Dengan rahmat Tuhan, Ramadhan tiba lagi. Ramadhan membawa hadiah-hadiah yang terlalu banyaknya, mahal & besar-besar dari Tuhan.
Hadiah buat orang bertaqwa, bukan untuk orang Islam. Lebih-lebih lagi bukan untuk orang yang zalim & fasiq.
Hadiah dari Tuhan yang bermacam-macam, diletakkan di dalam batil-batil dari bahan-bahan yang mahal.
Di antara hadiah-hadiah itu ialah :
▫hadiah keampunan Tuhan, hadiah terbesar buat orang yang bertaqwa.
▫hadiah keredhaan-Nya juga mahal.
▫kasih sayang-Nya yang sangat diperlukan.
▫rahmat-Nya.
▫berkat dari-Nya dunia Akhirat.
▫diberi-Nya pahala berganda-ganda.
▫hadiah lailatul qadar diberi ganjaran seribu tahun beribadah.
▫akhirnya Syurga Tuhan yang kekal abadi.
Kedatangan Ramadhan yang sebenarnya bertukar-tukar hadiah, di antara hamba-hamba dengan Tuhan. Hadiah di antara dua pihak bukan satu pihak sahaja.
Hadiah dari Tuhan adalah mahal nisbah hamba. Hadiah dari hamba adalah mahal juga untuk Tuhan.
Siapa yang dapat menghadiahkan sesuatu yang mahal kepada Tuhan, maka dapatlah hadiah dari Tuhan yang juga sangat mahalnya.
Rupanya ketibaan Ramadhan pun bertukar-tukar hadiah di antara hamba dengan Tuhan. Tidak semua hadiah hamba dibalas hadiah oleh Tuhan.
Hadiah-hadiah yang mahal dari hamba sahaja yang balas hadiah oleh Tuhan, seperti yang akan disebutkan.
Wadah-wadah orang yang bertaqwa yang hendak diisi dengan hadiah-hadiah tadi ada pulangannya.
Wadah-wadah itu banyak pula di antaranya :
▫Ada wadah puasa yang diisi dengan keinsafan, timbang rasa, kesabaran, rasa hamba Rasa lemah, lembut hati, lapang dada, bertolak ansur.
▫Wadah sembahyang diisi dengan hadiah-hadiah rasa kehambaan, rasa dilihat, rasa hina, rasa rendah diri, lembut hati, rasa harap, malu, rasa kerdil, tawadhuk, khusyuk, gementar, takut, taubat, menyesal, takut dengan dosa di masa depan.
▫ Wadah membaca Al Quran diisi dengan dapat ilmu, pengajaran, keinsafan, terasa kebesaran Tuhan, terasa rahmat dan kasih sayang-Nya kepada insan, hati tenang, bertambah takut dengan Tuhan dengki hilang.
▫Wadah zikir seperti tasbih, tahmid, takbir diisikan dengan mensucikan Tuhan, memuji Tuhan, membesarkan Tuhan, tawakkal, penyerahan diri kepada Tuhan, baik sangka
▫Membesarkan Akhirat, mudah dengan dunia, dunia tidak menyusahkan hatinya.
▫Tenang dengan dunia, gelisah dengan Akhirat.
Jika setiap wadah-wadah tadi dapat diisi dengan rasa-rasa yang telah disebutkan tadi, orang bertaqwa sungguh dapat manghayati Ramadhan dengan akal fikiran, hati & jiwa raganya.
Roh Ramadhan menjadi roh kepada hatinya dan jiwanya. Roh di atas roh, jiwa di atas jiwa. Rohnya bercahaya dengan cahaya Ramadhan. Itulah orang bertaqwa.
Orang bertaqwa sahaja yang pasti dapat hadiah yang besar. Kerana orang bertaqwa itu dapat membawa hadiah pula untuk Tuhan.
Hadiah-menghadiah bertukar-tukar hadiah di antara hamba dengan Tuhan. Sesiapa yang tidak dapat memberi hadiah di bulan Ramadhan kepada Tuhan seperti yang telah dinyatakan, dia tidak akan dapat hadiah dari Tuhan.
Sesiapa yang tidak dapat hadiah dari Tuhan sia-sia sahaja Ramadhan, dia tidak dapat apa-apa kecuali dahaga, kelaparan, kehausan & keletihan.
Cuba kita fikirkan Ramadhan yang telah lama kita lalui, adakah kita membawa hadiah-hadiah yang berharga kepada Tuhan?
Kita tentu dapat mengagak nilai hadiah yang kita anugerahkan kepada Tuhan setiap Ramadhan bukan?
Apakah hadiah hadiah kita itu Tuhan balas dengan hadiah yang telah disebutkan? Semua soalan-soalan itu setiap orang boleh memberi jawapan, berdasarkan ilmu pengetahuan seperti yang digambarkan.
Sungguh susah hendak dapat hadiah dari Tuhan di bulan Ramadhan, kerana bulan Ramadhan kita jadikan pesta minum & makan. Pesta borak-borak & bualan-bualan selepas sembahyang sebelum pulang.
Bukan pesta mencapai hati dan jiwa takut dan cintakan Tuhan. Bulan Ramadhan sebenarnya adalah pesta rohaniah, pesta hati & jiwa.
Ramadhan bukan pesta lahiriah atau pesta syariat rohnya tidak ada!!!
0 ulasan:
Catat Ulasan