Social Icons

Sabtu, 14 September 2013

Kisah Sedih Anak Kecil Yang Merindui Ibubapanya Selama 5 Tahun




Malam tadi Pak Lang ke Hospital Selayang. Khabar sedih yang Pak Lang terima dalam 'grup BB' mendorong Pak Lang berkejar ke sana. Sekurang-kurangnya dapatlah mengucap takziah kepada kawan lama Pak Lang iaitu Ustaz Mohd Dhuha suami isteri serta keluarga. Mereka kehilangan anak kecil berusia 10 tahun petang semalam. Mohd Athuf 10 tahun dijumpai mati lemas di tempat mereka berkelah di Selayang.



Sebaik mendapat khabar tersebut, Pak Lang terus teringatkan keadaan Ustaz Dhuha dan isterinya Kak Su yang baru pulang hampir sebulan dari Mesir.  Pak Lang bercakap dalam hati, 'Sempat juga aruah jumpa mak ayahnya setelah 5 tahun terpisah dek tugas." Pak Lang tidak tahu bahawa yang terjadi adalah sebaliknya. Apa yang berlaku adalah perencanaan Tuhan dan itulah yang sebaik-baiknya.

Kak Su beritahu memang dia sangat teringatkan Athuf dan saling ingin bertemu. Cuma kesabaran dan rasa sentiasa mahu meredhai atas apa jua kehendak Tuhan menjadikan mereka pasrah. Pertemuan dengan sianak menempuh berbagai kesukaran. Pihak asrama sangat mahu membantu mempertemukan mereka tetapi taqdir sentiasa merencanakan situasi yang berbeza. 

Mereka suami isteri juga mempunyai jadual yang padat. Maklumlah sebaik sampai di tanah air, banyak perkara yang perlu diselesaikan. Semua urusan memakan waktu, melelahkan dan perlukan kemudahan. Itulah yang terjadi walaupun di dalam hati diruntun-runtun untuk segera menziarahi anak di asrama Rumah Kasih Sayang, Tasik Puteri.

Si anak pula sentiasa redha dengan kelambatan pertemuannya dengan kedua ibubapa tercinta. Dia yakin pertemuan yang sangat membahagiakan itu pasti akan kunjung tiba. Itulah harapan dan doanya. Bersama seorang lagi adiknya, mereka berdua sibuk bercerita dengan kawan-kawan hal kepulangan ibubapa mereka dari Mesir. 

Bila Kak Su dan Ustaz Dhuha ingin bertolak ke Pulau Pinang untuk menziarahi keluarga, masanya tidak dapat diselaraskan dengan waktu cuti sekolah. Jadinya mereka tidak dapat membawanya sekali. Begitu juga bila kedua-duanya ingin ke Temerloh atas satu janji yang perlu ditepati, mereka sudah merancang untuk membawa si Athuf dan adiknya bersama. Malangnya sekali lagi hasrat itu terhalang. Mereka gagal menghubungi penjaga asrama untuk memintanya menghantar si anak ke satu tempat untuk diambil di situ. Dalam keadaan masa yang suntuk, sekali lagi dengan berat hati mereka menangguhkan pertemuan berharga itu. 


Demikianlah perencanaan Tuhan. Tidak ada siapa boleh menghalang. Tuhan sentiasa memberikan perjalanan hidup yang terbaik untuk setiap insan. Susah-senang, sakit-sihat, kaya miskin, mati-hidup adalah pergiliran kehidupan. Tiada yang negatifnya. Orang-orang pilihan akan sentiasa tahu untuk berterimakasih kepada Tuhan yang memberikan segala ujian kepada mereka. 

Sianak rupanya sudah ditentukan untuk hanya menunggu kedua ibubapanya di pintu syurga. Dia meninggal dunia kerana lemas ketika berkelah - tidak sempat bertemu ibubapanya yang dirinduinya di dunia. Ibubapa yang sangat bersangka baik dengan Tuhan, menerima ujian ini dengan penuh redha. Tiada elemen menyalahkan sesiapa. Mereka pasrah. DaripadaNya sianak itu datang dalam hidup mereka dan kepadaNya jua dia dikembalikan. Besarlah habuan dan ganjaran di sisi Tuhan untuk ibubapa sebegini.

Pak Lang kagum menatap wajah si anak. Ada pancaran cahaya pada wajahnya. Pak Lang juga kagum dengan wajah kedua ibu bapa dan semua adik beradik aruah. Riak kesal dengan apa yang berlaku langsung tidak ada. Wajah mereka adalah wajah mereka yang sangat bergantung hidup dan mati untuk Allah dan Rasul. Allah adalah owner atau pemilik agung mereka. Rasa bahagia bersama Tuhan wujud di dalam hati mereka. Bertuah dan beruntunglah mereka dengan ganjaran di sisi Tuhan. 

1 ulasan:

  1. kalau saya, mmg tak sanggup nak berjauhan dgn anak wlpn sekejap. lnikan sampai 5 thn. Saya lulusan luar negara tapi tak bekerja sb tak sampai hati nak tinggal anak dgn pembantu rumah wlpn tak sampai sehari. Jadi saya tersangat2 lah pelik dgn ibu2 yg sanggup tinggal anak2 sampai bertahun2. Apatah lagi anak yg masih kecil. Dimana sifat keibuan??? Saya mmg tak percaya langsung pd sape2 sekalipun utk menjaga anak2 saya. Mereka adalah nyawa saya. Kemana saya pergi, disitullah ade anak2 saya. Tapi manusia lain2....

    BalasPadam

 

Sample text

Sample Text

Sample Text