Social Icons

Wednesday, 28 June 2017

Akikah Anak Lelaki Perempuan

Maksud Akikah 

Aqiqah pengertian dari segi bahasa ialah rambut dikepala kanak-kanak. Sementara pengertian aqiqah dari segi syara ialah binatang yang disembelih pada hari mencukur rambut bayi. Aqiqah sebagai ibadah yang telah disyariatkan oleh Allah s.w.t. sebagaimana penjelasan Rasulullah s.a.w. dengan sabdanya yang bermaksud: “Setiap anak yang lahir itu terpelihara dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ketujuh (daripada hari kelahirannya), dicukur dan diberi nama.” (Riwayat Abu Dawud, al-Turmuzi dan Ibnu Majah)

Hukum Aqiqah
Hukum aqiqah itu adalah sama dengan ibadah qurban iaitu Sunnat Muakkad kecuali dinazarkan menjadi wajib.

Anak lelaki disembelihkan dua ekor kambing (tetapi sah sekiranya seekor) dan perempuan memadai dengan seekor kambing. Diriwayatkan daripada Aisyah, bahawa Rasulullah s.a.w. memerintahkan para sahabat agar menyembelih aqiqah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang umurnya sama dan untuk anak perempuan seekor kambing. (Riwayat al-Turmuzi). Daripada Ibnu Abbas r.a. pula menyatakan. bahawa Rasullullah s.a.w. menyembelih aqiqah untuk Hasan dan Husin masing-masing dengan seekor kambing. (Riwayat Abu Dawud)

Daging Aqiqah
Daging aqiqah digalakkan supaya tidak disedekahkan dalam keadaan mentah, bahkan disunatkan supaya dimasak terlebih dahulu dengan sedikit rasa manis walaupun aqiqah itu aqiqah nazar. Tujuannya ialah untuk bertafa’ul (menaruh harapan baik) terhadap keelokkan perangai dan budi pekerti anak yang diaqiqahkan.Kemudian daging yang telah dimasak itu diberi makan kepada fakir miskin, sama ada dengan dihantar masakan itu ke rumah-rumah mereka atau dijemput mereka itu hadir makan di rumah tempat beraqiqah. Namun yang lebih afdal adalah dihantar masakan tersebut ke rumah-rumah orang fakir miskin.

Sementara itu, sunat bagi orang yang beraqiqah memakan sebahagian kecil daripada daging binatang yang diaqiqahkan, selagi mana aqiqahnya itu bukan aqiqah wajib (aqiqah nazar) atau aqiqah kerana wasiat.Dalam hal memakan, menyedekah dan menghadiahkan daging aqiqah tersebut sama keadaannya dengan korban.

Semasa memotong daging disunatkan supaya jangan dipecah-pecahkan tulang binatang aqiqah itu, bahkan disunatkan supaya mengasingkan tulang-tulang itu mengikut sendi-sendinya. Sebagaimana dalam hadis daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha katanya:

Maksudnya: “Afdal bagi anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya dan bagi anak perempuan seekor kambing. Dipotong anggota-anggota (binatang) dan jangan dipecah-pecah tulangnya.” (Hadis riwayat al-Hakim)

Ini bertujuan untuk bertafa’ul(menaruh harapan baik) terhadap tulang anak itu nanti tidak pecah dan tidak patah sebagaimana tidak pecah dan tidak patahnya tulang-tulang binatang aqiqah itu.

Waktu Aqiqah
Aqiqah itu sunat dilakukan sebaik sahaja anak dilahirkan dan berterusan sehinggalah anak itu baligh. Ini adalah pendapat yang paling rajih. Apabila anak itu sudah baligh, gugurlah hukum sunat itu daripada walinya dan ketika itu hukum sunat berpindah ke atas anak itu sendiri dalam melakukan aqiqah untuk dirinya sendiri.

Walaupun waktu yang disunatkan untuk beraqiqah itu panjang, tetapi yang afdhal hendaklah dilakukan pada hari ketujuh daripada hari kelahirannya. Sebagaimana dalam hadis daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha katanya maksudnya :

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengaqiqahkan Hasan dan Husain pada hari ketujuh, memberikan kedua-duanya nama dan Baginda menyuruh supaya menghilangkan daripada keduanya kesakitan kepala (mencukur rambut kepala).”
(Hadis riwayat al-Hakim)

Termasuk dalam kiraan tujuh hari itu, hari anak itu dilahirkan. Jika anak itu dilahirkan pada waktu siang sebelum terbenam matahari, maka hari itu dikira satu hari. Sebaliknya jika dia dilahirkan pada waktu malam, maka malam dia dilahirkan itu tidak dikira sebagai satu hari, bahkan kiraan tujuh hari itu bermula daripada hari selepasnya (siang berikutnya).Waktu yang afdhal untuk menyembelih binatang aqiqah itu ialah setelah terbit matahari.

Melakukan Aqiqah Sebelum Kelahiran

Sebagaimana penjelasan di atas, jika penyembelihan aqiqah itu dilakukan selepas hari ketujuh ataupun sebelum hari ketujuh selepas kelahiran adalah memadai aqiqah tersebut. Ini kerana adanya sebab yang mensyariatkan ibadat aqiqah tersebut iaitu kelahiran anak. Akan tetapi jika aqiqah itu dilakukan sebelum kelahiran anak, maka tidak memadai aqiqahnya itu melainkan ianya hanya dikira sebagai binatang sembelihan biasa sahaja.


Syarat sah aqiqah ialah:

· Berniat aqiqah ketika menyembelih.

· Binatang ternakan berkaki empat iaitu kambing, biri-biri, kibas, lembu, kerbau dan unta.

· Memenuhi syarat-syarat sembelihan.

· Tidak terdapat kecacatan pada binatang tersebut

· Disembelih pada waktunya iaitu hari ketujuh selepas kelahiran @ bila-bila masa sebelum anak tersebut baligh

· Binatang yang hendak disembelih sudah cukup umur.

Binatang yang sudah cukup umur untuk dijadikan Qurban adalah seperti berikut:

Umur; 

· Biri-biri ; 1 tahun atau lebih

· Kambing ; 2 tahun atau lebih

· Lembu/kerbau ; 2 tahun atau lebih

· Unta ; 5 tahun atau lebih


Sunat-sunat Aqiqah ialah:

· Dilakukan pada hari ke tujuh kelahiran

· Menyembelih ketika matahari sedang naik (pagi)

· Mencukur rambut bayi selepas penyembelihan

· Memberi nama yang baik kepada bayi

· Berdoa ketika hendak menyembelih

· Daging dimasak manis.

· Tidak mematahkan sendi tulang binatang tersebut ketika dimasak.


Hikmah Aqiqah

· Tanda kesyukuran diberikan kekuatan oleh Allah s.w.t. untuk menjalankan syariat Islam dan dianugerahkan anak

· Menggalakkan amalan sedekah.

· melepaskan penghalang pada bayi dalam memberi syafaat kepada orang tua mereka

· Sebagai mengikuti sunnah Rasulullah.

· Mengukuhkan semangat persaudaraan dalam masyarakat.

· Membuang sifat kedekut, bakhil dan tamak dalam diri.

