Social Icons

Jumaat, 16 Jun 2017

Ramadhan Bersama Pemimpin Hati

DARI BLOG PUAN KHAULAH

Pejam celik pejam celik, Ramadhan dah kian menuju ke penghujungnya. Aku pernah dengar orang cakap, tanda-tanda akhir zaman tu ialah bilamana masa dirasakan cepat sangat berlalu. Sebab dulu waktu aku sekolah rendah, nak tunggu cuti hujung tahun tu lama sangat. Jenuh tunggu. Tapi sekarang ni sedar-sedar je dah 2017. Rasanya baru je haritu 2015. Bila cepat masa berlalu, cepatlah juga umur meningkat. Tiba-tiba je dah 31 tahun. Rasa macam semalam baru je 18 tahun! Hmm.. Baru terfikir, apa yang aku dah perbuat dengan umurku di sepanjang 20an nya itu ye? Oh Tuhan..

Aku selama ni sebenarnya tak pernah fikir pun, tak pernah rasa besar pun nikmat berpemimpin. Hanya setelah benar-benar difahamkan oleh para pemimpin, lebih-lebih lagi pemimpin hati yang tugasnya mendidik hati, nak betulkan segala perjalanan hati, barulah nak belajar betapa mahalnya mendapatkan pemimpin dan pimpinan dalam hidup. Nak cari pemimpin yang boleh memimpin itu tak mudah, apatah lagi pemimpin yang boleh pimpin hati. Laaaagilah susah. Sebab tu disebutkan ianya sebagai Pemimpin Hati.

Dapat pemimpin bererti mendapatkan panduan untuk hidup di dua negara iaitu dunia dan akhirat. Setelah dapatkan panduan, kita akan sedar betapa selama ini kita hidup dalam keadaan yang salah. Salah berfikir, salah berperasaan dan salah dalam tindakan. Namun kita berharap moga kita tak pernah terlambat untuk dibimbing bagi membetulkan semuanya.

Kerana bersama kita Pemimpin Hati lah, hati kita dipimpin bahawa antara yang kita perlu dapatkan di sepuluh malam terakhir Ramadhan ini ialah keinsafan. Merasa insaf di atas banyaknya dosa yang telah kita lakukan kepada Tuhan. Rasa berdosa sampai ke dalam hati kerana teruslah membesarkan diri dan nafsu lebih dari Tuhan. Kekal bersembahyang dalam keadaan yang lalai. Ybm Tuan Hasnan selalu ingatkan, yang Allah sebut celakalah orang yang bersembahyang tu, bukan untuk solat fardhu je. Tapi solat sunat pun rupanya nak kena dapat khusyuk. Kalau tak, neraka wail lah juga. Na'uzubillah..


Lepastu nak kena direnungkan juga dosa kita dengan manusia dan yang paling besar tu dengan pemimpin lah. Yang suruh taat pemimpin ni, Allah. Jadi bila kita gagal untuk taati pemimpin sepertimana yang Allah nak, maka dua kali berdosalah kita. Taat pemimpin tu pula kena dibuat secara menyeluruh. Bukan taat benda yang kita suka je. Aku lah tu... Masih taat yang disukat-sukat. Kalau tak kena dengan keinginan nafsu, belum tentu mampu nak taat. Belum lagi disuluh hal-hal yang berkait dengan perasaan kepada pemimpin. Kadang depan tu kita bolehlah akur, tapi dalam hati macamana? Tolonglah Ramadhan.. moga keberkatanMu dapat merubah kejahatan hatiku..


Kita nak sangat jadi mereka di akhir zaman yang sangat dirindui oleh Nabi dan dicemburui oleh sahabat kerana walaupun tak pernah berjumpa Nabi tapi sangat merindui dan memperjuangkan semua yang datang dari Nabi. Itu juga satu bentuk tawaran. Semua orang boleh jadi calon untuk mendapatkannya. Namun di akhirnya, Tuhan lah yang tahu bagaimana nasib kita. Ybm PE sebut, sungguh-sungguhlah rebut peluang sampai turunnya belas kasihan Allah pada kita. Mudah-mudahan kita semua direzkikan Ramadhan yang dihujungnya adalah keselamatan..


Di kesempatan ini juga aku nak mohon jutaan kemaafan kepada semua yang mengenali di atas banyaknya dosa dan salah silap yang aku lakukan samada sengaja ataupun tidak. Terkasar bahasa di alam nyata mahupun terguris apa-apa yang dicoret di sini. Maafkan ye..

Aku nak kongsikan salah satu lirik lagu dari album Takuti Tuhan Rindui Nabi oleh Akademi Generasi Harapan (Jawa) yang ditulis oleh Ybm Tuan Nik Hazani. Selamat mendengar dan menghayati..

Rasa Ramadhan

Berdebar-debar hati ini
Menunggu kedatanganMu 
Keluh kesah gelisah tak menentu
Takut kedatanganMu ku gagal lagi

Wahai Ramadhan Engkau yang ku tunggu
KedatanganMu membawa rahmat
Juga keampunan Tuhanku berkat dan kasih sayang
Mana mungkin kedatanganMu ku siakan

Ramadhan kini kembali
Ramadhan menangislah hati

Ya Allah jadikan ku hambaMu yang beradab denganNya
Janganlah ku menjadi hamba yang rugi lagi 
Entah ke berapa kali

Aku sangat mengharapkan pertolongan dariMu
Anugerahkanku Ramadhan yang di hujungnya keselamatan
Dari azab api neraka 
Kasihanilah aku Tuhan
Kerna setiap kali Ramadhan 
Yang ku dapat hanya lapar dan dahaga

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text