Social Icons

Jumaat, 27 Mei 2016

Umat Islam Di Malaysia Berpegang Pada Pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah

UMAT ISLAM DI MALAYSIA UMUMNYA MENGIKUT ASYAÍROH DAN AL MATURIDIYYAH SERTA BERMAZHAB ASY SYAFIÉ

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin berkata, umat Islam perlu berfikiran terbuka terhadap perbezaan pendapat dalam mengamalkan ajaran Islam. Beliau berkata, selagi perbezaan pendapat itu tidak membabitkan soal tauhid dan akidah kepada Allah SWT, maka ia dikategorikan sebagai khilaf dalam kalangan ulama. 

“Umat Islam di negara ini secara rasminya beriman dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dengan aliran yang dibawakan oleh Imam Abu Hasan al-Syaari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi iaitu al-Asyairah dan al-Maturidiyyah. Manakala dalam pegangan fikah pula adalah mengikuti mazhab Imam Syafie. “

Dalam soal akidah jelas ditunjukkan kepada kita sumbernya iaitu hanya al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW dan tidak boleh dibahaskan lagi. 

Tetapi bagi kaedah fikah yang dikategorikan dalam bahagian pemikiran boleh diperdebat dan disepakati menerusi ijtihad ulama. “Masalah-masalah yang sering diperdebat kini seperti zikir dan doa selepas solat, bacaan ‘sayidina’ dalam tahiyat dan sebagainya adalah bersifat khilaf semata-mata antara ulama. Tiada masalah untuk diamalkan kedua-duanya kerana ulama yang menetapkan kaedah itu mempunyai nas atau hujah tersendiri,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam ucaptama ketika merasmikan Seminar Fatwa Antarabangsa 2016 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), baru-baru ini. Turut hadir, Penyandang Kursi Felo Utama Kajian Fatwa, Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (Infad), Sheikh Muhammad Awwamah; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Datuk Dr. Mustafa Mohd Hanefah; dan Pengarah Infad, Profesor Madya Dr. Irwan Mohd. Subri. 

Seminar dua hari itu mengumpulkan sebanyak 96 kertas kerja pembentangan membabitkan isu dan kajian fatwa semasa yang disampaikan oleh penyelidik dari pelbagai institusi termasuk penceramah luar negara. Bidaah yang sesat Abdul Shukor berkata, bidaah yang dikategorikan sesat sebagaimana sabda Rasulullah SAW tersebut adalah penambahan atau pengurangan dibuat dalam perkara yang telah ditentukan oleh syarak terutama soal ibadat.

 “Kita perlu memahami makna bidaah itu sendiri, bukan semua bidaah itu ditafsirkan sebagai sesat. Apa yang dimaksudkan dengan bidaatul dhalalah (sesat) adalah sebagai contoh menambah bilangan perintah solat lima waktu sehari semalam kepada enam kali. “Walaupun dengan niat untuk meningkatkan iman atau menunjukkan ketaatan kepada Allah SWT, maka ia adalah haram dan sesat kerana merosakkan ibadat,” jelasnya. 

Justeru tambahnya, semua pihak terutama golongan pakar agama perlu bijaksana dan berhikmah dalam menyampaikan pandangan terhadap perbezaan pendapat masing-masing terutama membabitkan ibadah. 

“Lebih 1,000 tahun lalu sejak Islam bertapak di negara ini perkara ini tidak muncul, umat Islam tiada masalah mengamalkan Islam malah kesatuan dalam Islam menyatukan banyak hal lain termasuk politik. Baru beberapa tahun kebelakangan ini mula heboh mengenai amalan-amalan yang dikatakan bidaah ini. 

“Perkara ini mengakibatkan kekeliruan kepada orang awam. Cuba bayangkan jika dua-dua pihak tidak mahu mengalah, melabel orang ini bidaah, orang ini sesat, tidakkah menimbulkan pergaduhan?. 

“Pakar agama dan mufti juga perlu turun padang, melihat sendiri situasi dan senario realiti masyarakat di negara tersebut sebelum menetapkan hukum. Tidak boleh hanya mengikut kitab semata-mata sehinggakan tidak mengindahkan soal darurat dan juga maqasid syariah (tujuan disyariatkan) kepada umat Islam,” katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text