Social Icons

Tuesday, 13 June 2017

Perkahwinan Dan Perceraian - Perbezaan Lafaz Taklik Di Malaysia.

Malaysia mempunyai lafaz taklik yang berbeza-beza antara satu sama lain mengikut negeri-negeri. Sebenarnya lafaz taklik adalah lafaz talak taklik (talak tergantung) yang dibaca dan dilafazkan oleh suami selepas akad nikah dijalankan. Ia bermaksud suami mengaitkan talak dengan sesuatu sifat atau syarat, sama ada mempunyai hubungan dengan isterinya, suami sendiri atau orang lain. 

Semua negeri mempunyai lafaz taklik, dan ia sudah menjadi suatu kemestian. Lafaz taklik ini akan dicatatkan sekali dalam Sijil Perakuan Nikah pasangan yang sudah berkahwin. Lafaz talak taklik yang disyaratkan selepas perkahwinan suami isteri berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain. Antara contoh seperti berikut: 

1) Terengganu:
“Saya dengan sesungguhnya melafazkan bahawa tiap-tiap kali saya tidak bersekedudukan dengan isteri saya (nama isteri) bagi selama tempoh empat bulan dengan tidak putus-putus, sama ada saya meninggal akan dia atau dia meninggal saya dengan ikhtiar atau dengan terpaksa dan tatkala ia mengadu ia kepada kadi dan tatkala sabit pada sisinya di atas ketiadaan sekedudukan selama itu maka tertalaklah isteri saya (nama isteri) itu dengan satu talak.” 

2) Kedah:
“Apabila aku tinggalkan isteriku (nama isteri) lamanya enam bulan Hijrah dan kemudian daripada itu mengadu ia kepada Kadi dan sabit yang demikian itu pada sisinya, maka kemudian daripada itu tertalaklah ia dengan satu talak” 

3) Perak 
a) “Tiap-tiap aku tinggalkan atau tiada aku memberi nafkah yang layak bagiku akan isteriku (nama isteri) tiga bulan atau lebih lamanya dan mengadu ia kepada mana-mana kadi syarie dan sabit pengaduannya pada sisi Kadi itu, maka tertalak isteriku itu dengan satu talak. 
b) Jika ada perbalahan kedua aku laki isteri maka mengadu isteriku (nama isteri) kepada mana-mana kadi syariah dan sabit pengaduannya pada sisi kadi itu, maka mengakulah aku akan bertaklik seperti yang dipersetujui kadi itu. Sekiranya ingkar aku daripada bertaklik sedemikian itu maka gugurlah satu talak di atas isteriku itu. 
c) Tiap-tiap aku rujuk akan isteriku (nama isteri), dengan tiada redanya, maka tertalaklah ia satu talak pula.” 

4) Selangor 
“Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh yang tersebut pada hal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada mahkamah syariah, dan apabila sabit aduannya di sisi mahkamah syariah, dan ia memberi kepada Mahkamah Syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khuluk.” 

Kebanyakan negeri memasukkan syarat jika suami meninggalkan isteri selama empat bulan atau lebih dengan sengaja atau paksa atau suami atau wakil suami tidak memberi nafkah kepada isteri selama tempoh itu, pada hal isteri masih taat kepada suami. 

Beberapa negeri lain meletakkan syarat meninggalkan isteri dalam tempoh berkenaan dan suami atau wakil suami tidak memberi nafkah kepada isteri pada hal isteri masih taat kepada suami. Dua syarat ini dibezakan dengan perkataan ‘dan’ dan ‘atau’. 

Kedah dan Pulau Pinang mensyaratkan tempoh yang lama iaitu enam bulan. Syarat talak taklik Terengganu berbeza dengan negeri lain di mana disyaratkan jika suami dan isteri tidak bersekedudukan selama empat bulan berterus-terusan, sama ada suami meninggalkan isteri atau isteri meninggalkan suami, sama ada dengan sukarela atau terpaksa. 

Perak pula meletakkan syarat jika berlaku perbalahan antara suami dan isteri, maka isteri boleh mengadu kepada hakim untuk mensabitkan talak taklik itu. 

Kebanyakan negeri meletakkan syarat jika suami menyakiti atau mendatangkan sebarang mudarat kepada tubuh badan isteri, maka isteri boleh mengadu kepada Hakim untuk mensabitkan talak taklik itu. 

Melaka mensyaratkan jika suami tidak mempedulikan isteri lamanya empat bulan, isteri boleh memohon cerai taklik. 

Sabah meletakkan syarat tambahan jika suami menyakitkan tubuh badan atau kehormatan atau harta benda isteri, maka aduan untuk mensabitkan talak taklik boleh dibuat oleh isteri. 

Johor memasukkan syarat tambahan jika suami ghaib selama setahun atau lebih, isteri boleh mengadu untuk mensabitkan talak taklik berkenaan. Syarat ini tidak terdapat dalam syarat taklik di negeri lain. 

Melihat dari segi jenis talak jika Mahkamah mensabitkan talak taklik juga berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain. Kelantan, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Johor misalnya, jika syarat taklik disabitkan oleh hakim, maka isteri perlu membayar RM1 dan selepas perceraian boleh disabitkan dengan cerai khul’ (tebus talak). Tetapi di negeri lain, jika syarat taklik disabitkan oleh Hakim, isteri tertalak dengan satu talak rajie. 

Perbezaan seperti ini tidak seharusnya berlaku kerana umat Islam di Malaysia berpegang kepada mazhab Syafei yang sama. Perbezaan ini walaupun nampak kecil, beban untuk membuktikan syarat ini di Mahkamah berbeza antara satu sama lain. 

0 comments:

Post a Comment

 

Sample text

Sample Text

Sample Text