· Memulakan kehidupan seorang bayi dengan amalan yang baik

· membiasakan berkorban bagi orang tua



Friday, 16 June 2017

Ramadhan Bersama Pemimpin Hati

DARI BLOG PUAN KHAULAH

Pejam celik pejam celik, Ramadhan dah kian menuju ke penghujungnya. Aku pernah dengar orang cakap, tanda-tanda akhir zaman tu ialah bilamana masa dirasakan cepat sangat berlalu. Sebab dulu waktu aku sekolah rendah, nak tunggu cuti hujung tahun tu lama sangat. Jenuh tunggu. Tapi sekarang ni sedar-sedar je dah 2017. Rasanya baru je haritu 2015. Bila cepat masa berlalu, cepatlah juga umur meningkat. Tiba-tiba je dah 31 tahun. Rasa macam semalam baru je 18 tahun! Hmm.. Baru terfikir, apa yang aku dah perbuat dengan umurku di sepanjang 20an nya itu ye? Oh Tuhan..

Aku selama ni sebenarnya tak pernah fikir pun, tak pernah rasa besar pun nikmat berpemimpin. Hanya setelah benar-benar difahamkan oleh para pemimpin, lebih-lebih lagi pemimpin hati yang tugasnya mendidik hati, nak betulkan segala perjalanan hati, barulah nak belajar betapa mahalnya mendapatkan pemimpin dan pimpinan dalam hidup. Nak cari pemimpin yang boleh memimpin itu tak mudah, apatah lagi pemimpin yang boleh pimpin hati. Laaaagilah susah. Sebab tu disebutkan ianya sebagai Pemimpin Hati.

Dapat pemimpin bererti mendapatkan panduan untuk hidup di dua negara iaitu dunia dan akhirat. Setelah dapatkan panduan, kita akan sedar betapa selama ini kita hidup dalam keadaan yang salah. Salah berfikir, salah berperasaan dan salah dalam tindakan. Namun kita berharap moga kita tak pernah terlambat untuk dibimbing bagi membetulkan semuanya.

Kerana bersama kita Pemimpin Hati lah, hati kita dipimpin bahawa antara yang kita perlu dapatkan di sepuluh malam terakhir Ramadhan ini ialah keinsafan. Merasa insaf di atas banyaknya dosa yang telah kita lakukan kepada Tuhan. Rasa berdosa sampai ke dalam hati kerana teruslah membesarkan diri dan nafsu lebih dari Tuhan. Kekal bersembahyang dalam keadaan yang lalai. Ybm Tuan Hasnan selalu ingatkan, yang Allah sebut celakalah orang yang bersembahyang tu, bukan untuk solat fardhu je. Tapi solat sunat pun rupanya nak kena dapat khusyuk. Kalau tak, neraka wail lah juga. Na'uzubillah..


Lepastu nak kena direnungkan juga dosa kita dengan manusia dan yang paling besar tu dengan pemimpin lah. Yang suruh taat pemimpin ni, Allah. Jadi bila kita gagal untuk taati pemimpin sepertimana yang Allah nak, maka dua kali berdosalah kita. Taat pemimpin tu pula kena dibuat secara menyeluruh. Bukan taat benda yang kita suka je. Aku lah tu... Masih taat yang disukat-sukat. Kalau tak kena dengan keinginan nafsu, belum tentu mampu nak taat. Belum lagi disuluh hal-hal yang berkait dengan perasaan kepada pemimpin. Kadang depan tu kita bolehlah akur, tapi dalam hati macamana? Tolonglah Ramadhan.. moga keberkatanMu dapat merubah kejahatan hatiku..


Kita nak sangat jadi mereka di akhir zaman yang sangat dirindui oleh Nabi dan dicemburui oleh sahabat kerana walaupun tak pernah berjumpa Nabi tapi sangat merindui dan memperjuangkan semua yang datang dari Nabi. Itu juga satu bentuk tawaran. Semua orang boleh jadi calon untuk mendapatkannya. Namun di akhirnya, Tuhan lah yang tahu bagaimana nasib kita. Ybm PE sebut, sungguh-sungguhlah rebut peluang sampai turunnya belas kasihan Allah pada kita. Mudah-mudahan kita semua direzkikan Ramadhan yang dihujungnya adalah keselamatan..


Di kesempatan ini juga aku nak mohon jutaan kemaafan kepada semua yang mengenali di atas banyaknya dosa dan salah silap yang aku lakukan samada sengaja ataupun tidak. Terkasar bahasa di alam nyata mahupun terguris apa-apa yang dicoret di sini. Maafkan ye..

Aku nak kongsikan salah satu lirik lagu dari album Takuti Tuhan Rindui Nabi oleh Akademi Generasi Harapan (Jawa) yang ditulis oleh Ybm Tuan Nik Hazani. Selamat mendengar dan menghayati..

Rasa Ramadhan

Berdebar-debar hati ini
Menunggu kedatanganMu 
Keluh kesah gelisah tak menentu
Takut kedatanganMu ku gagal lagi

Wahai Ramadhan Engkau yang ku tunggu
KedatanganMu membawa rahmat
Juga keampunan Tuhanku berkat dan kasih sayang
Mana mungkin kedatanganMu ku siakan

Ramadhan kini kembali
Ramadhan menangislah hati

Ya Allah jadikan ku hambaMu yang beradab denganNya
Janganlah ku menjadi hamba yang rugi lagi 
Entah ke berapa kali

Aku sangat mengharapkan pertolongan dariMu
Anugerahkanku Ramadhan yang di hujungnya keselamatan
Dari azab api neraka 
Kasihanilah aku Tuhan
Kerna setiap kali Ramadhan 
Yang ku dapat hanya lapar dan dahaga

Tuesday, 13 June 2017

Di Mana Silap Dan Salahnya Wahhabi - Boleh Baca Di Sini!!

MEMBONGKAR KEKELIRUAN WAHHABI SALAFI YANG BER-I'TIQAD BAHAWA ALLAH BERADA DI LANGIT. ADAKAH BENAR ALLAH BERADA DI ATAS LANGIT? - Pengajian Aswaja Pemurnian Nusantara

Wahhabi Salafi (golongan khalaf) sangat gemar mengambil ZAHIR ayat dari Al-Quran tanpa mentakwilkannya kepada maknanya yang sebenar. Dengan perbuatan itu, terjadinya percanggahan makna dengan ayat-ayat Al-Quran yang lain.

Sebelum kita memulakan perbincangan, harus diketahui terlebih dahulu bahawa di dalam Al-Qur'an, terdapat (1) ayat-ayat muhkamat dan (2) ayat-ayat mutasyabihat.

Allah ta'ala berfirman :

‎ ] هُوَ الَّذِيْ أَنْزَلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ مِنْهُ ءَايَاتٌ مُحْكَمَاتٌ هُنَّ أُمُّ الْكِتَابِ وَأُخَرُ مُتَشَابِهَاتٌ فَـأَمَّا الَّذِيْنَ فِي قُلُوْبِهِمْ زَيْغٌ فَيَتَّبِعُوْنَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ ابْتِـغَاءَ الْفِـتْنَةِ وَابْتِـغَاءَ تَأْوِيْلِهِ وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيْـلَهُ إِلاَّ اللهُ وَالرَّاسِخُوْنَ فِي الْعِلْمِ يَقُوْلُوْنَ ءَامَنَّا بِهِ كُلٌّ مِنْ عِنْدِ رَبِّنَا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلاَّ أُوْلُوْا اْلأَلْبَابِ [ (ءال عمران : 7)

Maknanya : "Dia-lah yang menurunkan Al Kitab (Al Qur'an) kepada Muhammad. Di antara (isi)nya ada ayat-ayat MUHKAMAT, itulah Umm Al Qur'an (yang dikembalikan dan disesuaikan pemaknaan ayat-ayat al Qur'an dengannya) dan yang lain ayat-ayat MUTASYABIHAT. Adapun orang-orang yang dalam hatinya condong kepada KESESATAN, maka mereka MENGIKUTI ayat-ayat yang MUTASYABIHAT untuk MENIMBULKAN FITNAH dan untuk mencari-cari takwilnya sesuai dengan HAWA NAFSUNYA, padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya (seperti saat tibanya kiamat) melainkan Allah SERTA orang-orang yang MENDALAM ILMUNYA mengatakan : "Kami beriman kepada ayat-ayat yang mutasyabihat, semuanya itu berasal dari Tuhan kami". Dan tidak dapat mengambil pelajaran darinya kecuali orang-orang yang berakal" (Ali-Imran : 7)

I. Definisi Ayat Muhkamat dan Mutasyabihat.

- Al Muhkam: المتضح المعنى ; yang jelas maknanya.

