Pak Lang ada dengar satu cerita tentang sebuah kumpulan nasyid popular. Cerita ini Pak Lang dengar sendiri daripada ahli jawatan kuasa sebuah badan kebajikan di Lembah Klang. Mereka ingin mengadakan majlis makan malam amal untuk mengumpul derma daripada masyarakat dan golongan korporat.
Bagi menjayakan majlis tersebut, jawatankuasa majlis (penganjur) telah membuat keputusan menjemput mana-mana kumpulan nasyid terkemuka tanahair bagi membuat persembahan. Jemputan itu dikira dapat menarik kehadiran tetamu yang sekaligus memberi sumbangan dalam bentuk 'membeli meja'. Kehadiran kumpulan nasyid terkemuka dalam sesuatu majlis sedemikian biasanya mampu mendorong lebih ramai tetamu untuk hadir. Inilah yang disasarkan oleh jawatan kuasa penganjur.
Banyaklah kumpulan nasyid yang dijemput. Pihak penganjur hanya menjanjikan sedikit sumbangan wang minyak kenderaan untuk sampai ke tempat majlis dijalankan. Jumlahnya mungkin sekitar RM500.00 sahaja. Jemputan itu dikira satu penghormatan kepada kumpulan nasyid yang sudi hadir.
Ianya adalah kesudian turut menyumbang dari segi mengadakan persembahan tanpa bayaran. Imej melakukan kerja amal sebegitu sepatutnya dipelopori oleh kumpulan nasyid yang sentiasa melaungkan nasyid atas nama nasyid Islami. Janganlah artis atau penyanyi biasa yang lebih menonjol. Atas nama kumpulan nasyid, tentulah apa saja aktiviti yang boleh menjayakan cita-cita Islam, mereka yang akan mendahului orang lain. Itulah harapan penganjur.
4,5 kumpulan nasyid yang dijemput, hanya dua sahaja yang memberi respon - menjawab dengan agak positif iaitu ingin turut serta. Malangnya mereka memujuk untuk meminta juga bayaran ikut kadar yang menjadi kebiasaan. Kata mereka, "Kami ni cari makan! payahlah kami nak hidup kalau semua orang minta persembahan percuma!! Mentang-mentanglah kami ini kumpulan nasyid, semua orang hendak minta kami menyumbang!! Kami ni bisnes disamping berdakwah." Begitulah luahan hati mereka. Mereka tetap mahukan bayaran. Persembahan untuk majlis makan amal bayarannya RM6,000 - RM8,000!! Banyak tu....
Penganjur tidak ada pilihan. Mereka menghubungi Kumpulan Nasyid Generasi Harapan (KGH). Mereka dengan mudah menyetujuinya. Asalkan mendapat peluang menyampaikan mesej dakwah kepada masyarakat, KGH tidak akan mensia-siakan peluang yang ada. Persembahan KGH benar-benar untuk berdakwah. Mereka tidak buat bisnes dengan laungan memuji Allah. Allah, Allah!!
Lihatlah betapa sukarnya orang mukmin hendak selamatkan diri dari tipuan dunia. Walaupun atas nama kumpulan nasyid, seseorang itu tidak boleh menipu bahawa mereka hanya menjadikan 'dakwah' sebagai batu loncatan mencari makan. Terasa malangnya prinsip hidup sebegini. Perkataan dakwah dengan mudah diselewengkan.
Tidak salah meletakkan harga atas nama mengambil upah bernasyid menghiburkan orang ramai. Samalah seperti mengambil upah mengajar Al-Quran. Tetapi apabila dikaitkan dengan berdakwah, ianya adalah suatu yang berbeza. Dakwah adalah inisiatif pilihan untuk kelompok tertentu di kalangan umat Islam. Tuhan nyatakan di dalam Al-Quran; "Hendaklah ada satu golongan / kelompok dari kalangan kamu yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran dan mereka itulah golongan yang berjaya."
Dakwah mesti dilakukan secara berjemaah iaitu lebih dari 3 orang. Ciri berjemaah ini sudah ada dalam kumpulan nasyid. Apa yang penting difahami ialah jalan dakwah itu adalah kesulitan dan kepayahan. Di hujungnya kesenangan akhirat. Dakwah tidak menjanjikan habuan dunia kerana apabila kita berniat untuk berdakwah, kita mesti melaksanakan semua tuntuan sebagai jemaah dakwah. Antaranya ialah mesti berkorban dan terkorban.
Sebab itu Tuhan tidak wajibkan semua orang masuk dalam gerakan dakwah. Orang yang rela hati terlibat dalam gerakan dakwah kena bersedia untuk meninggalkan kepentingan peribadi. Amat sukar seseorang yang biasa - sekalipun yang ada cita-cita Islam untuk melepasi syarat ini. Biasanya tumpuan diberikan sepenuhnya untuk diri dan keluarga sedangkan tuntutan dakwah memerlukan berkorban segala-galanya demi Islam.
