BARU-BARU ini, Malaysia digegarkan dengan isu sempadan negara yang bolos dan tidak dikawal rapi. Bagaimana pula dengan pulau-pulau di perairan kita? Adakah pulau-pulau ini di bawah pengawasan kita sepenuhnya?
Pulau Pisang adalah sebuah pulau kecil di pantai barat daya Johor yang dikelilingi perairan Selat Melaka. Terdapat sebuah rumah api yang dibina di atas pulau yang terletak kira-kira 12 kilometer dari Pontian Kecil dan lima kilometer dari Benut ini. Sehingga kini, rumah api ini diselenggara oleh Lembaga Maritim dan Pelabuhan (MPA) Singapura. Terdapat keresahan bahawa sekiranya keadaan ini berlarutan, mungkinkah Pulau Pisang akan menjadi Pedra Branca kedua?
Selat Melaka antara laluan perkapalan tersibuk di dunia. Bagi memastikan kelancaran pelayaran, pihak British telah membina sebuah rumah api di puncak Pulau Pisang pada 1914. Selama lebih seabad, rumah api Pulau Pisang berfungsi sebagai instrumen bantuan pelayaran bagi kapal-kapal yang menuju ke arah bukaan barat Selat Melaka membentang ke Selat Singapura. Walaupun Pulau Pisang tetap berada di bawah kedaulatan Malaysia, rumah api Pulau Pisang sehingga kini masih diselenggara pihak Singapura.
Aturan aneh ini lahir hasil perjanjian yang ditandatangani pada tahun 1900 di antara Sultan Johor, Sultan Ibrahim ketika itu dengan Sir James Alexander Sweethenham, Gabenor negeri-negeri Selat. Perjanjian ini antara lain mengakui kedaulatan Johor ke atas Pulau Pisang dan sebagai galang ganti, pihak Johor memberikan hak kekal kepada British untuk selama-lamanya menguruskan rumah api tersebut (termasuk tanah di mana rumah api itu akan didirikan) serta lot tanah di mana jalan dari jeti menuju ke rumah api itu akan dibina.
Apabila Singapura dikeluarkan dari Persekutuan Malaysia pada 1965, tanggungjawab mengelolakan rumah api tersebut dianggap telah bertukar tangan kepada kerajaan Singapura dan Malaysia setakat ini belum mempunyai niat untuk mengambil alih pengurusan rumah api tersebut dari MPA.
Pada 2002, terdapat panggilan-panggilan yang menyeru kerajaan Malaysia memajukan pulau tersebut dan meminda fasal-fasal di dalam perjanjian yang ditandatangani oleh Sultan Johor lebih seabad lalu. Sejak tahun berkenaan, penjaga rumah api dari Singapura dikehendaki memasuki Pulau Pisang melalui kaunter imigresen Malaysia di Kukup sebelum ke sana.
Pada 2003, Menteri Luar Singapura memaklumkan kepada Parlimen Singapura bahawa Pulau Pisang adalah milik Malaysia. Beliau mengulangi pendiriannya bahawa Singapura tidak pernah mempersoalkan kedaulatan Malaysia ke atas Pulau Pisang, akan tetapi, pengurusan rumah api Pulau Pisang harus kekal bersama Singapura.
Setelah bertahun-tahun menguruskan rumah api ini, pihak Singapura telah memperluaskan kawasan rumah api di puncak Pulau Pisang apabila negara tersebut membina pagar kedua yang terletak 100 meter dari pagar lama. Singapura juga telah memperbesarkan jalan bagi memudahkan pergerakan kenderaan-kenderaan berat menuju ke rumah api berkenaan. Sehingga kini, pengunjung-pengunjung Malaysia ke pulau berkenaan tidak dibenarkan mendekati rumah api tersebut. Kehadiran pihak Singapura di pulau ini menunjukkan, secara tersurat atau tersirat, bahawa kedaulatan Malaysia ke atas Pulau Pisang belum sepenuhnya muktamad.
Undang-undang antarabangsa menyebut bahawa sesebuah negara boleh memiliki wilayah baru mengikut beberapa cara, iaitu menerusi preskripsi atau penyerahan. Sesebuah negara boleh mendapatkan kedaulatan ke atas sesebuah wilayah sekiranya kedaulatan tersebut dipindahkan atau diserahkan oleh sesebuah negara kepada negara lain.
Sultan Johor menerusi Perjanjian 1900 memberikan hak selama-lamanya kepada British sebahagian dari wilayahnya (kawasan di mana terletaknya rumah api, jalan yang menuju ke rumah api dan jeti) kepada kerajaan negeri-negeri Selat di Singapura. Ini adalah sebab utama kenapa sehingga kini rumah api Pulau Pisang masih diuruskan oleh MPA walaupun kedaulatan ke atas Pulau Pisang adalah bersama Malaysia.
