Social Icons

Selasa, 29 Januari 2013

Kisah Derita Seorang Ibu Mempunyai Anak Penagih Dadah

Pak Lang perturunkan di sini salah satu kisah masyarakat.....Kisah seorang ibu menderita anak penagih dadah.... Siapakah pembela mereka?
Pak Lang ambil dari blog PEMADAM (
Pemadam WangsaMAJU)

Selepas ini Pak Lang akan masukkan satu kisah karamah Abuya memulihkan remaja GISB yang pernah terlibat dengan dadah. Islam ada jalan penyelesaiannya. Dan Abuya bangunkan sistem hidup Islam di dalam GISB untuk menaungi masyarakat yang memerlukan panduan dan pimpinan. Manusia akan kehilangan pedoman jika tidak bertemu siapa yang boleh menyelamatkan mereka...

Ikuti kisahnya...
KISAH minggu ini memang berlainan sekali, ia tentang luahan hati seorang kakak juga ibu mengenai masalah adik dan anaknya yang terlibat dengan dadah. Hanya mereka yang senasib boleh memahami masalah yang dipikulnya selama ini. Itu cerita Salina dalam e-melnya dan ketika kami berbual panjang di telefon.

''Apabila adik jadi penagih dadah, bukan setakat ibu bapa saya sahaja menderita, malah kami enam beradik turut sama menghadapi tekanan.

''Puas kami berusaha membantu tetapi baiknya cuma sekejap lepas tu dia buat balik. Kami dah tak tahu bagaimana mahu membantunya lagi. Masalahnya tambah teruk bila dia nak kahwin. Kami nasihatkan fikir dulu, sebab dia penagih tak ada kerja, mana nak tanggung isteri, tetapi dia degil. Akhirnya kami kahwinkan dia.

''Seperti diduga, perkahwinannya tak kekal, tapi dia kahwin lagi kali kedua, dapat dua anak bercerai, lepas tu kahwin lagi kali ketiga. Bila berkahwin, tentulah tambah beban yang kami terpaksa tanggung, makan minum mereka anak beranak kerana dia tak ada kerja. Lampin pakai buang pun kami tanggung sedangkan kami ada keluarga sendiri. Lama kelamaan seorang demi seorang adik-beradik tarik diri. Disebabkan saya tinggal dekat maka sayalah jadi tempat dia meminta bantuan.

''Masalahnya kalau kami tak beri duit dia akan mencuri, tak kiralah rumah jiran, saudara mara bahkan rumah emak sendiri. Pernah satu masa emak telefon saya suruh segera balik sebab adik dah pegang pisau di jalan keluar masuk rumah. Kebetulan saya tinggalkan anak dengan emak kerana berkursus. Fikirkan keselamatan anak, emak dan ayah, saya segera balik dan terpaksa bawa dia ke bandar untuk beli dadah.

''Emak memang takut tinggal di rumah kalau adik ada, sebab dia sentiasa hendakkan duit. Itu belum masuk bab malu dengan jiran tetangga datang mengadu barang-barang mereka hilang, rumah kena pecah dan sebagainya. Semua mereka tuduh adik yang curi.

''Pendek kata satu kampung tahu cerita adik penagih dadah dan pencuri. Bila emak ikut saya pindah, apa lagi semua barang dalam rumah emak habis dijualnya untuk beli dadah. Pada saya biarlah barang itu hilang asalkan jangan nyawa melayang. Kini walaupun pindah jauh di kampung isterinya tapi dia masih cari saya minta duit.

''Oleh kerana adik-adik tinggal jauh, ada di luar negara, ada di utara dan di selatan tanah air, sayalah tempat dia minta bantuan. Adik-adik lain ada membantu tetapi mereka tidak lihat betapa susahnya kami berhadapan dengan adik yang menagih.

''Saya fikirkan dengan pelbagai bantuan yang saya curahkan bantu adik, tak kira wang ringgit dan tenaga, tentulah saya tidak menghadapi nasib seperti emak lalui. Tetapi kehendak Allah yang maha kuasa, siapa sangka saya juga hadapi masalah sama bila anak saya terlibat dengan dadah. Ini membuatkan saya rasa cukup kecewa.

''Seawal umur 15 tahun Nan dah jadi penagih. Kami suami isteri amat sayangkan dia, tapi malangnya dia lebih sayangkan kawan-kawannya. Dengan pujukan kawan dia hilang pedo man, bukan setakat menagih malah mencuri, pecah rumah untuk dapatkan duit beli benda jahanam itu.