Wujudnya kumpulan dakwah di dalam masyarakat adalah tuntutan Fardhu Kifayah. Jika sudah wujud satu kelompok yang benar-benar bercirikan jemaah dakwah maka sudah lepaslah tuntutan fardhu atas pundak semua umat Islam. Teselamatlah semua orang lain dari menanggung dosa.
Walaupun demikian, atas nama individu tetaplah ada kewajipan menegur kesalahan yang dibuat oleh orang lain - sekurang-kurangnya menolak dan membenci kejahatan tersebut di dalam hati. Sekalipun sama-sama pencuri, wajiblah sipencuri yang muslim menegur kesalahan kawannya yang sama-sama mencuri. Itulah hukum dan kewajipan fardhu ain dalam mencegah kemungkaran.
Adapun dalam urusan memastikan orang lain mengikut ajaran Islam, setiap individu diwajibkan memulakannya di dalam diri dan keluarganya serta orang-orang yang di bawah tanggungjawabnya terlebih dahulu. Dia tidak wajib pergi mencari orang lain. Selesaikan orang-orang yang dia dipertanggungjawabkan dahulu.
Jadi bila kumpulan nasyid menyatakan mereka tampil untuk menghibur, tentulah bermaksud sekadar memberi hiburan alternatif kepada masyarakat. Istilah arabnya adalah dalam bentuk 'Idkhalusurur' iaitu menggembirakan orang lain atau mengibur orang lain. Ianya harus. Tidak ada tuntutan di sebaliknya. Jika hasil menonton persembahan itu masyarakat sedar dan berubah jadi baik, itu dikira 'bonus'. Semoga besarlah pahala di sisi Tuhan. Tidak disebut 'berdakwah' tapi hasilnya yang didapatkan adalah besar!! Bijaklah pendekatan sebegini.
Sedangkan jika mengisyitiharkan berdakwah dengan nasyid, itu sudah mengubah kedudukan mereka. Tugasnya berat kerana mereka mesti menjadi model dan suri teladan untuk orang lain. Apa yang dilontarkan dalam alunan nasyid tersebut semuanya menuntut bukti kebenaran pada sikap dan perbuatan orang bernasyid. Itulah tuntutan kejujuran dan keikhlasan. Buktikan anda benar-benar menyeru orang kepada Islam. Maka memberi sumbangan amal adalah tuntutan yang anda mesti bersegera melakukannya berbanding orang lain. Jangan hanya pandai berkata-kata tetapi tidak mahu untuk berbuat.
Jika hanya sekadar niat (di dalam hati) untuk menghiburkan masih boleh mengelak dari memberi sumbangan tetapi kalau sudah isytiharkan bernasyid untuk berdakwah maka dakwah itu menuntut bukti. Itulah yang susahnya. Sebab itu jadilah kumpulan nasyid yang hanya sekadar menghiburkan orang. Kalau ada niat di hati ingin berdakwah, janganlah sebut di mulut!! Kalau dalam hati, niat untuk berdakwah, maka niat itu sah dan semoga dinilai pahala di sisi Tuhan. Tetapi kalau sudah dicakapkan maka anda akan tertakluk dengan tuntutan sebagai kumpulan dakwah. Payah lah nak cari makan!!
Tirulah Kumpulan Generasi Harapan. Mereka benar-benar melaksanakan tuntutan dakwah. Mereka tidak meminta bayaran sesen pun. Kalau ada pihak yang menipu atau menganiaya mereka dengan tidak memberi sedikit pun duit minyak kenderaan, mereka tidak ada masalah. Mereka menganggap kewajipan mereka adalah menyampaikan seruan dakwah - tanpa menuntut bayaran apa-apa pun. Tuhan membela mereka. Luar biasa!!!
Mereka sanggup ke mana sahaja selagi mereka berupaya menyiapkan sendiri kemudahan dan kenderaan untuk sampai ke tempat jemputan. Bahkan mereka sendiri sentiasa berusaha mencari-cari mana lagi tempat untuk mereka tampil berdakwah secara percuma. Niat mereka tertuncap atas keinginan mengajak semua golongan menghayati apa yang mereka sampaikan. Keikhlasan niat mereka terserlah sepanjang mereka membuat persembahan.
Timbul persoalan dari mana mereka memperoleh sumber pendapatan? Jika orang yang bertanya ingin mengetahuinya, mereka kena menghubungi Kumpulan Generasi Harapan ini untuk mendapatkan jawapan dari mereka sendiri. Ianya satu kefahaman yang mendalam dan ikhlas untuk Tuhan. Huraiannya tersendiri. Hubungilah KGH: Sdr Mohd Ajwad: 011-236 1623 (Pin Black Berry: 2B2C2AE9) dan Sdr Rizal: 018-393 7058 / 0111-876 4038 (Pin Black Berry: 28A021A7)..
0 ulasan:
Catat Ulasan