Social Icons

Isnin, 15 Jun 2015

Jangan Tak Tahu Ramai Ustaz Penceramah Berfaham Wahabi!!!

SIAPAKAH WAHABI?
  Wahabi bukan kerana mereka tidak membaca Qunut Subuh lalu mereka  dipanggil Wahabi, kerana tiga Mazhab ASWJ lain tidak pun membaca Qunut  Subuh, itu perbezaan pandangan (khilafiyah) di kalangan para Imam Mazhab  Empat; bukan juga kerana tidak membuat kenduri arwah kerana ada satu  qawl dalam mazhab shafie yg tidak menggalakkannya, bukan juga kerana itu  dan ini tetapi Wahabi adalah satu cara berfikir yang salah yang  membentuk satu gerakan ekstrem yang boleh memecahbelah masyarakat.  Kemuncak ekstrem dan radikal Wahabisme boleh sehingga membawa  pertumpahan darah seperti IS,ISIL, ISIS, al-Qaeda, Taliban...semua itu  adalah didikan Wahabi.
 Dakyah Wahabi berjaya menarik ramai pengikut kerana slogan menarik mereka yang menyeru konon-kononnya:
 -- jangan "taqlid"
 -- jangan "mengikut membuta tuli"
 -- jangan "taksub Mazhab"
 -- "kembali kepada Al-Quran dan al-Sunnah"
 dan banyak lagi...
  [1] Wahabi sebenarnya adalah gerakan MEMBIDAAHKAN amalan orang lain  yang tidak sehaluan dengan mereka dan merasakan hanya amalan mereka  sahaja yang betul. Hanya mereka sahaja kononnya mengikut "Sunnah".  Mereka kelompok manusia yang tidak boleh berbeza pandangan, tidak  menghormati ikhtilaf atau khilafiyyah (perbezaan pendapat di kalangan  ulamak). Wahabi menolak bahawa Bid'aah ada dua bentuk (i) Baik (Hasanah)  dan (ii) Sesat (Dolalah). Bagi Wahabi semua Bid'aah sesat dan masuk  neraka. Oleh itu setiap Bid'aah adalah mungkar dan bagi mereka wajib  ditentang. Lalu mereka menentang semua Bid'aah walaupun Bid'aah Hasanah,  mereka membesarkan perbezaan pendapat dan membikin kecoh seantero dunia  tanpa boleh berlapang dada.
 Pra-syarat menjadi Wahabi nampaknya  macam kena memperbanyak menuturkan "BID'AAH" terhadap amalan orang lain  dan menjadikan ianya "wirid" harian.
 [2] Wahabi MELARANG BERAMAL  apabila tiada nas khusus untuk amalan tersebut walaupun di sana ada  perintah umum daripada Al-Qur'an dan As-Sunnah. Bagi Wahabi setiap  ibadat kena ada nas dan dalil, walhal perintah yang bersifat umum sudah  ada namun mereka menolaknya. Wahabi marah membaca Surah Yasin malam  Jumaat kerana tiada nas. Bukankah perintah memperbanyakkan membaca  al-Quran sudah cukup banyak dan memadai? Adakah nas melarang membaca  Yasin malam Jumaat? Tiada larangan. Lalu apa salahnya membaca?
  [3] Wahabi adalah gerakan MENSYIRIKKAN orang lain: tawassul bagi mereka  syirik kecuali tawassul dengan amalan soleh, dan dengan Asmaul Husna  saja. Walhal para Sahabat dan Salafus Soleh bertawassul dengan pelbagai  bentuk lain;
 [4] Wahabi gerakan MENTAJSIMKAN Allah SWT  mensifatkan Allah "bertangan", "duduk" atas Arasy, "ketawa", "Allah di  atas langit" dan lain-lain. Wahabi menolak takwil yang dibawa oleh  manhaj Asha'irah dan Maturidiyyah sedangkan manhaj Asha'irah itu lebih  selamat daripada mensifatkan Allah dengan sifat makhluk.
 [5]  Wahabi juga gerakan MENTADHA'IFKAN hadith dan MEMARDUDKAN hadith dhaif,  menolak penggunaan hadith-hadith dhaif dan membakulsampahkan semua  hadith-hadith dhaif. Sedangkan sejak seribu tahun lebih para ulama  hadith membenarkan penggunaan hadith dhaif dalam hal fadhailul 'amal dan  targhib wa tarhib. Kiblat rujukan hadith Wahabi ialah Sheikh Nasruddin  Al-Albani. Mereka tidak sedar mereka bertaqlid dan mengikut membuta tuli  apa sahaja takhrij hadith oleh al-Albani. Ulama rujukan Wahabi pula  ialah sekalian "kibarul ulama" Saudi hari ini manakala kitab-kitab  rujukan Wahabi ialah kitab karangan Muhammad Abdul Wahab. Mereka  membutakan mata dan memekakkan telinga apabila didatangkan hujah  daripada para ulamak lain yang muktabar namun tidak sealiran dengan  mereka.
