Social Icons

Rabu, 18 September 2013

Cadangan Tan Sri Muhyiddin Yassin: Kalau Ada Kejujuran, PAS Dan UMNO Patut Berunding!!


Muhyiddin sekali lagi bercakap dan menyatakan kesediaan UMNO untuk menghulur tangan persahabatan dengan PAS demi kepentingan umat Islam, khususnya orang melayu. Jika di kaji dari segi tata bahasanya ia bermakna UMNO sanggup menerima apa sahaja perbezaan dan bekerjasama demi kepentingan agama dan bangsa Melayu.

Orang Melayu yang beragama Islam terlalu berkecamuk samada oleh kerana permainan politik keterlaluan atau pun sememangnya bangsa Melayu ini bangsa yang sememangnya bangsa yang lemah dan tidak mempunyai tulang belakang.

Kalau di baca dari permukaan kata-kata Muhyiddin ini, ia merupakan tindakan yang jujur, tetapi UMNO pula mempunyai stigma dalam mana mereka hanya sanggup bekerjasama dengan pihak PAS hanya semasa mereka dalam keadaan yang lemah dan hilang hala tujuannya.

Selalunya UMNO akan begitu sombong dan angkuh jika mereka sedang kuat. Jadi jika itulah keadaannya maka tindakan Muhyiddin itu adalah semata-mata kerana UMNO itu parti yang lemah. UMNO mesti faham dalam perundingan, kita mesti bersedia untuk menerima dan memberi dan jika sikap ini ada di dalam UMNO tidak nampak perkara ini tidak boleh dilakukan. Jika PAS boleh menerima kerjasama DAP masakan parti itu merasa susah sangat untuk bekerjasama dengan manusia seagama dan sebudaya itu.

Tetapi tidak mengapa itu semua. Jika benar mahukan kerjasama maka UMNO perlu jujur dan mahu menerima perbezaan dan sanggup melakukan sedikit pengorbanan dalam beberapa isu pokok yang berkait dengan agama dan bangsa kita. Jika kesemua isu yang akan dibincangkan dengan PAS hanya untuk membuat PAS menerima apa sahaja kehendak UMNO, itu bukannya kerjasama namanya. 

Jika dipandang dari satu sudut, yang agak penting sememangnya wajar UMNO dan PAS itu bekerjasama kerana isu yang dihadapi oleh kerajaan UMNO dan BN hari ini bukan satu perkara yang kecil. Ini masalah kenegaraan dan PAS pula perlu sedikit terbuka kerana dalam kerajaan dan kehidupan seharian manusia ini, ia bukan berkisar untuk melaksanakan Fardhu Ain sahaja tetapi yang lebih besar lagi ialah Fardhu Kifayah jika benar-benar Islam itu hendak di addinkan serta dijadikan cara hidup kita di negara ini.

Kedua-dua belah pihak perlu terlebih dahulu mengakui yang bangsa Melayu adalah bangsa yang sangat lemah. Lemah bangsa Melayu itu bermakna Islam dan Muslimnya masih kemah. Kelemahan ini tentulah kerana kegagalan perlaksana kepimpinan UMNO dan BN selama ini dan UMNO perlu mengakui hakikat ini.

Kerajaan baru sahaja mengumumkan Dasar Baru untuk memperkasa ekonomi Bumiputra. Dasar yang lama dahulu yang dinamakan Dasar Ekonomi Baru telah tidak dilaksanakan dengan jujur oleh pimpinan bermula dari pimpinan Dr Mahathir dahulu. Hasilnya matlamat 30 peratus penyertaan Bumiputra dalam Industri dan Perdagangan jauh dari mencapai matlamatnya.

Semasa DEB dilancarkan dan dilaksanakan semua kaum bersetuju dan menyokong tindakan kerajaan semasa itu agar orang Melayu mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dan rakan-rakan dari bangsa lain yang lebih maju. Sekarang ini telah terdengar bangsa lain yang terlalu marah dengan apa yang diumumkan oleh Najib baru-baru ini.

Mereka yang bukan Bumiputra mungkin marah kerana mereka sudah tidak lagi ‘appreciate’ kenyataan yang jika pembahagian ekonomi negara tidak seimbang, maka negara akan menghadapi gegaran politik yang amat merbahaya. Mereka (bukan Bumiputra) telah menuduh yang kerajaan hanya menumpukan masa dan tenaga hanya untuk orang Melayu. tetapi mereka tahu jika satu-satu kaum itu tidak mempunyai kedudukkan dan tahap ekonmi yang seimbang, maka ia akan membawa negara ke ambang perpecahan yang amat serius.

