GISBH mengambil pendekatan mewujudkan pusat-pusat latihan berasrama penuh. Ini bertujuan untuk memastikan sistem tarbiyah ruhaniah untuk ramaja ini dapat disebatikan di dalam diri mereka. Mereka dididik untuk bangun awal mengerjakan sekurang-kurangnya solat tahajud, solat witir, menghafal Al-Quran, berselawat dan solat Subuh berjemaah bersama pengurus yang memantau program latihan kemahiran mereka. Ada waktunya - sebagai latihan, mereka digilir-gilirkan menjadi imam solat fardhu sesama mereka.
Kehidupan di asrama adalah program membina jati diri mereka untuk dilatih berdikari, tidak manja bahkan berjiwa besar. Mereka dibimbing melakukan tugas2 harian bersama kawan2 bagi melahirkan rasa bertanggung-jawab, bertolak ansur, rasa bersama dan bekerjasama dalam suasana penuh kasih sayang.
Demikianlah juga dengan seluruh aktiviti seharian dan mingguan mereka di asrama - penuh dengan aktiviti menarik dan mendidik jiwa ke arah takutkan Allah dan rindukan Nabi saw. Sekali sekala mereka di bawa keluar dalam aktiviti lawatan atau rehlah yang boleh mendidik dan menginsafkan mereka.
Apabila rutin hidup amalan salafusoleh ini telah dapat mereka jiwai dari awal remaja lagi, in sya Allah mereka akan kekal istiqamah dan tidak mudah terpengaruh dengan gejala negatif apabila mereka berada dalam dunia pekerjaan yang lebih mencabar.
Para pelatih latihan kemahiran GISBH adalah bakal staf syarikat. Pekerjaan sudah menunggu mereka. Penilaian sahsiah adalah sijil utama kelayakan mereka. Jadi, semua elemen pendidikan jiwa mereka diseimbangkan agar mereka tidak jemu bahkan dipelbagaikan pendedahan seperti aktiviti kebudayaan, kesenian, perniagaan, pertanian, pertukangan, lawatan dan sebagainya. Mereka dibenarkan belajar apa sahaja yang mereka minati disamping bidang-bidang kemahiran tertentu yang telah ditetapkan untuk mereka menguasainya.
Ini semua bertujuan menyiapkan mereka menjadi remaja yang kreatif, berinovasi, bermotivasi dan sangat mahu memastikan setiap detik waktu kehidupan mereka bernilai ibadah di sisi Allah swt.
Justeru pendidikan untuk para pelajar, remaja dan semua warga kerja GISBH terus berjalan dengan tarbiyah, motivasi serta latihan budaya kerja berjemaah yang bertujuan menanamkan rasa takut setakut-takutnya kepada Allah dan rindu serindu-rindunya kepada Nabi SAW.
Apa yang cuba diusahakan oleh GISBH di dalam bidang pendidikan ini masih terlalu kerdil berbanding keperluan besar masyarakat perdana yang perlu ditampung. GISBH yakin - dengan sokongan dan bimbingan berterusan daripada semua pihak, apa yang kurang dan lemah pada program latihan kemahiran GISBH ini, akan kami usaha segera memperbaikinya.
Semoga Allah izinkan terlaksananya proses melahirkan generasi umat manusia yg bukan sahaja berilmu tetapi mampu merealisasikan model kehidupan masyarakat Islam yang gemilang lagi indah, selamat lagi menyelamatkan, bahagia lagi membahagiakan dan hidup dalam keadaan yang aman harmoni.
0 ulasan:
Catat Ulasan