- Al Mutasyabih: ما ليس بمتضح المعنى; yang tidak jelas maknanya.


DEFINISI AYAT-AYAT MUHKAMAT : 
Ayat yang dari segi bahasa, memiliki satu makna sahaja dan tidak memungkinkan untuk ditakwil ke makna yang lain. Ayat sebegini diketahui dengan jelas makna dan maksudnya. Seperti firman Allah :

‎﴿ لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَىءٌ ﴾ (سورة الشورى: ۱۱) 

Maknanya: “Dia (Allah) TIDAK MENYERUPAI sesuatu pun dari makhluk-Nya (baik dari satu segi mahupun semua segi, dan tidak ada sesuatupun yang menyerupai-Nya)”. (Asy-Syura: 11) 

‎﴿ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ ﴾ (سورة الإخلاص :4) 

Maknanya: “Dia (Allah) TIDAK ADA satu pun yang menyekutui-Nya”. (Al-Ikhlas : 4) 

﴿ هَلْ تَعْلَمُ لَهُ سَمِيًّا ﴾ (سورة مريم :65)

Maknanya: “Allah tidak ada serupa bagi-Nya”. (Maryam : 65) 


DEFINISI AYAT-AYAT MUTASYABIHAT : 
Ayat yang belum jelas maknanya. Atau yang memiliki BANYAK kemungkinan makna dan kefahaman sehingga perlu direnungkan agar diperolehi makna yang tepat dan sesuai, dengan cara MENGGUNAKAN ayat-ayat muhkamat. Seperti firman Allah :

﴿ الرّحْمٰنُ عَلَى العَرْشِ اسْتَوَى ﴾ (سورة طه :5)

Maknanya: "(Iaitu) Tuhan yang Maha Pemurah, yang di atas Arasy." (Taha : 5)

Tafsir : Pengertian lafaz "ARASY" ini adalah "BERKUASA", iaitu bersemayam sesuai dengan Keagungan dan KebesaranNya. Ia tidak memberi makna sebagai Allah "duduk" di atas Arasy.

Soalan Aswaja kepada Wahhabi Salafi adalah : 

“Mengapa Anda meyakini bahwa Allah subhanahu wa ta‘ala ada di langit?”

Jawapan menyeleweng Wahhabi Salafi :

Wahhabi Salafi akan memberikan hujjah batil dengan memberi tafsir ayat-ayat al-Qur’an yang menyeleweng dan mengikut nafsu. Menurut mereka, tafsiran mereka menunjukkan bahawa Allah subhanahu wa ta‘ala ada di langit. Mengikut fahaman mereka, kalimat "istawa" di ayat mutasyabihat di atas itu, memberi makna kepada "duduk".

Kupasan Aswaja :

Ayat yang disebutkan tidak secara tegas menunjukkan bahawa Allah ada di langit. Ini adalah kerana menurut para ulama, kalimat "istawa" memiliki 15 makna, bukan sahaja memberi maksud sebagai "duduk". Di samping itu, apabila puak wahhabi berhujjah dengan tafsiran mereka sendiri, maka hujjah wahhabi dapat dipatahkan dengan ayat-ayat lain yang menunjukkan bahawa Allah subhanahu wa ta‘ala TIDAK BERADA di langit. Oleh itu jika kita hendak memperolehi makna bagi ayat-ayat Mutasyabihat dengan tepat dan sesuai, mestilah dengan cara MENGGUNAKAN ayat-ayat muhkamat.

Bukti Allah tidak berada di langit :

Dalil dari Al-Quran:

Allah subhanahu wa ta‘ala berfirman: 

وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنتُمْ 

“Dan Dia bersama kamu di mana saja kamu berada.” (QS. al-Hadid : 4). 

Ayat ini menegaskan bahwa Allah subhanahu wa ta‘ala pun bersama kita di bumi, bukan tetap berada di langit. Dalam ayat lain, Allah subhanahu wa ta‘ala berfirman:

وَقَالَ إِنِّي ذَاهِبٌ إِلَىٰ رَبِّي سَيَهْدِينِ

“Dan Ibrahim berkata, “Sesungguhnya aku pergi menuju Tuhanku (Palestina), yang akan memberiku petunjuk.” (QS. al-Shaffat : 99). 

Dalam ayat ini, Nabi Ibrahim alaihissalam berkata baginda akan pergi menuju Tuhannya, padahal Nabi Ibrahim alaihissalam pergi ke Palestina. Dengan demikian, ayat ini menunjukkan bahwa Allah subhanahu wa ta‘ala bukan berada di langit, tetapi ada di Palestina.

Dalil dari Hadith:

Apabila Wahhabi berhujjah dengan menggunakan hadith tentang keyakinan Allah subhanahu wa ta‘ala ada di langit, maka hujjahnya dapat dipatahkan dengan hadith lain yang lebih kuat dan menegaskan bahawa Allah subhanahu wa ta‘ala tidak ada di langit, bahkan ada di bumi. Al-Imam al-Bukhari meriwayatkan dalam Sohih-nya:

عَنْ أَنَسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم رَأَى نُخَامَةً فِي الْقِبْلَةِ فَحَكَّهَا بِيَدِهِ وَرُؤِيَ مِنْهُ كَرَاهِيَةٌ وَقَالَ: إِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا قَامَ فِيْ صَلاَتهِ فَإِنَّمَا يُنَاجِيْ رَبَّهُ أَوْ رَبَّهُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ قِبْلَتِهِ فَلاَ يَبْزُقَنَّ فِيْ قِبْلَتِهِ وَلَكِنْ عَنْ يَسَارِهِ أَوْ تَحْتَ قَدَمِهِ. رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ.

“Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu berkata, “Bahawa Nabi saw melihat kahak di arah kiblat, lalu beliau menggosoknya dengan tangannya, dan beliau kelihatan tidak menyukai hal itu. Lalu beliau bersabda: “Sesungguhnya apabila salah seorang kamu berdiri dalam solat, maka dia sesungguhnya berbincang-bincang dengan Tuhannya, atau Tuhannya ada di antara dirinya dan kiblatnya. Oleh kerana itu, janganlah dia meludah ke arah kiblatnya, akan tetapi meludahlah ke arah kiri atau di bawah telapak kakinya.” (HR. al-Bukhari [405]).

Hadith ini menegaskan bahawa Allah subhanahu wa ta‘ala berada di depan orang yang sedang shalat, bukan berada di langit.

Wahhabi akan terus berkata dengan menggunakan dalil yang lain dengan berkata: “Keyakinan bahawa Allah ada di langit itu ijma’ ulama salaf.” 