''Masalah duit kami anak beranak hilang dah jadi benda biasa, malah dia boleh keluarkan duit saya di Tabung Haji sebanyak RM9,000 melalui kad Bank Rakyat. Ketika hendak berurusan dengan Tabung Haji, saya diberitahu duit dah habis dikeluarkan. Saya hanya mampu menangis.

''Bila anak menagih, saya bukan saja susah hati kerana tabiat buruknya bahkan kerenah jiran tetangga. Asal ada benda berharga di rumah mereka hilang, Nan kena tuduh.

''Apakan daya untuk menasihati Nan, dia tak makan nasihat, malah rumah kami juga jadi mangsanya. Saya amat sedih, kami suami isteri berjawatan dan lulusan tinggi, sedangkan anak sulung kami Nan sijil SPM pun tak ada, sebab dia tak pernah ambil SPM.

''Pelbagai cara kami usahakan untuk memulihkannya tetapi baiknya sementara, lepas itu dia buat balik. Tau dia tak ada sijil kami keluar modal supaya dia berniaga kecil-kecilan, malangnya orang buka kedai pagi tapi dia buka kedai pukul 5 petang, lebih teruk belakang kedai tempat kawan-kawann yang lepak menagih. Akhirnya tutup terus.

''Ketika saya sambung belajar di utara tanah air, saya bawa dia tinggal bersama supaya jauh dari kawasan rumah kami. Bila jauh dia mahu berubah tetapi bila balik ke rumah dia menagih semula.

''Sebagai ibu tidak sepatutnya saya rasa bosan mendidik anak seperti ini tetapi sebagai manusia biasa, saya tidak terdaya menahan derita yang terpaksa saya tanggung dari muda hinggalah usia seperti ini, bermula dari adik hinggalah anak sendiri.

''Mungkin saya ibu yang kejam kerana pernah minta pihak berkuasa menangkap dan masukkan Nan ke pusat pemulihan, malangnya bila pengarah bertukar peraturan pun bertukar, anak saya yang muda ini dikeluarkan dan dimasukkan penagih tegar. Bila keluar pastilah anak saya kembali kepada tabiat lamanya.

''Saya pernah hantar dia ke pusat pemulihan swasta di Rawang, yang ceritanya pernah dipaparkan di TV dan akhbar tetapi anak saya dan beberapa kawannya lari sebab tak tahan diseksa, dipukul dan dirantai kaki, sementara diberi makan tidak secukupnya.

''Saya rasa itu zalim, sepatutnya anak-anak ini dilatih, dibimbing dan dinasihati supaya mereka insaf bukan dirantai, lagi pun mereka bukan duduk percuma, saya bayar RM1,000 sebulan dengan harapan anak saya dapat latihan, bukannya diseksa begitu.

''Kerana terlalu terseksa dan tidak tertanggung dengan penderitaan demi penderitaan, saya pernah terfikir melepaskan stering kereta ketika memandu ke lurah bukit supaya saya tidak lagi tanggung derita ini. Tetapi setelah fikirkan ini ujian Allah, saya terpaksa sabar.

''Saya harap ada ibu bapa lain yang senasib mahu berkongsi masalah. Kalau pesakit kanser, diabetes atau ibu tunggal ada persatuan mereka, mengapa ibu bapa seperti kita tak ada persatuan. Mungkin dengan berbincang akan ada cara kita boleh bantu pulihkan masalah anak-anak ini.'' Itu harapan Salina.

6 ulasan:

  1. assalamualaikum.....erm pak lang boleh tak bagi email pak lang...sya ingat nak bincang dan tnya pendpt sikit ...

    BalasPadam
  2. sesiapa pun boleh hbungi atau bertanyakan masalah peribadi atau keluarga kepada pak lang melalui email: (paklang.sm313@gmail.com)

    BalasPadam
  3. assalamualaikum...

