Panglima terkenal Perancis, Napoleon Bonaparte(1769-1821) pernah mengungkap kata-kata pujian kepada kota ini,
“If the Earth were a single state, Constantinople would be its capital.”
Caput Mundi
Kata-kata Napoleon ada benarnya. Pada abad pertengahan, Kota Konstantinople adalah kota paling sibuk, kaya dan makmur di dunia. Kota ini dibina oleh Maharaja Constantine(272-337) pada 330 masihi dan kemudian dijadikan sebagai pusat pemerintahan Rom Byzantine.
Kota ini kemudian muncul sebagai tempat persinggahan ramai pendagang daripada timur dan barat. Wajah asing di benua Eropah seperti daripada Habsyah, Arab, Mesir,China dan India boleh ditemui di selat Bosphorus. Disebabkan faktor strategik dan kedudukannya daripada segi geografi di peta dunia, barat menggelarkan kota ini sebagai Caput Mundi yang membawa maksud ibu negeri dunia.
Dek kerana lokasinya yang strategi, kota Konstantinople diimpikan oleh setiap panglima daripada seluruh dunia.
Reputasi gah
Kebangkitan Islam pada abad ke-7 dan seterus berkembang pesat sehingga abad ke-15 telah menggerunkan banyak negara. Konstantinople tidak terkecuali. Miskipun kota ini membina reputasi sebagai kota kebal setelah dikepung dan dibedil sebanyak sebelas kali sejak era khalifah Utsman bin Affan ra, mereka tetap bimbang dengan kemungkinan kota ini bakal tumbang di tangan dinasti Uthmaniyyah yang ketika itu berada di kemuncak peradaban.
Kehebatan Kota Konstantinople
Kota Konstantinople memiliki sistem pertahanan yang paling moden pada zamannya. Sejak ia dibina kota ini tidak pernah tumpas ke tangan musuh. Kota ini dibina berbentuk tiga segi. Dua bahagian luar menghadap Selat Bhosporus dan Laut Marmara manakala bahagian daratan ditutup dengan benteng yang utuh dan berlapis-lapis.
1. Bahagian luar kota dilingkungi oleh sebuah parit besar. Kedalamannya mencapai 10 meter manakala lebarnya seluas 60 meter.
2. Telah dibina dua tembok iaitu tembok luar dan tembok dalam. Musuh-musuh yang ingin menawan kota ini perlu memusnahkan tembok luar yang setinggi 8 meter dan setebal 10 meter.
3. Kota Konstantinople diperkuatkan dengan tembok dalam yang setinggi 12 meter dan 15 meter tebal.
4. Terdapat beberapa menara kawalan sepanjang tembok dalam, masing-masing memiliki ketinggian 60 meter.
Dengan sistem pertahanan yang kukuh seperti ini, amat mustahil kota Konstantinople tumpas melainkan dengan kebijaksanaan dan kesungguhan yang berterusan.
Melihat kepada sistem pertahanan Kota Konstantinople, mustahil ia dapat ditumbangkan apatah lagi dapat ditawan.
Akhirnya Kota Konstatinople tumbang
Miskipun kota Konstatinople dianggap sebagai kota pertahanan paling ampuh di dunia, Namun, dengan kebijaksanaan Sultan Muhammad al-Fatih kota tersebut akhirnya berjaya ditakluki. Setelah kota tersebut dikepung daripada 6 April 1453(Jumaat) sehingga 29 Mei 1453(Selasa), dengan izin Allah swt, kota tersebut jatuh ke tangan Sultan Muhammad al-Fatih dan bala tentera pimpinannya yang mencecah 300,000 orang. Sultan Muhammad al-Fatih ketika itu baru sahaja menginjak usia 21 tahun.
Sesungguhnya, Allah swt telah menganugerahkan kegeniusan serta keimanan yang teguh kepada beliau sepertimana yang telah diramalkan oleh Rasulullah saw.
Kehebatan Sultan Muhammad al-Fatih
Sepertimana yang diperkatakan sebelum ini, Sultan Muhammad al-Fatih dianugerahi Allah swt dengan akal yang cerdas dan kepimpinan yang berwibawa. Dengan usia yang disifatkan sangat muda, beliau mampu mengepalai seketumbukan tentera dengan begitu hebat. Amat jarang sekali pemuda berusia 21 tahun mempunyai bakat sedemikian rupa.
Daripada beliau, dapatlah kita buat sedikit analisa hasil daripada kejayaan beliau menakluk kota paling diimpikan oleh panglima-panglima daripada seluruh dunia.
1. Persediaan rapi:
Sultan Muhammad al-Fatih telah membuat persiapan yang cukup rapi bagi mencapai matlamatnya untuk menawan Kota Konstantinople. Sultan Muhammad al-Fatih telah mengarahkan pembinaan sebuah kota Rumelihisari di pinggir selat Bosphorus pada tahun 1451 iaitu kira-kira tiga tahun sebelum penaklukan bersejarah terhadap kota Konstantinople.
Kota ini dibina bertujuan untuk mengawal trafik selat Bosphorus yang menjadi laluan utama kapal-kapal tentera sekutu Rom Byzantine. Kota yang memiliki tiga menara tinggi menjadi bukti pertama kebijaksanaan Sultan Muhammad al-Fatih khususnya dalam ilmu perang. Ketika kota ini dibina, umur beliau baru sahaja 19 tahun.
Kota Rumeli Hisari yang dibina di hadapan Selat Bosphorus.
