Social Icons

Motivasi

Sabda Rasulullah SAW, "Sebaik-baik usaha untuk mendapat rezeki adalah bekerja dengan tangan sendiri." - Direkodkan oleh Imam Ahmad Dan Imam Al-Baihaqi.

Hadis ini adalah satu penegasan dari Rasulullah SAW bahawa bidang pilihan mencari rezeki ialah dengan bekerja sendiri. Pilihan inilah yang utama kerana ianya adalah sebaik-baik usaha. Makan gaji atau bekerja dengan orang lain adalah pilihan kedua atau ketiga.

Berusaha sendiri bermakna menjadi usahawan. Kategori usahawan tentunya berbeza-beza. Walaupun hadis di atas tidak disebutkan tentang bisnes, pengusaha atau usahawan adalah seorang peniaga. Pengusaha ladang lembu daging atau lembu susu adalah seorang usahawan. Pengusaha kolam ikan patin juga seorang usahawan. 

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW menyebut, “9/10 (90%)  rezeki itu adalah datang daripada perniagaan.” - Direkodkan oleh Imam At-Tirmizi). Banyak hadis yang menyatakan kelebihan berniaga. Hal-hal yang melibatkan persoalan perniagaan dan keusahawanan adalah perbincangan sunnah yang panjang. 

Sebelum berkahwin, Rasulullah SAW adalah seorang peniaga. Ketika itu Makkah dan Madinah adalah pusat perniagaan utama di semenanjung tanah arab. Semua pedagang tertumpu membawa barang dagangan mereka ke dua tanah suci ini. Hubungan antara wilayah dengan wilayah yang lain awalnya terhubung melalui jalan perniagaan. 

Ketika Islam sudah membesar, wilayah takluk kerajaan Islam berkembang luas, perniagaan masih terus berjalan bahkan berkembang lebih rancak. Barangan yang diniagakan semakin banyak dan pelbagai bentuk. Ada sahaja produk baru yang dibawa masuk ke negara yang baru dijajah atau mendapatkan produk tersebut di negara jajahan untuk dipasarkan di tempat lain. 

Kerancakan bisnes ini secara langsung melahirkan ramai usahawan besar di kalangan para sahabat, tabiin dan generasi yang selepas mereka. 

Sejarah kegemilangan Islam menunjukkan peneraju ekonomi dunia pada masa itu adalah umat Islam. Ianya sama dengan era ketemadunan ilmu dan falsafah yang dipelopori oleh umat Islam. Umat dan bangsa bukan Islam jauh terkebelakang. 

Jika dahulu umat Islam gemilang, tidaklah mustahil hal yang sama boleh berulang di zaman ini. Kuasa Allah mampu melakukannya. Jika umat Islam bertaqwa dan berusaha, tidaklah ada halangan untuk Allah wariskan kemenangan dan kejayaan.

Keyakinan ini memerlukan hati yang kuat dengan Allah. Hanya yang bersangka baik dengan Allah sahaja akan dipertemu dengan jalan kebenaran. 

Jika mentaliti umat Islam masih terkongkong dan beku, mereka akan tetap melihat zaman gelap yang tiada cahaya. Apa pun, suatu waktu pasti ada orang yang boleh mencerahkan pandangan mereka. 

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text