Social Icons

Isnin, 9 September 2013

Menjejaki Kembali Pahlawan Negara Mat Kilau

Semalam sempat menonton Majalah 3 mengenai Pahlawan Terbilang Melayu Mat Kilau. Terharu sungguh bila mengenangkan semangat dan perjuangan orang-orang hebat Melayu dahulu yang berjuang mempertahankan maruah bangsa dan agama dari di pijak penjajah.

Nama nama hebat pejuang-pejuang dulu macam Mat Kilau, Tok Gajah, Dato Bahaman di Pahang, Penghulu Dol Said di Naning, Tok Janggut di Kelantan serta Datuk Maharajalela di Perak semamangnya banyak kali di sebut dalam subjek sejarah masa sekolah menengah dulu.




Mat Kilau ni pun bukan calang-calang keturunannya kerana ayahandanya sendiri adalah salah seorang pejuang menentang penjajah ketika itu iatu Imam Rasu bin Shahrum, berpangkat Orang Kaya Raja iaitu setaraf dengan Orang Besar Empat di Pahang iaitu Tok Gajah sendiri. Dan Perjuangan Mat Kilau ni sebenarnya bukan saja setakat berjuang menentang British di negeri kelahiran beliau saja tapi melewati Terengganu dan Kelantan. Di ceritakan kehebatan Mat Kilau ketika bertempur dengan penjajah British dahulu.. bahawa hanya dengan sekali libasannya sahaja.. boleh mengorbankan 9 nyawa di hujung parangnya itu. Wallahualam.

Alkisah, Kemunculan semula legenda itu pada 26 Disember 1969 menggemparkan tanah air setelah di kabarkan meninggal dunia ketika menentang penjajah dahulu. Pada tarikh tersebut setelah 74 tahun di percayai telah terkorban pada tahun 1895, bersama kuburnya yang terletak di Kelantan, Mat Kilau sekali lagi muncul dan kembali ke kampung halamannya di Kampung Masjid Pulau Tawar. Cerita kepulangan Mat Kilau di kabarkan telah bertukar dari mulut ke mulut dan pada hari bersejarah tersebut di ceritakan hampir 15 ribu orang telah menunggu kedatangan beliau di perkarangan masjid. Semua yang hadir pada masa tu sememangnya menunggu-nunggu pengakuan lelaki tua misteri yang hanya di kenali dengan nama samaran Mat Siam dan bekerja di feri di Gambang Pahang .

Sekembalinya beliau ke kampungnya, Mat kilau bersembahyang jumaat bersama jemaah yang lain dan selesai solat, beliau membaca Al Quran dan selepas itu beliau akhirnya mengistiharkan dirinya sebagai Mat Kilau pahlawan terbilang Melayu yang melawan British suatu masa dahulu. Orang ramai yang menunggu dari pagi pada hari tersebut menyambut berita itu dengan gembira dan linangan air mata akan kembalinya hero bangsa ke kampung halaman mereka.. Di ceritakan ramai yang mengambil kesempatan untuk bersalaman dan mencium tangan insan yang besar jasanya itu.


Pahlawan Mat Kilau di bawa ke Masjid untuk pengakuan terbuka dirinya sebenar.




Dan pengistiharan ini memanglah meggemparkan seluruh Negara sehingga Kerajaan Pahang menubuhkan Jawatan Kuasa pada 8 Januari 1970 untuk menyiasat kesahihan kebenaran cerita tersebut. Alhamdulllah 8 bulan selepas membuat kajian rapi lelaki misteri yang hanya di kenali Mat Siam akhirnya di sahkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang.

Namun Allah lebih menyayangi insan yang berjasa besar ini, 4 hari selepas pengistiharan oleh menteri Besar tersebut, beliau akhirnya di jemput kembali menemui Pencipta di usia 123 tahun.

Menariknya, anak angkat Mat Kilau Abu Bakar Awang yang akhirnya menjadi menantunya juga tidak tahu bahawa lelaki yang selalu bersamanya dahulu itu adalah merupakan pahlawan besar Negara Mat Kilau kerana beliau selalu berdalih-dalih bila di tanya mengenai asal usulnya. Namun cerita cerita megenai perjuangan pahlawan terbilang dahulu seperti kisah Mat Kilau, Tok Bahaman sering di ceritakan dengan kemas. Malah sebagai insan yang rapat di tahun-tahun akhir hayat Mat Kilau, beliau telah diwarisi seni silat Tapak Setia Suci yang terkenal sebagai silat bertempur, daripada Mat Kilau sendiri.

Cerita beliau, Mat Kilau antara orang paling gembira menunggu pengishtiharan kemerdekaan. Beliau masih ingat, ketika itu, walaupun umurnya sudah melewati 100 tahun namun semangat dan keghairahan Mat Kilau sememangnya luar biasa untuk bersama-sama menyertai sambutan upacara bersejarah tersebut. Maka pagi-pagi 31 Ogos 1957 hari itu, selepas solat subuh mereka berdua terus ke Bandar Kuantan untuk sama-sama menyertai upacara sambutan kemerdekaan peringkat negeri.

Menurut Abu Bakar lagi, di dalam ribuan orang ramai di upacara bersejarah tersebut bapa angkatnya itu ada berkata dengan penuh makna “Tengok, siapa sangka aku juga sempat melihat (negara) merdeka". Tanpa di sangka bahawa beliau sedang memberi bayangan yang beliau adalah pejuang besar negara Mat Kilau yang bermati matian menentang British pada tahun 1880-an dan 1890-an dulu.

Namun ironinya, tiada seorang pun tahu pada hari berkenaan di kalangan puluhan ribuan manusia yang berkumpul di Padang Masjid Negeri Kuantan, ada terselit seorang tua yang berusia lebih 100 tahun yang berpeluang melaungkan ungkapan keramat “Merdeka!” hasil pengorbanan beliau sendiri dan rakan-rakan yang mempertaruhkan hidup dan darah untuk mempertahankan agama dan tanah air suatu masa dahulu.

Dialah Mat Kilau, anak pejuang Imam Perang Rasu bin Shahrum iaitu Tok Gajah. Yang mana telah di pilih Allah untuk mewakili rakan rakan seperjuangan sezamannya yang telah tiada seperti Datuk Bahaman, Tok Gajah, Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Datuk Maharaja Lela dan Dol Said untuk menyaksikan hari bersejarah Tanah Melayu merdeka dan bebas dari penjajah.


Mat Kilau di akhir usianya.
 
Beliau tidak meninggalkan apa-apa harta pusaka kecuali meminjamkan semangat perjuangan dan keberanian beliau untuk diwarisi generasi akan datang agar kita tidak kembali dijajah


Al –fatihah untuk semua perjuang Negara.
Hanya tuhan yang dapat membalas jasa mereka.
Selamat Hari Kemerdekaan yang ke -56 semua!
semoga kita merdeka dari segala bentuk penjajahan, kezaliman atau penindasan...

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text