Social Icons

Ahad, 10 Februari 2013

Apa Yang Patut Dibuat Bila Terjumpa Barang Berharga di Tanah Suci Atau Di Mana Saja

Sepanjang mengendalikan jemaah umrah di tanah suci Mekah ini, Pak Lang bertemu dengan ramai insan yang berbagai ragam. Menariknya kerana dapat berjumpa dengan saudara mara dari Kedah, Perak atau Kelantan. Secara kebetulan mereka berada dalam pakej yang kami kendalikan. Apabila sudah berhari-hari bersama mereka, ramailah yang mendekati kami bertanyakan masalah, kemusykilan hukum hakam dan panduan kehidupan. 

Paparan ini, Pak Lang bawakan satu kisah menarik untuk diambil iktibar. 

Ada seorang Pak Cik, menceritakan pengalamannya diuji Tuhan dengan peristiwa yang tidak dialami sebelum ini. Ketika baru turun dari hotel, hendak menuju ke MasjidilHaram bagi menunaikan solat Maghrib, entah bagaimana dia terpandang 'sesuatu' di bawah sebuah kereta. 'Benda' itu berupa seketul berbentuk empat persegi bujur yang tebal. Mungkin lebih dari 5 inci tebalnya. 

Pak Cik ini pun bertinggung di tepi kereta tersebut. Benda itu hanya berada sejengkal dari luar. Terletak hampir dengan bahagian dalam roda belakang. Pak Cik ini membelek-beleknya  dengan teliti. Tiba-tiba jantungnya berdebar kencang. Sahlah yang dilihatnya itu adalah duit seketul terikat dan dibungkus dalam pelastik lutsinar. Jelas ianya dalam matawang Saudi Rial (SR). Kuatnya hubungan hati pak Cik ini dengan Tuhan, menjadikan dia segera merasakan itu adalah ujian Tuhan terhadap imannya. Dia bangun tanpa menyentuhnya dengan menyebut dan istighfar dan selawat kepada Baginda Nabi saw. 

Pak Cik ini seorang yang warak. Dia sangat gigih beribadah sepanjang berada di tanah suci. Walaupun sudah berumur lebih 65 tahun, setiap waktu sembahyang dia pasti berada di Masjidil Haram. Dia tidak akan sembahyang di hotel. Pernah dia ungkapkan kata-kata, "Sayanglah kalau hanya sembahyang di hotel sedangkan wang yang dihabiskan beribu-ribu utnuk sampai di tanah suci. "Mengutamakan solat di depan Kaabah itulah azam saya" katanya.

Jadi wang yang dilihatnya itu tidak disentuhnya. Dia hanya menceritakan perkara itu pada tengahari esoknya kepada kami. Ada yang segera turun melihatnya kalau-kalau ianya masih ada di situ. Kereta yang tersadai sejak lama di situ memang ada tetapi di bawahnya hanya sampah sarap. Ketika kami bertanya padanya, "Kenapa dia tidak ambil wang itu?" Katanya wang itu bukan haknya. Jika disentuh, sudah menjadi tanggung jawabnya pula untuk mencari dan memulangkan kepada pemiliknya yang sebenar. Di mana hendak dicari? Ianya pasti menyusahkan kerana terpaksa memikul beban yang dicari sendiri.  

Sampai sekarang kami tidak tahu apa yang terjadi pada duit tersebut. Tidak pernah ada yang melihatnya di tempat itu selain Pak Cik ini. 

Sememangnya itulah tindakan yang terbaik bagi sesiapa yang diuji terjumpa dengan sesuatu yang berharga. Di tanah suci ini hal-hal sebegini memang lumrah berlaku. Ianya adalah proses ujian dari Tuhan. Ujian terhadap rasa tamak atau ingin memiliki walaupun bukan hak diri sendiri. 

Bisikan Syaitan dan nafsu sangat menyeret diri untuk bertindak mengambil atau memegang barang berharga yang bukan milik kita. Pesan para ulamak yang soleh, hindarkan diri dari terjebak dengan sesuatu yang bukan urusan kita. Sibukkan diri dengan kerja-kerja menyelamatkan diri sendiri dari api neraka. 

Tanah suci Mekah dan Madinah adalah tempat berlakunya pelbagai kisah ketulusan hati sihamba dengan Tuhan. Catatan sejarah yang panjang di sepanjang zaman yang berlaku di sini hanyalah pengulangan cerita, betapa orang-orang pilihan Tuhan itu sentiasa memilih ketulusan dan kejujuran dengan Tuhan. Tulus atau jujurnya seseorang hanya boleh dinilai jika berjaya dilakukan seorang diri - di luar pengetahuan manusia lain. 

Hanya orang-orang tertentu sahaja yang berjaya kekal dengan pendirian sebegini. Orang awam biasa akan mudah terpesona dan terpedaya dengan peluang yang melintas di depan mata. Rezeki milik orang lain, tetapi dek ianya melintas di depan mata, maka terus disambar tanpa usul periksa. Semuanya kerana syaitan dan nafsu menutup hati dari merasa sensitif dan menghilangkan rasa ingin menyelidik, milik siapa sebenarnya. 

Tanah Suci ini adalah medan para tetamu Allah dinilai kejujuran hatinya terhadap Tuhannya!!. 




Wahai RSA dan BWasilah ar jadikan hati dan diri kami dapat berlaku lurus dan tulus sepanjang masa, dimana-mana pun jua!!!



0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text