Social Icons

Sabtu, 15 April 2017

Kisah Sahabat Nabi: Hudzaifah Ibnul Yaman, Pemegang Rahsia Rasulullah SAW

Hudzaifah Ibnul Yaman lahir dalam keluarga Muslim, dipelihara dan dibesarkan dalam pangkuan kedua orang tuanya yang telah memeluk agama Allah, sebagai rombongan pertama. 

Oleh sebab itu, Hudzaifah telah Islam sebelum dia bertemu muka dengan Rasulullah SAW. Setelah Rasulullah SAW hijrah ke Madinah, Hudzaifah selalu mendampingi beliau bagaikan seorang kekasih. Hudzaifah turut bersama-sama dalam setiap peperangan yang dipimpinnya, kecuali dalam Perang Badar. 

Dalam Perang Uhud, Hudzaifah ikut memerangi kaum kafir bersama dengan ayahnya, Al-Yaman. Dalam perang itu, Hudzaifah mendapat cobaan besar. Dia pulang dengan selamat, tetapi bapanya syahid oleh pedang kaum Muslimin sendiri, bukan kaum musyrikin. Kaum Muslimin tidak mengetahui jika Al-Yaman adalah sebahagian dari mereka, sehingga mereka membunuhnya dalam perang.

Rasulullah SAW menilai dalam peribadi Hudzaifah Ibnul Yaman terdapat tiga keistimewaan yang menonjol. 

Pertama, cerdas, sehingga dia dapat meloloskan diri dalam situasi yang serba sulit. 

Kedua, cepat tanggap, berfikir cepat, tepat dan jitu, yang dapat dilakukannya setiap kali diperlukan. 

Ketiga, sangat teguh menyimpan rahsia dan berdisiplin tinggi, sehingga tidak seorang pun dapat mengorek yang dirahsiakannya.

Kesulitan terbesar yang dihadapi kaum Muslimin di Madinah ialah kehadiran kaum Yahudi munafik dan sekutu mereka, yang selalu membuat isu-isu dan muslihat jahat. Untuk menghadapi kesulitan ini, Rasulullah SAW mempercayai suatu yang sangat rahsia kepada Hudzaifah Ibnul Yaman —dengan memberikan daftar nama orang munafik itu kepadanya. Itulah suatu rahsia yang tidak pernah bocor kepada siapa pun hingga sekarang. 

Dengan memberi kepercayaan dalam hal yang sangat rahsia itu, Rasulullah SAW menugaskan Hudzaifah memantau setiap gerak-geri dan kegiatan mereka, untuk mencegah bahaya yang mungkin dilakukan mereka terhadap Islam dan kaum Muslimin. Kerana inilah, Hudzaifah Ibnul Yaman digelari oleh para sahabat dengan "Sohibu Sirri Rasulullah SAW (Pemegang Rahsia Rasulullah SAW).

Pada puncak Perang Khandaq, Rasulullah SAW memerintahkan Hudzaifah melaksanakan suatu tugas yang amat merbahaya. Beliau mengutus Hudzaifah ke jantung pertahanan musuh, dalam kegelapan malam yang hitam pekat bahkan pada ketika tengah malam dimusim sejuk yang sangat mencengkam.

"Ada beberapa peristiwa yang dialami musuh. Pergilah engkau ke sana dengan sembunyi-sembunyi untuk mendapatkan maklumat yang pasti. Dan lapurkan kepadaku dengan seberapa segera!" perintah Baginda SAW.

Hudzaifah pun bangun dan berangkat dengan rasa takut sambil menahan kesejukan dek cuaca dingin yang sangat menusuk ke tulang sumsum. Maka, ketika itu Rasulullah SAW berdoa, "Ya Allah, lindungilah dia, dari depan, dari belakang, kanan, kiri, atas, dan dari bawah."

"Demi Allah, sesudah Rasulullah selesai berdoa, ketakutan yang menghantui dalam dadaku dan kedinginan yang menusuk-nusuk tubuhku hilang sekelip mata sehingga aku merasa segar, kuat dan selesa," tutur Hudzaifah.

Tatkala ia memalingkan diri dari Rasulullah SAW, Baginda SAW memanggilnya sambil berkata, "Hai Hudzaifah, sekali-kali jangan melakukan sesuatu tindakan yang mencurigakan mereka sampai tugasmu selesai dan kembali kepadaku!"

"Saya siap, ya Rasulullah SAW," jawab Hudzaifah dengan penuh taat.

Hudzaifah pun pergi dengan sembunyi-sembunyi dan dalam keadaan sangat berhati-hati . Perlahan-lahan dia menyelinap dalam kegelapan malam yang hitam kelam. Ia berhasil menyusup ke jantung pertahanan musuh dengan berlagak seolah-olah sebahagian dari anggota pasukan mereka. Belum lama berada di tengah-tengah mereka, tiba-tiba terdengar suara Abu Sufyan memberi arahan.