Jawapan Ahlus Sunnah Wal Jamaah :

Pada mulanya, wahhabi mengatakan bahawa dalil keyakinan Allah berada di langit adalah dari ayat-ayat al-Qur’an. Kemudian setelah hujjah Wahabi telah dapat dipatahkan, Wahhabi berhujjah dengan menggunakan hadith pula. Lalu setelah hujjah Wahhabi dapat dipatahkan lagi, sekarang mereka berdalil dengan ijma’ ulama salaf pula. Padahal ijma’ ulama salaf sejak generasi sahabat kesemuanya meyakini Allah subhanahu wa ta‘ala tidak bertempat. Al-Imam Abu Manshur al-Baghdadi berkata dalam al-Farqu Bayna al-Firaq:

وَأَجْمَعُوْا عَلَى أَنَّهُ لاَ يَحْوِيْهِ مَكَانٌ وَلاَ يَجْرِيْ عَلَيْهِ زَمَان

“Kaum Muslimin sejak generasi salaf (para sahabat dan tabi’in) telah bersepakat bahawa Allah tidak bertempat dan tidak dilalui oleh waktu.” (al-Farq bayna al-Firaq, 256).

Al-Imam Abu Ja’far al-Thahawi juga berkata dalam al-’Aqidah al-Thahawiyyah, risalah kecil yang menjadi kajian kaum Sunni dan Wahhabi:

وَلاَ تَحْوِيْهِ الْجِهَاتُ السِتُّ

“Allah subhanahu wa ta‘ala tidak dibatasi oleh arah yang enam.”

Mari kita perhatikan dialog antara Aswaja dan Wahhabi seterusnya :

Aswaja : “Menurut Anda, tempat itu makhluk bukan?” 

Wahhabi : “Ya makhluk.” 

Aswaja : “Kalau tempat itu makhluk, sebelum terciptanya tempat, Allah ada di mana?” 

Wahhabi : “Pertanyaan ini tidak boleh ditanya kerana ia adalah pertanyaan yang bid’ah.” 

Demikian jawapan sang Wahhabi. Ketika mereka tidak dapat menjawab pertanyaan, mereka tidak akan menjawab dengan lafaz "aku tidak tahu", sebagaimana tradisi ulama salaf dulu. Akan tetapi mereka akan menjawab, “Pertanyaanmu bid’ah dan tidak boleh bertanya seperti itu.” 

Wahhabi tidak mengetahui atau pura-pura tidak mengetahui bahawa Allah subhanahu wa ta‘ala WUJUD sebelum terciptanya alam. Para sahabat telah bertanya kepada Nabi saw, malahan Nabi saw tidak pernah menjawab kepada mereka bahawa pertanyaan tersebut adalah bid’ah. Al-Imam al-Bukhari meriwayatkan dalam Sohih-nya:

عَنْ عِمْرَانَ بْنِ حُصَيْنٍ قَالَ إِنِّيْ عِنْدَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم إِذْ دَخَلَ نَاسٌ مِنْ أَهْلِ الْيَمَنِ فَقَالُوْا: جِئْنَاكَ لِنَتَفَقَّهَ فِي الدِّيْنِ وَلِنَسْأَلَكَ عَنْ أَوَّلِ هَذَا اْلأَمْرِ مَا كَانَ. قَالَ: كَانَ اللهُ وَلَمْ يَكُنْ شَيْءٌ غَيْرُهُ
رواه البخاري

“Imran bin Hushain radhiyallahu ‘anhu berkata: “Aku berada bersama Nabi saw, tiba-tiba datang sekelompok dari penduduk Yaman dan berkata: “Kami datang untuk belajar agama dan menanyakan tentang permulaan yang ada ini, bagaimana sesungguhnya?” Rasulullah saw menjawab: “Allah telah ada dan tidak ada sesuatu apapun selain Allah.” (HR. al-Bukhari [3191])

Hadith ini menunjukkan bahawa Allah subhanahu wa ta‘ala tidak bertempat. Allah subhanahu wa ta‘ala telah ada sebelum adanya makhluk, termasuk tempat. Al-Imam al-Tirmidzi meriwayatkan dengan sanad yang hasan dalam al-Sunan berikut ini:

عَنْ أَبِيْ رَزِيْنٍ قَالَ قُلْتُ : يَا رَسُوْلَ اللهِ أَيْنَ كَانَ رَبُّنَا قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ خَلْقَهُ ؟ قَالَ كَانَ فِيْ عَمَاءٍ مَا تَحْتَهُ هَوَاءٌ وَمَا فَوْقَهُ هَوَاءٌ وَخَلَقَ عَرْشَهُ عَلىَ الْمَاءِ قَالَ أَحْمَدُ بْنُ مَنِيْعٍ قَالَ يَزِيْدُ بْنُ هَارُوْنَ الْعَمَاءُ أَيْ لَيْسَ مَعَهُ شَيْءٌ قَالَ التِّرْمِذِيُّ وَهَذَا حَدِيْثٌ حَسَنٌ.

“Abi Razin radhiyallahu ‘anhu berkata: “Aku berkata, wahai Rasulullah, di manakah Tuhan kita sebelum menciptakan makhluk-Nya?” Rasulullah saw menjawab: “Allah ada tanpa sesuatu apapun yang menyertainya. Di atasnya tidak ada sesuatu dan di bawahnya tidak ada sesuatu. Lalu Allah menciptakan Arasy di atas air.” Ahmad bin Mani’ berkata, bahwa Yazid bin Harun berkata, maksud hadith tersebut, Allah ada tanpa sesuatu apapun yang menyertai (termasuk tempat). Al-Tirmidzi berkata: “hadith ini bernilai hasan”. (Sunan al-Tirmidzi, [3109]).

Juga sebagaimana di sebutkan di dalam hadith Qudsi yang mana Allah berfirman : 

”Barangsiapa memusuhi wali-Ku sungguh Ku umumkan perang kepadanya, tiadalah hamba-Ku mendekat kepada-Ku dengan hal-hal yang fardhu, dan Hamba-Ku terus mendekat kepada-Ku dengan hal hal yang sunnah baginya hingga Aku mencintainya, bila Aku mencintainya maka Aku menjadi telinganya yang ia gunakan untuk mendengar, dan menjadi matanya yang ia gunakan untuk melihat, dan menjadi tangannya yang ia gunakan untuk memerangi, dan kakinya yang ia gunakan untuk melangkah, bila ia meminta pada-Ku niscaya Ku-beri permintaannya....” (Sohih Bukhari hadith No.6137)

Maka, adakah Allah benar-benar menjadi otot-otot manusia secara zahir seperti telinga, mata, tangan dan kaki sebagaimana yang disebutkan oleh hadits Qudsi di atas ini? Malahan, DIPERLUKAN untuk mentakwil hadith mutasyabihat tersebut dengan makna yang sesuai dengan ke-Esaan dan Keagungan Allah swt.

Dalam setiap dialog yang terjadi antara Aswaja dengan kaum Wahhabi, sudah pasti Aswaja mudah sekali mematahkan hujjah Wahhabi. 

1) Ketika Wahhabi mengajukan "hujjah" bathil mereka dengan menyalah-gunakan ayat al-Qur’an, maka dengan mudahnya "hujjah" bathil itu dipatahkan dengan ayat al-Qur’an yang lain. 

2) Ketika Wahhabi mengajukan "hujjah" bathil dengan menyalah-gunakan hadith Nabi saw, maka dengan mudahnya "hujjah" bathil itu dipatahkan dengan hadith yang lebih kuat. 

3) Dan ketika Aswaja memberi hujjah dengan dalil rasional, pasti Wahhabi tidak dapat membantah dan menjawabnya.