    saya ada seorang abang dan kalau ikutkan dia bukanlah abang sebenar. Mak ambil dia sebagai anak angkat daripada abang mak sendiri dan kalau ikutkan dia adalah abang sepupu belah mak. Dia seorang yang ada kelulusan, tapi malangnya dia seorang penagih ganja dan peminum arak. Makin teruk perbuatan dia selepas ayah saya meninggal bulan 4 yang lalu. Kami adik-adik yang lain tak berani tegur sebab dia jenis susah nak mengaku kesalahan. dia akan marah-marah kami.
    yang paling teruk adalah bila dia sekeras-keras hati tak mengaku ambil ganja padahal tanda-tanda dia ambil ganja banyak dilihat sebab setiap hari dia ambil dan hisap di rumah dengan minum arak sekali.
    mak pernah pujuk untuk hantar ke darul syifa' supaya dapat nasihat ataupun sebagainya tapi dia bertegas tidak mahu pergi. disebabkan dia tak mengaku ambil ganja, pernah suatu hari mak sengaja tercakap adakah dia ambil ganja sebab melihatkan mata dia kemerahan. Dia mula menguggut pada mak akan tepon polis untuk buktikan dia tak bersalah. maka terlalu lembut hati dan cepat-cepat hentikan tindakan abang saya tu.
    saya sebagai anak dan adik angkat dia hanya mampu memandang sahaja. saya pernah menyuarakan pendapat untuk memberitahu pak sedara belah arwah ayah tentang perangai buruk abang , tapi mak tak bagi. katanya takut dihebohkan cerita.
    saya buntu, sebagai seorang remaja yang baru hendak kenal dunia dan hendak membesar, saya amat benci melihat kelakuannya yang biadap sangat kerana setiap hari meneguk arak dan hisap ganja tanpa segan silu.
    setiap kali saya luahkan perasaan tiadak puas hati tentang perangai abang, mak selalu pesan berserah dan berdoa kepada Allah. tapi adakah dengan berserah sahaja tanpa usaha sudah memadai??
    tolonglah berilah saya nasihat..saya perlukan bantuan pada sesiapa yang sudi menghulurkan bantuan.

    BalasPadam
  4. salam..
    saya memiliki 6 orang adik beradik. 5 orang adik beradik kandung dan seorang lagi adalah anak angkat yang mak bela dari kecil lagi dan kami adik-adik gelarkan dia dengan panggilan along. mengikut cerita adik saya S, along terjebak dengan ganja dari sekolah menengah berumur 15 tahun lagi. tapi sekarang umurnya sudah 25 tahun dan kesan yang ketara dapat dilihat sekarang. Dia bukan sahaja mengambil ganja tapi meminum arak. setiap hari dia lakukan di rumah dan sekerap sejak ayah kami meninggal bulan 4 yang lalu.
    tapi yang paling teruk adalah dia tak mengaku dan menafikan sekeras-kerasnya pengambilan ganja dan hanya mengaku meminum arak itupun setelah saya menjumpai 2 tin arak di stor rumah.
    mak pernah memujuk untuk buat rawatan di darul syifa' atau di pusat mana-mana yang boleh membuang aktiviti dia, tapi dia tak nak. apalah daya mak dan kami adik-adik yang lain untuk berkeras dengan dia. antara kami dia yang paling tua.
    saya takut dia akan melakukan sesuatu yang tak elok kepada mak dan adik-adik. tanda-tanda dia sekarang kerap melihat matanya merah dan suka marah-marah. dia pantang ditegur.
    disebabkan dia tak mengaku dia ambil ganja, pernah mak tersebut dia ada mengambil ganja, kerana melihat matanya yang merah. selepas itu dia terus agresif dan mengunggut mak untuk telefon polis supaya pastikan dia tak bersalah. mak sedaya upaya menahan telefon yang along pegang dan mak terus pujuk supaya dia bersabar.kata mak, mak bergurau.
    bayangkan kami adik-adik yang lain hanya mampu memandang je perbuatan dia setiap hari. pernah saya menyuarakan pendapat untuk beritahu kepada pak cik sedara belah arwah ayah. mungkin dengan cara ini dia takut sebab ada orang lebih tua tegur sikap dia. tapi mak tak bagi, takut heboh satu kampung. sampai sekarang tiada alternatif yang dicari mak membuatkan saya jadi runsing dan bingung. makan dan minum saya selalu terganggu disebabkan memikirkan masalah ini.
    saya perlukan nasihat. disebabkan perkara dan masalah ini, komunikasi saya antara mak tak seceria dulu. saya jadi marah kepada mak sebab tiada tindakan yang saya lihat mak cuba lakukan..
    tolong lah berikan saya sedikit motivasi supaya saya dapat berhadapan dengan along yang walaupun dia sesuka hati melakukan aktiviti tak bermoral di rumah, tapi saya juga tidak bertindak secara terburu-buru menyerang sehingga boleh akibatkan pergaduhan.

    15 August 2013 07:00

    BalasPadam
  5. salam..

  6. hancurkan MALAYSIA

    BalasPadam

Sample text

Sample Text

Sample Text