 [6] Wahabi gerakan MEMBURUKKAN ahli Sufi dan Tasawuf.  Mereka secara terpilih memetik yang mana sesuai dengan fikrah mereka  kitab-kitab Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim, Al-Dhahabi, al-Syawkani khususnya  di bab memburuk dan mencemuh para Sufi kerana Wahabi gerakan anti-Sufi.  Walhal Ibn Taymiyyah sendiri adalah pengikut tarekat Qadiriyyah. Wahabi  Malaysia ada yang mengatakan tasawuf lebih kotor dan jijik daripada air  longkang. Sedangkan Sufi ada yang baik dan ada yang sesat sepertimana  umat Islam yang lain juga amnya: ada yang Soleh, ada Munafik dan ada  yang berdosa. Sufi juga tidak maksum. Bahkan Imam Ghazali RA sendiri  turut mengkritik "Sufi palsu" walaupun beliau sendiri seorang ahli Sufi.
  [7] Wahabi MENOLAK Imam al-Ghazali RA dan amat jarang sekali kita  mendengar mereka mengutip kalam Imam al-Ghazali RA. Bagi mereka Imam  al-Ghazali RA Hujjatul Islam itu jahil hadith dan Sufi.
 [8]  Wahabi TIDAK BERPEGANG KEPADA MAZHAB. Kata mereka zaman Nabi SAW mana  ada mazhab. Mereka mendakwa berpegang terus kepada "Al-Quran dan  As-Sunnah". Lalu kita bertanya Empat Mazhab ASWJ itu berpegang kepada  apa jika bukan kepada al-Qur'an dan Al-Sunnah?
 Itulah antara  ciri-ciri utama Wahabi (masih banyak lagi) dalam bahasa yang mudah  difahami oleh orang awam. Sandaran ilmiah bukan tempatnya di ruangan  terbatas ini dan boleh dirujuk buku-buku yang banyak berada di pasaran.  Ini hanyalah sekadar panduan umum untuk orang awam yang ringkas dan  pantas bagi mengenali Wahabi agar tiada lagi yang terkeliru dengan  suara-suara membela Wahabi dan mahukan penjelasan "Siapakah Wahabi"  sebenarnya.
 Pendokong Wahabi malu mengaku diri mereka Wahabi  kerana nama Wahabi begitu jijik apabila mereka melakukan kekejaman  membunuh orang yang tidak sealiran mereka sejak dahulu lagi. Mereka malu  mengaku Wahabi lalu mendakwa mereka kononnya mengikut manhaj Salafus  Soleh, merekalah kononnya "SALAFI". Hari ini jangan dicari orang yang  mengaku Wahabi, tiada akan anda temui, namun ciri-ciri Wahabi di atas  ada pada mereka walaupun mereka cuba berselindung atas pelbagai nama  lain.
 Ada ketikanya mereka cuba menyembunyikan punca kenapa  mereka digelar Wahabi, kononnya Wahabi itu "hantu", "momok" dan tidak  wujud. Kenal dulu ciri-ciri Wahabi maka tahulah anda siapa pendokong  mereka dan adakah Wahabi wujud di kawasan anda atau hanya sekadar  "hantu".
 Kalau ada yang melenting apabila Majlis Fatwa Negeri  Sembilan mengharamkan penyebaran ajaran Wahabi, maka hampir pasti  merekalah sebenarnya pendokong tegar Wahabi (yang malu mengaku).  Hati-hati dengan mereka ini walaupun petah berbicara dan mulut penuh  dengan ayat-ayat al-Qur'an dan al-Hadith. Ada Wahabi Malaysia yang  sangat terkenal dan bicara memukau sehingga ramai orang awam tertipu.  Ayat-ayat al-Qur'an dan al-Hadith ditafsir mengikut kesesuaian fikrah  mereka. Mereka mengajar kitab-kitab imam-imam Ahlu Sunnah wal Jamaah,  misalnya kitab Hadith Empat Puluh Imam Nawawi RA, tetapi menafsirkan  atau mensyarahkan mengikut fikrah Wahabi mereka.
 Dengan pengharaman  Wahabi di Negeri Sembilan dan Perak, moga-moga makin ramai yang sedar  dan makin jelas siapa pendokong Wahabi sebenar yang bertopeng dan begitu  licik selama ini. Jangan terkejut jika ustaz yang anda kagumi selama  ini itu sebenarnya mungkin pendokong Wahabi. Kita mengharapkan semua  negeri-negeri lain akan turut sama mengharamkan penyebaran faham  Wahabisme ini kerana mereka memecahbelah dan menimbul keresahan  masyarakat.
 Apabila kita mengetahui manhaj benar ASWJ, maka  senanglah kita memahami kebatilan fikrah yang lain. Kenali kebenaran itu  dahulu, maka kamu akan kenal ahli-ahlinya seperti ungkapan Sayyidina  Ali RA: 
 لا يعرف الحق بالرجال اعرف الحق تعرف اهله
 Dengan kaedah yang sama, kenal dulu ciri-ciri Wahabi maka tahulah anda siapa pendokong mereka.
  Moga-moga Allah SWT membimbing kita semua dan mereka mengikut manhaj  Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang diredhaiNya dan mempersatukan umat  Islam yang semakin parah berpecah. Amin.
 Wallahu'alam

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text