Social Icons

Selasa, 28 Julai 2015

Sedekah Dari Usahawan


Salam sejahtera...

Pada artikel ini dikongsikan hasil nukilan seorang usahawan yang menggunakan media internet sebagai landasan utamanya untuk menjalankan perniagaan. Beliau (gambar di atas) ialah bernama Eruwan Gerry Norsen. Beliau terkenal dalam bidang penulisan, motivasi dan usahawan lelongan online.

Berikut adalah hasil penulisan beliau berdasarkan tajuk di atas :

Pemberian sedekah merupakan satu amal ibadah yang dituntut di dalam Islam. Pahala yang diberikan Allah S.W.T amat besar sekiranya kita mampu memberikan sedekah dengan hati yang ikhlas, lebih-lebih lagi di dalam bulan Ramadan yang mulia ini. Ganjaran perbuatan sedekah yang ditawarkan pada bulan mulia ini hanya Allah S.W.T yang mengetahui nilainya.

Di dalam ruangan artikel pada kali ini, saya ingin mengambil peluang untuk berkongsi cara bagaimana anda boleh memasukkan elemen sedekah di dalam bisnes internet seharian anda.

Mari kita mulakan...

1. Sedekah Barang Fizikal

Sekiranya anda merupakan seorang penjual produk-produk fizikal seperti tudung wanita, baju kurung wanita, sandal, kopiah atau apa jua produk fizikal yang sesuai, anda boleh melakukan sedekah di dalam bisnes anda.

Apa yang saya maksudkan di sini bukan terhad kepada sedekah dalam bentuk wang ringgit tetapi adalah lebih kepada pemberian barang.

Cara sedekah yang saya maksudkan ini adalah dengan memberikan bonus barang fizikal kepada para pembeli anda. Barang bonus ini boleh anda niatkan sebagai sedekah kepada para pembeli anda.

Sebagai contoh, anda merupakan seorang penjual baju kurung wanita, anda boleh niatkan untuk setiap pembelian baju kurung pada satu nilai tertentu anda akan berikan sedekah kain tudung yang berpadanan untuk pembeli tersebut.

Pemberian hadiah atau sedekah ini tidak perlu anda maklumkan kepada si pembeli tetapi boleh anda rahsiakan pemberiannya. Sebaik sahaja si pembeli baju kurung menerima bungkusan anda, individu tersebut akan terkejut kerana menerima kain tudung tersebut khas daripada anda. Sudah pasti pembeli tersebut akan bersyukur dan berterima kasih di atas pemberian itu dan anda boleh niatkannya sebagai sedekah tanpa mengharapkan sebarang balasan daripada si pembeli.

Strategi ini boleh anda lakukan untuk apa jua produk fizikal bersesuaian yang anda jual.

2. Sedekah Barang Makanan

Selain dari memberikan sedekah barang fizikal, anda juga boleh memberikan sedekah dalam bentuk makanan sekiranya anda merupakan seorang penjual produk dalam bentuk makanan.

Sebagai contoh, anda merupakan seorang penjual biskut moden seperti Kuih Almond London dan juga biskut Tat Nenas. Anda boleh memberikan sedekah kepada para pembeli anda dengan cara melebihkan bilangan kuih yang terdapat di dalam bungkusan atau bekas jualan anda.

Jika pada kebiasaannya anda memberikan 30 keping biskut di dalam bekas jualan, anda boleh menambah 1 - 2 biji biskut bergantung kepada saiz bekas jualan anda. Ini menjadikan jumlah biskut di dalam bekas anda sebanyak 31 - 32 biji.

Sudah pasti si pembeli akan bersyukur dan berterima kasih kepada anda kerana telah memberikan sedekah biskut tambahan kepadanya.

3. Sedekah Perkhidmatan

Bagaimana pula jika anda bukan menjual produk fizikal atau produk makanan tetapi merupakan seseorang pemberi perkhidmatan?

Sifirnya tetap sama, anda boleh memberikan sedekah usaha dan masa anda di dalam memberikan perkhidmatan tambahan kepada pelanggan.

Sebagai contoh, jika anda merupakan seorang penjahit baju kurung wanita, anda boleh menawarkan untuk menjahit manik-manik hiasan pada baju kurung pelanggan anda tanpa mengenakan sebarang kos tambahan. Jika anda merupakan seorang pereka grafik, anda boleh memberikan rekaan grafik secara percuma kepada mana-mana pelanggan pilihan anda.

Apa yang penting di sini adalah anda berniat untuk memberikan sedekah untuk perkhidmatan anda tanpa inginkan sebarang balasan daripada pelanggan anda. Apa yang ingin anda kejar di sini adalah pahala dan keredhaan daripada Allah S.W.T.

4. Satu atas Satu

Cara terakhir untuk memberikan sedekah sebagai seorang usahawan internet adalah cara yang saya panggil sebagai "Satu atas Satu".

Cara sedekah ini sesuai untuk digunakan sekiranya anda menjual produk-produk fizikal yang boleh digunakan atau dimakan oleh golongan miskin, yatim atau yang memerlukan.

Apa yang anda perlu lakukan adalah dengan mempromosikan bahawa untuk setiap produk yang terjual, anda akan memberikan satu produk yang sama kepada golongan yang memerlukan pilihan anda seperti anak yatim, ibu tunggal, orang miskin dan pusat tahfiz.

Sebagai contoh, jika anda merupakan seorang penjual baju kurung, untuk setiap baju kurung yang dibeli oleh pelanggan, anda akan memberikan satu baju kurung yang sama kepada golongan memerlukan seperti ibu tunggal.

Sama juga seperti anda seorang penjual produk makanan seperti biskut Tat Nenas. Anda boleh mempromosikan untuk setiap biskut yang berjaya dijual, anda akan berikan satu biskut yang sama kepada golongan yang memerlukan.

Dengan melakukan sedemikian, anda boleh mengajak dan menggalakkan para pelanggan anda untuk turut sama memberikan sedekah bersama-sama anda. Setiap pembelian mereka sudah pasti akan membawa makna yang mendalam kerana mereka berpeluang untuk membantu orang lain dan bukan sekadar hanya melakukan pembelian biasa.

Terlalu banyak cara untuk kita memberikan sumbangan dan sedekah di dalam bulan yang mulia ini dan seterusnya di dalam bulan-bulan lain selepas ini.

Apa yang penting adalah kita sentiasa berniat ikhlas untuk membantu golongan lain yang memerlukan. Insya-Allah kita akan mendapat ganjaran yang sewajarnya daripada Allah S.W.T di dunia dan di akhirat nanti. Amin...

Sehingga bertemu lagi dikesempatan yang lain, salam hormat dan salam kejayaan!

KREDIT SUMBER: BABAT.NET
Klik untuk mengunjungi RUMAH AMAL LIMPAHAN KASIH

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text