Social Icons

Jumaat, 6 September 2013

Wahai Para Pemimpin Negara, Jenguklah Melihat Sengsaranya Rakyat Jelata!!

Kenaikan harga minyak kenderaan sudah melemaskan rakyat bawahan. Slogan ciptaan pembangkang terhadap BN sebagai 'Barang Naik' dilihat tepat kerana ianya berlaku selepas pilihanraya. Itulah nasib rakyat yang kehidupan seharian mereka semakin sulit dan mencekik. 

Kenaikan harga minyak akan dituruti peningkatan harga pelbagai barangan dan perkhidmatan keperluan harian. Bagi orang susah 20 sen itu sangat besar dan bermakna. Mereka menabung sepuluh sen sehari untuk biaya membayar bil letrik setiap bulan. Mereka berjimat sambil setiap hari membilang wang siling yang masih berbaki. Kehidupan mereka tidak ada siapa memperdulikan. 

Mereka yang sesekali mendapat imbuhan BR1M sangatlah menghargai jasa PM menghadiahkan sumbangan sedemikian kepada mereka. Jasa dan bantuan sedemikian tidak dilupakan. Mereka bahkan menanti-nanti bilakah waktunya bantuan serupa akan berulang lagi. Tetapi itu semua bukankah tindakan untuk memujuk rakyat mengundi BN. Selepas pilihanraya, adakah rakyat akan dicekik semula untuk muntahkan semua yang selama ini kerajaan berikan?

Sedihnya Pak Lang melihat rakyat bawahan sekarang. Kehidupan rakyat rata-rata menderita. Hidup seperti berbaring di atas padang pasir yang tandus dan panas. Sumber pendapatan yang diusahakan dari pelbagai sumber tidak mampu menampung 'kebocoran-terpaksa berbelanja'. 

Kita mudah melihat ramainya warga emas turun bekerja di sektor kawalan keselamatan, menjadi jaga di pintu masuk perumahan mewah, menjadi tukang cuci di pusat membeli belah, menjadi kuli membersih kawasan dan sebagainya. Itulah lambang penderitaan rakyat. Mereka terpaksa bekerja. Ya mereka terpaksa kembali berhempas-pulas mendapatkan wang membiayai keperluan harian seorang tua yang bukan sedikit. 

Anak-anak mereka bukan sengaja membiarkan ibu bapa yang tua itu turun bekerja tetapi mereka sendiri tidak mampu. Berapalah sangat baki gaji setiap bulan. Al-hasil apa yang berlaku berhutang secara 'gali lubang, tutup lubang'. Semua pihak tertekan dengan kesempitan hidup yang tercipta hasil 'pembangunan negara'.

Dunia moden menjadikan negara dan rakyat diheret arus putaran wang yang sangat deras dan laju. Setiap wang yang masuk akan 'transit' sekejap sahaja di dompet masing-masing. Selepas itu ianya kembali kosong. Itulah hakikat hidup sekarang. Semuanya perlukan wang ringgit walaupun hidup di kampung. Jika di bandar lebih-lebih lagi hal kewangan ini mesti diusahakan. Ianya suatu yang tidak boleh tidak. Yang miskin ramai dan majoriti mereka wujud di mana-mana. Siapa pembela mereka?

Orang politik tidak pernah jujur untuk membela. Mereka hanya menunggang orang lain untuk menghantar mereka ke persada kuasa dan kemewahan. Orang yang menjadi pentadbir tenggelam dengan kerja yang tidak habis-habis. Rakyat jelata akan terus tinggal dalam kepedihan. Luka derita mereka yang tanggung sengsaranya.

Bacalah sedikit sedutan dari seorang penulis blog seperti berikut. Harapan Pak Lang siapa sahaja yang menjadi pemimpin, kenalah insaf hakikat yang sedang merantai kaki dan tangan rakyat bawahan. Tidak patut harga minyak dinaikkan. Bacalah! KLIK SUMBER

Kenaikan harga minyak yang diumumkan Najib semalam telah menimbulkan keributan yang bukan sedikit rupanya. Tidak saja rakyat biasa yang mengeluh dan meluahkan kemarahan, kalangan ahli dan pemimpin UMNO juga mempunyai rasa yang senada. Mereka turut kecewa dengan kenaikan itu, bukan saja kerana tiada angin atau ribut yang mengatakan harga minyak dunia meningkat tetapi juga kerana kenaikan itu diumumkan begitu pantas iaitu hanya kira-kira lebih sedikit daripada 100 hari selepas kemenangan tipis yang diraih BN dalam pilihanraya umum lalu.

Di tambah pula, dengan kemeriahan sambutan Hari Raya yang masih terasa dengan Perdana Menteri dan semua menteri kabinet dilihat begitu bergembira dengan pesta rumah terbuka berserta jamuan yang hebat-hebat di sana-sini dengan menggunakan wang rakyat, tiba-tiba rakyat mahu dibebankan pula dengan kenaikan harga minyak yang tentunya juga akan diiringi dengan pelbagai kenaikan lainnnya dalam perkhidmatan dan barangan pengguna.

Oleh kerana tahun ini tahun pemilihan UMNO, gah dan meriahnya majlis rumah terbuka para menteri lebih jelas dapat dirasakan, terutamanya mereka yang mahu bertanding jawatan lebih tinggi atau mempertahankan jawatan sedia ada. Sudahlah ada rumah terbuka Perdana Menteri bersama menteri-menteri kabinet, ada pula rumah terbuka kementerian, kemudian semua agensi pula turut mengadakan rumah terbuka. Di kawasan Parlimen juga, menteri dan timbalan menteri mengadakan rumah terbuka.