Di bawah undang-undang antarabangsa, preskripsi merujuk kepada pemilikan kedaulatan ke atas sesuatu wilayah melalui amalan pemerintahan (actual exercise of sovereignty) yang dikekalkan untuk sesuatu jangka masa lama dengan tidak dibantah oleh mana-mana negara lain. Pengurusan Pulau Pisang oleh pihak Singapura telah berlangsung sejak tahun 1900 dan berterusan sehingga hari ini tanpa sebarang bantahan rasmi dibuat oleh pemerintah Malaysia.
Dalam menentukan kedaulatan ke atas Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengambil kira soal ‘amalan pemerintahan sebenar’ atau effective occupation, sama ada telah diamalkan secara berterusan oleh negara yang membuat tuntutan.
Sejak 1914, pihak British mengambil langkah-langkah bagi mengurus dan mengawal pengambilan telur penyu di atas Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan tanpa sebarang bantahan dari kerajaan Belanda yang memerintah Kalimantan Utara pada ketika itu. Aktiviti-aktiviti ini kemudiannya terus dijalankan tanpa henti oleh Sabah ketika menyertai gagasan Malaysia pada 1963, sekali lagi tanpa sebarang bantahan yang berterusan oleh negara pewaris Hindia Timur Belanda, Indonesia.
Oleh itu, pihak ICJ telah memberikan pengakuan kedaulatan Malaysia ke atas pulau-pulau ini berlandaskan effective occupation yang ditunjukkan oleh pemerintah Sabah, sebelum dan selepas kemerdekaan melebihi langkah-langkah yang diambil oleh pihak Belanda atau Indonesia.
Dengan merujuk kembali kepada rumah api Pulau Pisang, Singapura telah dengan secara aktif terlibat di dalam pengurusan rumah api tanpa bantahan berterusan dari pihak Malaysia. Sekiranya perkara ini tidak dibendung, kedaulatan penuh Malaysia ke atas Pulau Pisang mungkin, pada masa akan datang, dipersoalkan terutama sekali di kawasan tanah yang mana rumah api itu didirikan.
Perkara ini sangat membimbangkan kerana jika Singapura berhasil menuntut sebahagian kecil wilayah di atas Pulau Pisang, negara tersebut juga berhak mendapatkan wilayah kelautan di Selat Melaka yang ketika ini hanya dikongsi oleh dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia. Setelah kehilangan Pulau Batu Puteh yang sekarang ini secara rasmi dinamakan semula sebagai Pedra Branca, Malaysia tidak boleh membiarkan pisang berbuah dua kali.
Tujuh tahun telah berlalu sejak keputusan mengenai Pedra Branca dibuat oleh ICJ, namun ia masih menghantui rakyat dan pemerintah Malaysia. Memang benar Singapura telah membuat kenyataan yang memperakukan kedaulatan Malaysia ke atas Pulau Pisang. Akan tetapi, bagaimanakah sesebuah negara itu boleh secara positif benar-benar memastikan kedaulatan ke atas seluruh wilayahnya jika sebahagian daripadanya masih lagi diuruskan oleh negara asing?
Bagi mengukuhkan kedaulatan Malaysia ke atas Pulau Pisang, Perjanjian 1900 itu perlu disemak semula dan pengurusan ke atas rumah api ini perlu diserahkan kepada Jabatan Marin Malaysia. Malaysia juga boleh mempertimbangkan untuk menempatkan boya-boya di kawasan Pulau Pisang bagi menggantikan rumah api tersebut sebagai alat bantu pelayaran. Fungsi rumah api sebagai alat bantu pelayaran sebenarnya sudah luput ditelan zaman dan tidak secekap penggunaan boya dalam pelayaran zaman moden.
Dengan adanya boya-boya ini, rumah api ini boleh dinyahfungsikan dan MPA Singapura tidak ada keperluan untuk terus berada di Pulau Pisang yang diakui oleh pemerintah Singapura sendiri sebagai milik Malaysia.
Pemerintah Johor boleh mempertimbangkan juga untuk mentransformasikan Pulau Pisang sebagai destinasi ekopelancongan seperti yang dilakukan oleh kerajaan Pulau Pinang ke atas Pulau Jerejak. Langkah ini penting bagi memastikan penguasaan Malaysia sepenuhnya ke atas Pulau Pisang tidak dilecehkan. Pulau Pisang adalah sah milik Malaysia dan kita perlu memastikan agar pulau ini tidak terlepas ke tangan negara lain.
PENULIS merupakan Profesor Pelawat di Sekolah Undang-undang Far Eastern Federal University, Vladivostok, Russia dan seorang Pensyarah Kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia. Tulisan-tulisan beliau boleh dibaca DI SINI
0 ulasan:
Catat Ulasan