Social Icons

Ahad, 10 Februari 2013

Ujian Ketika Umrah - Duit Yang Datang Setelah Yang Lain Diuji Duitnya Hilang

Semalam ada seorang abang (Pak Lang namakannya sebagai "Man") menghampiri Pak Lang selepas sarapan pagi. Dia menceritakan satu kejadian yang terjadi pada hari sebelumnya. 

Katanya, "Ustaz, saya ada hal nak tanya sikit." 
Pak Lang pun membetulkan duduk dan bertanya kembali, "Ada kemusykilan apa?"  
Man pun bersuara separuh berbisik, "Sebenarnya saya rasa saya sudah tersilap langkah Ustaz!"  

Pak Lang memerhati air muka Man. Ada raut rasa serbasalah pada wajahnya. Persoalannya masih samar-samar. Tetapi tanpa menunggu apa-apa respon dari Pak Lang, Man terus menyambung, "Ceritanya begini, semalam saya minta seseorang untuk tolong menukarkan wang Ringgit Malaysia  (RM) ke Saudi Rial (SR). Tidak lama selepas itu, dia pun pulang membawa wang serta resit tukaran wang tersebut. Rasanya kawan yang baru saya kenal itu tidak memeriksa wang yang diberikan." 

Pak Lang makin teruja. Man masih belum menceritakan masalah sebenar. Rasa tidak sabar menanti mendesak-desak untuk terus bertanya, "Apa yang berlaku sebenarnya." 

"Sebenarnya wang yang sepatutnya saya terima dalam Saudi Rial ialah SR590 sebagai tukaran RM500. Itulah kadar yang wajar. Lebih kurang lah rasanya. Tetapi apa yang diberikan kawan ini kepada saya lebih banyak Ustaz!"

"Peliklah sebab pengurup wang tidak mungkin tersilap, berapa banyak yang lebih itu?" Tanya Pak Lang. Man memandang tepat ke muka Pak Lang dan bersuara, "10 kali ganda ustaz! sebanyak SR5,900!!"  Pak Lang terkedu mendengarnya. Ternyata satu kesilapan besar oleh seorang kasir (cashier) di syarikat pengurup wang tersebut. 

Kesilapan sedemikian bukanlah suatu yang aneh. Manusia tetap mempunyai kelemahan ketara iaitu lupa, lalai dan alpa. Kerap berlaku kesilapan juruwang bank tersilap memberikan kita jumlah wang yang melebihi sepatutnya. Sememangnya mereka juga mudah tersilap walaupun setiap waktu ber'main' dengan duit. Kebiasaan biasanya melalaikan. Itulah yang berlaku pada Man - mendapat 'durian runtuh' sebanyak itu hasil kealpaan seseorang.

"Tetapi apa yang Man lakukan selepas itu?" Tanya saya. Man terus bercerita lanjut, "Saya pula sedang bersembang dengan isteri tentang munajatnya di depan Kaabah yang antaranya memohon rezeki yang mencukupi untuk kehidupan keluarga kami. Pada masa sedang bersembang hal munajatnya itulah duit tukaran itu diserahkan kepada saya. Jadi saya dan isteri merasakan itu satu rezeki yang datang tanpa di duga. Rezeki di tanah suci. Saya mengharapkan duit tersebut adalah berkat doa isteri saya di depan Baitullah yang mulia."

"Jadi, apa yang Man lakukan dengan wang yang banyak berganda itu?"  

"Saya kata kepada kawan itu, oleh kerana ini rezeki daripada Tuhan, biarlah kamu juga dapat merasanya. Ambillah separuh, saya separuh!!" 

Terperanjat Pak Lang dibuatnya. "Ini sudah kes berat ni!" Kata Pak Lang dalam hati. 

