong dengan fikiran dan jiwa terbuka. Pandangan di luar kotak pemikiran biasa.
Pelajar tawadhuk adalah permata yang amat berharga. Ianya didasari jiwa seorang hamba yang sentiasa rasa berdosa dan bersalah dengan Allah. Jiwa yang sentiasa gundah gulana dengan nasib diri dihari kematiannya. Bagaimana keadaannya di dalam kubur dan di Padang Mahsyar adalah hal-hal yangsangat menghantui diri.
Rasa hamba ini rasa yang wajib ada di dalam hati setiap insan mukallaf. Ianya adalah perasaan yang wajib ada sepanjang masa. Jika lalai maka syaitan dan nafsulah yang menguasai diri - yang tentunya tidak disedari oleh yang empunya diri.
Akhir zaman ini ramai yang tertipu. Walaupun di gelar ulama, pastilah belum dapat kekalkan rasa hamba ini. Justeru kenalah bertaubat dan mengakui kekurangan ini. Dosa hati yang tidak mempunyai rasa hamba ini kena ditaubat dan di'istighfarkan'!
Anak-anak yang terbaik ialah jika jiwa mereka terbina dengan rasa ini. Mereka akan fokus pada membaiki diri dan meningkatkan kualiti diri mereka. Mereka tahu untuk meminta pertolongan Allah dalam setiap pekerjaan mereka. Mereka akan terpimpin kepada hal-hal yang baik dan mulia di sisi Allah.
Mendidik anak dengan rasa hamba akan jadikan mereka anak yang berkualiti. Mereka akan benci maksiat dan mungkar. Mereka tahu untuk menangis meminta ampun dengan Tuhan. Mereka mudah ditegur dan diberi panduan. Mereka akan boleh diberi amanah dan tanggung jawab. Mereka boleh dipercayakan untuk tugas-tugas besar.
Justeru ibubapa dan guru-guru diamanahkan melahirkan pelajar yang sebegini oleh Allah!!
Pendidikan yang perlu diiktiraf ialah pendidikan yang membina sahsiah pelajar menjadi sebaik-baik umat. Sekadar mengiktiraf pencapaian akademik, ianya adalah penyelewengan terhadap amanah Rasulullah saw. Bukankah Baginda mengatakan - yang boleh kita fahami bahawa pendidikan ialah untuk memastikan anak-anak tidak menjadi yahudi, nasrani atau majusi?
Melahirkan pelajar yang berjiwa tawadhuk itulah pendidikan Islami. Rupa-rupanya jawapan kepada kemelut sosial remaja masa kini adalah rasa hamba. Pendidikan membina rasa hamba inilah yang boleh mengubat penyakit masyarakat. Ini adalah kaedah Rasulullah saw. Kaji dan bacalah sirah, bagaimana Baginda melakukannya!!
0 ulasan:
Catat Ulasan