Keyakinan bahwa Allah subhanahu wa ta‘ala ada tanpa bertempat adalah keyakinan kaum Muslimin sejak generasi salaf, kalangan sahabat dan tabi’in. Sayyidina Ali bin Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu berkata:

كَانَ اللهُ وَلاَ مَكَانَ وَهُوَ اْلآَنَ عَلَى مَا عَلَيْهِ كَانَ

“Allah subhanahu wa ta‘ala ada sebelum adanya tempat. Dan keberadaan Allah sekarang, sama seperti sebelum adanya tempat (maksudnya Allah tidak bertempat).” (al-Farq bayna al-Firaq, 256).

Wallahu a'lam

Berbisnes Dengan Tuhan

Seorang lelaki tua, pakaian lusuhnya menampakkan jelas kefakiran yang dialaminya. Ia memasuki sebuah toko megah untuk membeli selimut. Dia memerlukan 6 helai selimut untuk keluarganya di musim sejuk ini. Tapi wang yang ia miliki hanyalah 100 riyal. Kata pakcik itu "wahai tuan, adakah tuan menjual 6 helai selimut yang berharga 100 riyal?".

Pemilik kedai berkata: "Oh ada pakcik, saya ada selimut bagus buatan Turki, harganya juga murah, hanya 20 riyal sehelai. Kalau pakcik beli 5 buah akan mendapat percuma 1 helai."

Lega... Terpancar kegembiraan di wajah lelaki tua itu. Segera ia menghulurkan lembaran wang 100 riyal miliknya. Dengan wajah berseri sambil membawa selimut ia berlalu pergi.

Teman si pedagang yang sejak tadi duduk memperhatikan ini berkata: "Engkau ini aneh sekali, bukankah kelmarin engkau mengatakan selimut itu jenis selimut termahal di tokomu ini, kalau tidak salah kelmarin engkau menawarkan nya kepadaku seharga 350 riyal sehelainya ?"

Pedagang itu menjawab: "Benar sekali, kelmarin aku menjual kepadamu 350 riyal tidak kurang sedikitpun. Kelmarin aku berdagang dengan manusia. Hari ini aku berdagang dengan ALLAH. Aku ingin keluarga lelaki tua tadi dapat terhindar dari kedinginan di musim sejuk yang akan datang tidak lama lagi. Aku berharap ALLAH menghindarkanku dan keluargaku dari panasnya api neraka di akhirat nanti. Demi ALLAH, kalaulah tidak karena menjaga harga diri lelaki tua tadi, aku tidak ingin menerima darinya wang sedikitpun. Aku tidak ingin ia merasa menerima sedekah sehingga merasa malu di hadapan kita di sini."

Saudaraku, sesungguhnya untuk bermuamalah yang benar kepada ALLAH, memerlukan seni dan akhlak yang tinggi. Semoga kita boleh mencontoh akhlak dari pedagang tersebut.

Semoga Bermanfaat.. Jadikan inspirasi hidup kita untuk menggapai kebahagiaan di negeri akhirat yang kekal abadi.

Dari Abu Hurairah dia berkata; Rasulullah SAW telah bersabda: "Barang siapa membebaskan seorang mukmin dari suatu kesulitan dunia, maka Allah akan membebaskannya dari suatu kesulitan pada hari Kiamat. Barang siapa memberi kemudahan kepada orang lain yang berada dalam kesulitan, maka Allah akan memberikan kepadanya kemudahan di dunia dan di akhirat." (HR Muslim) Kitab Fadhilat Sedeqah.

Wallahu’alam

Perkahwinan Dan Perceraian - Perbezaan Lafaz Taklik Di Malaysia.

Malaysia mempunyai lafaz taklik yang berbeza-beza antara satu sama lain mengikut negeri-negeri. Sebenarnya lafaz taklik adalah lafaz talak taklik (talak tergantung) yang dibaca dan dilafazkan oleh suami selepas akad nikah dijalankan. Ia bermaksud suami mengaitkan talak dengan sesuatu sifat atau syarat, sama ada mempunyai hubungan dengan isterinya, suami sendiri atau orang lain. 

Semua negeri mempunyai lafaz taklik, dan ia sudah menjadi suatu kemestian. Lafaz taklik ini akan dicatatkan sekali dalam Sijil Perakuan Nikah pasangan yang sudah berkahwin. Lafaz talak taklik yang disyaratkan selepas perkahwinan suami isteri berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain. Antara contoh seperti berikut: 

1) Terengganu:
“Saya dengan sesungguhnya melafazkan bahawa tiap-tiap kali saya tidak bersekedudukan dengan isteri saya (nama isteri) bagi selama tempoh empat bulan dengan tidak putus-putus, sama ada saya meninggal akan dia atau dia meninggal saya dengan ikhtiar atau dengan terpaksa dan tatkala ia mengadu ia kepada kadi dan tatkala sabit pada sisinya di atas ketiadaan sekedudukan selama itu maka tertalaklah isteri saya (nama isteri) itu dengan satu talak.” 

2) Kedah:
“Apabila aku tinggalkan isteriku (nama isteri) lamanya enam bulan Hijrah dan kemudian daripada itu mengadu ia kepada Kadi dan sabit yang demikian itu pada sisinya, maka kemudian daripada itu tertalaklah ia dengan satu talak” 

3) Perak 
a) “Tiap-tiap aku tinggalkan atau tiada aku memberi nafkah yang layak bagiku akan isteriku (nama isteri) tiga bulan atau lebih lamanya dan mengadu ia kepada mana-mana kadi syarie dan sabit pengaduannya pada sisi Kadi itu, maka tertalak isteriku itu dengan satu talak. 
b) Jika ada perbalahan kedua aku laki isteri maka mengadu isteriku (nama isteri) kepada mana-mana kadi syariah dan sabit pengaduannya pada sisi kadi itu, maka mengakulah aku akan bertaklik seperti yang dipersetujui kadi itu. Sekiranya ingkar aku daripada bertaklik sedemikian itu maka gugurlah satu talak di atas isteriku itu. 
c) Tiap-tiap aku rujuk akan isteriku (nama isteri), dengan tiada redanya, maka tertalaklah ia satu talak pula.” 

4) Selangor 
“Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh yang tersebut pada hal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada mahkamah syariah, dan apabila sabit aduannya di sisi mahkamah syariah, dan ia memberi kepada Mahkamah Syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khuluk.” 

Kebanyakan negeri memasukkan syarat jika suami meninggalkan isteri selama empat bulan atau lebih dengan sengaja atau paksa atau suami atau wakil suami tidak memberi nafkah kepada isteri selama tempoh itu, pada hal isteri masih taat kepada suami. 

Beberapa negeri lain meletakkan syarat meninggalkan isteri dalam tempoh berkenaan dan suami atau wakil suami tidak memberi nafkah kepada isteri pada hal isteri masih taat kepada suami. Dua syarat ini dibezakan dengan perkataan ‘dan’ dan ‘atau’. 

Kedah dan Pulau Pinang mensyaratkan tempoh yang lama iaitu enam bulan. Syarat talak taklik Terengganu berbeza dengan negeri lain di mana disyaratkan jika suami dan isteri tidak bersekedudukan selama empat bulan berterus-terusan, sama ada suami meninggalkan isteri atau isteri meninggalkan suami, sama ada dengan sukarela atau terpaksa. 

Perak pula meletakkan syarat jika berlaku perbalahan antara suami dan isteri, maka isteri boleh mengadu kepada hakim untuk mensabitkan talak taklik itu. 

