Pak Lang sebenarnya yakin, suaramuhajirin ini akan dibaca oleh orang-orang Dato Seri Najib. Ianya tidaklah mustahil jika Tuhan kehendaki kerana Dia Maha Kuasa. Pak Lang – sepertimana orang lain juga sedang sangat menunggu bilakah tarikh pilihanraya umum ke 13…. Sudah puluhan tarikh yang diramal dan dijangkakan oleh pakar-pakar dan penganalis politik. Setakat ini semuanya meleset. Dato' Seri Najib ternyata mempunyai firasatnya sendiri.
Ramai menganggap Dato Seri Najib menangguhkan tarikh pembubaran parlimen kerana laporan risikan menunjukkan sokongan para pengundi masih belum memihak kepada Umno / BN. Ada pula yang mengatakan Dato; Seri Najib menangguhkannya atas beberapa alasan;
a) Situasi penyokong kerajaan di negeri-negeri dikuasai pembangkang, yang terlalu terkejut dengan kekalahan UMNO / BN pada 2008 sangat tidak memungkinkan PRU 13 disegerakan seperti amalan kebanyakan perdana menteri terdahulu. Mereka semua memerlukan masa antara 1 ke 2 tahun untuk pulih dari kejutan, kewalahan serta kekecewaan hati, Moral yang jatuh teruk perlukan masa dan usaha untuk ianya bangkit semula.
b) UMNO / BN mesti diberi masa mengkaji dan membuat analisa yang tepat terhadap apa yang terjadi pada PRU 12 dan hanya setelah segala-galanya dikenal pasti, barulah usaha menggerakkan seluruh jentera dilakukan secara komprehensif. Ianya mungkin berjalan seiring dengan kenaikan Dato Seri Najib sebagai Perdana Menteri dengan mengutarakan slogan 1 Malaysia. Rakyat Didahulukan Pencapaian diutamakan dan lain-lain usaha transformasi
c) UMNO / BN memerlukan masa untuk membuktikan kepada rakyat bahawa mereka sedar kesalahan dan kesilapan mereka. Mereka juga sedang membuktikan bahawa mereka benar-benar sedang dan akan berubah seiring dengan kehendak dan hasrat rakyat.
Jangka waktu yang Dato Seri Najib punyai untuk menyelesaikan masalah, mengumpul kekuatan dan memenangi semula hati rakyat sememangnya relatif singkat! Ianya tidak semudah mentadbir sebuah negara seperti Amerika kerana politik Malaysia mempunyai warna dan rupa berbeza. Ianya demokrasi tapi demokrasi yang diubahsuai untuk membolehkan negara ini sentiasa mempunyai rakyat yang saling curiga mencurigai. Ada 'pihak' yang sedang mengaut untung dari situasi sebegini sebenarnya.
Inilah masanya UMNO / BN benar-benar diuji. Puluhan tahun UMNO / PERIKATAN dan UMNO / BN menguasai kerajaan, inilah masa yang sangat kritikal. Jika ada tongkat sakti, mahu sahaja Dato Seri Najib membelinya biar berbillion ringgit harganya. Memang ramai yang menganggap tongkat sakti itu ada pada rakyat. Beli lah hati rakyat, nescaya mereka pasti memilih UMNO / BN. Soalnya sekarang, cukupkah segala apa yang dilakukan secara agresif selama Dato Seri Najib menjadi PM untuk memenangi hati rakyat?
Walau bagaimana pun. Pak Lang ingin ingatkan bahawa 'tongkat sakti' kemenangan dalam pilihanraya nanti ada di tangan Tuhan. Perhatikanlah situasi ini hari ke hari. Ada kemungkinan pilihanraya tidak terjadi kerana Tuhan merencanakan jadualnya yang tersendiri. Tidak ada pakar yang mampu menebak strategi ini. Jika Tuhan kehendaki, segalanya akan mungkin berlaku. Samada BN atau PR yang menguasai kerajaan jangan kita fikirkan dulu. Sebaliknya buatlah persiapan untuk diri, keluarga dan kumpulan kita. Jika benar-benar mencapai kelompok yang diredha Tuhan, maka Tuhan pasti ada jalan menaikkan orang-orangNya di waktu kelompok lain menderhakaiNya.
Inilah yang UMNO patut lakukan sebaik kalah dalam PRU12 yang lalu. Malanglah kerana usaha menginsafi diri, memperbaiki diri dengan benar-benar tunduk malu dengan Tuhan, tidak dilakukan. Semuanya masih selesa menghadapinya dengan cara politik sedangkan teguran Tuhan sangat dahsyat! Hampir-hampir sahaja, Putrajaya beralih tangan tetapi ahli agama di dalam UMNO tidak mampu mengajak PM dan para pemimpin kembali kepada Tuhan. Inilah malangnya. Inilah sedihnya buat para ahli bawahan UMNO. Sudah lama mereka inginkan Islam diperjuangkan oleh UMNO dengan lebih bermakna. Mereka sudah tidak mahu slogan kosong. Bahkan mereka sanggup memperjuangkan Islam lebih daripada apa yang PAS lakukan. Mereka meluat dan menyampah dengan pemimpin pura-pura, sombong dan mementingkan diri. Malangnya pemimpin mereka tidak menyedari hal ini. Hasrat mereka tidak disambut pemimpin atasan. Jadilah mereka membawa hala yang berlainan di dalam hati masing-masing.
