GISB Holdings Sdn Bhd merupakan sebuah badan korporat bumiputera Islam di Malaysia yang mempunyai 10 buah anak syarikat yang beroperasi dalam bidang perkhidmatan dan peruncitan. GISBH mempunyai rangkaian pasaraya, pasar segar, pasarmini, bakeri, restoran, pemerosesan makanan dan minuman, perkilangan, kesihatan, pelancongan, pengangkutan dan sebagainya.
Buat masa ini GISBH bertapak di Malaysia dengan cawangan-cawangan dari seluruh dunia seperti Indonesia, Thailand, Singapura, Australia, Eropah, Timur Tengah termasuk Mekah, Madinah, Mesir, Jordan, Emirates Arab Bersatu, Turki dan lain-lain.
GISBH komited untuk bersama masyarakat arus perdana dalam mendidik anak-anak menjadi warga negara yang bertanggung jawab dan berakhlak mulia.
Atas rasa tanggungjawab, GISBH mengambil inisiatif mewujudkan beberapa buah sekolah rendah, menengah dan pusat-pusat latihan kemahiran, sebagai satu usaha menyediakan tenaga kerja syarikat yang berkualiti. Penubuhan pusat pendidikan GISBH di seluruh Malaysia adalah mengikut peraturan Bahagian Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Negeri-negeri. Jika ianya berbentuk latihan kemahiran, mereka dipantau dan ditunjuk ajar oleh para pengurus yang lebih berpengalaman.
Semoga inisiatif penubuhan sekolah ini dapat membantu menyediakan generasi celik akhirat, cintakan agama, bangsa dan negara serta mempunyai keterampilan diri yang luar biasa yang mampu mengajak rakan-rakan sebaya mereka ke arah kebaikan dan kecemerlangan. Ianya juga berorentasikan pengajian diniah, tahfiz, akademik dan pendedahan latihan kemahiran hidup yang digabungkan secara integrasi.
Ilmu dalam bentuk kepelbagaian maklumat, pendidikan rohaniah dan latihan praktikal adalah tiga perkara yang tidak boleh dipisahkan. Ketiga-tiganya mestilah berjalan seiring bagi memastikan lahirnya pelajar yang berilmu, beriman dan bertaqwa serta dapat memberi manfaat kepada manusia yang lain.
Baginda Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Sebaik2 manusia adalah mereka yang memberi manfaat kepada manusia yang lain”.
GISBH mengambil pendekatan pendidikan Islam untuk para remajanya kerana alam remaja terdedah dengan pelbagai unsur yang merosakkan. Kekuatan dalam diri mereka sendirilah yang akan menjadi benteng untuk mereka terus maju ke hadapan dan menguasai semua bidang kemahiran yang diminatinya secara terpimpin. Ruang inovasi serta kreativiti dibentangkan seluas-luasnya di hadapan mereka.
Di dalam pendidikan Islam 4 unsur utama dalam diri iaitu akal, hati, nafsu dan fizikal seorang manusia perlu dibina dengan sebaik dan seimbang. Fizikal yang sihat perlukan spritual yang terhubung dengan Allah. Hati, akal dan nafsu adalah unsur rohaniah atau spritual yang sangat penting untuk di didik dan disuburkan dengan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi SAW.
Inilah intipati utama dalam memastikan ilmu, pendidikan dan latihan kemahiran yang mereka tempuh itu benar-benar dapat dihayati dan di amalkan di dalam kehidupan.
Untuk itu, ibadah solat yang dihayati adalah teras bagi berbagai aktiviti latihan kemahiran yang dijalankan di semua pusat latihan kemahiran GISBH. Solat menjadi penentu kejayaan dan datangnya pertolongan Allah dalam semua program seharian. Bimbingan penghayatan solat yang khusyuk dengan pelbagai rasa seorang hamba dan rasa hebatnya Allah mesti berlaku sepanjang masa. Solat dirasakan sebagai sumber jana kuasa yang menjana kecemerlangan individu dan institusi serta syarikat.
0 ulasan:
Catat Ulasan