Kita sedang berada di awal tahun baru 2013. Sorotan peristiwa sepanjang 2012 oleh kebanyakan media tentunya dalam berbagai versi menarik.
Hari ini, Pak Lang perturunkan satu maklumat mengejutkan - statistik kelahiran anak zina di Malaysia. Ianya sangat MENAKUTKAN!!!
Statistik ini hanya untuk tahun 2009. Bayangkan gandaannya bagi tahun 2010, 2011 dan 2012. Bayangkan juga tahun-tahun sebelumnya; 2008, 2007, 2006, 2005, 2004, 2003..........MENGGERUNKAN!!!
Artikel "Kes Zina Dan Anak Luar Nikah Di Malaysia" ini Pak Lang ambil dari www.manhal.pmram.org. SILA KLIK DI SINI
KES ZINA DAN ANAK LUAR NIKAH DI MALAYSIA
1. Mengikut Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)), Datuk Alwi Ibrahim, seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun lalu. Bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya. Pada 2008 seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,100 orang.
2. 17,303 setahun anak luar nikah Melayu (Islam) dilahirkan di Malaysia pada tahun 2009. Ini bermakna 17,303/365 iaitu 47 kelahiran anak luar nikah Melayu (Islam) dilahirkan setiap hari di Malaysia pada tahun 2009 bersamaan 2 kelahiran anak luar nikah Melayu (Islam) dilahirkan setiap jam di Malaysia pada tahun 2009. Ini juga bermakna 47 kes zina yang menghasilkan kehamilan berlaku setiap hari di kalangan Melayu (Islam) pada tahun 2009.
3. Seandainya 47 kes zina ini mewakili 1% daripada kejadian sebenar maka 4700 kes zina di kalangan Melayu (Islam) berlaku setiap hari di Malaysia pada tahun 2009. Ini bermakna sebanyak 4700 pasangan lelaki perempuan melakukan hubungan seks haram setiap hari.
4. Berdasarkan kepada laporan rasmi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008.
5. Ini bermakna secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat.
6. Amat menyedihkan kerana menurut statistik pendaftaran kelahiran kelahiran anak luar nikah dalam tempoh 4 tahun sahaja
(1999-2003) 30,978 dari 70,430 (44%) orang bayi tidak sah taraf yang dilahirkan adalah anak orang Islam.
Pecahan mengikut negeri:
- Selangor = 12,836 orang
- Perak = 9,788 orang
- Kuala Lumpur = 9,439 orang
- Johor = 8,920 orang
- Sabah = 8,435 orang
- Negeri Sembilan = 4,108 orang
- Pahang = 3,677 orang
- Kedah = 3,496 orang
- Pulau Pinang = 3,412 orang
- Melaka = 2,707 orang
- Kelantan = 1730 orang
- Perlis = 691 orang
- Sarawak = 617 orang
- Terengganu = 574 orang
- JUMLAH = 70,430 orang.
1. Sarang maksiat yang cukup banyak dalam negara memberikan kredit tertinggi dalam meningkatkan kadar kes zina. Tiada satu kawalan atau sekatan berkesan terhadap sarang-sarang maksiat seperti pusat disko, karaoke, rumah urut, kelab malam dan sebagainya.
2. Perkembangan teknologi yang tidak terkawal sehingga terlalu mudah untuk melayari laman-laman web lucah dan pornografi serta media yang tidak peka dengan nilai moral serta sensitiviti masyarakat dalam menyiarkan filem-filem dan iklan yang melanggar dasar etika dan akhlak.
3. Kelemahan hukuman jenayah zina yang dilihat amat ringan berbanding hukuman syariah dan ia dipandang tidak
menggerunkan para penjenayah serta tidak mampu mengajar mereka bahkan mereka berani mengulangi jenayah berulang kali tanpa rasa malu.
4. Pergaulan bebas lelaki dan perempuan di mana sahaja sehingga di pusat pendidikan sendiri bermula sekolah tadika sampailah universiti lebih-lebih lagi dalam program-program hiburan seperti konsert, jom heboh, sua rasa serta sambutan-sambutan rasmi kerajaan seperti tahun baru dan lain-lain.