Kebanyakan negeri meletakkan syarat jika suami menyakiti atau mendatangkan sebarang mudarat kepada tubuh badan isteri, maka isteri boleh mengadu kepada Hakim untuk mensabitkan talak taklik itu. 

Melaka mensyaratkan jika suami tidak mempedulikan isteri lamanya empat bulan, isteri boleh memohon cerai taklik. 

Sabah meletakkan syarat tambahan jika suami menyakitkan tubuh badan atau kehormatan atau harta benda isteri, maka aduan untuk mensabitkan talak taklik boleh dibuat oleh isteri. 

Johor memasukkan syarat tambahan jika suami ghaib selama setahun atau lebih, isteri boleh mengadu untuk mensabitkan talak taklik berkenaan. Syarat ini tidak terdapat dalam syarat taklik di negeri lain. 

Melihat dari segi jenis talak jika Mahkamah mensabitkan talak taklik juga berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain. Kelantan, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Johor misalnya, jika syarat taklik disabitkan oleh hakim, maka isteri perlu membayar RM1 dan selepas perceraian boleh disabitkan dengan cerai khul’ (tebus talak). Tetapi di negeri lain, jika syarat taklik disabitkan oleh Hakim, isteri tertalak dengan satu talak rajie. 

Perbezaan seperti ini tidak seharusnya berlaku kerana umat Islam di Malaysia berpegang kepada mazhab Syafei yang sama. Perbezaan ini walaupun nampak kecil, beban untuk membuktikan syarat ini di Mahkamah berbeza antara satu sama lain. 

Apakah Maksud Cerai Melalui Lafaz Taklik?

SUMBER ASAL: CERAI TAKLIK


PENGERTIAN TA‘LIQ

Ta‘liq ialah lafaz yang diucapkan sebagai syarat untuk membatalkan pernikahan jika berlakunya sesuatu yang bertentangan dengan ta‘liq tersebut.

Ta’liq : iaitu menggantungkan perceraian kepada sesuatu masa atau sesuatu perbuatan seperti kata suami kepada isterinya: “Sekiranya kau pergi ke tempat tertentu maka kau tertalaq.”

Perceraian tidak berlaku semasa suami melafazkan ta’liq tetapi hanya berlaku sekiranya syarat yang disebut dalam lafaz ta’liq tersebut dilanggar.

Di Malaysia cerai ta’liq ini adalah suatu bentuk perceraian yang biasa diamalkan. Selepas akad nikah seseorang suami dikehendaki melafazkan ucapan ta’liq dan menandatangani surat ta’liq di hadapan juru nikah.

Contohnya seperti di Wilayah Persekutuan, lafaz ta’liq tersebut adalah: 
“Bahawa adalah saya mengaku apabila tinggalkan isteri saya (nama) selama empat bulan Hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan dan saya atau wakil saya tidak memberi nafkah kepadanya selama masa yang tersebut pada hal atau saya melakukan sebarang mudharat kepada tubuh badannya kemudian ia mengadu kepada Mahkamah Syariah dan memberi kepada Mahkamah Syariah yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khulu” 
[Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, Kaedah-kaedah Keluarga Islam (borang dan Fee) 1985 (seksyen 134(3)]

SYARAT TA’LIQ
1. Suami - Hendaklah mempunyai keahlian menjatuhkan cerai dengan melafazkan kata-kata ta‘liq.
2. Belum berlaku - Hendaklah ta‘liq ke atas perkara yang belum berlaku atas perkara yang mungkin berlaku.
3. Isteri - Hendaklah menjadi ahli cerai (masih menjadi isteri yang sah).

Contohnya suami berkata kepada isteri: “Jika engkau keluar dari rumah ini sepanjang ketiadaan aku, jatuhlah talaq engkau” atau “Apabila engkau pergi ke rumah si anu, jatuhlah talaq” atau “Manakala engkau pergi ke sana tanpa izinku jatuh talaq” atau sebagainya.

Apabila berlakunya perkara yang bertentangan dengan syarat yang dilafazkan, maka terjatuhlah talaq menurut hukum syara‘.

PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG MENGENAI TA‘LIQ

Berdasarkan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002, Seksyen 50, seseorang perempuan yang bersuami boleh jika berhak memohon penceraian menurut syarat-syarat ta‘liq yang dibuat selepas akad nikah. Kandungan lafaz ta‘liq tersebut :

1. Meninggalkan isteri selama empat bulan berturut-turut.
2. Tidak memberi nafkah yang wajib selama empat bulan berturut-turut.
3. Menyakiti tubuh badan isteri.
4. Suami tidak mempedulikan isteri selama tempoh empat bulan berturut- turut.


RINGKASAN MAKSUD CERAI TA’LIQ

Ta'lik membawa maksud mensyaratkan atau menggantungkan sesuatu kepada sesuatu yang lain. Cerai ta'lik ini berlaku dalam beberapa hal :

Ta'lik yang diucapkan suami di hadapan Kadi dan saksi setelah ijab kabul sebagaimana yang termaktub di dalam sijil pernikahan.

Perceraian seumpama ini (ta'lik yang diucapkan suami di hadapan Kadi) hanya boleh disabitkan oleh Hakim di dalam perbicaraan. Perkara ini berlaku jika isteri ingin menuntut perceraian di hadapan Hakim, sementara suami tidak mahu menceraikan isterinya dan belum melafazkan talak kepadanya. Isteri dikehendaki membuktikan bahawa suaminya telah melanggar perjanjian (Ta'lik) yang telah dibuat sewaktu bernikah dahulu.

Jika Hakim dapati suami telah melanggar ta'lik dengan hujah yang jelas yang dikemukakan oleh isteri di dalam perbicaraan, maka Hakim berhak memisahkan kedua pasangan dan menghukumkan jatuh talak kepada pasangan tersebut.

Ta'lik yang diucapkan oleh suami kepada isterinya sebagai contoh:
"Jika awak keluar rumah ini, maka jatuhlah talak satu kepada kau"
Jika isteri tetap keluar dari rumah tersebut setelah memahami ucapan yang dibuat oleh suaminya maka jatuhlah talak ke atasnya. Tetapi jika ada lafaz tambahan umpama kalimah "hari ini", dalam lafaz yang diucapkan oleh suami, maka jika isteri keluar dari rumah pada esok hari, lusa atau sebagainya maka tidaklah jatuh talak ke atasnya. 

Walau bagaimanapun, pasangan dinasihatkan agar membuat pengaduan di Mahkamah Syariah bagi mendapatkan pengesahannya.


SOAL JAWAB (ISU-ISU BERBANGKIT)

SOALAN PERTAMA
Kata-kata daripada seorang si suami kepada si isteri. "Kalau awak keluar lagi bekerja selepas ini,aku cerai kau dengan talak 1" Namun, selepas berbincang dan berbaik semula,si suami akhirnya membenarkan isterinya kembali bekerja.
Apakah lafaz yang dikeluarkan boleh diterima pakai?
Jika lafaz tersebut sah,apakah yang patut dilakukan oleh kedua pasangan tersebut?