2. Psikologi:
Sultan Muhammad al-Fatih bijak menggunakan kesempatan kelemahan psikologi pihak lawan. Sewaktu di kemuncak pengepungan Kota Konstantinople, Sultan Muhammad al-Fatih telah mengarahkan seorang muazzin untuk melaungkan azan solat.
Laungan yang memecahkan kesunyian tersebut telah mengejutkan tentera musuh yang sedang mengawal di setiap menara dan benteng kota. Lebih mengejutkan tentera Byzantine apabila menyaksikan hampir 10,000 tentera muslimin sedang melaksanakan solat dengan perlu tertib dan tawaduk.
Tentera Byzantine yang menyaksikan kejadian tersebut mulai merasakan lemah semangat dan hilang motivasi seterusnya menandakan musuh telah berjaya dikalahkan sebelum perang bermula.
3. Visi:
Seorang penakluk dan panglima agung sentiasa mempunyai visi yang luas. Sultan Muhammad al-Fatih tidak terkecuali dalam hal ini. Dengan kewibawaan beliau, beliau mengarahkan kesemua kapal perang yang dianggarkan berjumlah beratus-ratus buah kesemuanya perlu melalui laluan daratan untuk sampai ke Selat Bosphorus.
Idea ini timbul apabila mendapati Selat Bosphorus telah dirantai oleh besi waja dan idea untuk memutuskan rantai tersebut adalah mustahil kerana ia dikawal oleh tentera Byzantine di setiap hujung dan pangkalnya. Untuk memutuskan bahagian tengah pula bertambah mustahil kerana faktor teknologi pada masa itu.
4. Senjata moden:
Sultan Muhammad al-Fatih memanfaatkan teknologi terkini bagi merealisasikan misinya untuk menawan kota Konstantinople. Diriwayatkan, sebelum perang bermula, seorang jurutera daripada Hungary, Orban telah menawarkan teknologi meriam yang mampu memecahkan tembok besar. Meriam tersebut dihasilkan dengan cukup besar sehingga dikatakan perlu dibawa oleh 60 ekor kerbau. Sepertimana yang dijangkakan, bentengTheodosian akhirnya runtuh dan pecah dibedil oleh meriam gergasi tersebut.
Meriam gergasi dibawa untuk mengebom tembok tebal Kota Konstantinople
5. Senjata Rahsia
Sultan Muhammad al-Fatih telah menggunakan senjata rahsia yang selama ini belum digunakan oleh beliau. Senjata rahsia tersebut adalah Menara Bergerak. Diriwayatkan bahawa beratus-ratus buah menara bergerak telah digunakan oleh tentera Sultan Muhammad al-Fatih bagi memudahkan mereka memanjat tembok Kota Konstantinople.
6. Patuh pada ajaran agama
Sultan Muhammad al-Fatih diriwayatkan sebagai sultan yang cukup menjaga setiap tuntutan agama. Beliau diriwayatkan tidak pernah meninggal solat sunat Tahajjud pada waktu malam meskipun ketika itu beliau sedang dalam kempen peperangan. Maka, tidak hairanlah beliau wajar disebut dalam hadis Rasulullah saw yang sangat terkenal,
“Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menaklukinya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan yang berada di bawah komandonya adalah sebaik-baik pasukan.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
7. Ulama memainkan watak utama:
Ulama dan para alim ikut serta dalam peperangan menakluk kota Konstantinople. Antara paling terkenal adalah guru kepada Sultan Muhammad al-Fatih sendiri, Sheikh Shamsuddin. Sheikh Shamsuddin bertindak sebagai penasihat utama dan pembakar semangat kepada beliau dan bala tenteranya. Kalobrasi hebat antara ulama dan umara’ akhirnya berjaya meruntuhkan tembok kebal kota Konstantinople.
Dengan kredibiliti Sultan Muhammad al-Fatih, selepas 54 hari dikepung dan dibedil bertubi-tubi, akhirnya beliau berjaya memasuki kota tersebut di salah satu bahagian kota Konstantinople yang dikenali GerbangTopkapi. Sultan Muhammad terus ke Hagia Sofia dan menyuruh seorang imam melafazkan, "Aku bersaksi di sini bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah pesuruh Allah."
Sejak daripada detik itu, Kota Konstantinople berubah menjadi pusat pemerintahan dan keilmuan Islam. Nama Konstantinople telah ditukar kepada kota Islambul dan kemudian dikenali kota Istanbul. Syiar Islam terus mekar di kota bersejarah tersebut hasil daripada kesungguhan tanpa penat dan lelah Sultan Muhammad al-Fatih dan bala tenteranya.
______________________________________
Pada 6 April 1453 bersamaan dengan hari Jumaat 27 Rabiul Awwal 857H tentera Turki Othmaniyyah telah mula mengepung kota Konstantinople di Selat Bosphorus. Dalam sirah Islam, percubaan Sultan Muhammad al-Fatih adalah kali ke-6 setelah penaklukan pertama dilaksanakan semasa era Saidina Uthman bin Affan ra. Setelah 54 hari pengepungan, pada tanggal 29 Mei 1453 bersamaan 20 Jamadil Awal 857H, Kota Konstantinople tumbang dan jatuh ke tangan Islam. Detik ini menjadi saksi kepada tumbangnya kerajaan Rom Byzantine dan terhakisnya pengaruh ajaran Kristian Eastern Orthodox yang dianuti mereka.
Kredit Sumber: Takusahrisau's Blog!
0 ulasan:
Catat Ulasan