5. Kesukaran untuk melaksanakan perkahwinan yang mana menelan belanja puluhan ribu ringgit yang menyebabkan para pemuda-pemudi lebih suka menjalin hubungan tanpa ikatan perkahwinan dengan alasan tidak mampu berkahwin.
6. Cara hidup barat terlalu menebal sehingga merasakan perbuatan zina bukanlah satu perbuatan yang jijik bahkan salah satu bentuk menifestasi kasih sayang dan rindu antara lelaki dan wanita.
7. Kesedaran masyarakat yang lemah dalam membendung muqaddimah zina seperti membiarkan budaya couple, hubungan intim perempuan dengan lelaki bukan mahram, tidak mempedulikan lansung persoalan maksiat yang berlaku di depan mata, takut membuat aduan dan lain-lain ditambah penguatkuasaan yang lemah oleh pihak berkuasa seperti jabatan agama.
Penyelesaian
a) Terhadap Faktor
1. Menyekat pertumbuhan sarang-sarang maksiat.
2. Mengawal penyalahgunaan teknologi dan mewajibkan perisian yang menyekat pengguna daripada melayari laman-laman web lucah dan sebagainya serta kawalan media massa yang menyeluruh melalui tapisan filem dan iklan.
3. Penguatkuasaan hukuman syariah yang betul seperti yang termaktub dalam al-Quran.
4. Membuat pengasingan antara lelaki dan perempuan di pusat-pusat pendidikan dan mengawal percampuran antara lelaki dan perempuan dalam semua program.
5. Memudahkan proses perkahwinan bagi mereka yang tidak mampu dengan kerjasama jabatan agama dan pihak berwajib dengan menyediakan sumber ekonomi yang boleh dimanfaatkan oleh pasangan yang ingin berkahwin seperti skim pinjaman perkahwinan dan lain-lain.
6. Kempen menjauhi zina dan pergaulan bebas besar-besaran yang dilakukan sepanjang tahun serta memperbanyakkan aktiviti kesedaran seperti ceramah, forum dan dakwah tanpa mengira bangsa dan agama.
7. Menambah bilangan penguatkuasa agama di setiap negeri dan memberi galakan supaya membuat laporan terhadap setiap kes-kes dan aktiviti yang mencurigakan serta perlindungan terhadap mereka yang melaporkannya.
b) Melalui Hukuman
1. Islam telah meletakkan satu hukuman yang keras terhadap penjenayah zina di mana hukuman sebat 100 kali dilaksanakan kepada penzina yang belum berkahwin dan hukuman rejam sampai mati kepada penzina yang telah berkahwin dan pernah melakukan hubungan kelamin yang sah.
2. Oleh kerana wujudnya halangan untuk melaksanakan hukuman syariah dalam negara ini, pihak kami mencadangkan supaya setiap aktiviti zina perlu dikira sebagai jenayah tanpa mengira bangsa dan agama dan hukuman yang lebih berat daripada apa yang ada seperti sebat dan penjara perlu dikuatkuasakan samada ianya diputuskan oleh mahkamah syariah sendiri bagi orang Islam dan sivil bagi bukan Islam.
3. Kami juga mencadangkan penguatkuasaan dalam isu zina dan khalwat tidak terhad kepada orang Islam sahaja bahkan diperluaskan skopnya kepada bukan Islam kerana zina perlu dianggap sebagai musuh utama negara sama juga seperti dadah.
4. Melaksanakan hukuman denda kepada mana-mana individu yang berpakaian menjolok mata dan melakukan aktiviti tidak sopan.
Kesimpulan
Segala bentuk cadangan dan perlaksanaan hukuman yang dinyatakan dalam artikel ini adalah melihat kepada betapa kejinya aktiviti penzinaan dalam negara dan betapa membarahnya gejala membuang bayi serta rogol sedangkan tindakan menghapuskan sumber-sumber berlakunya maksiat tersebut dipandang remeh oleh pihak berwajib. Kita seharusnya sedar setiap penyakit sekiranya tidak diubati dari akarnya maka harapan untuk sembuh tidak akan berjaya.
Disediakan oleh,
Khairul Anuar Bin Ismail
Felo MANHAL PMRAM
0 ulasan:
Catat Ulasan