Social Icons

Khamis, 6 Disember 2012

Ikrar Dan Janji Setia UMNO Untuk Memperjuangkan Islam

Baru-baru ini sebaik selesai sesi bersama YBM Sy Fakhrurazi ar di biliknya, Pak Lang bergegas ke bilik untuk menyemak sekali lagi ucapan penggulungan Presiden Umno di Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini. Sy Fakhrurazi ar tertarik dengan ikrar dan doa  DS Najib pada bahagian akhir ucapannya. Pak Lang sendiri memang menontonnya melalui internet baru-baru ini tapi tidak sebegitu peka dalam hal yang dinyatakan oleh Sy Fakhrurazi ar itu.

Memang benar, DS Najib dengan penuh yakin mengajak para perwakilan bangun dan bersamanya melafazkan ikrar untuk memperjuangkan dan mendaulatkan Islam. Ianya bergema ke segenap hati para pencinta Islam. Ramai di kalangan para perwakilan yang melafazkan ikrar tersebut dari hati mereka yang inginkan Islam sebagai penyelamat UMNO, menitiskan air mata terharu, sedih dan penuh pengharapan. DS Najib pada petang itu memberi cahaya kepada kegelapan masa depan umat Islam dan orang Melayu di negara tercinta. DS Najib berjaya meyakinkan semua bahawa hanya Islam yang akan menjamin kesinambungan UMNO sebagai wadah pembela agama, bangsa dan negara.

Tapi bercakap soal Islam, bukankah janggal bila ianya disuarakan oleh UMNO? Bukankah Islam hanya berhak diperkatakan oleh PAS yang mendakwa sebagai parti Islam? Pak Lang yakin ramai orang UMNO yang agak keliru soal ini. Samalah seperti kelirunya ahli UMNO Kedah. Perak, Selangor dan Pulau Pinang bila pembangkang berjaya mengambil alih kuasa sebagai kerajaan negeri ekoran kemenangan mereka pada pilihanraya ke 12 tahun 2008 yang lalu. Moral mereka semua ketika itu jatuh merosot sehingga terasa tersangat malu berdepan dengan ahli Pas yang penuh bangga meraikan kemenangan mereka. Moral ahli akar umbi yang terlalu rendah itu berlalu sehingga lebih 2 tahun. Inilah salah satu faktor DS Najib menangguhkan pembubaran parlimen untuk mengadakan pilihanraya ke 13. Ahli UMNO di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang memerlukan masa yang lama untuk pulih dari renjatan kekalahan mereka.

Berbalik dalam soal memperjuangkan Islam, sepatutnya UMNO sudah lama berusaha fahamkan para ahlinya bahawa Islam adalah milik semua. Siapa saja berhak berbangga dengan Islam bahkan berkewajipan memperjuangkannya sebagai satu cara hidup. UMNO terlebih lagi layak menjadi juara untuk mempertahankan Islam berbanding pihak lain. Bukankah mereka menguasai kerajaan negara. Jadi isyarat yang DS Najib laungkan sebagai ikrar janji setia itu sangat relevan walaupun Pak Lang rasakan ianya sepatutnya dimulakan di awal perjalanannya sebagai Perdana Menteri. Apa pun sekurang-kurangnya para perwakilan sudah menyambutnya dengan keyakinan serta keazaman yang tinggi. Walaupun ianya tidak mudah tetapi tembok tinggi yang menghalang minda ahli UMNO selama ini sudah diruntuhkan DS Najib.

DS Najib sudah berjaya menyelak satu lapisan dinding pemisah antara UMNO dan Islam. UMNO selama ini dilihat sebagai parti sekular telah ditukar kepada parti yang ada cita-cita Islam. Laungan takbir Allahu Akbar sebanyak 3 kali itu bukan meniru PAS tetapi lafaz suci itu adalah milik semua umat Islam. Ianya adalah anugerah Tuhan untuk setiap hambaNya. Apa yang penting siapa yang dapat merasai Allah itu maha besar, maha agung, maha segala-galanya. Rasa-rasa itu yang membezakan antara orang biasa dan orang luar biasa.

