Social Icons

Isnin, 17 Oktober 2016

Calon Isteri - Antara Anak Dara (Gadis) Dengan Janda

Ada orang menghadapi masalah dalam memilih calon isteri, terutama jika perlu membuat keputusan sama ada memilih wanita masih gadis atau wanita yang sudah bergelar janda.

Persoalan ini jika ditanya kepada dua ibu bapa, pasti mereka mahukan anak lelaki mereka memilih wanita yang masih gadis. Tentunya bagi ibu bapa, ada penilaian tertentu dalam memilih antara dua status wanita yang mahu dikahwinkan dengan anak mereka.

Meskipun ada yang menganggap berkahwin dengan anak dara atau janda seperti tidak ada bezanya, pada prinsipnya Islam menggalakkan lelaki terutamanya bagi yang belum pernah berkahwin memilih calon isteri dari kalangan wanita yang masih gadis. 

Ini tidak bererti janda tidak boleh dijadikan isteri, namun apabila membabitkan dua pilihan, sebaik-baiknya pilihlah wanita masih gadis. Keutamaan ini demi untuk kebaikan pasangan itu sendiri. Alasannya, janda kemungkinan tidak dapat memberikan sepenuh kasih sayang kepada suaminya yang kedua atau seterusnya. 

Mereka mungkin lebih memberi keutamaan terhadap anak- anak jika sudah ada anak. Bagi janda yang tidak ada anak, mungkin mereka menghadapi masalah menyesuaikan hubungan kemesraan dengan suami kedua atau seterusnya setelah kehilangan suami pertama. 

Hasilnya kemesraan yang dilahirkan mungkin tidak berbentuk hakiki. Mereka hanya melakukan atas dasar kasihan tanpa merasai kasih sayang yang sebenarnya.Ini berbeza dengan gadis, mereka melayani suami sepenuh hati, ikhlas dan bukannya berdasarkan kepada pengalaman. Kerana itulah pengalaman pertama dia menempuh kehidupan bersuami atau berumah tangga. 

Perakuan Islam mengenai keikhlasan wanita dalam hubungan dengan suami banyak terdapat di dalam hadis Rasulullah. Namun yang jelas, keikhlasan amat berhubung kait dengan wanita masih gadis atau yang belum pernah bersuami. 

Hadis daripada Jabir mengatakan: “Kami bersama-sama Nabi SAW. di dalam peperangan. Ketika pulang dan hampir sampai ke Madinah, aku berkata kepadanya: "Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku telah berkahwin." Rasulullah bertanya: "Kamu telah berkahwin?" Aku menjawab: "Ya," Rasulullah bertanya lagi: "Dara atau janda?" Aku menjawab: "Janda." Rasulullah terus bertanya: "Mengapa tidak dengan wanita dara? Kamu boleh bermain-main dengannya." (Riwayat Shaikhan). 

Dalam riwayat yang lain Rasulullah SAW. bertanya: "Mengapa tidak anak dara? Kamu boleh bermain-main dengannya dan dia boleh bermain-main denganmu." (Riwayat Khomsah) 

Hadis ini jelas menerangkan keutamaan wanita dara berbanding janda dalam memilih calon isteri. Keterangan ini tidak bermakna menghina orang yang berkahwin dengan janda. Ia sekadar menerangkan keistimewaan wanita yang masih gadis. Wanita masih gadis sangat pemalu berbanding janda ketika bertemu dan berdua-duaan. Wanita yang pemalu akan memberikan kenikmatan yang tinggi berbanding wanita yang sudah janda. 

Ini kerana, gadis belum pernah disentuh oleh lelaki dan mereka juga belum merasainya. Oleh itu, perlakuan mereka akan terangsang kerana ia pengalaman pertama bagi mereka. Sebuah hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari menyebutkan Saiyidatina Aisyah begitu bermanja dengan Rasulullah SAW kerana Baginda belum pernah berkahwin dengan dara selain darinya. 

Aisyah bertanya Rasulullah: "Sekiranya kamu pergi ke sebuah lembah yang mempunyai pokok telah dimakan dan sebatang lagi belum dimakan, mana satu yang disukai oleh untamu?" Rasulullah menjawab: "Pokok yang belum dimakan."

Pertanyaan Aisyah itu walaupun ditujukan kepada pokok dan unta, tetapi pengertian sebenarnya ada kaitan dalam soal memilih wanita yang sudah bergelar janda atau wanita masih gadis untuk dijadikan isteri.

Malah yang lebih penting lagi Rasulullah sendiri secara spontan seolah-olah memberi gambaran wanita masih gadis lebih sesuai dijadikan pilihan. Gadis diberi keutamaan oleh Islam dalam memilih calon isteri. Hal ini diperkuatkan lagi oleh penegasan Rasulullah sebagaimana dijelaskan oleh hadis di atas. 

Di sini timbul persoalan apakah keistimewaan gadis berbanding janda? Sebenarnya hikmah dan rahsia yang tersembunyi di sebalik galakan tersebut boleh dirumuskan seperti berikut, antaranya:

Sifat dan sikap isteri masih gadis lebih memuaskan hati, mereka melayan suami dengan penuh kasih sayang. Mereka mampu bergurau senda dan terlalu mengambil berat sebarang masalah yang dihadapi oleh suaminya.

Wanita masih gadis dapat memberikan kasih sayang sepenuhnya kerana ia pengalaman pertama menempuh kehidupan berumah tangga. Oleh itu, mereka akan teruja untuk menjaga kerukunan rumah tangga agar kekal selama-lamanya. Emosi mereka tidak bercelaru kerana belum pernah disentuh oleh lelaki lain melainkan suaminya. 

