Social Icons

Selasa, 4 Disember 2012

Pelajar Bermasalah Kesan Didikan Ibu Memanjakan Anak

Satu ketika Pak Lang menziarahi sebuah negeri di Malaysia. Sepertimana biasa, Pak Lang bawa anak-cucu dan remaja pelajar ikut sekali. Jalan-jalan dijadikan ruang bersembang-sembang yang boleh menginsafkan. Ada tujuan lain sebenarnya tapi kami singgah di sebuah rumah ahli GISB untuk mandi dan solat maghrib. Kebetulan ianya adalah rumah salah seorang pelajar perempuan yang bersama rombongan Pak Lang. 

Rumahnya agak besar dan lengkap, kemas serba tersusun. Pemiliknya suami isteri orang bisnes. Anak-anak mereka semuanya berada di sekolah jemaah. Keluarga ini termasuk mereka yang sangat kuat dengan jemaah. Ujian yang melanda jemaah selama ini tidak pernah menggugat mereka. Aktiviti dan program jemaah sentiasa menjadi keutamaan.

Walaupun demikian, mereka sebenarnya ada masalah dalam pendidikan anak-anak. Tepatnya siisteri. Namanya Kak Yah. Dia lebih yakin pendidikan luar berbanding jemaah. Suaminya yakin tetapi tidak mampu bertegas dengan isteri. Cuma anak perempuannya (anak sulongnya) yang bersuamikan keluarga Abuya lebih mendesak mereka menghantar semua adik-adiknya ke sekolah jemaah. Maka siibu pun menurutnya dengan separuh hati.  Sakinah, anak perempuannya itu, seorang lulusan Universiti Utara Malaysia. Sakinah sangat faham rosaknya cara pergaulan dalam pendidikan umum di Malaysia. 

Apabila menghantar anak tidak sepenuh hati, kebiasaannya anak akan bermasalah semasa di asrama. Inilah yang dihadapi oleh keluarga tersebut. Pihak sekolah pula mendapat maklumat betapa siibu sangat memanjakan anak-anaknya yang lelaki. Jadi 2 orang anak lelakinya  mula di kesan bermasalah manakala 3 orang anak perempuannya yang lain sangat cemerlang dalam pelbagai sudut. Kedua anak lelakinya berada di sekolah yang sama di Rompin, Pahang. Mereka aktif mencuri keluar asrama, menghisap rokok dan melanggar pelbagai disiplin sekolah dan asrama.  

Semasa Pak lang berada di rumah mereka, sebaik selesai solat maghrib, kami pun dijemput untuk makan malam. Kami dipelawa terus ke dapur. Ruang dapurnya juga luas dan kemas. Ada satu bilik kecil di sebelah dapur tersebut. Macam bilik stor atau bilik orang gaji. 

Sebaik duduk, Pak Lang lihat si isteri sedang sibuk menyiapkan hidangan untuk seseorang. Ada satu kerusi di meja yang dibiarkan kosong menunggu seseorang. Abang Halim, sisuami, duduk di sebelah saya sambil mempelawa saya menceduk lauk pauk yang sangat berselera. Kemudian kedengaran si ibu memanggil: "Firdaus! keluar makan nak!, ni Ustaz sudah ada kat meja ni, keluar makan sekali dengan Ustaz ya sayang!".  Terperanjat Pak Lang. Rupanya ada Firdaus di rumah! Saya kenal Firdaus sebagai pelajar bermasalah. Rupanya dia belum balik ke asrama sedangkan sessi persekolah pertengahan tahun sudah bermula 2 minggu. 

"Ahh!! ni kes berat" Kata Pak Lang dalam hati. Ada beberapa hal yang tersingkap depan mata Pak Lang masa tu. Pak Lang teruskan makan. Kak Yah masih memanggil atau lebih tepatnya memujuk Firdaus keluar. Selang beberapa minit menunggu barulah si Firdaus 'bertuah' ini menampakkan diri dari dalam bilik kecil tadi. Sebaik pintu bilik itu dibuka baru Pak Lang sedar punca bau rokok yang tidak berapa kuat yang PakLang hidu sebaik masuk ke ruangan dapur tadi. 

Pak Lang memang maklum tentang remaja 15 tahun ini daripada Sy Mahmood Khalil di Tg Gemar tapi tidak pernah rapat. Hanya sesekali melihatnya semasa Pak Lang ke Rompin menziarahi SyFakhrurazi ar. 

Kak Yah terus melayan Firdaus makan. Kak Yah tidak pedulikan Abang Halim suaminya kerana lebih menumpu pada Firdaus. Cuma mulut Kak Yah yang sibuk mempelawa Pak Lang menambah nasi dan sebagainya. Selesai makan, Kak Yah minta saya bersembang dengan Firdaus. "Ustaz! tolonglah nasihatkan Firdaus ni, tak tahu Kak Yah dan Bang Halim nak buat macamana. Sudah 2 minggu pujuk supaya dia kembali ke sekolah dia tak mahu!" Ungkap Kak Yah penuh harap. 

