Social Icons

Ahad, 25 Disember 2016

Kehilangan Anak Saudara Ketika Mandi Di Pantai Tok Bali, Kelantan

Tajuk Metro online malam tadi melibatkan keluarga isteri Pak Lang.

Gadai nyawa cuba selamat rakan

Firdaus (kanan) dan rakannya Amir Syahir yang terselamat namun dua rakan mereka masih hilang. - Foto AZLAN HAFEEDZ

Azlan Hafeedz
am@hmetro.com.my

Pasir Puteh: “Saya gagahkan diri berenang melawan ombak bagi menyelamatkan dua rakan namun saya hampir lemas ditarik ombak besar,” kata Mohd Firdaus Mustaffa, 16, yang terselamat daripada lemas di Pantai Tok Bali di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, Mohd Firdaus dan Amir Syahir berjaya diselamatkan oleh orang ramai daripada lemas.

Namun, dua rakan mereka, Ahmad Haziem Anizan, 14, dan Amir Azfar Rafar, 13, masih hilang selepas dihanyutkan ombak.

Kini, usaha mencari kedua-dua masih giat dilakukan anggota penyelamat termasuk mencari di pesisir pantai.

Mohd Firdaus berkata, mereka tiba di pantai berkenaan kira-kira 4 petang dengan menunggang tiga motosikal dari rumah Aziem sebelum sepakat untuk mandi.

Menurutnya, selepas 10 minit mandi, tiba-tiba datang ombak setinggi dua meter menarik mereka berempat hingga ke tengah.

"Saya dan Amir Syahir berusaha berenang untuk menyelamatkan diri, namun sebaik menyedari Haziem dan Amir tiada di belakang, saya berpatah balik.

" Haziem dan Amir sempat berpaut di bahu saya sebelum pegangan mereka terlepas dan terus ditelan ombak.

"Panik melihat keadaan itu, saya berpatah balik ke pantai sebelum saya diselamatkan orang ramai," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustofa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.31 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, pihaknya turut dibantu lapan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), lapan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan 11 anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Tok Bali.

"Gerakan mengesan dua mangsa juga dibantu bot penyelamat bomba, bot Pasukan Gerakan Marin dan bot Maritim, namun mereka masih gagal ditemui setakat jam 8 malam.

"Usaha mencari dua mangsa itu akan terus dilakukan sekalipun terpaksa berdepan cuaca agak buruk, selain ombak besar," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text