Social Icons

Sabtu, 25 Julai 2015

Berkat dan Tabarruk Itu Disyari'atkan, Jadikan Ia Keutamaan Dalam Hidup


Keharusan tabarruk (meminta berkat) menurut yang disyari'atkan

Berkat dan tabarruk (meminta berkat) saling berpaut antara satu sama lain kerana berkat tidak akan dapat diraih tanpa perbuatan tabarruk dan usaha untuk bertabarruk tidak akan mendapat apa-apa jika Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak mewujudkan berkat pada sesuatu perkara itu.

Dalam perkara tabarruk (meminta berkat) mesti tidak terlepas dari dua perkara, iaitu:

1- Tabarruk yang harus iaitu bertabarruk dengan sesuatu yang diketahui ada disyari'atkan di dalam Islam seperti bertabarruk dengan al-Qur'an yang memang mempunyai banyak kerberkatan.

2- Tabarruk yang dilarang iaitu bertabarruk dengan sesuatu yang tidak disyari'atkan di dalam Islam seperti bertabarruk dengan batu atau kubah.

Kadangkala tabarruk itu disalah anggap oleh sebilangan orang dengan mempercayai dan melakukan perkara yang sama sekali tidak disyari'atkan, malah bertentangan dengan akidah Islam seperti perbuatan yang boleh membawa kepada unsur syirik, bid'ah dan khurafat.

Sebagai contoh, memakai azimat yang bukan daripada nama atau sifat Allah Subhanahu wa Ta'ala, seperti nama-nama malaikat, orang shalih atau nama mu'azhzham (yang dimuliakan) dari kalangan makhluk seperti 'Arasy. Meninggalkan perbuatan mengambil berkat sedemikan adalah aula (lebih utama).

Lebih dikhuatiri jika niat memakai azimat untuk mendapatkan berkat itu terseleweng sehingga menjadikan pemakainya beri'tiqad bahawa azimat itu yang mempunyai kuasa mendatangkan kebaikan kepadanya, maka ini boleh membawa kepada perbuatan syirik dan wajib untuk dihindari.

Adapun tabarruk sebagaimana yang disyari'atkan Islam, ianya adalah sesuatu yang diharuskan berdasarkan ketetapan dari al-Qur'an dan sunnah Nabi MuhammadShallallahu 'alaihi wasallam.

Antara perkara yang mengundang berkat menurut yang disyari'atkan

Berdasarkan ketentuan yang ada dinyatakan di dalam al-Qur'an dan hadits, juga sebagaimana yang disepakati oleh para ulama, berkat boleh didapati antaranya melalui peribadi manusia, benda, tempat, waktu selain doa dan perbuatan yang boleh mengundang berkat. Berikut adalah perkara yang boleh menyumbang kepada berkat dan umat Islam dituntut untuk bertabarruk dengannya:-

1) Peribadi manusia

i- Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wasallam

Adapun berkat paling agung yang dianugerahkan Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada hambaNya ialah diutusnya Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wasallamkepada sekalian alam. Allah Subhanahu wa Ta'ala memberi hidayah kepada hambaNya dengan berkat kerasulan Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam dan dengan apa yang telah dibawa oleh Baginda yang tidak lain berupa petunjuk dan keterangan.

Terdapat banyak kisah yang menceritakan mengenai berkat Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wasallam. Antaranya kisah para sahabat Radhiallahu 'anhum berwudhu dan minum air yang keluar dari celah jari Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam. Jabir Radhiallahu 'anhu sendiri mengusap air tersebut pada perutnya. Ini kerana mereka sedar bahawa mukjizat Nabi itu mengandungi berkat dan mereka tidak mahu mensia-siakan peluang tersebut.

Para sahabat Radhiallahu 'anhum yang diikuti oleh para tabi'in dan orang-orang shalih bertabarruk dari atsar (kesan dan peninggalan) Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam. Bertabarruk dengan atsar Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam sudah pun berlaku pada zaman Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam sendiri. Baginda tidak melarangnya dan ini menunjukkan bahawa bertabarruk itu harus dan tidak ditegah oleh syara' berdasarkan hadits-hadits antaranya yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallahu 'anhu, beliau berkata:

Maksudnya: "Ketika Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam selesai melontar Jamrah dan melakukan korbannya serta bercukur, Baginda menghulurkan bahagian kanan kepalanya kepada tukang cukur untuk mencukurnya. Kemudian Baginda memanggil Abu Thalhah al-Anshari dan memberikannya potongan rambut tersebut. Kemudian Baginda menghulurkan bahagian kiri kepalanya (kepada tukang cukur) lalu Baginda bersabda: "Cukurlah!" Lalu (tukang cukur) pun mencukurnya dan Baginda memberikannya (potongan rambut) kepada Abu Thalhah seraya bersabda: "Bahagi-bahagikanlah potongan rambut itu kepada orang ramai." (Hadits riwayat Muslim)

ii- Para Nabi

Antaranya sebagaimana yang diakui oleh Nabi 'Isa 'alaihissalam yang disebutkan di dalam Surah Maryam, ayat 31:

Tafsirnya: "Dan Dia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup."

(Surah Maryam: 31)

iii- Orang-orang Soleh

Menurut sebuah hadits riwayat Mahmud bin Rabi' al-Anshari Radhiallahu 'anhu, 'Itban bin Malik Radhiallahu 'anhu pernah mempelawa dan berharap agar Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wasallam sembahyang di rumahnya dan kemudian dia menjadikan tempat Baginda sembahyang itu sebagai tempat beliau sembahyang.

Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata hadits berkenaan mengandungi banyak faedah pengajaran antaranya disyari'atkan bertabarruk dengan orang-orang shalih dan atsar-atsar mereka, sembahyang di tapak mereka sembahyang dan meminta keberkatan daripada mereka.

Sementara itu, Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani Rahimahullah berkata bahawa apa yang dapat diambil pengajaran dari hadits berkenaan adalah siapa sahaja orang-orang shalih apabila orang berhajat untuk mengambil berkat daripadanya, hendaklah dia memenuhi permintaan tersebut selagi ianya tidak menimbulkan sebarang fitnah.

2) Al-Qur'an al-Karim

Al-Qur'an adalah kalam Allah Ta'ala yang penuh dengan berkat. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Tafsirnya: "Dan (al-Qur'an) ini adalah kitab yang Kami telah turunkan yang mengandungi berkat, mengesahkan kebenaran kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya dan supaya engkau memberi peringatan kepada penduduk Ummulqura (Mekah) serta orang-orang yang beriman dengan adanya hari akhirat, mereka beriman kepada al-Qur'an dan mereka tetap memelihara sembahyang mereka." (Surah al-An'am: 92)

Allah Subhanahu wa Ta'ala menjanjikan keberkatan dunia dan akhirat kepada setiap orang Islam yang selalu meluangkan waktu membaca dan memahaminya. Adapun berkat al-Qur'an itu ialah pertunjuk (hidayat), ilmu pengetahuan, penawar, rahmat kepada setiap orang-orang yang beriman dan lain-lain yang tidak terkira banyaknya.

Selain itu, rumah yang dibacakan al-Qur'an di dalamnya juga akan dipenuhi dengan berkat.

3) Iman dan Taqwa

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Tafsirnya: "Dan kalaulah penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertaqwa, tentulah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi tetapi mereka mendustakan (rasul-rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka (dengan azab) disebabkan apa yang mereka telah usahakan." (Surah al-A'raf: 96)

Firman Allah lagi:

Tafsirnya: "Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Allah akan memudahkan baginya jalan keluar (dalam urusannya)." "Dan Dia mengurniakannya rezeki dari arah yang tidak terlintas di fikirannya."
(Surah ath-Thalaq: 2-3)

Menurut ulama, maksud ayat al-Qur'an di atas yang tafsirnya: "Dan Dia mengurniakannya rezeki dari arah yang tidak terlintas di fikirannya" itu ialah memberi berkat ke atas setiap apa yang diberi.

Ibnu 'Uyainah Rahimahullah dalam mentafsir ayat di atas berkata bahawa yang dimaksudkan dengan rezeki itu adalah berkat.

4) Menunaikan sembahyang dan memeliharanya

Tafsirnya: "Dan perintahkanlah keluargamu mendirikan sembahyang dan bersabarlah dalam menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki daripadamu (bahkan) Kamilah yang mengurniakan rezeki kepadamu. Dan akibat (kesudahan yang baik) adalah bagi orang-orang yang bertaqwa."  (Surah Thaha: 132)

Imam Ibnu Katsir ketika mentafsir ayat al-Qur'an di atas yang tafsirnya: "Kami tidak meminta rezeki daripadamu (bahkan) Kamilah yang mengurniakan rezeki kepadamu" berkata bahawa jika kamu menunaikan sembahyang, maka akan datang kepada kamu rezeki dari arah yang tidak kamu sangka iaitu berkat sebagaimana tafsiran ayat yang ketiga dari surah ath-Thalaq.

5) Dzikrullah

Dzikrullah adalah amalan mengingati Allah dan menyebut namaNya dengan tasbih, tahmid, tahlil, membaca ayat al-Qur'an dan sebagainya sama ada dilakukan dengan hati ataupun dengan lisan.

Istighfar juga merupakan zikir. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Tafsirnya: "Maka aku berkata (kepada mereka): Mohonlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun." "(Jika kamu berbuat demikian), nescaya Dia akan mencurahkan hujan yang lebat kepada kamu."

"Dan Dia membanyakkan harta dan anak-anak kamu dan Dia akan mengadakan untuk kamu kebun-kebun serta mengadakan untuk kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya)."

(Surah Nuh: 10-12)

Antara yang dimaksudkan dengan ayat di atas ialah apabila kamu memohon ampun dan bertaubat kepada Allah Ta'ala, nescaya rezeki kamu akan bertambah, diberikan berkat daripada langit dan bumi.

6) Doa

Dalam al-Qur'an dan hadits Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam, terdapat suruhan yang memerintahkan supaya berdoa dan memohon kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala ke arah kebaikan.

Hukum berdoa adalah sunat (mustahab iaitu digalakkan).

Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam sendiri mendoakan para sahabat agar dikurniakan berkat dan memimpin umat Islam untuk selalu berdoa agar dikurniakan berkat dalam setiap perkara yang baik. Antaranya doa Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu, beliau berkata:

Maksudnya: "Orang-orang (penduduk Madinah) apabila melihat buah pertama, mereka membawanya kepada Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam, lalu Baginda mengambilnya seraya berdoa: Ya Allah, berkatilah kami (melalui) buah kami, berkatilah kami (melalui) bandar kami, berkatilah kami (melalui) sha' (gantang) kami dan berkatilah kami (melalui) mudd (cupak) kami."  (Hadits riwayat Muslim)

Kemudian Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam akan memanggil anak paling kecil yang ada ketika itu dan memberikan buah itu kepadanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text