Man meneruskan ceritanya, "Saya dan isteri bawa anak-anak pergi beli barang yang hendak di bawa pulang ke Malaysia dengan menggunakan wang tersebut. Tidaklah habis semuanya. Wang itu masih berbaki lagi. Saya memang tidak terfikir apa-apa lagi ketika itu. Tetapi apabila hendak tidur malam tadi saya teringat semula hal duit ini. Saya rasa ragu-ragu dengan tindakan saya. Tepatkah tindakan saya? Benarkah duit itu hak saya atau bukan? Bagaimana saya hendak menyelesaikan masalah saya ini? Apa jadi dengan ibadah umrah saya di tanah suci ini? Dan macam-macam persoalan datang ke fikiran saya sepanjang malam. Saya tidak dapat lelapkan mata. Hati kecil saya mengatakan saya telah tersilap langkah. Tetapi saya juga buntu bagaimana nak bertindak hari ini bila hari siang." 

"Lagi satu masalah saya ialah saya tidak perasan kawan yang mana yang saya minta tolong sebenarnya. Saya hanya baru berjumpa dengannya sehari sahaja kerana dia ada dalam rombongan ini yang seramai 400 orang. Setelah dia saya berikan wang itu, saya pun sudah tidak ingat wajahnya. Dan dia pun tidak menipu apa-apa. Apa pandangan Ustaz ya?"

Pak Lang menghela nafas panjang, "Beginilah Man, biar kita fahami hal ini satu persatu. Yang pertama, tentulah ada kesilapan yang dilakukan oleh kasir tersebut. Dia mungkin menyangka kita menukarkan wang RM5,000 lalu diberikannya SR5,900. Yang kedua, kalau kasir itu sudah tersilap, nyatalah bahawa wang yang lebih dari SR590.00 itu bukan hak kita. Secara jujur, kita kena akui hak yang patut kita ambil hanya sebanyak SR590.00. Yang lebih itu kena dikembalikan kepada yang empunyanya" 

"Ustaz, saya setuju untuk kembalikan wang tersebut kepada yang empunyanya. Saya akan ganti semuanya. Bahkan saya hendak meminta maaf di atas kelambatan saya memaklumkan hal ini kepada mereka. Tetapi masalah saya ialah, saya sendiri tidak tahu di mana syarikat pengurup wang yang kawan saya itu berurusan. Dan kawan itu pun sudah saya tidak ingat rupa wajahnya.." Man menjelaskan situasinya dengan nada sedih. Tadi, setelah Pak Lang sebut tentang hak kita sahaja yang patut diambil, wajahnya sudah ketara sangat rasa bersalah. 

Pak Lang juga turut merasa sedih. Kenapalah Man ini diuji dengan wang yang datang kepadanya sedangkan orang lain diuji kehilangan wang. Tetapi inilah yang dikatakan proses Tuhan untuk para tetamuNya di tanah suci. Hikmahnya hanya Dia yang tahu. Sebagai hamba, kita hanya berusaha, bersabar, redha serta menyerah segala-galanya untuk Dia mencaturnya. Maha Suci Tuhan daripada melakukan sesuatu yang sia-sia. Bahkan apa yang terjadi, itulah kasih sayang Tuhan kepada kita. Tidak ada yang negatifnya.

Pak Lang hanya menasihatkan Man supaya beristighfar meminta ampun kepada Tuhan. Jadikan peristiwa ini sebagai pengajaran dari Tuhan. Berhati-hati dalam mengambil atau memilih rezeki adalah sifat terpuji. Para sahabat Nabi saw sanggup memuntahkan kembali makanan yang ditelan setelah menyedari makanan itu bukan untuknya. Mereka tidak mahu makanan itu hadam dan menghasilkan darah daging yang kekal di dalam tubuh mereka. Mereka sentiasa ingat amaran Rasulullah saw bahawa, "Mana-mana daging yang tumbuh daripada sumber makanan yang haram maka api nerakalah yang layak membakarnya!!" 

Usaha menjejaki siapa yang menukarkan wang itu sedang kami jalankan. Man juga bersedia mengembalikan jumlah wang tersebut kepada yang empunyanya. Semoga ianya akan terjawab dalam sehari dua ini sebelum mereka pulang dan sempat menemui syarikat pengurup wang terbabit. 



RSA dan BWasilah ar tolong luruskan hati-hati kami selurus-lurusnya di depan dan dibelakang...

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text