Slogan Allahu Akbar dan baiah janji setia untuk hidup dan mati dalam mendaulatkan Islam baru dikemundangkan di Perhimpunan Agung UMNO yang baru-baru ini sahaja. Itupun masih berbentuk slogan tetapi ianya sudah cukup menitiskan airmata ahli-ahli bawahan. Mereka menangis terharu kerana Presiden berani melaungkan ungkapan keramat itu di dewan yang selama ini hanya melaungkan 'hidup Melayu'!! Betapa jiwa suci ahli UMNO sangat inginkan perjuangan yang lebih serius dalam menegakkan agama. Sepatutnya Allahu Akbar ini, adalah laungan keramat di awal kekalahan. Inilah laungan yang mampu membangkitkan semula semangat jihad. Inilah laungan yang mampu menyedarkan yang jahat. Inilah yang sepatutnya dilagukan sepanjang proses muhasabah diri dan memenangi semula hati rakyat. Percayalah bahawa jika UMNO segera kembali kepada Tuhan dengan sebenar-benar taubat, kemungkinan Tuhan campurtangan dalam PRU13 ini tetaplah ada. Walaupun sudah terlambat, jika UMNO tahu merujuk kepada Tuhan dan kepada orang-orang pilihan Tuhan, tiada yang mustahil untuk keajaiban berlaku!!
Ingatlah ketika Mesir kalah di tangan Israel pada perang Jun 1967 dan Israel berjaya merampas dan menduduki Semenanjung Sinai, seluruh rakyat Mesir menangis. Semuanya meratap sedih, malu dan pilu. Seluruh rakyat Mesir rasa malu dan terhina. Mereka terpaksa melupakan pergeseran dan pertelingkahan sesama sendiri kerana musibah yang berlaku di depan mata adalah musibah bersama yang lebih besar dan lebih menjatuhkan maruah mereka. Lalu mereka segera bangkit. Mereka kembali bersatu.
Para ulamak yang diketuai oleh Syeikhul Azhar iaitu Al-Arif billah Syeikh Abdul Halim Mahmood, segera memulakan proses muhasabah diri. Masjid kembali dipenuhi para jemaahnya. Semuanya kembali khusyuk kepada Tuhan kerana sangat merasakan kemarahan dan herdikan Tuhan terhadap bangsa dan negara Mesir. Mereka bertaubat menangis mengadu kepada Tuhan. Mereka meminta Tuhan kembalikan Sinai kepada umat Islam. Mereka akui kesalahan mereka.
Maka waktu itu meriahlah Mesir dengan kehidupan beragama. Majlis ilmu dan majlis zikir taubat kembali bergema di merata pelusuk bumi Mesir. Masa yang sama Presiden Anwar Sadat menyiapkan bala tenteranya. Semua senjata, perlalatan, kenderaan, jet pejuang, bom dan sebagainya dipersiapkan. Segalanya dilakukan penuh rahsia.
Mereka mula mendekati perbatasan Terusan Suez.
Maka setelah hampir enam tahun proses muhasabah ini berjalan, berlakulah isyarat kemenangan yang sangat tersendiri. Syeikh Abdul Halim Mahmood bermimpi melihat Rasulullah saw berdiri di Semenanjung Sinai dengan berkata; " Ya Abdul Halim! Ana fi Sina'!! yang bererti; "Wahai Abdul Halim, perhatikanlah! Aku sedang berada di Semenanjung Sinai!". Maka sebagai seorang ahli sufi, fahamlah Al-Arif billah Syeikh Abdul Halim Mahmood bahawa itu adalah isyarat kemenangan yang diberitahu padanya oleh Rasulullah saw. sendiri.
Lantas dibawalah khabar rahsia ini ke pengetahuan Presiden Anwar Sadat. Lalu diputuskan serangan terhadap Israel pada 6 Oktober 1973 bertepatan dengan hari Yom Kippur iaitu hari perayaan agama Yahudi. Justeru Perang 6 Oktober itu dikenali sebagai Perang Yom Kippur. Dan harus diingat perang 6 Oktober ini juga dikenali sebagai perang 10 Ramadhan! Mereka berperang di bulan Ramadhan! Mesir akhirnya berjaya menguasai semula Semenanjung Sinai. Hancur lebur kubu-kubu Israel di Semenanjung Sinai - dikerjakan oleh ruh jihad tentera-tentera Mesir.
Banyaklah pengajaran yang patut diambil iktibar oleh UMNO dari peristiwa ini. Situasinya sama dan jika Mesir berjaya bangkit mengalahkan Israel, kenapa UMNO tidak berusaha ke arah menebus kembali kegagalannya yang lalu? Jika UMNO sanggup menempuh proses 'membaiki diri' seperti yang seluruh rakyat Mesir lakukan, adakah masih ada halangan bagi UMNO mencapai kejayaan seperti kejayaan yang ditempa Mesir mengalahkan Israel!!
Rabu, 12 Disember 2012
Benarkah UMNO Terlambat Melakukan Muhasabah? Benarkah UMNO Tidak Mampu Bangkit Semula?
Label:
POLITIK
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Moga Allah menaikkan org-org bertaqwa tidak kira dari BN atau PR. Kerana parti hanyalah wasilah. Allah punya cara tersendiri untuk menaikkan orang-orangNya.
BalasPadam