JAWAPAN
Apa yang yang berlaku adalah lafaz ta'liq cerai. Ini bermakna apabila ia menybeut demikian, si isteri tidak dibenarkan sekali-kali untuk melanggarnya atau talaq akan jatuh secara pasti.
Adapun dalam konteks "setelah berbincang semula dengan suami, dan suami benarkan pulak” 

Majoriti ( Jumhur) para ulama Islam silam ( termasuk ulama dari 4 mazhab) dan kini menyebut bahawa lafaz ta'liq tidak boleh di batalkan lagi apabila telah diucapkan, niat si suami juga tidak perlukan untuk dipastikan dalam konteks lafaz yang sebegini terang dan jelas (kecuali beberapa pandangan seperti Syeikhul Islam Ibn Taymiah dan Ibn Qayyim yang menyebut kecuali jika lafaz ta'liq tadi diniatkan oleh suami sebagai lafaz sumpah untuk menunjukkan tegahan yang amat amat serius dan bukan untuk menceraikan jika ia melanggarnya. 

Bagaimanapun pengecualian ini sukar untuk dibayangkan berlaku di suasana malaysia kerana ia adalah suasana orang Arab sahaja yang sememangnya kerap bermain dengan sumpah seperti ini)

Kecuali terdapat satu pandangan dalam mazhab Hanbali yang MENGHARUSKAN pembatalan talaq ta'liq sebagaimana di sebuat dalam kitab al-Furu' oleh Ibn Mufleh.
Hasilnya, menurut 4 mazhab ; apabila si isteri keluar bekerja selepas itu walaupun dengan izin suami, talaq 1 tetap akan jatuh.

Wallahu a'lam dalam hal di Malaysia, Mahkamah Syariah di Malaysia juga mengambil pandangan majoriti Mazhab. Iaitu talaq Ta'liq TIDAK BOLEH DI TARIK BALIK.


SOALAN KEDUA
Seseorang isteri yang mana merupakan isteri kedua dalam perkahwinan dan suami tidak diredhai isteri pertamanya menyebabkan dia (isteri pertama) menfailkan cerai di mahkamah. Namun, suami enggan menceraikannya. Oleh itu kes mereka selesai di luar mahkamah tetapi isteri pertama itu memberi syarat bagi dia menarik balik kes cerai tersebut. 

Syaratnya, suami perlu ceraikan isteri kedua tersebut sebagai contoh diberikan dalam tempoh dua bulan dari tarikh kes ditarik balik, atau isteri pertama itu yang akan mohon fasakh selepas itu. Suami setuju dengan syarat tersebut dan kes di mahkamah tersebut selesai.

Hingga sekarang,isteri kedua dan suami masih hidup seperti suami isteri. Suami memberitahu kepada isteri kedua bahawa dia bersetuju dengan syarat yang diberi oleh isteri pertamanya itu bagi mengelakkan berlaku perceraian antara mereka yang melibatkan masa depan anak-anak.

Isteri kedua tersebut meragui kedudukannya sekarang sama ada dirinya masih isteri yang sah ataupun sudah dita'liqkan oleh suaminya walaupun dia tidak berniat untuk berbuat demikian.

JAWAPAN
Perceraian dan taklik berlaku atas kehendak dan pilihan suami. Dalam hal ini, saya dapati suami 'terpaksa' menuruti kehendak isteri pertama untuk menjaga rumahtangga yang dibina sekian lama di mana terdapat kepentingannya bagi mengelak kemudharatan rumahtangga mereka. 

Oleh kerana pengakuan 'perceraian' yang dilakukan suami atas 'paksaan', ia tidaklah jatuh talaknya. Suami kepada isteri tersebut sendiri menyedari hukum ini dan mengakuinya sekadar melepaskan masalah pada ketika itu.


SOALAN KETIGA
Bagaimana nak bezakan antara lafaz ta'liq dan ugutan/ancaman? Lafaz ta'liq mesti mengandungi perkataan talaq atau cerai ke? Merujuk soalan sebelum ini, bagaimana kalau ia merupakan satu ugutan? adakah jatuh talak bila isteri melanggarnya?


JAWAPAN
Cerai taklik ialah cerai yang digantung ataupun disyaratkan dengan sesuatu. Contohnya seperti suami berkata kepada isterinya, "Sekiranya kamu keluar dari rumah pagi ini ataupun kamu pulang ke rumah ibu kamu tanpa izin saya, maka gugurlah satu talak". Jatuh satu talak sekiranya isterinya melakukan perkara yang ditaklikkan itu. Lafaz taklik mesti mengandungi perkataan yang membawa kepada maksud talak atau cerai.

Manakala ugutan pula ialah kata-kata yang bertujuan untuk menakut-nakutkan supaya melakukan atau mematuhi sesuatu. Ia adalah ucapan yang umum dan tidak mengandungi perkataan yang membawa kepada maksud talak atau cerai.

Dalam hal ini, berpandangan jika ugutan yang dibuat mengandungi perkataan yang membawa kepada maksud talak atau cerai akan jatuh talak sekiranya isteri melanggarnya. Jika ugutan tersebut mengandungi perkataan yang membawa maksud talak atau cerai, dinasihatkan agar tuan membuat pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Syariah yang berhampiran dengan tempat tinggal bagi memastikan sama ada berlaku cerai atau sebaliknya kerana pengesahan lafaz cerai terletak dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah.

Juga dinasihatkan agar jangan memandang ringan dan mengambil mudah tentang talak. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Tiga perkara yang disungguh-sungguhkan akan menjadi sungguh dan diacah-acahkan akan menjadi sungguh iaitu nikah, talak dan rujuk"


PROSEDUR-PROSEDUR BAGI MEMOHON CERAI SECARA TA’LIQ

1. Apakah prosedur yang perlu dilakukan bagi membuat permohonan perceraian secara ta’lik? 

JAWAPAN
Apabila berlakunya perlanggaran seperti mana dibelakang surat daftar nikah maka mengadu kepada mana-mana mahkamah syariah dengan memulakan prosiding dengan saman yang disertakan dengan pernyataan tuntutan yang menjelaskan secara terperinci mengenai perlanggaran taklik talak. Saman hendaklah diserahkan kepada suami secara ke diri. 

Dan apabila gagal boleh dikemukakan saman gantian seperti iklan diakhbar, lekat saman di alamat terakhir dan surau atau masjid yang berdekatan dengan alamat suami serta papan kenyataan mahkamah. Apabila prosding tersebut sempurna mahkamah akan menetapkan tarikh perbicaraan. 

Pada masa tersebut isteri hendaklah memberikan keterangan dan membuktikan setakat mana perlanggaran taklik talak tersebut berlaku. Saksi-saksi dikemukakan bagi menyokong keterangan isteri. Dan diakhir perbicaraan sumpah yamin istizhar ke atas isteri dan mahkamah akan mensabitkan perceraian secara takliq sekiranya keterangan isteri diyakini oleh hakim bicara tersebut sabit akan aduannya. 

Sekiranya suami hadir suami juga perlu member keterangan dan dibawa dua saksi atau lebih. Mahkamah akan menilai keterangan pihak-pihak dan berdasarkan syahadah dan qarinah mahkamah akan membuat keputusan sama ada menerima atau menolak

2. Apakah halangan-halangan yang terdapat semasa melaksanakan pemohonan cerai ta’lik?

JAWAPAN
Antara halangan menyukarkan prosiding ini iailah :
a) Tiada saksi 
b) Saksi tak mencukupi 
c) Keterangan hanya dengar cakap (hearsay) 
d) Pemohon dan saksi tak dhobit atau kuat lupa 
e) Keterangan bercanggah dan tak konsisten 
f) Menipu mahkamah 
g) Isteri yang meninggalkan suami terlebih dahulu

3. Berapa tempoh bagi satu kes cerai ta’lik dapat diselesaikan?

JAWAPAN
Sekiranya melibatkan perbicaraan sebelah pihak secepat kes adalah 3 bulan atau 3 kali sebutan dan selewatnya adalah 6 bulan atau 6 kali sebuatn dari tarikh kes difailkan. Sekiranya kedua pihak hadir dan masing-masing bertikai dan tidak mahu menyelesaikan kes paling awal dalam 6 bulan kes selesai dan selewatnya 2 ke 3 tahun kes akan selesai, bergantung kepada keterangan pihak-pihak. Namun sekiranya kedua pihak berkompromi dan untuk menyelesaikan kes secara sulh dengan sekali sebutan sahaja iaitu dipinda perceraian taklik kepada seksyen 47 enakmen keluarga islam perceraian persetujuan.