"Hai, pasukan Quraisy, dengarkan aku berbicara kepada kamu sekelian. Sebelum itu, aku sangat bimbang, hendaknya pembicaraanku ini jangan sampai terdengar oleh Muhammad. Kerana itu, telitilah lebih dahulu setiap orang yang berada di sebelah kamu semua!"

Mendengar ucapan Abu Sufyan, Hudzaifah segera memegang tangan orang yang di sampingnya seraya bertanya, "Siapa kamu?" 

Jawabnya, "Aku si Fulan, anak si Fulan."

Sesudah dirasanya aman, Abu Sufyan melanjutkan bicaranya, "Hai, pasukan Quraisy! Demi Tuhan, sesungguhnya kita tidak dapat bertahan di sini lebih lama lagi. Haiwan-haiwan tunggangan kita telah banyak yang mati. Sesungguhnya Bani Quraidzah telah khianat. Mereka telah meninggalkan kita. Sekarang pula angin taufan menyerang kita dengan ganas seperti kamu semua rasakan. Kerana itu, berangkatlah kamu sekarang dan tinggalkan tempat ini. Sesungguhnya aku sendiri akan berangkat."

Selesai berkata demikian, Abu Sufyan pun mendekati untanya, melepaskan tali penambat, lalu dinaiki dan dipukulnya. Unta itu bangun dan Abu Sufyan terus bergerak meninggalkan perkhemahan mereka. Pasukannya pun segera mengikutinya. Hudzaifah menyaksikan pergerakan Abu Sufian yang sudah agak terpisah dari gerombolannya kerana mengikut jalan pulang ke Mekah. Seandainya Rasulullah tidak melarangnya melakukan suatu tindakan di luar perintah sebelum datang melapur kepada Baginda SAW, tentu Hudzaifah akan membunuh Abu Sufyan dengan pedangnya.

Hudzaifah Ibnul Yaman sangat berhati-hati dan teguh memegang segala rahsia mengenai orang-orang munafik selama hidupnya. Tidak ada siapa pun yang berupaya memujuknya agar dibocorkan rahsia amanah Rasulullah SAW itu walaupun kepada khalifah. Bahkan Khalifah Umar bin Khattab, jika ada orang Islam yang meninggal, dia akan bertanya, "Apakah Hudzaifah turut menyembahyangkan jenazah orang itu?" Jika mereka menjawab, "Ada," maka Umar pun turut menyembahyangkannya.

Suatu ketika, Khalifah Umar pernah bertanya kepada Hudzaifah dengan cerdik, "Adakah di antara pegawai-pegawaiku orang munafik?"

"Ada seorang," jawab Hudzaifah.

"Tolong tunjukkan kepadaku siapa?" kata Umar.

Hudzaifah menjawab, "Maaf Khalifah, saya dilarang memberitahu siapa orangnya oleh Rasulullah SAW walau kepada sesiapapun”.

Walau demikian, amat sedikit orang yang mengetahui bahawa Hudzaifah Ibnul Yaman sesungguhnya adalah pahlawan penakluk Nahawand, Dainawar, Hamadzan, dan Rai. Dia membebaskan kota-kota tersebut bagi kaum Muslimin dari genggaman kekuasaan Parsi. Hudzaifah juga termasuk tokoh yang mentashihkan keseragaman mushaf Alquran, sesudah kitabullah itu beraneka ragam coraknya di tangan kaum Muslimin. 

Ketika Hudzaifah sakit kuat menjelang ajalnya tiba, beberapa orang sahabat datang mengunjunginya pada tengah malam. Hudzaifah bertanya kepada mereka, "Pukul berapa sekarang?"

Mereka menjawab, "Sudah dekat Subuh."

Hudzaifah berkata, "Aku berlindung kepada Allah dari Subuh yang menyebabkan aku masuk neraka."

Ia bertanya kembali, "Adakah kamu semua membawa kafan?"

Mereka menjawab, "Ada."

Hudzaifah berkata, "Tidak perlu kafan yang mahal. Jika diriku baik dalam penilaian Allah, Dia akan menggantinya untukku dengan kafan yang lebih baik. Dan jika aku tidak baik dalam pandangan Allah, Dia akan menanggalkan kafan itu dari tubuhku." 

Sesudah itu dia berdoa kepada Allah, "Ya Allah, sesungguhnya Engkau tahu, aku lebih suka fakir daripada kaya, aku lebih suka sederhana daripada mewah, aku lebih suka mati daripada hidup."

Sesudah berdoa demikian, ruhnya pun pergi menghadap Ilahi. Seorang kekasih Allah kembali kepada Allah dalam kerinduan. Semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text