Wanita seperti ini sudah semestinya mendapat pujian daripada Allah sebagaimana yang terdapat di dalam al-Quran: "Maka wanita-wanita yang baik itu ialah yang taat, memelihara (perkara-perkara) yang tersembunyi dengan cara yang dipeliharakan oleh Allah." (Surah An-Nisa:34)

Maksud ‘memelihara (perkara-perkara) yang tersembunyi' itu ialah wanita Solehah dapat menjaga diri dan harta suami semasa ketiadaan suami. Mereka juga berpegang kepada janji setia serta tiada mengkhianati suami mereka. 

Pujian sedemikian bukan saja dinyatakan di dalam al-Quran, malah Rasulullah ada menyebutnya di dalam sebuah hadisnya mengenai topik `sebaik-baik wanita'. Sabda Rasulullah: "Sebaik-baik wanita ialah wanita yang apabila kamu lihat akan mengembirakanmu dan apabila kamu suruh, dia akan mentaatimu. Apabila kamu tiada disisinya, dia akan menjaga dirinya dan hartamu."

Bagi wanita yang sudah bergelar janda, mereka tergolong dalam kelompok yang sudah mempunyai pengalaman tersendiri mengenai lelaki. Oleh itu, pengalaman bersama suami yang terdahulu ada kemungkinan lebih mempengaruhi sifat dan layanan mereka terhadap suami kedua. 

Mungkin mereka cepat marah dan kecewa sekiranya suami kedua melakukan perbuatan menyerupai suami pertama sedangkan perbuatan itu memang tidak disukainya. Ini tentunya akan merenggangkan hubungan kasih sayang mereka berdua. 

Dalam soal keupayaan seks pula, jika suami pertama lebih hebat dan memang disukainya, tetapi tidak pula dapat dilakukan oleh suami kedua, maka keadaan ini mungkin dijadikan perbandingan oleh wanita bergelar janda. Ada kemungkinan dia akan memperkecil atau memperlekehkan tahap keupayaan suami baru itu. 

Pengalaman daripada perkahwinan pertama sebenarnya sedikit-sebanyak mendorong mereka membuat keputusan ketika hidup dengan suami kedua. Ada ketikanya, keputusan itu tidak disukai oleh suami kedua. Keadaan ini boleh mencetus rasa tidak selesa yang lambat laun boleh mengganggu kerukunan sesebuah rumah tangga. 

Suami tentunya mengharapkan kasih sayang yang tidak berbelah bagi dan ini memaksa isteri melupakan terus pengalaman silamnya. Paksaan seperti ini mungkin tidak akan berjaya kerana sifat semula jadi wanita mudah terdedah kepada khayalan dan pengalaman yang pernah dilalui. 

Emosi wanita bergelar janda mudah terdedah dengan kecelaruan dan mungkin tidak dapat melayani suami baru dengan sepenuhnya. Pada waktu yang sama, mereka cuba mencari kelainan yang terdapat pada diri suami kedua berbanding suami pertama. Akibatnya, kasih sayang yang mereka jalinkan tidak lagi ikhlas. Ada ketikanya perasaan cinta terhadap suami pertama tidak akan padam dari sanubari wanita janda walaupun mereka telah berkahwin lain. 

Ini berbeza dengan gadis, cinta dan perasaan kasih sayang hanya tercurah kepada suaminya semata-mata. Seperkara yang harus diakui, wanita bergelar janda selalunya tidak diterima baik oleh keluarga lelaki terutama oleh kedua ibu bapa. Tentangan keluarga lebih dirasai lagi apabila membabitkan lelaki yang belum pernah berkahwin. Justeru, perkahwinan dengan janda sepatutnya tidak dijadikan pilihan utama, kerana hubungan kekeluargaan perlu dipelihara secara berterusan.

Apa yang diperkatakan ini tidaklah suatu yang zalim kepada kaum janda. Secara ilmunya demikianlah yang di bahaskan. Tetapi secara praktikalnya, yang berlaku dalam kehidupan seharian, perkahwinan tetaplah terjadi – walaupun dengan janda apabila adanya jodoh ketentuan Allah.

Bahkan dalam masyarakat yang memperjuangkan sistem hidup Islam, hal kebajikan janda-janda menjadi keutamaan yang diperhatikan. Adalah tidak patut membiarkan wanita janda hidup sendirian sedangkan mereka sudah pernah merasai atau mengecapi kehidupan bersuami isteri.

Islam sama sekali tidak menzalimi mereka. Justeru wanita janda lebih-lebih lagi akan tetap diuruskan perkahwinan mereka untuk kali kedua. Tentunya bagi wanita yang bercerai, akan diusahakan terlebih dahulu sekiranya mereka mahu rujuk kembali dengan suami terdahulu.

Keutamaan tentunya agar rumah tangga mereka diselamatkan daripada perceraian. Usaha mendamaikan suami isteri agar tidak berlaku perceraian adalah usaha terpuji terutama melihat kepada anak-anak yang perlukan ibu bapa dalam hidup mereka.  


Sekiranya perceraian tidak boleh dielakkan, biarlah ianya berlaku secara harmoni dan berlapang dada. Dan jika mereka bersetuju, perkahwinan dengan suami yang baharu boleh dijalankan sebaik habis tempuh iddah. Tempuh mereka hidup menjanda seboleh-bolehnya tidak dibiarkan berlama-lama. Kehidupan berkeluarga tetaplah menjadi satu keperluan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text