Kisah Othman Yang Asalnya Seorang Ateis Dalam Mencari Kebenaran

Othman asalnya adalah seorang ateis. Setelah memeluk Islam dia memilih nama Othman sebagai panggilan untuk dirinya. Ikuti kisahnya yang menarik.

Ayah Othman meninggal dunia ketika dia hanya berusia setahun dan dia dibesarkan sebagai seorang ateis (orang yang tidak percaya kepada Tuhan) di kalangan orang-orang yang tidak mempercayai Tuhan. Dia memiliki sebuah keluarga yang kecil yang terdiri daripada ibunya, seorang kakak dan dirinya sendiri. Dia juga mempunyai saudara mara yang datang sekali sekala untuk menjenguk keluarganya. 

Sememangnya fitrah berTuhan atau rasa Tuhan itu wujud memang ada di dalam diri setiap manusia. Sejak zaman kanak-kanak lagi, Othman sudah mempunyai keyakinan di dalam hati bahawa Tuhan itu wujud. Walaupun keluarganya ialah ateis, entah mengapa bayangan tentang tidak ada kehidupan sama sekali selepas mati benar-benar membuatkan Othman rasa takut. 

"Saya mula menangis dan menjerit-jerit dan keluarga saya tidak dapat menolong saya kerana mereka tidak mempercayai akan hidup selepas mati. Markah saya di sekolah lantas merosot pada waktu itu," katanya. 

Othman menghadiri kelas-kelas agama di gereja hanya untuk membolehkannya keluar lebih awal dari sekolah dan dalam salah satu kelas tersebut, dia telah bertanyakan satu soalan kepada guru yang mengajar, "Bilakah Jesus tahu yang dia seorang Tuhan?" Sudah tentu guru itu tidak dapat menjawab Othman, kerana sememangnya Jesus bukan Tuhan tetapi hanyalah manusia biasa. 

Peringkat kanak-kanak yang begitu mengelirukan dan memeningkan kepalanya akhirnya berlalu dan Othman terus meningkat dewasa bersama-sama soalan-soalan yang semakin bertambah dan adalah penting untuk Othman mencari jawapannya. 

Dia mula membaca pelbagai buku-buku agama yang berbeza tetapi mereka semuanya tidak membawanya kepada kebenaran. Dia menemui beberapa orang yang ada menyebut akan agama Islam, tetapi tidak pula menerangkan apa-apa mengenai ajaran agama itu sendiri. 

Satu hari, dia terbaca di dalam sebuah kitab Bible, "Sekiranya kamu mencari, kamu akan menemuinya". Dari situlah bermula perjalanannya yang panjang dalam mencari kebenaran. 

"Tuhan, saya akan mengembara. Tolonglah temukan saya kepada kebenaran," doanya sebelum dia memulakan kembaranya. 

Othman menjelajahi benua Amerika dengan menumpang-numpang kereta orang, dari satu bandar ke satu bandar dengan fikiran yang penuh kekusutan dan kekeliruan. Namun, dia tidak menemui apa yang diharapkannya. Othman hampir putus asa. “Begini susahkah untuk mencari kebenaran?” bisik hati Othman. 

Namun, dia tetap yakin yang Tuhan tidak akan mensia-siakannya. Dia begitu yakin bahawa Tuhan mengetahui segala isi hatinya dan sangat mengasihi hamba-hambaNya. Kalau seekor ibu kucing pun sayangkan anaknya, tentulah Tuhan yang Maha Sempurna itu lebih sayangkan manusia ciptaan-Nya. “Takkanlah Tuhan menciptakan aku, dan selepas itu Dia membiarkan aku. Tuhan begitu mengambil berat kepadaku selama ini. Tidak pernah satu detik pun aku tidak diberikan udara untuk bernafas. Sudah tentulah pencarianku akan kebenran tidak akan disia-siakan Mungkin, Tuhan mahu menguji kesungguhanku,” fikir Othman. Lantas, Othman pun terus mencari. Dia bertolak pula ke Eropah dan menghabiskan masa sebulan di London. 

Sewaktu dia di London, dia tidak tahu apa yang hendak dilakukannya dan dia pun pergi ke kedai-kedai buku dan restoran. Sepanjang-panjang perjalanannya itu, dia sentiasa berdoa kepada Tuhan agar Tuhan memberinya petunjuk dan panduan. 

"Saya begitu takut kalau-kalau saya tersalah langkah atau bertemu dengan orang yang salah yang mungkin membawa saya kepada kesesatan," terang Othman. 

Pada satu hari, dia pergi ke sebuah kedai buku dan melihat-lihat di dalamnya. Dia ternampak akan sebuah buku yang berjudul Muhammad. Dia pun mengambil buku tersebut untuk mengetahui apakah isi kandungan di dalam buku itu. 

Dua orang lelaki yang berada di dalam kedai itu memerhatikannya. Mereka pun mendekatinya dan bertanya, "Adakah anda berminat dengan Nabi Muhammad (s.a.w.)" Othman tidak tahu apa yang harus dijawabnya kerana dia tidak tahu siapakah Muhammad yang diperkatakan di dalam buku yang telah diambilnya itu. 

Kedua-dua lelaki tersebut, seorang daripadanya ialah lelaki Muslim berbangsa Amerika dan seorang lagi berbangsa Inggeris membawa Othman ke sebuah kedai kopi dan menerangkan tentang Islam kepadanya. 

"Saya dapat merasakan dalam hati saya bahawa saya akhirnya menemui apa yang telah saya cari-cari selama ini. Saya benar-benar yakin dengan penerangan mereka itu," sambungnya lagi. 

Kedua-dua lelaki itu kemudian membawa Othman ke rumah mereka dan mengajak dia tinggal bersama mereka. Cukup sekadar melihat ibadah dan akhlak mereka, Othman mempelajarai banyak tentang Islam. Othman memeluk Islam hanya selepas seminggu dia berada bersama-sama rakan-rakannya yang baru dikenalinya itu. 

Benarlah ayat yang telah dibaca Othman sebelum ini. Allah pasti memberikan kebenaran kepada orang yang mencarinya. Kini, Othman hidup dengan tenang dan menghabiskan usianya untuk berdakwah mengajak orang lain kepada Islam. 

Nota: 
Ateis- orang yang tidak percaya kepada Tuhan dan hidup selepas mati. 
Jesus – Panggilan Nabi Isa oleh orang Kristian. Mereka mempercayai bahawa Jesus ialah anak Tuhan. 
Bible - Kitab Injil (salah satu kitab yang diturunkan Allah SWT) yang sedikit sebanyak sudah diubah isi kandungannya dari yang asal. Hakikatnya isi kandungan Bible sudah tidak asli seperti kitab Injil yang asal diturunkan pada Nabi Isa as. Namun, tidak dinafikan masih ada lagi mengandungi ayat-ayat yang benar.
 

Sample text

Sample Text

Sample Text