Thursday, June 25, 2015
Ramadhanku
Ramadhan. Berpuluh tahun sudah Allah rezkikan aku menghadapi Ramadhan. Nikmat yang cukup besar. Tak terbilang. Lebih lagi tidak setimpal dengan apa yang sering aku persembahkan.
Ramadhan kali ni sekali lagi aku menyambutnya jauh dari tanah air. Bukan hal yang tak biasa sejak tahun-tahun kebelakangan. Hal yang luar biasalah jika dapat berpuasa di Malaysia tercinta. Berada jauh di tanah inggeris,berpuasa untuk 19jam benar-benar memberi warna yang berbeza disudut rasa. Warna yang terlahir dek suasana lahir juga warna yang tercorak oleh suasana batin.
Oh Tuhan..
Acapkali Ramadhan disambut dengan amukan perasaan yang bercampur baur dan saling berlawan. Berlaku juga ujian-ujian besar dalam hidup di bulan suluk agung ini. Diatas semua itu,hal yang paling ditakuti ialah bilamana hati menyedari bahawa kejahatan selama ini nafsu lah puncanya memandangkan syaitan diikat kuat dineraka namun maksiat tetap berlaku jua.
Dapatkah sebulan penuh berkat ini memadam dosa sekian tahun lamanya? Mampukah sebulan keramat ini memutih kegelapan hati? Bisakah keganasan nafsu sekian tahun ini dijinakkan di bulan ajaib ini? Penuh harap aku memohon agar aku tidak perlu menunggu Ramadhan akan datang untuk memulih segala virus yang kian menyebar. Sedang aku tidak pernah tau pasti apakah Ramadhan hadapan masih mampu aku miliki.
Sungguh Ramadhan membawa kita menyelak kembali lembaran agung kiriman Tuhan untuk hamba-hamba kesayangan. Berbicara dekat ke dasar hati perihal kisah-kisah yang telah lalu dan akan berlaku sebagai ingatan penuh cinta agar hamba tidak lagi mensia-siakannya. Amaran penuh dasyat oleh neraka yang menjulang! Pujukan penuh pesona oleh syurga yang melambai. Aduhai.. Perasaan bergelora lagi. Memikir akan nasib hati dan diri. Dapatkah ku pecut sampai ke garisan penamat nanti?
Rupanya Ramadhan perlu dilalui penuh rindu. Rindu kepada tuan yang empunya rindu. Rindu paling besar dalam sejarah dunia. Rindu seorang nabi kepada ummatnya. Nabi menangis kerana rindu. Mengapa engkau menangis hai nabi? Mengapa seorang nabi perlu menangis? Menangisi rindunya yang tak terbalasi. Menangisi cintanya yang dipandang sepi. Wahai Nabi.. Dengan apa hendak ku tebus airmata mu itu? Bagaimana hendak ku ukir senyum di wajahmu? Sedang hati cukup sesak oleh rindu-rindu murahan tanpa sempat menyisipkan rindu kepada yang selayaknya dirindu. Ramadhan ku.. Kurniakan aku rindu itu..
Aku berhutang nyawa kepada ayah ibu ku yang mengajarkan aku tentang semua rasa ini. Ah.. Mulut memang pandai menabur kata. Sedang airmata mereka saja tidak pernah mampu engkau beri harga. Namun teruslah hati memohon disepanjang Ramadhan agar ketika Ramadhan berlaku nanti,aku akan dapatkan hati yang baru. Hati yang hanya ada Tuhan didalamnya. Tidak lagi berkongsi apa-apa dengannya. Aku percaya demikian juga doa ayah ibu ku itu. Tidak hanya untuk aku,bahkan untuk semua anak-anaknya yang beribu..
Khaulah bt Hj Asaari at 7:39 AM
Share
0 ulasan:
Catat Ulasan