Social Icons

Jumaat, 2 Jun 2017

Ibadah Tanpa Khusyuk Di Hati Adalah Ibadah Yang Tertolak!! Apakah Khusyuk?

"Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku" (Taha 20:14)

Kita selalu mendengar dan kadang-kadang kita bincang dan kita bermuzakarah tentang khusyuk. Umumnya orang akan mengaitkan khusyuk itu dengan sembahyang. Bila sahaja disebut khusyuk, terlintaslah di fikiran kita tentang penumpuan dan kehadiran hati dalam sembahyang.

Justeru itu, ramai orang hanya mengusahakan khusyuk ketika hendak memulakan sembahyang khususnya semasa takbiratul ihram. Ketika itulah kita cuba dan berusaha untuk menumpukan perhatian dan menghadirkan diri dalam sembahyang dengan mengikuti dan memahami apa yang kita baca dan mengelak dari memikirkan perkara-perkara lain yang tidak bersangkut paut dengan sembahyang itu.

Kefahaman khusyuk seperti ini telah tersimpang dari erti dan maksud khusyuk yang sebenarnya. Kerana salah faham inilah maka ramai orang tidak berjaya untuk mencapai khusyuk yang sebenarnya di dalam sembahyang walaupun telah bersembahyang selama berpuluh-puluh tahun.

"Maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang" (Al-Maa'uun 107:4)

"(laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya"
(Al-Maa'uun 107:5) 

Mereka sangka telah khusyuk dalam sembahyang, tetapi kesan sembahyang terhadap diri, akhlak dan peribadi sangat kurang atau minimum. Tidak nampak banyak perubahan pada diri dan peribadi walaupun sudah berpuluh-puluh tahun bersembahyang.

Walhal sepatutnya orang yang benar-benar khusyuk dalam sembahyang itu ada kesan pada dirinya. Teguh iman dan kuat keyakinannya. Murni dan luhur akhlaknya. Berdisiplin hidupnya. Bersih dirinya daripada berbuat maksiat dan kemungkaran kecuali terlalu sedikit. Kuat berpegang dan mengamalkan syariat Islam dan bersih hati dan jiwanya daripada sifat-sifat mazmumah dan sifat-sifat keji.

Namun begitu, jika seseorang itu sudah boleh menumpukan fikirannya di dalam sembahyang, sudah boleh mengikuti dan faham apa yang dibaca dan dilafazkannya di dalam sembahyangnya dan tidak pula teringat apa-apa perkara di luar sembahyang yang tidak ada sangkut paut dengan sembahyangnya dari mula takbir hinga dia memberi salam, ini sudah dianggap baik. Ini pun bukan mudah untuk dicapai. Tetapi ini belum lagi dianggap khusyuk. Kesan sembahyang seperti ini terhadap diri dan peribadi kita walaupun ada, terlalu sedikit dan tidak begitu ketara.

Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mangerjakan sembahyang (dengan khusyuk). (Al-A'laa 87:15)

Dan sebutlah dengan lidah atau dengan hati akan nama Tuhanmu (di dalam dan di luar sembahyang), pada waktu pagi dan petang; (Al-Insaan 76:25)

Tuntutan supaya umat Islam itu khusyuk bukan terhad ketika di dalam sembahyang sahaja. Umat Islam dituntut supaya berada di dalam keadaan khusyuk setiap masa walaupun di luar, lebih-lebih lagilah di dalam sembahyang. Kalau kita tidak khusyuk di luar sembahyang, agak mustahil kita untuk khusyuk di dalam sembahyang. 

Kerana khusyuk itu bukan perkara akal atau fikiran atau meditasi. Khusyuk itu adalah perkara hati, jiwa dan roh. Ini melibatkan rasa-rasa terhadap Tuhan, terhadap ciptaan-ciptaan Tuhan, terhadap diri kita sebagai hamba, terhadap dosa dan pahala, Syurga dan Neraka dan sebagainya.

Perkara akal atau fikiran mungkin mudah memulakan dan menamatkan seperti kita membuka dan menutup suis lampu atau seperti kita menukar channel televisyen. Setakat membawa fikiran dan kesedaran akal kita ke dalam sembahyang mungkin lebih mudah dan boleh dibuat ketika bertakbiratul ihram. 

Tetapi untuk membawa `rasa' ini mustahil. Kalau rasa khusyuk tidak wujud di luar atau sebelum sembahyang, maka ia terus tidak akan wujud di dalam atau sepanjang masa kita sembahyang. "Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman" (Al-Mu'minuun 23:1)

"Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya" (Al-Mu'minuun 23:2

Sebab perkara roh, hati dan jiwa yang membawa kepada rasa-rasa ini ialah hasil dari penghayatan dan penjiwaan. Ia tidak boleh dibuka atau di "on"kan ikut sesuka hati kita. Ia adalah keadaan dan sifat hati itu sendiri. Kalau ada rasa khusyuk maka khusyuklah dia. Kalau tidak ada maka dia tidak akan dapat khusyuk.

Allah ada berfirman:
" Di mana sahaja kamu berada, di sana ada Tuhan."

"Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)". (Al-An'aam 6:79)

Ini membawa maksud bahawa di mana sahaja kita berada dan pada setiap masa dan ketika, kita perlu rasa bertuhan. Iaitu merasa Tuhan sentiasa melihat, mendengar, mengetahui tentang hal lahir dan batin dan sebagainya. Dalam erti kata yang lain, kita sentiasa disuruh rasa bertuhan., lebih-lebih lagilah di dalam sembahyang. Malahan di dalam sembahyang, rasa bertuhan ini sepatutnya lebih subur, lebih hidup, lebih tajam kerana di dalam sembahyang itu ada disiplin, rukun-rukun dan syarat-syarat sah batalnya.

Katakanlah: "Tuhanku menyuruh berlaku adil (pada segala perkara), dan (menyuruh supaya kamu) hadapkan muka (dan hati) kamu (kepada Allah) dengan betul pada tiap-tiap kali mengerjakan sembahyang, dan beribadatlah dengan mengikhlaskan amal agama kamu kepadaNya semata-mata; (kerana) sebagaimana Ia telah menjadikan kamu pada mulanya, (demikian pula) kamu akan kembali (kepadaNya). (Al-A'raaf 7:29)

Kalau kita belum khusyuk di luar atau sebelum sembahyang, dan hanya mampu membawa akal dan fikiran kita sahaja ke dalam sembahyang, paling tinggi kita hanya akan dapat menumpukan perhatian dalam sembahyang dan tidak lebih dari itu. Kita tidak akan rasa hebat dengan Tuhan, rasa Allah itu maha Agung, maha Perkasa, Maha Berkuasa, Maha Pengampun, Maha Penyayang dan sebagainya. Jauh sekalilah dapat kita rasa berkasih sayang, bermanja-manja, meminta-minta, mengadu-ngadu, berbual-bual, berdialog atau mencurahkan segala rasa dan isi hati kita kepada Tuhan.

"Dan berserahlah kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani, Yang melihatmu semasa engkau berdiri (mengerjakan sembahyang), Dan (melihat) gerak-gerimu di antara orang-orang yang sujud" (Asy-Syu'araa')

Sebenarnya perkara yang kita khusyukkan ialah apa sahaja yang mengisi dan memenuhi hati dan jiwa kita. Ertinya apa sahaja yang kita besar-besarkan, yang kita penting-pentingkan, yang kita utamakan, yang kita cemas-cemaskan, yang kita bimbang-bimbangkan, yang kita takut-takutkan dan sebagainya, itulah yang kita khusyukkan. Kalau rumah, kereta atau perniagaanlah yang mengisi hati atau jiwa kita hingga itulah yang diambil berat lebih dari segala-galanya, maka itulah dia perkara yang kita khusyukkan. Sudah barang tentu rumah, kereta atau perniagaan itulah yang akan kita bawa ke dalam sembahyang.

"Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah semata-mata; maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapapun bersama-sama Allah.
(Al-Jinn 72:18)

"Dan sesiapa yang menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah, dengan tidak berdasarkan sebarang keterangan mengenainya, maka sesungguhnya hitungannya (dan balasan amalnya yang jahat itu) disediakan di sisi Tuhannya. Sesungguhnya orang-orang yang kafir tidak akan berjaya." (Al-Mu'minuun 23:117) 

Khusysuk bagi orang mukmin ialah jiwa tauhidnya yang sangat mendalam dan rasa bertuhan serta rasa kehambaan dalam jiwanya begitu kuat hingga ia memenuhi seluruh pelosok hati dan perasaannya. Rasa ini tidak lekang dan dibawanya ke mana-mana. Rasa cinta dan takutnya kepada Tuhan menguasai fikiran dan jiwanya. Dia khusyuk di luar sembahyang dan dia lebih-lebih lagi khusyuk di dalam sembahyang.

"Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya" (Qaaf 50:16)

Bagi orang yang belum mukmin dan ringan ketauhidannya atau bagi orang yang hanya berfikiran tauhid dan belum berjiwa tauhid atau bagi oaring yang `alimbillah (tahu Tuhan) yang belum `arifbillah (betul-betul kenal Tuhan), ibadah mereka selalunya tidak ada kualiti dan tidak sampai ke tahap khusyuk. Ibadah mereka belum ada kemanisan dan mereka merasa berat untuk beribadah. Mereka beribadah dalam terpaksa. Ini sungguh perit dan menyeksakan.

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk" (Al-Baqarah 2:45

Sembahyang yang benar-benar khusyuk itu ialah sembahyang yang sentiasa mempunyai rasa-rasa yang berubah dari satu rasa ke satu rasa yang lain sesuai dengan rukun dan bacaan dalam sembahyang dari mula takbiratul ihram hingga kepada salam. Untuk mencapai rasa-rasa ini, ia mesti terlebih dahulu diusahakan dalam keadaan biasa di luar sembahyang. Hanya di dalam sembahyang ia disubur, dihidup dan ditajamkan lagi supaya kita dapat lebih berinteraksi, berhubung hati dan berhubung rasa dengan TuhAN!!!

"(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi...... " (A-li'Imraan 3:191

"Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka)" (Maryam 19:59

"Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang" Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya" (Al-Ma'aarij 70:22,23

"Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya" (Al-Ma'aarij 70:34)

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text