Pak Lang hadapkan muka kepada Firdaus lalu bertanya;
"Firdaus! sejak bila hisap rokok?" 
Tiba-tiba Kak Yah yang menjawabnya sepontan; "Eh ustaz! dia ni mula belajar hisap rokok semasa masuk tingkatan satu sekolah jemaah di Rompin. Itu yang saya sedih ni, makin teruk, saya pun sudah tak tahan bau rokok!!" 
Saya memintasnya dari terus bercakap banyak; "Begini Kak Yah! Biar saya tanya Firdaus sendiri. Biar Firdaus yang mengaku depan Kak Yah dan Bang Halim ya?"  
"Tanya apa Ustaz!" Kak Yah bersuara lembut tapi penuh dengan nada pelik. Dahinya berkerut.
"Begini!, saya nak cakap dan nak beritahu depan Kak Yah dan Bang Halim tentang Firdaus.   Saya tidak tahu sebenarnya apa yang berlaku pada Firdaus tapi dalam kes rokok ini, sebenarnya Firdaus ni mula merokok semasa di sekolah rendah lagi!! Cuba Firdaus jawab betul atau tidak?" 
Terdongak muka Firdaus memandang muka Pak Lang kemudian dia menjeling emaknya lalu mengangguk perlahan mengiyakan! 
"Eh! Firdaus! betulkah ni, eiih budak ni sampai hati!!" gerutu Kak Yah sambil mengetuk-ngetuk kepala Firdaus dengan hujung jari telunjuknya. 

"Tak palah, bolehkah beri masa saya nak bersembang dengan Firdaus berdua sahaja. Kak Yah dan Bang Halim tunggu saya di ruang depan, sepuluh minit sahaja ya" Kata saya memecah kebuntuan Kak Yah. 

Rupanya Firdaus memang tidak minat belajar sejak dibangku sekolah rendah lagi. Semuanya berpunca guru mathematiknya yang garang, dia jadi tidak suka belajar semua subjek. Apabila masuk sekolah jemaah di Rompin, semua gurunya baik-baik dan mesra. Dia kembali berminat belajar tapi segalanya berubah apabila di pertengahan tahun mereka berpindah ke Sekolah Agama Keratong. Puncanya dia tidak mesra dengan guru-guru baru di sana. akhirnya dia rapat dengan beberapa pelajar yang memang tidak minat belajar dan kembali menghisap rokok. Kenakalan mereka menjadi kerunsingan guru-guru yang berdepan dengan masyarakat tempatan. Dalam perbualan itu, Firdaus ingin berubah dan meminta Pak Lang uruskan dia belajar kemahiran letrik. Dia minat membaiki lampu, soket dan sangat berharap untuk belajar membaiki peralatan letrik. 

20 minit masa Pak Lang habis dengan Firdaus. Pak Lang ke depan untuk bersembang dengan mereka berdua suami isteri. 

"Kak Yah tahukah? Bila saya cakap Firdaus tu mula belajar hisap rokok sejak sekolah rendah, saya hanya agak saja" 
Pak Lang menjelaskan tanda-tanya Kak Yah yang belum terjawab.
"Pada saya tidak mungkin dia belajar menghisap rokok di dalam sekolah jemaah kerana disiplin pelajar Rompin di bawah pemantauan Sy Fakhrurrazi ar sangat ketat dan mantap pula sistem riqabahnya" Pak Lang terus memberi penjelasan pada mereka berdua. 

Tiba-tiba KakYah mencelah; "oh ya! memang sesekali kak Yah ada tertanya dalam hati, ada syak dia ada merokok masa sekolah rendah, tapi Kak Yah tak la selidik!" Pak Lang mengangguk kepala  sambil meneruskan cakap; "Sebab itu saya berani katakan Firdaus mula terbabit sejak di sekolah rendah. Sebab itu jemaah wajibkan anak-anak di asramakan sejak di tadika lagi. Bukankah kita sedang hidup di akhir zaman, dalam zaman fitnah? Semuanya sudah rosak dan mampu merosakkan generasi kita. Sebab itu Abuya minta kita letakkan anak-anak di asrama seawal mungkin. Kebanyakan orang kita sudah menghantar anak ke asrama sejak anak berusia 3,4 tahun. Jadi anak sudah biasa dengan kehidupan dan disiplin jemaah. Inilah sistem yang diikutnya sampai dia remaja dan kahwin pun dalam jemaah supaya dia dapat bekerja dengan jemaah mengikut bidang yang sesuai dengan minatnya". 

Kak Yah dan Bang Halim merenung muka Pak lang dengan sayu; "Habis tu sekarang apa yang patut kami buat Ustaz?" Tanya Kak Yah penuh harap.  Pak Lang terus memberi cadangan; "Pertamanya Firdaus sudah nyatakan dia sanggup buat perubahan. Dia ikut ke mana saja nak dihantar asalkan dia berpeluang belajar kemahiran letrik. Kak Yah dan Bang Halim sebagai mak ayah kena baiki diri. Kita ikut panduan Abuya bila menghadapi anak bermasalah. Ertinya punca masalah anak tu pada diri kita. Kita yang bersalah sebenarnya. Jadi kata Abuya, kita kena taubat dengan sesungguh-sungguh taubat. Kena kaji dan bermuhasabahlah. Memanjakan anak menyalahi cara Abuya. Mendidik dengan manja dan mewah ertinya memberi racun perosak pada anak yang kita sayang. Anak kena dilatih dengan kesusahan. Orang-orang besar Tuhan semuanya dididik dengan proses kesedihan, kemiskinan dan kesulitan. Lihatlah sejarah hidup Abuya sendiri.....Jalan hidup susah sebegitulah yang hendak kita perlakukan pada anak-anak kita. JIwanya akan terbiasa dengan kesusahan, jiwanya akan jadi lasak dan tahan uji. Dia akan jadi seorang anak yang tidak mudah mengalah. Hal Firdaus, kena terus bertindak. Pagi esok bila saya beritahu, sudah boleh hantar!"

Kami meminta izin tuan rumah meneruskan perjalanan. Ada  2 jam lagi perjalanan ke tempat tujuan musafir kami. Sekian.....

(Nama yang Pak Lang gunakan di dalam cerita benar di atas bukan nama sebenar individu terbabit). 

p/s; Jika anda kreatif, cerita di atas boleh diubahsuai 
        untuk dijadikan skrip lakonan untuk TVRSA

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text