Dan bila Presiden UMNO, yang juga Perdana Menteri, yang mengajak melaungkannya, maka isu ini menjadi sangat perlu diberi perhatian. Ianya suatu janji dan mesti ditunaikan dalam bentuk realiti. Allah itu mesti dibesar dan diagungkan. Islam itu mesti didaulatkan. Ketepikan dulu soal kepentingan politik kerana agama adalah keperluan kita sepanjang masa. Bukankah Tuhan yang memberikan agama Islam kepada kita melalui Nabi Muhammad saw. Ertinya agama adalah suatu yang sangat penting pada ahli UMNO dan pada siapa saja.

Bercakaplah soal agama kerana ianya tidak sebegitu sensitif berbanding jika bercakap tentang bangsa. Agama adalah ajaran kebaikan berbanding Melayu adalah ras keturunan. Bercakap tentang agama akan meliputi pembelaan terhadap bangsa Melayu tetapi bercakap tentang Melayu dikhuatiri akan mengkesampingkan Islam. Lebih jujur dan boleh diterima jika Islam ingin dilaksanakan dalam kehidupan tetapi rasa curiga akan ada, apabila bangsa yang disebut-dicanang untuk dibela.

Maka, ikrar untuk memperjuangkan agama itu adalah ikrar  yang kita lafazkan setiap kali solat. "Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk Allah, Tuhan pemilik sekalian alam. Jadi bila DS Najib memperbaharuinya di Perhimpunan Agung UMNO ertinya inilah langkah yang perlu dibuat. Realitikannya sedaya yang mungkin. Jika tak boleh buat semua, jangan tinggalkan semuanya!

Lihatlah Islam secara kaffah iaitu menyeluruh. Lihatlah Islam sebagai suatu yang sudah lama dekat dan ada dalam diri kita. Lihatlah Islam sebagai suatu yang mudah untuk dilaksanakan. Tinggalkan ungkapan kosong tentang Islam tetapi mulakanlah beramal dengan ajarannya. Mulakan dengan membina rasa berTuhan dan rasa kehambaan di dalam hati. Hayati peranan  sebagai hamba dan khalifah kerana di situ menghimpunkan peranan ahli UMNO untuk membaiki diri dan menjayakan cita-cita perjuangan mendaulatkan Islam sebagai sistem hidup.

Lihatlah Islam yang sudah ada di dalam diri semua ahli UMNO. Ramainya yang bergilir-gilir mengerjakan solat jamak qasar di surau yang sudah terasa semakin sempit di PWTC itu. Itulah pertanda hati yang mahu kembali kepada agama. Lihat pula hampir 100% wanita UMNO yang bertudung dan menutup aurat mereka. Inilah pertunjuk Islam sudah lama dekat dengan UMNO. Apa yang penting Islam itu sumber kekuatan, sumber kemenangan. Dekatilah Tuhan, kerana Dialah pemilik kerajaan langit dan bumi. Dialah penguasa seluruh kerajaan di dunia dan dialah yang menguasai kerajaan hari Akhirat.

Semoga DS Najib dan seluruh pimpinan UMNO semakin terbina ikhlas di hati untuk berjuang demi Allah dan Rasul. Semoga seluruh ahli UMNO sanggup berkorban dan terkorban demi menempah kemenangan. Ingatlah kemenangan adalah anugerah Allah. Dialah yang memegang hati-hati manusia. Dialah sebaik-baik perencana yang mengatasi perencanaan manusia. Tuhanlah yang akan memilih antara dua. BN atau PR?

4 ulasan:

  1. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  2. assalamualaikum..
    maaf tuan.. kepercayaan kepada UMNO di hati saya telah lama hilang..

    BalasPadam
  3. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  4. Waalaikumusalam warahmatullahi wabarokatuh sdra a.samad jaafar,

    Semoga yang hilang itu akan di pertemukan kembali insyaaAllah.

    Abu Takdir Hashim
    Kuala Lumpur
    17Muharram1434Hijrah

    BalasPadam

 

Sample text

Sample Text

Sample Text