Habisnya, sebulan Syawal ini jadual menteri dan timbalan menteri hanya asyik dengan rumah terbuka saja. Oleh kerana tahun pemilihan juga dan bimbang undi berkurangan, para menteri turut mengambil kesempatan hadir ke rumah-rumah terbuka kementerian lainnya.

Tentulah terlihat tidak sopan, setelah para pemimpin berpesta dan menghabiskan duit rakyat manakala rakyat hanya dapat menatapnya melalui tv dan akhbar, tiba-tiba bebannya mahu dilonggokkan ke bahu rakyat.

Bagi sesetengah pihak, ini merupakan diskriminasi dan penindasan yang tiada tolok bandingnya. Jika diambil kira dengan pelbagai kemewahan dan perbelanjaan lainnya yang dilakukan oleh para pemimpin, termasuk kos lawatan Najib ke luar negara hampir RM50 juta, keghairahan kerajaan menukar jenama baru untuk kereta rasmi para menteri dan sebagainya, kerajaan dilihat seolah-olah tidak punya perasaan langsung apabila menaikkan harga minyak ini.

Dalam masa yang sama, kenaikan harga minyak itu juga dilakukan ditengah-tengah kebanggaan yang diumumkan bahawa Petronas pada 2012 telah mencatat keuntungan sebanyak RM59 bilion manakala keuntungan pada suku kedua 2013 ini pula mencecah angka RM21.9 bilion.

Dengan keuntungan sebesar itu, Najib terlihat begitu kemaruk dengan penjimatan RM1.1 bilion melalui kenaikan harga harga minyak dan memotong subsidi rakyat yang mana sebahagian besarnya penerima nikmat subsidi ini adalah orang-orang kampung dan luar bandar yang selama ini merupakan penyokong tegar UMNO serta penyumbang utama kepada kemenangan BN dalam pilihanraya lalu.

Apakah RM1.1 bilion itu tidak boleh ditampung dari sumber lain dan lebih besar nilainya dari menghimpit kehidupan rakyat ke kancah yang lebih sukar?

Sebaik menang piliharaya, Najib seperti sudah lupa siapa yang menyokong dan menjadikannya kekal sebagai Perdana Menteri. Lalu, dengan pelbagai keluhan dan sungutan mengenai kenaikan harga minyak ini, di manakah slogan "Kami mendengar" dan kerajaan sentiasa bersama denyut nadi rakyat yang sering dilaungkan selama ini?

Sebab itu, tidak hairan kenaikan harga minyak kali ini turut mendapat reaksi yang tidak menyenangkan daripada pemimpin UMNO sendiri. Sementara ramai yang berdiam diri kerana tidak bersetuju tetapi tidak mahu meluahkan perasaan secara terang-terangan kerana bimbang periuk nasi terjejas, terdapat juga yang berani berterus-terang.

Seorang pemimpin pemuda, Lokman Nor Adam mahu Najib dan kerajaan memikirkan semula kenaikan harga minyak ini dan mencari kaedah lain untuk menampung kos RM1.1 bilion yang diperlukan untuk meneruskan subsidi minyak yang telah dikurangkan itu.

Di pelbagai peringkat lainnya, ramai lagi pemimpin dan ahli UMNO yang turut kecewa dengan tindakan Najib ini. Mereka meluahkan kekecewaan dengan cara tersendiri. Ada yang meluahkannya melalui perbualan dengan kawan-kawan atau ketika sambil berbual-bual di kedai kopi.

Seorang pemimpin UMNO yang ditemui jelas kecewa dengan tindakan Najib ini. Beliau kecewa bukan saja kerana tindakan ini dilihat menyusahkan rakyat tetapi juga membuat pemimpin sepertinya menghadapi kesukaran untuk mempertahankan keputusan Najib itu apabila dipersoalkan oleh para pengikut serta penyokongnya.

Para penyokong dan pengikutnya yang rata-rata berpendpaatan rendah dan sederhana jelas begitu terpukul dengan kenaikan minyak ini kerana selama ini pun kehidupannya seharian mereka sekadar cukup makan sebagai kakitangan kerajaan mahupun swasta.

Lebih menggusarkan pemimpin tadi ialah apabila anak-anaknya juga turut marah, kecewa dan tidak setuju dengan kenaikan harga minyak yang diumumkan Najib ini. Menurutnya, apabila anak-anaknya yang belajar di universiti turut mempertikaikan tindakan Najib berserta dengan fakta, angka dan rasionalnya, beliau menghadapi masalah dan tidak upaya berbuat apa-apa kerana pendapat golongan muda seperti anak-anaknya itu banyak kebenarannya.

Mahu mempertahankan kerajaan serba-salah, tidak mempertahankan kerajaan pun serba-salah juga. Kita sebagai pemimpin UMNO pun susah dibuatnya dengan tindakan Najib ini, rungutnya lagi.

Dengan kecenderungan Najib berbelanja mewah dan boros serta kemungkinan akan mengenakan beberapa lagi kenaikan seperti tarif letrik, pengenalan cukai GST dan sebagainya sebagai langkah mudah menyeimbangkan kedudukan ekonomi negara, beliau juga percaya kehidupan rakyat akan terus sulit dalam tempoh empat atau lima tahun akan datang......

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text