Tapi jika dipandang dari sudut yang lain pula, kemarahan bangsa lain itu ada juga faktanya. Mereka telah bertanya, bukankah dahulu sudah ada perancangan dan dasar yang telah dipersetujui dahulu (DEB). Kenapa gagal dilaksanakan?

Walaupun jawapannya kepada persoalan itu ada, tetapi tidak enak lagi utuk menyebutnya kerana ia digagalkan oleh pimpinan UMNO sendiri semasa DEB itu sedang berjalan setengah jalan. Pemimpin besar Melayu sendiri menyatakan yang orang melayu mesti buang tongkat itu. Tetapi apa yang sangat menyayat hati semasa itu jika pun kita tidak mahu menggunakan tongkat itu, kita perlu simpan tongkat itu kerana ada waktu dan ketikanya tongkat itu boleh dipergunakan.

Tetapi apabila Najib mengumumkan untuk mengadakan kembali tongkat itu maka reaksi yang kita dengar sangat menyakitkan kerana ada pihak yang mempersoalkan keistimewaan orang melayu yang telah sedia terkandung dalam Perlembagaan Negara kita. Mereka mahukan segala keistimewaan orang Melayu yang terkandung dalam Perlembagaan itu dibuang samasekali.

Itulah sebabnya ada pihak termasuk diri saya, lama dahulu sudah bercakap melalui tulisan saya dan dalam banyak program umum menyatakan supaya UMNO memperbetulkan keadaan ini secepat yang mungkin. Tetapi pandangan seperti di bisukan, malahan orang yang meluahkan perasaan ini diketepikan kerana tidak digemari oleh pimpinan yang terlalu seronok dan enak dengann kuasa dan pangkat pinjaman Tuhan ini.

Tetapi jika benar Muhyiddin mempunyai kemampuan dan keyakinan untuk melakukan pengorbanan dengan membuang ego dan kebodohan UMNO selama ini, maka perundingan dengan PAS ini tidaklah perlu di persoalkan lagi, termasuk dari PAS sendiri.

Bagi melakukan usaha ini ia perlu melalui pengorbanan. Jika pimpinan UMNO sudah terbukti gagal untuk melakukan apa yang sepatutnya dilakukan, maka jangan gusar jika terpaksa mengundurkan diri jika benar-benar jujur untuk kemenangan umat Islam itu tadi. Jika Najib terpaksa berundur maka jangan gusar dan gundah, beliau perlu berundur.

Bagi pihak PAS pula ini merupakan kesempatan untuk merasakan pengalaman untuk berada di dalam kerajaan dan ini amat perlu bagi parti ini kerana PAS tidak begitu mampu untuk mentadbir dan menguruskan kejayaan apabila diberikan mandat oleh rakyat. Kejayaan di Kedah tidak diurus dengan betul maka negeri itu jatuh kembali kepada UMNO baru-baru ini.

Itu sebabnya ratusan kali blog ini menyarankan yang negara perlukan politik yang baru. Kita prlu bermula dari awal dan kita bentuk kerajaan baru dengan tidak meninggalkan bangsa-bangsa lain yang berada dan tinggal dalam negara ini.

Ini amat penting kerana setiap negara yang berkepimpinan bermoral dan baik akan hanya mempunyai satu matlamat iaitu Perpaduan Nasional. Pembangunan ekonomi dan penyusunan semula masyarakat dalam semua bidang itu hanya merupakan proses-proses penting untuk mencapai matlamat Perpaduan Nasional itu.

Berpakatlah dan berundinglah. Cari seorang yang berpengalaman yang dirasakan mendapat sokongan semua kaum untuk mengetuai perundingan ini. Bagi saya dan ramai juga yang lain Najib dan sesiapa pun dalam barisan kepimpinan kerajaan hari ini tidak mampu mengadakan dialog itu kerana mereka adalah pencetus kepada keadaan ini. Bawa bersama rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak sekali.

Jika Muhyiddin serius, elok dimulakan dan PAS pula tidak perlu bersikap keras hati yang tidak membawa apa-apa faedahnya waimma untuk melaksanakan addin Islam yang diperjuangkan oleh parti itu sendiri.

Pentingkan negara kerana itu juga adalah tuntutan Islam kita. Tidak ada seorang atau kumpulan yang mendapat segala kehendak mereka seratus peratus. Itulah sebabnya perjuangan itu adalah ubudiyah yang mesti dilakukan sepanjang hayat kita. 
 

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text