Kedua-dua tanah suci Mekah dan Madinah terus mengalami perubahan dan pembangunan pesat. Projek bertaraf mega terus menerus muncul tanpa henti. Ianya terpusat pada program perluasan Masjidil Haram yang sentiasa berlaku dari masa ke semasa. Yang terkini ialah pembesaran mega ke atas Masjidil Haram melibatkan sebahagian besar kawasan kota Mekah yang sedia ada. Projek hiliran lain seperti perhotelan, penempatan dan pengangkutan turut terseret di'mega'kan. Dari sudut pengangkutan, kota suci Mekah dan Madinah dijangka akan mempunyai jaluran keretapi terpantas pada tahun hadapan. Ianya adalah projek keretapi halaju tinggi Al Haramain sepanjang 450 kilometer yang akan menyambungkan Kota Suci Mekah dan Madinah. Projek ini dibina bertujuan memastikan pengangkutan awam yang efisien terutama ketika umat mengerjakan haji dan umrah. Selain berhenti di Mekah dan Madinah, kereta halaju tinggi ini akan melewati Jeddah dan juga Rabigh. Kos pembinaannya dianggarkan mencecah USD 10.7 billion ...